Rabu, 16 November 2011

Bacakanlah buku pada anak

Oleh Profesor Dr. Norimah A. Karim & Woo Pei Jun.
Utusan Malaysia
13/11/2011

Perkembangan intelektual kanak-kanak merujuk kepada proses keupayaan pembelajaran yang diperolehinya semasa dia membesar. Sesetengah ibu bapa mungkin tertanya mengapa anak-anak rakan mereka lebih bijak daripada anak mereka walaupun menghadiri tadika yang sama.

Atau pun mengapa kanak-kanak lain yang berumur setahun telah mula bercakap sedangkan anak mereka tidak. Anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Namun, jika anda mengesan perkembangan anak anda adalah lebih perlahan, terdapat beberapa ujian yang diguna oleh pakar psikologi untuk menilai perkembangan intelektual (IQ) anak anda.

Ujian-ujian yang lazim digunakan:

- Stanford-Binet

- Ujian kecerdasan minda Peabody Picture

- Ujian kosa kata Bayley Scales of

Kecerdasan diwarisi?

Ramai beranggapan bahawa otak dan seterusnya, kecerdasan ditentukan oleh genetik. Namun, kajian baru menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh persekitaran semasa zaman kanak-kanaknya seperti pemakanan, perubatan, emosi, dan sokongan intelektual yang optimum. Otak seseorang kanak-kanak mudah terpengaruh dengan pengalaman yang berbeza dan seterusnya menyebabkan perkembangan otak dalam cara yang berbeza. Apabila anak membesar, keupayaannya untuk menguasai bahasa, menyelesaikan masalah, dan berinteraksi dengan orang lain dipengaruhi oleh pengalamannya semasa dia masih kecil. Pengalaman yang baik akan membantu perkembangan otak yang baik, sementara pengabaian dan penderaan akan menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung kepada pelbagai masalah seperti IQ yang lebih rendah ataupun gangguan emosi.

Ibu bapa adalah penjaga anak, justeru mereka merupakan individu utama untuk membantu anak belajar dan berkembang dari segi mental. Rangsangan dan interaksi merupakan aspek yang paling penting untuk perkembangan otak. Berikut adalah cara-cara yang boleh menggalakkan anak anda untuk belajar dan berkembang dengan baik:

1. Apabila dia mula "bercakap". Anak anda sering memerhatikan gerak-geri anda kerana dia tertarik kepada pelbagai bunyi yang dihasilkan oleh peti suara anda. Balas bunyi-bunyian anak anda dan berikan senyuman, bercakap dengannya dan namakan objek yang anda pegang atau biasa dimain olehnya. Membaca bersama juga membantu anak mempelajari kepentingan bertutur, walaupun dia masih tidak faham atau tidak dapat mengulangi perkataan-perkataan tersebut.

2. Apabila dia mula menunjukkan minat terhadap apa yang dilihat. Anak anda ingin tahu tentang perkara di sekitarnya. Galakkan sifat ingin tahu anak dan membantu merangsangkan pemikiran dan pembelajarannya dengan menggunakan alat permainan seperti blok yang berbeza bentuk dan warna. Tunjukkan gambar-gambar haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran atau kenderaan kepadanya. Anda juga boleh menceritakan kepadanya tentang perkara yang dialami oleh anda setiap hari.

3. Apabila dia mula bergerak. Anda boleh membantu merangsang sensasi sentuhannya menggunakan objek atau alat permainan yang berlainan tekstur, saiz dan bentuk. Anda juga boleh menggantung alat mainan bergerak pada katil bayi untuk membantu memperkembangkan kemahiran motor anak dengan menggalakkan pergerakan tangan dan kakinya semasa dia cuba menyentuh objek tersebut. Apabila dia mencapai umur 13-17 bulan, anda boleh memegang tangannya dan berjalan bersama-sama sambil membenarkan dia menerokai alam sekelilingnya. Cuba memberi peluang kepadanya untuk berjalan sendiri, tetapi anda harus memastikan persekitaran tersebut adalah selamat untuk berbuat demikian.

Pemakanan

Selain daripada rangsangan dan interaksi, pemakanan yang sihat adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak. Sesetengah nutrien seperti phospholipids, omega 3 dan omega 6, docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) penting untuk perkembangan otak yang baik. Nutrien-nutrien ini terdapat dalam soya, telur, ikan berlemak seperti tuna dan sardin, serta walnut.

Taurine, choline dan zat besi adalah micronutrien yang penting untuk menyambung rangkaian antara sel-sel otak. Sumber makanan yang mengandungi nutrien termasuk kekacang, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, brokoli, kuning telur dan daging.

Nutrien lain yang turut penting seperti antioksidan (lutein, selenium, vitamin A, C dan E) dan zink, adalah berfungsi untuk melindungi sel-sel otak. Anda boleh memperolehi nutrien ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran, teh, prun dan juga keju.

Jangan lupa anak anda perlu makan pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan. Produk susu adalah sumber makanan yang baik yang mengandungi pelbagai nutrien. Ibu harus mendapatkan formula susu yang telah dan diuji secara saintifik di kalangan kanak-kanak.

Profesor Dr. Norimah A. Karim ialah pakar pemakanan dan Woo Pei Jun merupakan pensyarah serta pakar psikologi perkembangan.

Rencana ini adalah sumbangan Program Pemakanan di bawah Program Asuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia, dan disokong oleh geran pendidikan daripada Abbott Nutrition International. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web www.mypositiveparenting.org.

Rabu, 19 Oktober 2011

TV tak sesuai untuk budak

2011/10/19

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak. Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya. Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik.

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP

Jumaat, 9 September 2011

Bersihkah Zon V anda?

Oleh NURUL IZZA ROSLY
Sumber : KOSMO




TANYALAH apa sahaja mengenai kecantikan, fesyen, kosmetik kepada anak gadis zaman sekarang ini, pasti lancar sahaja mulut mungil mereka menjawab mengenai trend, fesyen dan jenama terkini yang sesuai dengan jiwa remaja mereka.

Jangan terperanjat jika mendapati mereka mempunyai pengetahuan lebih luas daripada anda selaku ibu.

Namun, di sebalik keghairahan mereka terhadap penjagaan dan penampilan diri, masih ramai di antara mereka masih kurang menitikberatkan mengenai penjagaan dan kebersihan zon wanita atau Zon V.

Penjagaan Zon V adalah amat penting dalam kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan seseorang wanita.

“Jika aspek kesihatan wanita ini diabaikan, jangkitan dan penyakit mungkin terjadi. Ini boleh menjejaskan kesihatan dan juga keyakinan diri. Anda harus kerap memeriksa Zon V anda untuk memastikan ia sihat. Kita selaku wanita perlu selalu mengawasi tubuh masing-masing,” kata Pakar Sakit Puan, Dr. Premitha Damodaran.

Tambahnya, simptom seperti bau atau bendalir yang kurang menyenangkan, haid tidak teratur atau pendarahan antara kitaran haid adalah tanda amaran.

“Jika ia berlaku, anda sepatutnya segera berjumpa dengan doktor untuk menentukan sama ada rawatan diperlukan. Jangan ambil mudah atau terlalu membersihkan Zon V anda. Sentiasa peka dan jangan gunakan produk cucian atau wangian yang boleh merosakkan keseimbangan semula jadi Zon V anda,” ujarnya.

Jelas Premitha, minyak dan bendalir yang berada secara semula jadi dalam Zon V membantu melindungi dan memelihara kesihatan.

Oleh yang demikian, pembersihan yang melampau akan menghapuskan perlindungan tersebut dan menjadikan Zon V mudah mendapat jangkitan.

“Apa yang diperlukan untuk mengekalkan kebersihan Zon V? Anda hanya perlu membersihkannya menggunakan air suam (bukan air panas) dan sabun lembut di sekeliling Zon V jika perlu.

“Lindungi Zon V anda dengan membenarkan ia bernafas dengan memakai seluar dalam kain kapas dan tukar tuala wanita atau tampon secara kerap ketika haid,” jelasnya.

Selain itu, gunakan liner setiap hari untuk mengekalkan kekeringan dan kesegaran Zon V sepanjang masa tetapi pastikan anda menukarnya sekurang-kurangnya setiap empat jam!

Premitha memberitahu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan pada persekitaran Zon V iaitu pengambilan antibiotik, kehamilan, pil hormon, perubahan hormon, diabetes, stres, hubungan seks, bertukar-tukar pasangan, cuaca panas dan lembap serta penggunaan pencuci vagina.

Katanya, pengeluaran cecair vagina yang normal biasanya berwarna putih, tiada bau, tidak gatal, basah, cair dan banyak ketika ovulasi atau pekat pada waktu lain.

“Pengeluaran cecair yang tidak normal tidak semestinya kerana jangkitan tetapi, mungkin disebabkan kerengsaan daripada penggunaan cecair pencuci vagina, garam mandian, air laut, peluh dan kelembapan, alergi kepada kondom lateks, terlupa mengeluarkan tampon dan kekeringan vagina.

“Setiap wanita pasti ada satu episod jangkitan kulat sepanjang kehidupan mereka. Ia bukan penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks tetapi, 12 hingga 15 peratus pasangan mungkin mengalami kegatalan,” ujarnya.

Menurutnya, jangkitan kulat pada vagina berlaku kerana beberapa perkara seperti pengambilan antibiotik, diabetes, kehamilan, pengambilan alkohol berlebihan, pil perancang kehamilan, perubahan hormon, penggunaan steroid, kemerosotan sistem imunisasi, cecair pembersih vagina, berpakaian ketat, perubahan jenama pad atau tampon, cuaca yang lembap dan stres.

“Sebanyak 50 peratus daripada jangkitan vagina disebabkan oleh bakteria vaginosis (BV). BV berlaku kerana pertumbuhan lampau bakteria tertentu seperti gardnerella vaginalis pada vagina.

“BV akan menjangkiti mereka yang mengadakan hubungan seks secara kerap dan bertukar-tukar pasangan seks,” jelasnya sambil memberitahu BV tidak boleh berjangkit melalui tandas duduk, tempat tidur atau kolam renang.

Buat masa ini BV tidak menunjukkan simptom cuma seseorang itu mengeluarkan cecair kelabu keputihan dengan berbau hanyir terutamanya selepas hubungan seks, sakit ketika membuang air kecil dan kegatalan pada kawasan keliling vagina.

Bagi mengelakkan jangkitan, Premitha menyarankan wanita memastikan kawasan alat kelamin bersih dan kering, elakkan penggunaan sabun yang menyebabkan iritasi, penyembur vagina, pencuci vagina, syampu rambut, menukar tampon dan pad dengan kerap serta memakai pakaian dalam yang tidak memerangkap kelembapan.

Selain itu, seseorang perlu menukar pakaian yang kering segera selepas berenang, mengambil antibiotik apabila disarankan doktor sahaja dan jika menghidap diabetes, seseorang itu perlu mengawal paras gula dalam darah.

Premitha menasihatkan kepada mereka yang dijangkiti supaya mengelakkan aktiviti seks sehingga sembuh sepenuhnya, merawat jangkitan, menggunakan kondom, mengelap alat kelamin dari bahagian depan hingga ke belakang dan mengurangkan pengambilan roti, gula dan alkohol.

“Sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Tidak semestinya seseorang yang aktif seks akan mendapat jangkitan pada vagina.

“Anda tidak perlu membasuh secara berlebih-lebihan kawasan vagina anda kerana ia mempunyai sistem pembersihannya sendiri,” pesannya.

Rabu, 7 September 2011

Muhasabah di bulan Syawal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED
Sumber : Utusan Malaysia


SEBENARNYA, hidup ini boleh diumpamakan seperti perjalanan sebuah kereta api. Tempat perhentian hanya menjadi persinggahan sementara untuk menurunkan penumpang.

Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.

Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan akan datang. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi.

Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai tarikh luputnya yang tersendiri. Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap hamba di hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara, tentang umur, ke manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu? Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu? Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya? Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu?" (riwayat Tirmidzi).

Pepatah Melayu ada menyebut, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan yang ditempuhi.

Sekiranya ia bercanggah dengan penilaian syariah, maka lebih baik berpatah balik ke pangkal jalan. Walaupun kadang-kadang ia memerlukan pengorbanan, namun ia cukup berharga serta bernilai di sisi Allah SWT. Jangan sampai sudah terlambat, barulah hendak menyesali segalanya.

Terlalu banyak ayat yang tercatit dalam al-Quran menceritakan penyesalan orang-orang yang melakukan maksiat kepada Allah dan minta diberikan sedikit ruang masa untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal kebajikan.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:

* Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman. (as-Sajadah: 12)

* Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit lagi, maka aku dapat bersedekah dan dapat pula aku tergolong dalam orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Demikianlah digambarkan sesalan golongan yang berbuat dosa di akhirat kelak. Amat dahsyat penyesalan itu sehingga merayu dan meratap kepada Allah SWT supaya diberikan sedikit masa untuk kembali ke dunia.

Marilah sama-sama kita bersyukur di atas nikmat masa yang diberikan Allah. Gunakanlah ia sebaik mungkin kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Bulan Ramadan telah berlalu.

Namun, apakah amalan puasa yang kita jalani pada bulan tersebut di terima Allah? Atau puasa kita hanya menjadi sia-sia sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW?

Daripada Abu Hurairah Sabda Rasulullah SAW: “Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga, dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali letih kerana berjaga (riwayat Ahmad).”

Diharapkan semangat mengerjakan ibadah pada bulan tersebut dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga. Dan sepatutnya kita tidak lupa membuat kesinambungan puasa Ramadan yang lalu dengan mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini.

Abu Ajjud berkata Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikutinya dengan enam hari Syawal, maka bagaikan berpuasa sepanjang masa." (riwayat Muslim).

Justeru, marilah kita membersihkan diri dari dosa dan noda. Janganlah pada bulan Syawal yang mulia dicemari dengan maksiat kepada Allah SWT yang akan merosakkan benih-benih taqwa yang telah dituai selama sebulan.

Takwa kepada Allah SWT perlu dituai dengan penuh keimanan serta rasa syukur di atas peluang menjalani ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan Ramadan tahun hadapan akan kita temui lagi, insya-Allah.

Selasa, 16 Ogos 2011

Pemeriksaan awal cegah darah tinggi

Oleh SHOLINA OSMAN
Utusan Malaysia

Pemeriksaan kesihatan adalah adalah langkah terawal yang disifatkan paling terbaik dalam usaha mencegah serangan gejala penyakit darah tinggi.

Tetetapi ia mungkin bukan amalan di kalangan kita, tetapi lebih baik disegerakan pemeriksaan supaya apa juga penyakit terutama darah tinggi dapat dikesan di peringkat lebih awal.

Ini kerana penyakit darah tinggi yang dikenali sebagai pembunuh senyap itu biasanya tidak menunjukkan apa-apa tanda di peringkat awal.

Malah kata Pakar Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Shaharuddin Che Kadir pemeriksaan kesihatan itu menjadi lebih penting terutama kepada mereka yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.

"Contohnya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal, menghidap kencing manis, mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan sejarah darah tinggi di kalangan keluarga,'' katanya.

Beliau berkata, dengan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dapat melakukan usaha pencegahan dari awal.

"Kajian yang dilakukan di Malaysia (Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Ke 3) menunjukkan 42.6 peratus rakyat negara ini menghidap darah tinggi pada 2006,'' katanya.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 29.9 peratus semasa kajian pada 10 tahun sebelum itu.

"Kajian pada tahun 2006 juga menunjukkan hanya 36 peratus sahaja yang mengetahui mereka menghidap darah tinggi dan hanya 87.7 peratus daripada mereka yang menerima rawatan,'' katanya.

Dr. Shaharuddin berkata, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan pula tidak berada pada tahap pengawalan darah tinggi yang baik.

"Penyakit darah tinggi perlu dikawal dengan baik kerana ia sebenarnya menjadi salah satu penyebab utama serangan jantung, lemah jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang,'' katanya.

Mengenai punca penyakit darah tinggi, kata Dr. Shahruddin, lebih daripada 90 peratus tidak mempunyai penyebab yang khusus dan dipanggil essential hypertension.

"Walaubagaimanapun ia berkait rapat dengan faktor genetik, berat badan berlebihan, pemakanan yang tidak sihat dan peningkatan umur,'' katanya.

Selain itu, katanya, sebilangan kecil penyakit darah tinggi disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan dipanggil secondary hypertension.

"Antara penyebabnya ialah penyakit buah pinggang, primary hyperaldosteronism, cushing syndrome dan phaeochromocytoma," katanya.

Tambahnya, terdapat juga sebilangan pesakit mengalami tekanan darah tinggi hanya bila datang berjumpa doktor yang dinamakan white-coat hypertension atau office hypertension.

"Jika mengesyaki perkara ini biasanya doktor akan menyarankan pesakit merekod bacaan tekanan darah di rumah atau membuat pemeriksaan tekanan darah menggunakan alat merekod tekanan darah yang dipakai pesakit selama 24 jam,'' katanya.

Selain itu, katanya, pemakanan juga turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat penyakit darah tinggi.

"Kajian menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit darah tinggi dan juga menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi,'' katanya.

Tambahnya, salah satu kajian klinikal dinamakan DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) menunjukkan keberkesanan pemakanan yang sihat untuk menurunkan tekanan darah.

"Pemakanan DASH merangkumi meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan dan kekacang,'' katanya

Diet itu juga menyarankan pengurangan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu dan daging.

Selain itu, katanya, penyakit darah tinggi dan juga kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah atherosclerosis - kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.

Katanya, akibat kerosakan salur darah, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.

Walaubagaimanapun tidak semua pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi mengidap penyakit darah tinggi dan begitu juga tidak semua pesakit darah tinggi mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Tetapi kebiasaannya kedua-dua penyakit itu berkait rapat.

"Stres boleh meningkatkan tekanan darah untuk seketika tetapi kesan jangka panjang stres keatas tekanan darah masih tidak begitu jelas,'' katanya.

Begitupun pesakit darah tinggi disaran mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.

Dr. Shahruddin memberitahu, darah tinggi boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat.

Ia merangkumi mengawal berat badan di mana mesti mengekalkan berat berat badan yang ideal iaitu jisim berat badan 18.5-22.9 kg/m2.

"Jika mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes, penurunan berat badan disyorkan.

"Sebaiknya ambil makanan yang rendah lemak, mengurangkan penggunaan minyak dan santan, mengurangkan pengambilan garam dan gula dan juga meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin,'' katanya.

Rabu, 10 Ogos 2011

7 cara rapat hubungan ibu bapa, anak

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


RAMAI ibu bapa mengakui mereka sibuk di pejabat sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak.

Namun berapa lama masa dihabiskan setiap hari bersama mereka?

Sangat penting untuk mencipta masa berkualiti bersama anak-anak. Ini kerana mereka akan membesar sebagai remaja dan ketika ini sekiranya ibu bapa bapa menjarakkan hubungan, dikhuatiri anak-anak mula menjauhkan diri daripada mereka.

Merapatkan semula hubungan kekeluargaan ini memang sesuatu yang sukar.

Menurut perunding keluarga yang juga pemilik laman pendidikan www.smartparents.com.my, Zaid Mohamad, walau sesibuk mana sekalipun, ibu bapa harus meluangkan masa dengan anak-anak. Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan bagi merapatkan perhubungan antaranya:

•Rancang percutian dalam masa tiga bulan akan datang. Dapatkan pandangan dan persetujuan daripada setiap ahli keluarga. Semak menerusi Internet destinasi yang ingin dituju kemudian minta anak-anak merancang aktiviti bergantung kepada jadual perjalanan menerusi laman sesawang itu.


•Rancang aktiviti keluarga pada hujung minggu. Ia mungkin aktiviti di luar seperti berkelah, menunggang basikal, berjoging, berkebun atau aktiviti dalaman seperti bermain boling, berkaraoke atau menonton wayang bersama keluarga. Apa saja yang dilakukan seharusnya dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.


•Senaraikan beberapa lokasi yang boleh dituju dalam kembara sehari. Pastikan setiap ahli keluarga mengambil bahagian dalam perbincangan untuk menentukan lokasi itu dan aktiviti yang akan dilakukan. Jadikan acara ini sebagai aktiviti bulanan. Ketika dalam perjalanan ambil gambar sebanyak mungkin kemudian kongsi bersama keluarga apabila pulang daripada destinasi nanti. Pastinya semua akan ketawa apabila melihat koleksi gambar yang melucukan ini.


•Sekiranya berhajat melakukan aktiviti perkhemahan, sebaiknya kumpulkan seluruh ahli keluarga yang ingin berkhemah bersama. Bincang lokasi yang ingin dituju kemudian sediakan peralatan perkhemahan seperti khemah, beg tidur, makanan dan keperluan memasak. Rancang aktiviti bersesuaian untuk dewasa dan kanak-kanak supaya masing-masing dapat merasai keseronokannya.


•Perkenalkan malam tayangan gambar di rumah dan pastikan setiap ahli keluarga menyertainya. Pilih filem yang ingin ditonton kemudian beli video cakera padat asli agar memberi pengajaran yang baik kepada anak-anak. Pastikan anda menggunakan cahaya lampu yang malap seperti di panggung wayang kemudian sediakan makanan ringan dan minuman supaya anak-anak dapat menonton dengan selesa.


•Sekiranya tiada jamuan ulang tahun hari lahir dalam masa terdekat, apa salahnya mengadakan jamuan sekadar suka-suka untuk meraikannya bersama keluarga. Anda boleh menjemput rakan anak anda dan menyediakan makanan dan minuman ringkas. Pada masa ini, mereka boleh saling bertukar pendapat sekali gus merapatkan hubungan sesama keluarga.


•Bilakah kali terakhir anda bermain permainan dengan anak-anak? Jika sudah terlalu lama tidak melakukannya apa kata buka kembali Monopoly, congkak, teka silang kata atau bermain kad dan tunjukkan kebolehan anda bermain bersama mereka.

Tetapkan peraturan siapa yang kalah akan diminta menghantar sarapan pagi ke bilik tidur. Apabila ini berlaku suasana pasti menjadi kelam-kabut kerana masing-masing akan menunjukkan bakat dan bermain dengan bersungguh-sungguh. Ketika ini, terserlah keceriaan pada wajah masing-masing, tambah pula apabila ibu menyediakan makanan dan minuman ketika perlawanan berlangsung.

Jumaat, 29 Julai 2011

Tingkat ibadat sunat persiapan hadapi Ramadan

Oleh Amran Zakaria
2011/07/29


Ummah kena bersedia laksana perintah wajib elak menyesal

BERDEPAN suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa kehadiran Ramadan beberapa hari lagi. Saat itu memang dinanti kerana Ramadan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya.

Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan pada bulan mulia yang penuh rahmat. Sesungguhnya Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang sudah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ada dua perkara perlu diberi perhatian sebelum Ramadan. Pertama, persiapan menyambut dan mengimarahkannya. Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya.

Apabila tidak bersedia dibimbangi kita meremehkan perintah wajib. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan menjalankan kewajipan hingga tersekat keredaan Allah atas kelalaian sendiri.

Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah ganjaran berganda yang diperuntukkan. Bagaimanapun, dugaan tetap menanti.

Sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan, sebaiknya membuat persiapan awal supaya tidak ada cacat celanya yang membawa kepada penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.
Melakukan puasa sunat sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada Syaaban.

Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Ramadan juga menguji ketaatan sekali gus membiasakan diri dengan amal ibadah sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Sehubungan itu, mukmin digalakkan memperbanyakkan iktikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah.

Segala virus penyakit mazmumah yang membiak dalam hati seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan iktikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturahim kerana ia tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musa bin Imran pernah berkata: Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan-Mu? Allah menjawab: Barang siapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)


Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malah akan mendapat kelebihan di akhirat. Apa yang lebih penting, sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan menyejukkan jiwa untuk melaksanakan solat dan puasa.

Atta bin Abdullah Khurasani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berjabat tanganlah antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Hadis riwayat Muwatta Imam Malik)

Untuk menambah kerinduan dan semangat kita membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesanan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Syaaban.

Salman al-Farisi menyatakan Rasulullah SAW pernah berkhutbah pada akhir Syaaban: “Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkat, bulan yang dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajipan dan solat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang bertaqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajipan pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajipan di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajipan pada bulan lainnya. Ramadan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan penglipur lara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Sahabat berkata: Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meskipun dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).