#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 31 Disember 2013

Cabaran dunia siber

Oleh Noor Atiqah Sulaiman
2013/12/31
Berita Harian

Pendedahan kepada gejala negatif jejas emosi kanak-kanak, undang pelbagai masalah sosial

Institusi keluarga hari ini sering berdepan pelbagai cabaran yang dikaitkan dengan masalah sosial seperti keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, jenayah berat seperti rogol, dan terbaru, melalui dunia siber.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi lain yang berkaitan, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), masalah ini saban hari dilihat semakin membimbangkan.

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan laporan yang dikeluarkan CyberSecurity Malaysia yang menyatakan sebanyak 5,592 insiden berkaitan keselamatan siber dilaporkan kepada pusat bantuan Cyber999.

Daripada analisa berkenaan, separuh tahun pertama 2013 mendapati, jenayah penipuan adalah yang banyak dilaporkan, diikuti pencerobohan (hack) serta gangguan siber.

Gejala negatif

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail, berkata apa yang lebih membimbangkan adalah pendedahan kanak-kanak kepada gejala negatif yang dipaparkan dalam dunia siber.
"Norton Online Family Report turut melaporkan kanak-kanak di Malaysia menghabiskan purata 19 jam seminggu melayari internet, sedangkan ibu bapa mereka beranggapan kanak-kanak cuma menggunakan internet kira-kira 11 jam seminggu.

"Selain itu, laporan berkenaan juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang diakses kanak-kanak dalam internet, manakala sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini pernah terdedah dengan pengalaman negatif secara atas talian.

"Secara tidak langsung, senario ini memberikan impak negatif terhadap perkembangan emosi kanak-kanak," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Remaja Perkasa Harapan Bangsa yang diadakan di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di sini, baru-baru ini.

Seminar berkenaan bagi membantu memperkasakan dan melindungi keselamatan ahli keluarga, selain bekerjasama mengatasi masalah sosial dan mencegah jenayah di kawasan setempat.


Lahirkan remaja berpengetahuan

Dr Siti Norlasiah berkata, seminar berkenaan juga mampu melahirkan remaja yang berpengetahuan serta mempunyai sikap positif.

"Dengan komitmen yang tinggi daripada peserta seminar ini, saya yakin mereka (remaja) akan menjadi penggerak ke arah transformasi minda dalam kalangan masyarakat dan membantu kerajaan mengelakkan generasi muda agar tidak terus menjadi mangsa jenayah," katanya.

Bagi Norlela Abd Hamid, 43, seminar itu sangat membantu kerana cara penyampaian oleh penceramah agak berlainan serta 'kena' dengan jiwa remaja.

"Selalunya, anak-anak hanya bersemangat pada awal seminar, namun kali ini mereka masih duduk dalam tempoh yang lama serta khusyuk mendengar ceramah yang diberikan.

"Ada juga saya menegur anak-anak apabila menggunakan internet, tetapi ia seperti mencurahkan air ke daun keladi.

"Justeru, melalui seminar seperti ini, diharap dapat menyedarkan mereka mengenai kebaikan dan keburukan laman sosial," katanya.

Bosan dengan perkahwinan

ARKIB : 24/12/2013
Utusan Malaysia - Keluarga


Pernahkah anda merasakan yang perkahwinan anda semakin hambar dan tiada penyerinya. Setiap hari sekiranya bangun dari tidur, anda akan merasakan diri sangat malas dan enggan bangun pun dari katil.

Sebenarnya tidak salah anda merasai kebosanan itu memandangkan ada hari-hari berkenaan anda pasti akan merasakan kehidupan anda terasa kosong berbanding hari-hari yang berlalu. Apa yang anda perlu lakukan adalah cuba fahami mengapa terasa kebosanan itu terhadap perkahwinan atau hubungan anda dengan pasangan dan seterusnya lakukan sesuatu mengenainya.

Perkahwinan hanya akan terasa menjadi semakin hambar apabila anda sendiri tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keadaan rumah tangga anda. Apabila anda memahami faktor-faktor yang menjadikan hubungan anda dan pasangan semakin membosankan, tentunya ada beberapa perkara boleh anda pelajari agar ia tidak berulang lagi.

Berikut merupakan antara perkara-perkara yang dilakukan sepanjang perkahwinan yang menjadikan anda bosan.


1 Rutin harian yang sama

Rutin kehidupan anda sama setiap hari dengan keadaan yang membosankan. Segala-galanya boleh dijangka setiap saat, minit dan jam apa yang akan dilakukan sepanjang minggu itu.


2 Kurang teruja

Ingatkah bila kali terakhir anda berdua melakukan perkara yang mengujakan bersama-sama. Apabila hubungan telah terlalu lama sebenarnya memerlukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan keterujaan kepada hubungan berkenaan. Apa lagi lakukan sesuatu mengenainya. Pergilah bercuti atau keluar makan malam bersama. Lakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan.


3 Hubungan cinta tidak dibina berasaskan sokongan yang kukuh

Kadang-kadang apabila hubungan cinta yang dibina terlalu cepat ke jinjang pelamin tanpa mengenal dahulu keadaan seseorang itu menyebabkan pasangan cenderung berlainan pandangan dan selalu berlaku percanggahan pendapat.


4 Suka membandingkan

Kehidupan pasangan akan semakin terasa hambar sekiranya anda banyak mendengar cerita mengenai pasangan orang lain lebih baik daripada pasangan anda.


5 Ada hubungan sulit lain

Mungkin di tempat kerja anda ada merasakan beberapa kehadiran individu yang lebih rapat dengan anda itu lebih membahagiakan daripada pasangan anda di rumah.


6 Seks yang sama

Hubungan seks anda terasa membosankan apabila hanya melakukan dengan keadaan yang sama. Ayuh! tukar posisi anda cara berhadapan dengan seks yang berlainan dari biasa.


7 Kenangan yang istimewa

Cipta kenangan yang istimewa berdua atau sama-sama mengingati saat-saat manis anda dan pasangan ketika dahulu.


8 Komunikasi

Hanya berkomunikasi sekiranya perlu setelah lama berumah tangga? Usah biarkan keadaan ini berlarutan. Berkomunikasilah dengan pasangan anda sebagaimana waktu bercinta dahulu.


9 Spontan

Hidup berumah tangga pasti membosankan sekiranya seharian kehidupan anda ditentukan oleh peraturan dan perancangan. Sekali-sekala kehidupan diceriakan dengan perkara-perkara yang spontan, menimbulkan keadaan yang baharu dalam hidup.


10 Masa bersama berdua

Adakan masa anda bersama berdua tanpa diselangi oleh perasaan marah, penat atau bosan. Ciptakan kehidupan anda bersama untuk memupuk kasih sayang biarpun sesibuk mana pun anda dan pasangan.


11 Hubungan dengan rakan

Kehidupan juga akan terasa membosankan sekiranya anda tidak mempunyai hubungan langsung dengan rakan-rakan luar sebagaimana sebelum berumah tangga. Kekalkan hubungan persahabatan dan ciri-ciri kekeluargaan lain bagi memberikan rasa keseronokan kepada kehidupan anda, agar anda tidak terasa keseorangan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131224/ke_02/Bosan-dengan-perkahwinan#ixzz2p0kpYdtu
© Utusan Melayu (M) Bhd