#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, 26 November 2012

Urus kewangan peribadi

Sumber : Utusan Malaysia
Oleh SALMAN SULAIMAN
Tarikh : 25/11/2012

BUKU Ke Mana Wang Anda? hasil karya Rohani Haji Mohd Shahir merupakan sebuah buku yang berbicara khusus berkenaan dengan pengurusan kewangan peribadi termasuklah tentang perancangan kewangan, mengurus perbelanjaan, pelaburan, hutang, bagaimana untuk meningkatkan pendapatan dan juga tentang persediaan kewangan untuk masa depan. Agak sukar sebenarnya sekarang ini untuk mencari sebuah buku yang berbicara khusus tentang perancangan kewangan di pasaran. Pastinya buku ini mampu memberikan manfaat yang besar kepada sesiapa yang ingin menguruskan pendapatan dan sumber kewangannya dengan baik serta teratur.

Dalam mukadimahnya lagi Rohani menyebutkan tentang banyaknya rakyat Malaysia yang mendapatkan khidmat nasihat tentang kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana kelemahan dalam pengurusan kewangan. Antara sebabnya ialah kerana kemahiran pengurusan kewangan ini tidak ada diajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi dalam negara kita. Malah menurut beliau lagi seseorang yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi atau perakaunan pun tidak semestinya mempunyai kemahiran dalam pengurusan kewangan peribadi.

Buku ini mengandungi enam bab yang mana setiap tajuknya mampu berdiri sendiri tanpa mengikut urutan. Pembaca boleh menelaah buku ini dengan memulakannya pada mana-mana tajuk yang mereka suka tanpa perlu mengikut urutan babnya. Rohani menulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan pembaca tidak kira masyarakat awam atau golongan terpelajar.

Antara satu perkara yang sangat penting yang beliau sebutkan berkenaan pengurusan kewangan ialah tentang ada yang mengatakan bahawa berapa gaji seseorang itu dapat tidak penting tapi yang penting berapa banyak yang dia dapat simpan atau dia berbelanja dalam sebulan. Di bawah tulisan yang bertajuk Survival Dalam Keadaan Serba-serbi Mahal beliau mencatatkan tentang kenyataan tersebut, "Sekarang gaji RM2,000 sebulan boleh dianggap miskin jika tinggal di bandar raya Kuala Lumpur - betul atau tidak? Kenyataan ini ada kebenarannya jika kita merupakan keluarga yang punyai sebuah kereta, sewa rumah, ada Astro, ada kad kredit dan pembiayaan peribadi serta pinjaman pendidikan."

Buku ini dibahagikan kepada 6 bab utama dan setiap satu bab tersebut memberikan fokus kepada bahagian-bahagian tertentu yang sangat penting dalam pengurusan kewangan. Bab pertama, Merancang Kewangan yang memuatkan tulisan yang memberikan bimbingan khusus bagaimana untuk merancang kewangan. Namun yang tetap diberikan keutamaan oleh pengarang ialah berkenaan dengan hasil pendapatan yang berkat. Hal ini jelas apabila beliau memulakan bukunya dengan tulisan yang bertajuk Pendapatan Yang Berkat.

Sebagai seorang perancang kewangan Islam, tentang keberkatan sumber rezeki ini menjadi satu perkara yang sangat penting yang ditegaskan berkali-kali oleh pengarang.

Perkara penting lain yang turut dibincangkan dalam bab ini ialah tentang perlunya latihan menguruskan wang sendiri kerana menurut beliau ramai yang hanya mendapat latihan mencari wang tetapi tidak ramai yang dilatih bagaimana untuk menguruskan wang.

Dalam bab Menguruskan Perbelanjaan, pengarang berbicara tentang ringgit yang berada di poket yang juga memerlukan perancangan. Ringgit akan lebih lama dalam poket jika pemiliknya lebih pandai merancang dan berjimat.

Pelaburan Untuk Anak-anak pula menjadi judul kepada bab yang ketiga dalam buku ini. Antara perkara yang begitu penting yang dibicarakan ialah perlunya ibu bapa mengajarkan anak-anak tentang kewangan sejak mereka kecil lagi dengan menerapkan congak orang niaga kepada mereka. Satu hal lagi yang begitu penting ialah perlunya pelaburan untuk masa depan anak-anak dibuat oleh ibu bapa sejak awal lagi. Tentang perkara ini nampaknya kalangan bukan Melayu lebih mendahului orang Melayu. Kaum bukan Melayu lebih ramai yang menyediakan tabungan untuk pengajian anak-anak mereka berbanding orang Melayu. Mereka juga mesti diajar berjimat-cermat oleh ibu bapa sejak kecil lagi umpamanya dengan melatih mereka menabung.

Dalam bab 4 penulis khusus berbicara berkenaan hutang dengan judul Hidup Selesa Tanpa Hutang. Apa yang perlu diketahui berkenaan hutang ialah perlu disemak, diperhalusi dan dicatat semua hutang-hutang yang masih belum dilangsaikan. Kurang ilmu dalam pengurusan kewangan jugalah yang menjadi penyebab seseorang itu menghadapi kemelut hutang.

Bab 5 dengan judul Peluang Tingkatkan Pendapatan pula lebih menjurus kepada kaedah dan petua untuk menambah pendapatan keluarga yang turut dikongsi oleh pengarang buku ini. Pengarang buku ini memberikan beberapa cadangan dan contoh kerja sampingan yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan keluarga. Misalnya dengan menjadi ejen jualan langsung, ejen hartanah, wakil takaful atau berniaga secara kecil-kecilan di rumah juga mampu menjana pendapatan yang begitu lumayan. Malah pengarang mengemukakan satu tajuk khusus mengenai pekerjaan sebagai ejen takaful atau saham amanah Islamik yang mampu memberikan pendapatan lumayan. Tidak lupa pengarang menyebutkan tentang beberapa risiko apabila kita melabur.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121125/ke_04/Urus-kewangan-peribadi#ixzz2DK1Sj76g

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 November 2012

Didik anak adab makan, kepentingan solat

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 14/11/2012

Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah, ‘Abdullah bin Abdul Asad, anak tiri Rasulullah SAW katanya: “Aku seorang kanak-kanak dalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan, maka Rasulullah bersabda: Wahai anak, bacalah ‘Bismillah’ (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk Rasulullah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya membaca ‘Bismillah’ ketika hendak makan, makan dengan tangan kanan dan mendahului mengambil makanan yang dekat.

Utama peradaban semua aspek

Sabda Rasulullah SAW: “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka.” (Riwayat Abu Daud dengan Isnad Hasan)

Islam menitikberatkan peradaban dalam semua aspek dalam kalangan umat Islam termasuk adab makan dan sebagainya.

Kita berkewajipan mendidik anak mengenai adab dan akhlak Islam dengan memberi tunjuk ajar serta teguran apabila mereka melakukan kesilapan.

Pendidik hendaklah memberi tunjuk ajar kepada generasi muda dan kanak-kanak apabila ada kesempatan yang sesuai kerana ketika itu tunjuk ajar adalah lebih berkesan.

Hadis ini juga menunjukkan kepatuhan sahabat kepada tunjuk ajar Nabi SAW sehingga kepada kanak-kanak dalam kalangan mereka.

Begitu juga dengan kepentingan solat kerana menjadi tanggungjawab ibu bapa mengajar anak menunaikan solat. Didikan melalui contoh teladan adalah yang terbaik dan berkesan. Ibu bapa boleh mengajak anak menunaikan solat berjemaah sebagai cara membimbing mereka.
Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya, sabda Rasulullah SAW: “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka.” (Riwayat Abu Daud dengan Isnad Hasan)
Sumber: Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Jumaat, 9 November 2012

Pengantin materialistik


Sumber : Berita Harian - Famili
Tarikh : 09/11/2012
Oleh : Rashiqah Ilmi Abd Rahmim dan Saadiah Ismail

"Wang hantaran anak si polan di kampung sebelah RM15,000, bukannya pengantin perempuan tu cantik pun, tidak pula berpendidikan tinggi. Khabarnya cuma duduk di rumah, sesekali membantu ibunya berniaga kuih," katanya seorang tetamu.

Apa peliknya? Itu antara kisah wang hantaran tinggi yang biasa kita dengar. Ada kalangan mereka itu bukanlah selebriti dan anak orang kaya, tetapi wang hantaran amat mahal boleh buat kita 'menepuk dahi'.

Kebanyakan ibu bapa dan bakal pengantin zaman ini meletakkan wang hantaran berpuluh-puluh ribu. Persoalannya adakah mereka ingin mengikut trend atau ingin menjual anak?

Tidak kurang ada menetapkan wang hantaran berdasarkan latar belakang pendidikan, paras wajah dan status keluarga bakal pengantin perempuan. Jika selebriti atau anak orang kaya, isu hantaran mahal sudah menjadi perkara biasa.

Bagaimana pula bagi orang kebanyakan. Kerana terlalu bersifat materialistik, ada lelaki terpaksa gigit jari kerana tidak mampu sedia wang hantaran dan mas kahwin atau terpaksa melewatkan tarikh perkahwinan.

Dalam aspek lain, disebabkan ibu bapa demand tinggi, mereka sanggup biarkan anak jadi anak dara tua atau andartu. Tidak mustahil ramai lelaki gusar dengan isu nikah kahwin. Sebilangannya atas desakan kekasih hati, si jejaka terpaksa membuat pinjaman daripada sumber tentu atau kerana sayang, si dara sanggup berkongsi belanja wang hantaran dan majlis gilang-gemilang.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah Jabatan Agama Islam Wilayah, Mohd Radhi Abdul Ghani, berkata majlis perkahwinan sekarang agak tersasar tujuan asalnya dan terang-terangan menyalahi sunnah Nabi.

Katanya, apabila majlis perkahwinan dalamkeadaan gah, mula terbit perasaan bangga, hebat dan riak pada keluargapasanganberkenaan sekali gus fokus perkahwinan itu sudah tiada.

Memang tidak salah bagi mereka berkemampuan melakukannya, tetapi ia sudah melebihi daripada keperluan.

"Memang semula jadi sifat manusia bila cuba melakukan sesuatu, biarlah lebih daripada orang lain.

Matlamat asal perkahwinan inginkan keberkatan bertukar kepada bermegah-megah. Kesederhanaan tidak dipraktikkan.

"Perkahwinan seharusnya tidak membebankan pasangan dalam menyediakan mas kahwin dan wang hantaran. Biarlah ia munasabah dan pihak lelaki selesa dengan permintaan daripada pihak perempuan,"katanya.

Katanya, mas kahwin tidak semestinya wang ringgit, ia boleh ditukar dengan al-Quran.

"Sepotong ayat al-Quran atau hadis boleh dijadikan panduan sebagai mas kahwin. Namun, sekarang wang ringgit sebagai mas kahwin.

Wang hantaran terpulang kepada budi bicara kedua-dua pihak kerana tidak ada garis panduan menetapkan jumlah tertentu, cuma mas kahwin mengikut negeri," katanya.

Kaunselor Berdaftar yang juga Pensyarah Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaya (UM), Hushim Salleh, pula menyifatkan pengaruh persekitaran menyebabkan wang hantaran pada zaman ini terlalu tinggi.

Ibu bapa lebih bersikap individualistik dan materialistik kerana terlalu risau apa orang kata mengenai wang hantaran dan keseluruhan majlis perkahwinan berbanding memikirkan kemungkinan hal bakal ditanggung anak menantu.

"Ungkit-mengungkit juga boleh berlaku sehingga hubungan menjadi retak.

Lebih parah sebab wang hantaran boleh mencetuskan perceraian," katanya.

Bersederhana dituntut Islam, namun jika hantaran tinggi, ia memberikan perspektif berbeza dan seharusnya bukan mahu menunjuk-nunjuk.

"Jangan terlalu mengikut perasaan. Bersederhana digalakkan. Selepas berkahwin mereka laksanakan banyak tanggungjawab dan keperluan membina keluarga," katanya.
i
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman, berkata jumlah wang hantaran tidak wajar dikawal sebaliknya setiap pasangan dan ibu bapa perlu mengukur dari segi kemampuan untuk mengelak masalah kemudian hari.

Katanya, jumlah hantaran tidak menjadi penghalang jika pihak lelaki benar-benar ikhlas dan ingin mengahwini wanita idaman mereka.

"Ibu bapanya perlu mengutamakan hukum dan mengikut syariah agama. Mengapa perlu mahu berbangga dengan jumlah hantaran yang tidak munasabah seperti menjualanak.DalamIslam, mas kahwin diwajibkan, manakala wang hantaran cuma adat," katanya.

Usah bercinta dengan isteri atau suami orang

Sumber : Kosmo - Pesona



CINTA dan kasih sayang itu anugerah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka. (Maryam, ayat 96).

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan.

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini."

Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri juga bukan luar biasa.

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh.

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak.

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.

Faktor pencetus cinta yang salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri. Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita. Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang.

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada.

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya.

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.

Hindari cinta salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya.

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi.

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.

Selasa, 6 November 2012

Ancaman bakteria

Oleh : Shaidah Shafie
Sumber : Berita Harian - Famili
Tarikh : 06/11/2012

Kebanyakan kanak-kanak tidak tahu apa itu bakteria. Bagaimana bakteria boleh menyebabkan jangkitan kepada penyakit. Tahu mereka, tangan kotor perlu di basuh dan sering diajar mencuci tangan sebelum dan selepas makan.

Namun, disiplin dan amalan menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan dan menerangkan kebaikan serta keburukan berkaitannya akan menyebabkan mereka sentiasa mengutamakan kesempurnaan.

Tambahan pula, di mana saja lokasinya terdedah kepada pencemaran bakteria. Malah, kajian mendapati 87 peratus daripada permukaan sekunder akan diliputi bakteria sekiranya langkah menjaga kebersihan tidak diamalkan secara menyeluruh di semua tempat khususnya premis kediaman.

Kanak-kanak terutama mudah dijangkiti penyakit apabila ibu bapa atau individu mengabaikan kebersihan diri di mana saja lokasinya termasuk di rumah dan persekitaran mereka.

Yang nyata kebersihan adalah kunci kesejahteraan hidup. Aspek kebersihan sebenarnya mempunyai hubungkait dengan mutu kecemerlangan dan sihat jika suasana kebersihan di sekitar mereka.

Kita seharusnya jangan memandang remeh dan mengabaikan aspek kebersihan kerana pelbagai jenis penyakit muncul, contohnya menerusi makanan yang terdedah kepada kekotoran atau tidak dibersihkan secara betul.

Makanan sedia dimakan seperti epal, anggur, lobak merah dan salad boleh membawa ancaman jangkitan penyakit kepada ahli keluarga sekiranya tidak dibersihkan dengan betul sebelum dimakan.

Risiko penyakit

Bakteria juga boleh merebak ke kawasan lain di rumah melalui sentuhan tangan. Kajian menunjukkan 90 peratus sentuhan tangan pada radio, kotak mancis dan botol umpamanya mengandungi bakteria.

Pengerusi Majlis Kebersihan Global, Prof John Oxford, berkata barangan umum sering digunakan di rumah seperti botol, papan pemotong dan bekas plastik sekiranya tidak dicuci dengan kerap akan menjadi tempat pembiakan bakteria.

“Keadaan itu jika tidak diberi perhatian akan mendedahkan ahli keluarga terutama kanak-kanak kepada risiko penyakit bawaan makanan dan penyakit berjangkit lain.


“Penyakit bawaan makanan ini sebenarnya boleh dicegah dan dirawat dengan mengutamakan aspek kebersihan untuk mengurangkan sebarang jangkitan penyakit sehingga mengancam nyawa,” katanya pada taklimat media mengenai Kebersihan Global di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Kenyataannya, masih ramai yang mengabaikan kebersihan diri terutama apabila membabitkan penyediaan makanan di rumah. Seperti kelaziman, selepas membasuh tangan secara ringkas dengan menadah tangan pada air sinki, individu akan segera mengelap tangan pada tuala dapur yang disangkut atau diletakkan saja di atas dapur.


Amalan kebersihan


Sama ada disedari atau tidak, banyak bakteria akan membiak pada tuala yang lembap yang di letakkan di atas permukaan dapur atau meja. Pun begitu masih ramai yang mengambil mudah mengenai kepentingan kebersihan dalam kehidupan seharian. Tahap kebersihan diri yang rendah memberi peluang kepada bakteria untuk membiak dan mengancam kesihatan secara keseluruhannya.

Beliau berkata, dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit dan meningkatkan amalan kebersihan diri, Majlis Kebersihan Global dengan kerjasama Dettol menjalankan dua penyelidikan ‘Cross-contamination’ dan ‘Back to School’ bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara penyebaran bakteria dan mengenal pasti titik perubahan positif dalam amalan kebersihan diri dalam kalangan rakyat Malaysia.


“Kajian ‘Cross-contamination’ menilai bagaimana pencemaran boleh berlaku semasa proses penyediaan dan penyimpanan makanan di dapur keluarga yang tipikal.

“Berdasarkan kajian orang ramai terdedah kepada ancaman penyakit bawaan makanan walaupun mereka ia dimasak di rumah mereka sendiri,” katanya.


Situasi itu berlaku kerana kurang prihatin terhadap disinfeksi ketika menyediakan makanan menyebabkan bakteria mudah berpindah daripada makanan mentah kepada permukaan sekunder seperti makanan yang sediakan atau pelbagai permukaan lain di dapur.


Implikasi kotor

Fakta mengenai ‘Back to School’ pula mengenal pasti faktor motivasi mengenai amalan kebersihan diri dalam rutin harian sewajarnya dipupuk ibu bapa kepada anak.

Kajian menunjukkan pendidikan mengenai kebersihan kepada kanak-kanak di peringkat awal usia penting kerana penerimaan mereka terhadap amalan kebersihan yang baik.

Kajian itu dilakukan di 14 negara termasuk Malaysia membabitkan 14,000 meliputi ibu dan kanak-kanak sekolah rendah (berusia antara lima hingga 12 tahun).

“Hasil kajian di Malaysia, mendapati satu pertiga daripada ibu risau anak mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit di sekolah. Kebimbangan utama mereka ialah anak akan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut.

“Ini diikuti dengan penyakit bawaan makanan dan selsema bermusim. Sebanyak 89 peratus daripada ibu akan menasihati anak mereka mengenai amalan kebersihan yang baik seperti membasuh tangan dan menutup mulut menggunakan tisu ketika batuk,” katanya.


Sebanyak 64 peratus pula akan memastikan anak mereka membasuh tangan selepas pulang ke daripada sekolah manakala 20 peratus daripada ibu yang akan menyahjangkit barangan sekolah anak mereka seperti beg galas.


Prof Oxford berkata, dalam bahagian kedua kajian ‘Back to School,’ tujuh sekolah diuji untuk bakteria bagi mengesan tahap pencemaran. Hampir separuh daripada ibu yang ditanya percaya bilik air mempunyai jumlah bakteria yang paling banyak di sekolah, namun ujian bakteria menunjukkan perkara sebaliknya.


“Pencemaran di bilik air didapati tidak setinggi mana sebaliknya permukaan di kawasan makanan selalunya tercemar. Ini mendedahkan kanak-kanak sekolah, guru dan staf kepada bakteria ketika makan melalui sentuhan tangan atau peralatan hidangan seperti sudu, garpu, pinggan mahupun bekas makanan.


“Ancaman penyakit cirit-birit meningkat apabila perhatian tidak diberikan untuk menyahjangkit kawasan dan peralatan makanan. Hanya dua peratus daripada ibu yang percaya bekas makanan dibawa daripada rumah boleh menyebarkan penyakit seperti keracunan makanan,” katanya.


Ibu bapa perlu memberi lebih tumpuan kepada kesihatan anak dan menggalakkan mereka untuk mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Kajian perkembangan kognitif mendapati pendedahan kepada penyakit berjangkit ketika pada zaman kanak-kanak boleh mendatangkan implikasi kepada pertumbuhan dan perkembangan otak apabila meningkat dewasa.


INFO


* 2 bilion kes penyakit cirit-birit dilaporkan setiap tahun.

* Cirit-birit punca kedua kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan 1.5 juta kematian kanak-kanak setiap tahun.

* Membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun antibakteria ketika menyediakan makanan penting untuk mencegah penyakit bawaan makanan.

* Pembersihan permukaan dan penyahjangkitan bersasaran penting untuk memutuskan rantaian jangkitan.

* Amalan membersihkan tangan paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit berjangkit.

Lahirkan anak pintar

Oleh : Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber : Berita Harian - Famili
Tarikh : 06/11/2012

Isomaltulose bantu tingkatkan prestasi otak kanak-kanak

Bukan semua kanak-kanak dilahirkan pintar secara semula jadi. Namun, kebijaksanaan itu mampu dijana dengan didikan dan berada pada suasana perkembangan sihat dalam pelbagai segi.

Makanan seimbang dengan vitamin mencukupi turut membantu menjana otak cerdas. Antaranya, diberikan karbohidrat kompleks, iaitu ‘isomaltulose’ mampu menyokong dan meningkatkan prestasi mental termasuk memori serta daya tumpuan yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak.

Isomaltulose, sejenis karbohidrat kompleks dan sebahagian daripada campuran karbohidrat. Ia berperanan memberikan sokongan, ingatan dan daya tumpuan lebih lama kerana pembebasan tenaga dilakukan bahan itu adalah secara lebih perlahan.

Kajian antarabangsa mengenainya dilakukan Saintis Kanan dari Friesland Campina Inovasi Antarabangsa, Dr Anne Schaafsma.

Impak fungsi otak

Dr Schaafsma yang berada di Malaysia, baru-baru ini berkongsi penemuan beliau mengenai isomaltulose dan impak pada fungsi otak.

Katanya, kanak-kanak bukan saja memerlukan tenaga untuk badan, sebaliknya juga untuk otak berfungsi secara maksimum.

“Kesan isomaltulose berlaku bila glukosa memasuki darah pada kadar lebih perlahan. Ia mengelakkan daripada kadar glukosa menjadi rendah dan membolehkan bekalan tenaga lebih seimbang dan berpanjangan dilakukan ke otak,” katanya yang menumpukan kajian kepada tenaga dan fungsi otak.

Turut hadir Pensyarah Kanan di Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Nasir Mohd Taib.

Dr Schaafsma menjelaskan, glukosa satu-satunya sumber tenaga untuk otak. Justeru, disebabkan otak hanya boleh menyimpan tenaga selama 10 hingga 15 minit, maka ia memerlukan bekalan berterusan membolehkan berfungsi secara optimum.

Otak sentiasa aktif dan memerlukan bekalan tenaga berterusan secara konsisten. Malah, apabila seseorang sedang berehat atau tidur, otak kekal aktif.

Hakikatnya, otak mengarahkan banyak perkara dalam keadaan individu separuh sedar termasuk kawalan anatomi seperti suhu badan, kadar denyutan jantung dan pernafasan. Penting untuk otak kekal ‘menerima’ makanan melakukan fungsinya secara terbaik.

“Makanan karbohidrat kompleks di hadam dan diserap secara perlahan-lahan. Keadaan itu menyebabkan tahap lebih rendah dan tindak balas lebih stabil berbanding pengambilan makanan karbohidrat ringkas yang banyak.

“Glukosa mampu menembusi aliran darah dan puncanya perlu diperoleh menerusi makanan dimakan. Bagaimanapun, disebabkan otak tidak boleh menyimpan banyak tenaga, justeru ia memerlukan bekalan tenaga secara berterusan,” katanya.

Pembinaan struktur otak

Sebagai tambahan, kata Dr Schaafsma, ketika perkembangan otak aktif (iaitu pada kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun) tenaga diperlukan oleh otak meningkat melebihi 40 peratus daripada jumlah tenaga badan.

Isomaltulose sejenis karbohidrat kompleks yang secara perlahan-lahan di hadam dan diserap oleh tubuh badan membolehkan ia membebaskan lebih banyak tenaga secara beransur-ansur.

“Walaupun DHA dianggap sebagai ‘blok pembinaan struktur otak’ tetapi otak tetap memerlukan glukosa sebagai sumber tenaga berfungsi dengan cekap khususnya apabila menyentuh mengenai aspek prestasi kognitif, ingatan dan tumpuan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, memberi otak kanak-kanak pemakanan permulaan baik dan penting kerana otak berkembang pada kadar terpantas antara satu hingga enam tahun usianya.

Memaksimumkan pembangunan otak potensi sepenuhnya, boleh diperoleh menerusi sihat dalam diet harian mereka.

Sementara itu, Dr Mohd Nasir turut bersetuju otak memerlukan kadar glukos secara tetap dan berpanjangan supaya mampu berfungsi secara berkesan kepada kanak-kanak.


INFO:

Mengenai isomaltulose:

* Sejenis karbohidrat kompleks dan sebahagian daripada campuran karbohidrat.

* Berperanan memberikan sokongan, ingatan dan daya tumpuan lebih lama kepada kanak-kanak.

* Penemuan ditemui hasil kajian antarabangsa oleh Saintis Kanan dari Friesland Campina Inovasi Antarabangsa, Dr Anne Schaafsma.

* Kesan isomaltulose berlaku apabila glukosa memasuki darah pada kadar lebih perlahan. Ia mengelakkan daripada kadar glukosa menjadi rendah dan membolehkan bekalan tenaga lebih seimbang dan berpanjangan dilakukan ke otak.

* Disarankan diberikan kepada kanak-kanak berusia antara satu hingga enam tahun.