#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, 24 April 2014

Terpisah dek tuntutan kerjaya

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 23/04/2014


RAMAI yang mengatakan perkahwinan itu suatu yang indah. Dan saya tidak menafikannya. Bahkan saya merasakan alangkah ruginya saya apabila membuat keputusan untuk berkahwin pada usia yang agak lewat. Namun saya akur. Itu semua ketentuan Allah SWT. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Dan tiba masa yang ditetapkan, termeterailah satu ikatan yang sah, sekali gus menukar status saya daripada cik kepada puan. Saya berbangga dengan ‘pangkat’ serta anugerah yang diberikan atas satu lafaz yang disaksikan oleh keluarga, rakan, jiran juga saudara mara. Alangkah indahnya waktu itu.

Bermula dari saat itu, maka ‘sauh’ diangkat untuk kami belayar menempuh lautan yang luas terbentang. Terlalu sayup mata memandang. Tatkala bayu laut menampar muka, terasa begitu tenang hati ini. Apatah lagi apabila kapal dinakhodai insan yang dipercayai - suami yang akan menentukan arah tuju kehidupan.

Namun benar kata orang. Dalam kehidupan berumah tangga, ada pasang surutnya. Andai bijak melayari layar, maka segalanya akan mudah dilalui. Namun sebaliknya…, inilah yang saya lalui kini. Suami saya terpaksa bertukar di negeri di bawah bayu. Tiada alasan untuk menolaknya kerana itu arahan yang diterima, apatah lagi ia adalah sebagai memenuhi syarat kenaikan pangkat dalam jawatan. Saya akur dengan rezeki yang Allah berikan.

Kini, telah masuk lima tahun usia hubungan jarak jauh kami. Ada kala timbul resah di hati, apakah ada insan lain yang bertakhta di hati suami. Mana tidaknya, tahun pertama bertugas di tempat yang diarahkan, agak kerap juga suami berulang alik. Paling tidak sebulan sekali. Kini setelah lima tahun, untuk balik pun agak payah. Ada sahaja alasan yang diberikan hingga pernah bertemu tiga bulan sekali. Itu pun setelah saya mendesaknya. Tapi sampai bila?

Berhenti kerja? Oh tidak! Saya tidak akan melakukannya. Ramai teman yang menasihati saya untuk tidak melakukan keputusan sedemikian. Kata mereka, andai berlaku sesuatu kepada suami, sekurang-kurangnya saya tidak kehilangan ‘tali’ untuk saya meneruskan kehidupan.

Keputusan itu, saya sendiri yang buat pilih bukan kawan atau orang lain. Kisah seorang sahabat yang kehilangan suami di usia muda serta keperitan menyara anak-anak, sedikit sebanyak meninggalkan trauma pada diri. Saya takut, jika diuji sedemikian.

Namun jauh dalam sudut hati, saya tertanya-tanya juga adakah suami masih tetap setia? Lebih-lebih lagi, kami masih belum dikurniakan anak. Apakah mungkin dia akan beralih arah?

Pernah suatu ketika, ketika dalam gurauan, nada suami agak sumbang bunyinya. "Kalau adalah ‘rumah’ kedua di sana, tidak adalah hati sering menyepi," katanya dalam senyum menjeling. Namun apabila melihat reaksi saya, suami mula memberi alasan ia satu gurauan.

Entahlah, saya tak tahu apakah keputusan yang saya ambil untuk terus bertahan dengan kerjaya sekarang, suatu keputusan yang tepat atau saya akhirnya terpaksa mengalah demi mengelak berkongsi kasih.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140423/ba_01/Terpisah-dek-tuntutan-kerjaya#ixzz2znhxSQ3x
© Utusan Melayu (M) Bhd

11 perkara elak anak degil

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/04/2014

Pertama kita perlu tahu apakah yang dinamakan degil. Degil ialah bila seseorang itu tidak mahu melakukan apa yang kita minta dia lakukan atau membuat apa yang kita tidak mahu dia lakukan.

Kenapakah ini berlaku? Ini adalah kerana kedua-dua pihak mempunyai gambaran yang berlainan mengenai perkara yang menjadi isu.

Sehinggalah gambaran di minda itu boleh menjadi sama atau hampir sama, maka degil boleh berlaku lagi.

Persoalannya, bagaimana hendak menyamakan gambar di minda itu?

Jawapannya ialah mempengaruhi. Bagaimana pula hendak mempengaruhi? Jawapannya, membina perhubungan rapat atau rapport. Apabila ada perhubungan rapat, apa pun mudah diterima.

Dalam NLP kata-kata ini sering dinyatakan; "Resistance is an indication of a lack of rapport" (Tak mendengar kata, degil, adalah petunjuk bahawa kurangnya hubungan rapat.)

Bila anda sudah faham ini, maka anda boleh memikirkan apakah yang menjadikan hubungan rapat 'rapport' dengan anak anda terjejas?

Ibu beri 11 perkara besar:

1-Hati anak selalu dilukai sehingga dia tidak merasakan kasih anda. Bila anak dapat adik, perasaannya dibiarkan. Bila marah, tiada penjelasan yang memuaskan. Anak akan degil bila hatinya menjadi 'Closed Heart'. ini banyak berlaku kepada remaja.

2-Bergaduh suami isteri di hadapan anak, sehinggakan anak tidak nampak contoh teladan yang baik dari anda.

3-Mungkir janji dan tidak benar-benar meminta maaf kerana tidak dapat menunaikan janji.

4-Menyuruh dan mengarah tetapi sendiri tidak melakukan. Marah anak bercakap kasar, tetapi sendiri bercakap kasar dengan anak.

5-Tidak mendengar apakah pendapat anak itu. Walaupun anda tidak setuju, dengarlah dahulu.

6-Terlampau mengikut kehendak anak, sehinggakan anak menjadi tuan. Janganlah menjadi ibu bapa yang lemah dan membiakan sahaja anak-anak memanjat kepala, tetapi tidak perlu juga untuk garang dan keras. Pegang teraju kepimpinan anda. Jadilah pengasih dan tegas.

7-Tidak mempunyai ilmu dan skil berkomunikasi berkesan yang menyebabkan payah untuk menjual idea kepada anak lalu anak tidak mengikut kata. Apabila tiada skil dan ilmu, maka ibu bapa menggunakan arah dan perintah. Ini menjadikan anak menjadi bertambah degil. Sedarilah ibu bapa kepimpinan di dalam korporat pun sudah berubah. Bos-bos yang asyik memerintah dan mengarah dibenci oleh anak buah. Corak kepimpinan sudah berubah.

8-Selalu mengatakan kepada anak dia degil dan selalu sangat bersangka bahawa dia degil. Ini menjadi doa. Jagalah mulut dan lidah. Jangan mudah mengeluarkan kata-kata kesat yang menjadi doa yang terlafaz.

9-Anak tidak dididik untuk menghormati ibu bapa. Atau cara menyuruh anak menghormati ibu bapa adalah dengan kasar dan bukan dengan penuh kesabaran dan kasih-sayang. Maka anak tidak menghormati ibu bapa. Sebab hormat adalah sesuatu yang diberi bukan boleh dipaksa.

10-Anak tidak dididik dengan agama. Bila tiada agama, tiadalah tiang untuk berpaut. Nilai murni pun akan mengikut apa yang sempat sahaja.

11-Elakkan menggunakan bahasa yang anak tidak faham. Gunalah bahasa yang mudah mereka fahami. Bila berkomunikasi dengan anak, janganlah hendak menunjuk anda hebat. Tunjukan bahawa bila dia melakukan saranan baik anda kehebatannya akan lebih meningkat.

Ingatlah kuncinya, ialah hubungan rapat. Apabila anda membina hubungan anda dengan anak, tiada lagi perkataan degil dalam kamus anda mengenai anak anda.

Sedarilah kepentingan membina perhubungan kebal dengan anak-anak agar kesejahteraan keluarga terkawal. Bila keluarga sejahtera, rezeki membuak-buak datangnya.

Diatas kesedaran itulah Ibu akan mengadakan Seminar Ibu bapa Penyayang, Anak-anak Cemerlang di KGPA pada 20hb April ini. Jika ingin mengetahui lebih sila ke FB Jelajah Kasih Bersama Ibu Rose https://www.facebook.com/ProjekJelajahKasih atau terus hubungi 0126801774.