#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 21 Disember 2010

Gangguan hubungan intim

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Kes 1

SAYA seorang gadis berusia 21 tahun. Saya sering berasa gatal-gatal pada bahagian bibir dalam dan luar vagina dan setiap kali ia gatal, saya akan menggaru bahagian tersebut sehingga keluar pepejal putih seperti daki dengan banyaknya jika saya menggaru untuk kali pertama.

Jika saya menggaru kali kedua, kuantitinya akan menjadi sedikit. Selepas itu saya akan berasa lega kerana tiada kegatalan lagi.

Saya juga pernah menggaru sehingga berdarah dan luka. Jika saya ingin membuang air kecil, bahagian berkenaan juga akan terasa pedih.

Rasa kegatalan itu berlaku dengan sangat kerap dan bahagian vagina saya juga kerap mengeluarkan bau yang menyengat.

Warna keputihan saya pula menjadi kuning pekat dan keluar dalam kuantiti yang tidak seimbang, kadangkala banyak, kadangkala sikit tetapi tidak pernah pula berwarna hijau.

Kes 2

Saya berusia 22 tahun. Masalah yang saya hadapi sekarang adalah keputihan yang berlebihan sehinggakan saya tidak mampu menahan bau keputihan tersebut.

Saya menghadapi masalah ini sejak saya belum datang haid lagi. Setelah datang haid, masalah ini semakin menjadi-jadi sehinggakan saya segan berada berhampiran dengan kawan-kawan, sama ada kawan lelaki mahupun perempuan.

Kadangkala saya sendiri berasa rimas dan tidak selesa dengan masalah ini. Macam-macam jenama pencuci sulit wanita telah saya cuba tapi masalah sama tetap berterusan.

Kadangkala, bau keputihan saya menjadi lebih teruk kerana salah memilih pencuci sulit wanita. Apa yang patut saya lakukan untuk mengurangkan masalah ini?

Kes 3

Saya seorang wanita yang telah pun berumah tangga dan sering mengalami lelehan cecair putih pada faraj. Apa yang membimbangkan saya, masalah ini telah menyebabkan ketidakselesaan melakukan hubungan intim bersama suami saya.

Keputihan merupakan lelehan daripada vagina yang keluar daripada kuantiti biasa (banyak). Berdasarkan beberapa kes ini, kita dapati masalah ini bukan sahaja dialami oleh wanita yang sudah berkahwin, bahkan gadis remaja turut mengalaminya.

Lelehan ini merupakan perkara normal yang mungkin dialami kebanyakan wanita tetapi jika ia berlaku luar daripada jangkaan, masalah ini menganggu kehidupan seharian.

Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai, Ampang, Selangor, Dr Suhaimi Isa, keputihan terdiri daripada dua jenis iaitu fisiologi (normal) dan patologi (tidak normal).

“Fisiologi asalnya daripada pintu rahim. Setiap bulan ia akan berlaku secara semula jadi dan kuantiti yang sama. Keputihan fisiologi selalunya berkaitan kesuburan dan bagi mereka yang subur, keputihan selalunya banyak. Perlu diingat, keputihan berlaku pada tempoh seminggu sebelum haid dan berlaku setiap bulan,” ujarnya.

Keputihan normal ini berwarna putih dan jernih. Kebiasaannya lelehan ini tidak terlalu gatal tetapi mempunyai tanda-tanda seperti lembap, alahan dan tidak selesa.

Berbeza dengan keputihan fisiologi, keputihan patologi mempunyai sebab dan tidak mempunyai waktu yang tetap meleleh.

“Keputihan ini berwarna putih, kuning, berlendir, berbuih, bentuk seperti yogurt dan sangat gatal.

Ada kes yang lebih kronik apabila ia berbau ikan busuk dan menganggu hubungan seks atau intim suami dan isteri.

Jangkitan bakteria vaginosis

Ia sama seperti jangkitan kulat tetapi keputihan selalunya berwarna putih atau kekuningan dan berbau seperti bau ikan.

Jangkitan bakteria trikomoniasis

Ia selalunya berbuih seperti sabun dan berwarna coklat kehijauan. Dalam sesetengah kes, wanita yang mengalami jangkitan ini akan berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.

Kedua-dua jangkitan ini boleh dirawat dengan antibiotik.


Jangkitan candiasis

Ia merupakan kulat yang berbentuk seperti yogurt dan sangat gatal. Kebiasaannya, ia berpunca daripada najis bahagian dubur. Keputihan jenis candiasis sering dialami oleh wanita yang mengandung, mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pengambilan antibiotik dalam tempoh yang lama dan penghidap diabetes.

“Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang mempunyai masalah keputihan bermasalah pada permukaan pintu atau pangkal rahim. Ini disebabkan pintu rahim luka dan menyebabkan lelehan lendir terhasil. Selain itu, ada segolongan wanita mempunyai tabiat mencuci jauh ke dalam vagina dengan sabun cucian khas. Tabiat itu tidak baik kerana ia menggalakkan lebih banyak bakteria atau organisma lain untuk hidup dalam vagina.

Ada kuman ‘lactobacilli’ dalam vagina yang menghasilkan asid tinggi. Keadaan ‘asidik’ atau kehadiran asid yang tinggi dalam vagina menyukarkan kuman hidup. Namun, perbuatan mencuci sehingga jauh ke dalam vagina boleh membunuh kuman-kuman ‘lactobacvilli’ yang baik ini,” ujarnya.

Tanda tidak subur?

Berbicara tentang masalah mandul, seseorang wanita yang mengalami keputihan tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan masalah kemandulan atau tidak subur.

Dr. Suhaimi memberitahu, mungkin ada benarnya jika bakteria ini dapat memasuki pelvis yang mana saluran felopio (fallopian tube) dijangkiti kuman dan tersumbat. Namun, ia berlaku secara tidak langsung.

“Berdasarkan pengalaman saya, keputihan tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan punca mandul. Namun, ada kes pesakit saya yang mengalami masalah mengandung luar rahim. Puncanya tidak jelas tetapi ia mungkin berkaitan. Oleh itu, setiap wanita yang merasakan mereka mengalami masalah kesuburan atau keputihan, perlu membuat pemeriksaan doktor segera,” ujarnya.

Justeru itu, setiap wanita digalakkan melakukan pemeriksaan calitan Pap Smear bagi mengambil contoh keputihan untuk kajian di makmal yang akan memperincikan jenis kuman serta bagaimana untuk diubati. Puncanya biasanya daripada ‘candidiasis’, ‘vaginosis bacterial’ atau ‘trikomoniasis’.

Dalam pada itu, ramai yang tidak mengetahui, setiap rawatan yang dilakukan oleh wanita yang sudah berkahwin untuk mengatasi masalah ini, pasangan mereka juga perlu menjalani rawatan yang sama.

Kebiasaannya, suami tidak akan berasa selesa jika faraj isteri mereka berbau busuk. Ini secara tidak langsung menganggu hubungan intim mereka dan menjejaskan perkahwinan.

Komplikasi

Keputihan yang berpunca daripada jangkitan chlamydia atau gonorrhea yang keluar dengan banyak, boleh menjangkiti bahagian atas reproduktif wanita.

Jangkitan gonorrhea dan chlamydia agak berbahaya kerana ia boleh menyebabkan tiub fallopian dan peranakan wanita musnah. Keadaan ini juga boleh mengakibatkan seseorang wanita mandul.

Penghasilan yang terlalu banyak ini boleh merebak masuk ke dalam bahagian sistem reproduktif wanita.

Apabila masalah ini merebak hingga ke bahagian atas reproduktif wanita, biasanya wanita terbabit akan mengalami demam, sakit perut berserta keputihan yang busuk, berubah warna dan gatal.

Sehubungan itu, wanita terbabit dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan secepat mungkin, kerana ada kalanya terdapat nanah pada bahagian yang terkena jangkitan.

Pada masa yang sama, keadaan ini boleh memudaratkan wanita berkenaan.

Sekiranya wanita terbabit mengalami sakit perut serta demam, terdapat kemungkinan mereka telah mendapat jangkitan pada pelvik.

Jangkitan ini biasanya melibatkan rahim, tiub fallopian dan ovari yang dikenali sebagai pelvic inflammatory disease (PID).

Menurut Dr. Suhaimi, ada kalanya masalah keputihan ini sukar dirawat kerana ia berulang. Masalah ini bertambah lebih sukar sekiranya:

* Suami wanita terbabit tidak dirawat

* Tidak mengamalkan ubat seperti yang dijadualkan

* Tabiat suka bertukar-tukar pasangan seksual

Rawatan

* Rawatan masalah keputihan ini bergantung kepada puncanya sama ada diberi antibiotik atau ubat-ubatan seperti pil yang dimakan, pessary yang dimasukkan ke dalam faraj dan ubat cuci.

* Menjaga kebersihan

* Memakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas bagi membolehkan peluh diserap dengan baik

* Tidak bertukar-tukar pasangan seksual.

Individu berisiko

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang wanita untuk mendapat keputihan seperti:

* Penggunaan ubat antibiotik dalam jangka masa yang panjang

* Menggunakan pakaian yang ketat terutamanya pakaian dalam yang diperbuat bukan dari kain kapas

* Menggunakan pakaian yang lembap dan basah Pesakit diabetes

* Pesakit leukemia atau AIDS - keadaan ini mengakibatkan sistem pertahanan badan musnah

* Pil perancang keluarga

* Wanita hamil

* Wanita menopaus

* Mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual

Pulih hormon untuk kurus

NORIAH dan Razana merupakan dua sahabat karib bersaiz XXL. Kedua-duanya mempunyai berat badan mencecah 100 kilogram. Meski pun begitu mereka sangat ceria dan disukai ramai. Kedua-dua sahabat mempunyai hobi dan kegemaran yang sama. Oleh itu mereka serasi. Sebagaimana pengidap obesiti yang lain wajah mereka bulat dan montel kelihatan serupa seperti adik beradik.

Pengidap obesiti tampak serupa kerana mereka mengalami masalah pengecilan tulang pada rahang dan soket mata. Oleh itu mata tampak kecil dan muka tampak berisi. Apabila mereka kurus bentuk tulang muka kembali normal dan mereka akan kelihatan jauh lebih jelita.

Noriah dan Razana sepakat untuk menguruskan badan. Mereka menjalani program berdiet dan bersenam. Hasilnya mereka berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram dalam tempoh tiga bulan. Selepas itu berat badan mereka tidak berganjak meskipun mereka mengamalkan diet yang ketat dan bersenam di waktu petang. Oleh kerana kecewa dengan perubahan yang sedikit mereka mengunjungi pusat pelangsingan dan membayar kos sebanyak RM5,000 setiap seorang. Setelah beberapa sesi Razana menunjukkan penurunan yang sangat baik namun Noriah pula sebaliknya. Noriah kecewa kerana tidak mendapat hasil sebagaimana Rozana.

Setelah selesai tempoh rawatan Rozana berubah menjadi seorang gadis ayu yang berbadan cantik. Berat badannya turun kepada 69 kg. Wajahnya juga tampak lebih manis dan jelita disebabkan perubahan pada struktur wajah manakala Noriah gagal melaksanakan impiannya. Noriah berasa tertekan dan kecewa dengan keadaan itu. Rakan-rakan mereka memuji Razana yang semakin hari semakin langsing dan cantik. Noriah akhirnya menyalahkan dirinya sendiri. Dia menganggap tubuhnya gemuk kerana tidak mengikuti diet yang ketat sebagaimana Razana. Dia juga merasakan dirinya ditakdirkan menjadi gemuk dan tidak cantik. Beliau tertanya-tanya di dalam hati di manakah silapnya sehingga menjadi punca kegagalan. Bolehkah Noriah juga menjadi cantik dan langsing seperti Razana?

Sebenarnya Noriah dan Razana mengikuti program yang serupa. Pemakanan mereka juga hampir serupa. Faktor yang menyebabkan Razana berjaya ialah Razana mempunyai enzim dan hormon pembakar lemak yang tinggi dalam tubuhnya. Bagi Noriah pula, jentera pembakar lemaknya rosak dan belum pulih sepenuhnya sebab itu beliau gagal menurunkan berat badan. Razana sebenarnya bernasib baik kerana dapat memulihkan jentera penting iaitu kelenjar hormon tiroid yang menjadi penentu kejayaannya. Kejayaan Razana tidak ada kena mengena dengan program atau jenis senaman kerana kedua-dua sahabat ini mengamalkan amalan yang serupa untuk kurus.

Hormon yang penting bagi membakar lemak adalah hormon tiroid. Kelenjar tiroid berada di leher. Ia merupakan sebuah kelenjar kecil berbentuk rama-rama. Tanpa kelenjar ini manusia tidak dapat menjalani kehidupan dengan sihat. Hormon tiroid begitu penting bagi fungsi tubuh badan kita. Sesetengah makanan boleh merosakkan hormon tiroid antaranya pewarna makanan, ubat-ubatan, pengawet makanan dan makanan yang diproses. Sinar X juga merosakkan hormon kita.

Kerosakan hormon tiroid boleh dibaiki namun kadar pembaik pulihnya berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain. Bagi mereka yang bernasib baik, apabila membuat perubahan dalam jadual pemakanan, mengamalkan senaman dan menjalani terapi berlaku baik pulih pada hormon tiroid mereka.

Mereka akan mendapat kesihatan yang lebih baik. Tubuh mereka akan mula membakar lemak dan berjaya menjadi kurus serta cantik. Mereka juga akan berjaya mengekalkan berat badan yang ideal kerana hormon tiroid yang tinggi menghalang lemak daripada berkumpul.

Kekurangan hormon tiroid menyebabkan cecair berupa lendir berkumpul di bawah kulit menjadikan kulit kelihatan merening dan tidak cerah.

Tubuh juga berbau kerana kesan inflamasi atau radang pada kulit. Kulit mereka biasanya tampak kusam dan seri wajah hilang.

Dalam senario Noriah beliau tidak dapat menurunkan berat badan disebabkan hormon tiroidnya yang rendah. Hormon yang rosak tidak dapat sembuh membuatkan beliau tidak dapat menjadi kurus. Untuk membaiki keadaan itu beliau memerlukan rawatan yang spesifik. Saiz kelenjar hormon berbeza-beza dalam tubuh kita. Jika kita tengok saiz hidung, mulut, tangan dan bibir manusia semuanya berbeza. Begitu jugalah dengan kelenjar di dalam badan. Saiz dan bentuknya berbeza dan itulah yang menjadi penentu terhadap kadar keaktifannya.

Bagi saya mereka yang obes dan berjaya menurunkan berat badan dengan sedikit usaha berdiet dan bersenam merupakan golongan yang bernasib baik kerana mereka memiliki kelenjar hormon yang dapat dipulihkan dengan cepat. Bagaimana pula dengan kebanyakan yang tidak berjaya. Dalam pertandingan The Biggest Looser kita menyaksikan peserta disajikan makanan yang sama dan senaman yang sama namun kadar penurunan tetap tidak sama.

Pemeriksaan tahap hormon di dalam badan adalah penting bagi mereka yang sukar menurunkan berat badan. Pemeriksaan darah amat penting bagi melihat jumlah hormon. Hormon tiroid perlu berada pada tahap yang tertinggi (7 -8) bagi membolehkan lemak dibakar dengan berkesan. Di Marissa Estetik saya memberikan rawatan enzim yang akan mempercepatkan lagi proses metabolik berlangsung. Peningkatan kadar metabolik memberikan hasil yang menakjubkan pada tubuh badan kita. Seseorang akan mengalami penurunan berat badan, tenaga yang lebih baik dan mereka juga kembali tenang dan gembira.

Saya bertemu Noriah yang sudah pun menurunkan sepuluh kilogram setelah sebulan menjalani rawatan di klinik saya. Kini Noriah faham bahawa masalah yang dihadapinya berkaitan dengan metabolik yang disebabkan oleh kekurangan hormon dan enzim di dalam badan. Dia juga lebih cantik dan tampak berbeza sekali kerana pulih daripada masalah obesiti.