#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 28 Jun 2011

Usia meningkat, kesuburan menurun

Oleh Rosmah Dain

KEBELAKANGAN ini perkara yang berjaya menarik perhatian masyarakat ialah mengenai isu serius berkaitan trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita yang berpendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Anjli Doshi Gandhi berkata, fenomena itu boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan yang menunjukkan 30 peratus wanita berumur di antara 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus lelaki berumur di antara 30 dan 34 tahun masih bujang.

Isu ini ditimbulkan pasti ada benarnya. Setiap pertambahan umur yang melibatkan golongan wanita maka faktor kesuburan mereka untuk melahirkan anak adalah semakin merosot.

Bukan itu sahaja, apabila semakin berumur seseorang wanita itu maka risiko keguguran ke atas kandungan mereka juga akan bertambah.

Namun, apabila berbicara mengenai faktor kesuburan, bukan hanya golongan wanita sahaja yang dikaitkan dengan faktor kemerosotan kesuburan, golongan lelaki juga turut dikaitkan dengan permasalahan ini.

Menurut Datuk Dr. Prashant Nadkarni, dari KL Fertility & Gynaecology Centre, sperma lelaki yang subur pasti akan mengalami penurunan satu peratus setiap tahun. Permasalahan ini sebenarnya bukan hanya berlaku di negara ini sahaja kerana ia bersifat global.

Menurut Dr. Prashant, faktor utama perkara ini terjadi adalah disebabkan oleh permasalahan yang diakibatkan oleh faktor-faktor sekeliling.

‘‘Dalam kajian yang telah dijalankan, kita dapati dalam tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 1999 hingga 2007 sperma golongan lelaki berkurangan kesuburannya sebanyak 40 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, stres akibat gaya hidup yang penuh dengan bebanan pada masa sekarang juga mengurangkan kemahuan pasangan untuk seks.

Kehidupan yang mencabar pada hari ini menyebabkan ramai di kalangan pasangan hanya melakukan seks seminggu sekali atau tiada dan ada juga yang tidak mempunyai mod langsung untuk bersama pasangan.

‘‘Namun, bagi golongan wanita antara faktor lain yang menyumbang kepada masalah kurangnya kesuburan ialah apabila wanita itu tidak dapat mengeluarkan telur untuk persenyawaan sebanyak sepuluh peratus akibat jangkitan kepada tiub, masalah hormon yang tidak seimbang dan tidak teratur,” katanya.

Dalam pada itu Dr. Prashant juga turut menyalahkan faktor obesiti menjadi punca masalah kesuburan wanita.

‘‘Kita sekarang mengalami masalah ke arah negara yang semakin ‘gemuk’. Apabila seseorang itu menjadi gemuk, hormon individu itu akan menjadi tidak teratur dan telur yang dikeluarkan juga pasti tidak bermutu dan memudahkan risiko keguguran menjadi lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu Dr. Prashant berkata, wanita yang berumur lebih 35 tahun peluang untuk hamil telah merosot 35 hingga 65 peratus.

Bagi wanita yang ingin mengandung dan mengalami masalah ketidaksuburan terdapat pelbagai kaedah yang digunakan dalam usaha membantu golongan ini mendapatkan cahaya mata.

Antaranya ialah melalui kaedah IVF, GIFT dan sebagainya.

Sekiranya wanita berkenaan didapati normal dan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk mengandung, mereka akan dicadangkan menggunakan kaedah suntikan kesuburan bagi memperbanyakkan telur.

Ujian kesuburan atau pengovulan boleh dilakukan di rumah. Ujian pengovulan bertindak dengan mengesan peningkatan hormon yang dipanggil Luteinising Hormon (LH) dalam air kencing.

Kenaikan LH terjadi lebih kurang 24 - 36 jam sebelum ovum dibebaskan dari ovari iaitu satu proses yang dikenali sebagai pengovulan. Wanita dikatakan berada pada tahap tersubur pada hari kenaikan LH wanita itu dikesan dan pada hari selepas itu.

Bagi penyelesai masalah mereka yang sudah lewat usia tetapi masih mahu mencuba untuk mengandung, Merck Serono baru-baru ini telah melancarkan Pergoveris, dalam usaha menambah kesuburan.

Ia mengandungi dua bahan penting yang aktif di dalamnya iaitu lutropin alfa iaitu versi sintetik LH dan follitropin alfa iaitu FSH. Bahan ini merangsang peringkat kesuburan wanita dengan memperbanyakkan telur (LH) agar dapat memudahkan wanita itu mengandung.

Jumaat, 24 Jun 2011

Ketaatan isteri mengikut syariat

Sumber : Pesona - Kosmo

KETIKA dimaklumkan mengenai Kelab Isteri Taat yang bakal dilancarkan, saya tertanya-tanya mengenai objektif penubuhan kelab tersebut.

Penulis terfikir kemungkinan ia sebagai satu kempen untuk mengembalikan kerukunan rumah tangga dengan mengingatkan isteri mengenai cara taat yang sewajarnya kepada suami sebagai langkah membanteras kes-kes isteri nusyuz yang makin meningkat.

Namun, selepas membaca objektif penubuhannya seperti yang dilaporkan oleh media saya cukup terkejut. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah:

Isteri hamba seks

Objektif yang diumumkan bagai satu pengiktirafan bahawa para isteri adalah hamba seks suami. Saya tertarik kepada pernyataan layan suami macam pelacur.

Pada pendapat saya, ada pro dan kontranya pernyataan tersebut. Berdasarkan kes-kes yang pernah saya kendalikan, memang diakui ada para suami yang mengadu mengenai sikap isteri yang hanya menunggu aksi si suami ketika di ranjang malah ada juga yang komen, isteri hanya keras seperti batang kayu menyebabkan selera suami terganggu.

Dalam konteks ini, bersikap bagai pelacur boleh diterima pakai bagi membolehkan si isteri yang bertindak memulakan gelagat seperti para pelacur mencari pelanggan. Para isteri juga boleh menggoda suami hingga menimbulkan keghairahan suami untuk bersama.

Namun, ada batasan-batasan yang perlu dipatuhi kerana ada aksi panas pelacur yang tidak sesuai dilakukan dalam hubungan seks suami isteri para muslimin dan mukmin. Saya pernah mendapat penjelasan daripada lelaki yang pernah melanggan pelacur dan menjelaskan mengenai aksi para pelacur.

Banyak aksi mereka melanggar adab-adab berjimak seperti yang disarankan syarak.

Islam meletakkan tatacara tertentu yang perlu dipatuhi bagi kebajikan dan kemaslahatan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri.

Islam melarang para suami dan isteri melakukan hubungan seks mengikut tabiat haiwan kerana tabiat seumpamanya banyak dilakukan oleh para pelacur.

Perlu difahami, perkahwinan bukan semata-mata untuk melampiaskan nafsu seks.

Perkahwinan adalah tanda kasih sayang dan seks sebagai satu wasilah untuk menyambung keturunan. Banyak perkara penting lain yang diamanahkan dalam perkahwinan.

Bukan saja oleh agama Islam malah agama-agama lain juga begitu.

Malah seks dalam Islam bukan semata-mata untuk kepuasan nafsu sebaliknya adalah satu ibadah jika kena cara dan adabnya.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?

Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala." - hadis riwayat Muslim.

Tanggungjawab seks

Satu perkara yang perlu difahami adalah seks bukan sahaja tanggungjawab si isteri sebaliknya ia adalah tanggungjawab seorang suami yang menjadi hak seorang isteri.

Banyak kes isteri bersikap curang dengan suami disebabkan tidak mendapat kepuasan daripada si suami.

Menurut Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula." - hadis riwayat al-Suyuthi.

Hak nafkah zahir batin

Dalam isu melayani keperluan seks suami, ada ulama berpendapat tanggungjawab tersebut gugur sekiranya suami gagal melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah zahir yang sepatutnya.

Mengambil qias mas kahwin dan nafkah zahir adalah keutamaan tanggungjawab suami dan Rasulullah S.A.W melarang Saidina Ali bersama dengan Sayyidatina Fatimah sebelum Saidina Ali menyerahkan mas kahwin anakanda baginda.

Ibnu Abbas menceritakan: "Ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). Saidina Ali memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan. Lantas, Rasulullah bersabda: "Berikan baju perangmu itu." Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri. - Riwayat Abu Daud.

Islam meletakkan martabat kaum wanita di tempat yang tinggi tetapi segelintir golongan yang mengakui berilmu memusnahkannya. Jika perkahwinan bertunjangkan seks untuk kepuasan nafsu semata-mata, bahagia sebenar tidak akan diperoleh.

Jumaat, 10 Jun 2011

Janin berhak mewarisi harta pusaka

2011/06/10
Berita Harian


Islam tetapkan dua syarat pewarisan bagi menjamin hak, keadilan

SIRI kali ini membincangkan persoalan adakah janin tersenarai sebagai waris berhak ke atas harta pusaka? Janin menurut istilah fuqaha adalah janin yang dikandung dalam perut ibunya, sama ada lelaki atau perempuan.

Hak bagi janin ini diberi penekanan dalam Undang-Undang Pusaka Islam sebagai satu sistem yang syumul bagi menjamin hak dan keadilan kepada mereka. Fuqaha’ bersepakat, janin berhak mewarisi harta pusaka pewarisnya yang meninggal dunia bersama ahli waris yang lain. Bagaimanapun, pewarisan janin tertakluk kepada dua syarat iaitu janin itu sudah wujud dalam kandungan ibunya ketika kematian pewaris. Ini bermakna, ketika pewaris meninggal dunia, si ibu telah disahkan mengandung sama ada sehari, seminggu, sebulan, dua bulan atau seterusnya.

Janin itu dilahirkan dalam keadaan hidup dan selamat walaupun beberapa saat. Bagi menyokong perkara ini, ada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila seorang bayi sudah menangis, maka ia berhak mendapatkan warisan.” (Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Apabila bayi yang baru keluar dari rahim ibunya menangis (kemudian mati), maka hendaklah disolatkan dan berhak mendapatkan warisan.” (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Tirmidzi)

Undang-Undang Pusaka Islam mengenal pasti beberapa tanda menunjukkan janin yang dilahirkan itu hidup, seperti menangis, menyusu, bernafas dan bergerak anggota badannya.

Bagaimanapun, fuqaha’ mempunyai pendapat berbeza sama ada seluruh badan janin itu perlu dilahirkan dalam keadaan hidup atau sebahagian besarnya saja.


Mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali mensyaratkan janin itu hendaklah dilahirkan dengan seluruh badannya dalam keadaan hidup. Jika sebahagian saja dilahirkan hidup dan kemudian meninggal dunia maka dia tidak berhak mewarisi harta pusaka sekalipun kelahiran itu diikuti dengan tangisan.

Selepas memenuhi syarat itu, janin berhak mewarisi harta pusaka dan bahagian harta yang sepatut diwarisi perlu disimpan hingga kelahirannya. Berdasarkan jumhur fuqaha’, harta pusaka boleh dibahagikan sebelum kelahiran janin, dan bahagian paling maksimum perlu disimpan sama ada lelaki atau perempuan.

Bagaimanapun, menurut mazhab Maliki, harta pusaka tidak boleh dibahagikan hinggalah janin itu dilahirkan. Ulama faraid pula menjelaskan hukum khusus secara terperinci berkaitan hal janin dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan demi menjaga hak ahli waris yang ada.

Ada perbincangan mengenai situasi berbeza bagi janin dalam kaitannya dengan hak mewarisi iaitu:

• Jika janin tidak tersenarai sebagai ahli waris berhak ke atas harta pusaka si mati dalam keadaan apa sekalipun, maka harta pusaka si mati perlu dibahagikan dalam kalangan ahli waris berhak mengikut perkiraan yang telah ditentukan terlebih dulu tanpa menunggu janin dilahirkan.

Contohnya, si mati meninggalkan seorang isteri, ayah dan ibu. Ibunya telah berkahwin lain dan sedang mengandungkan anak kepada ayah tiri si mati. Maka kandungannya tidak tersenarai sebagai ahli waris dan harta pusaka si mati mesti dibahagikan tanpa menunggu janin dilahirkan;

• Jika janin adalah ahli berhak terhadap harta pusaka si mati, dengan syarat janin dilahirkan dengan sesuatu jantina bersesuaian, harta pusaka itu hendaklah dibekukan hingga kelahiran janin.

Contohnya, si mati meninggalkan isteri dan bapa saudara kandung dan isteri saudara lelaki yang sedang hamil. Maka isteri si mati akan mendapat 1/4, dan bakinya 3/4 perlu dibekukan hingga janin yang ada dalam kandungan itu lahir;

• Jika janin adalah lelaki, maka dialah yang berhak untuk mendapatkan seluruh baki harta dibekukan tadi kerana anak lelaki dari saudara kandung lebih penting daripada bapa saudara kandung. Tetapi jika janin perempuan, maka bapa saudara kandung adalah waris berhak ke atas baki harta itu;

• Janin adalah ahli waris dalam apa juga keadaan, maka kita perlu membekukan harta pusaka dengan bahagian maksimum.

Contoh paling mudah adalah si mati meninggalkan isteri yang sedang mengandung, ibu dan ayah. Isteri mendapat 1/8, ibu 1/6 dan ayah 1/6. Selebihnya perlu dibekukan hingga janin dilahirkan. Jika anak lelaki, maka baki harta adalah milik anak. Jika perempuan, maka harta perlu dibahagikan iaitu isteri 1/8, ibu 1/6, anak perempuan (terdahulu janin) ½ dan baki harta adalah milik ayah sebagai asabah;

• Bahagian janin tidak berubah sama ada anak dilahirkan lelaki atau perempuan, maka pentadbir boleh menyimpan bahagian itu sementara pembahagian harta pusaka selebihnya boleh dibahagikan kepada waris berhak dengan sempurna; dan

• Apabila tidak ada ahli waris lain selain janin dalam kandungan, atau ada ahli waris lain, tetapi terhalang haknya disebabkan adanya janin, maka dalam keadaan seperti itu, pembahagian harta pusaka si mati hendaklah ditangguhkan hingga janin dilahirkan.

Dalam situasi ini, jika janin dilahirkan dengan selamat dan hidup, seluruh harta pusaka menjadi miliknya. Namun, jika janin dilahirkan dalam keadaan mati, maka harta itu akan diwarisi ahli waris berhak yang lain.

Hak mewarisi bagi janin sudah dibincangkan dalam dasar umum Undang-Undang Pusaka Islam yang dibina atas asas kukuh, tidak wujud dalam sistem pusaka lain. Dasar ini ciri utama kepada Undang-Undang Pusaka Islam.

Ahli waris yang syumul ialah ahli waris yang berhak menerima pusaka merangkumi semua ahli waris atau kerabat, sama ada kecil atau besar, tua atau muda, kaya atau miskin dan janin dalam kandungan ibu juga diberi hak dalam pusaka.

Jumaat, 3 Jun 2011

Hormon, enzim lancarkan tubuh

PUAN Aliza berjumpa saya kerana anaknya mengalami obesiti. Anak gadisnya yang berusia 18 tahun mempunyai berat badan hampir 100kg. Menurut Puan Aliza anak gadisnya yang bernama Sara sukar menurunkan berat badan meskipun mencuba berkali kali. Sara merupakan anak sulung yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading tidak lama lagi. Dia berasa tertekan dengan keadaan itu dan mahukan satu penjelasan mengapa berat badannya tidak turun meskipun telah berusaha keras mengurangkan makan dan berdiet. Wajahnya bulat dan lemak menggeleber di bawah dagu. Bahagian belakang tubuhnya juga berlemak dan lengan nya menjadi terlalu besar. Ini membuatkan anak gadis itu berasa kurang yakin dengan penampilan dirinya. Pakaiannya setiap hari adalah baju T besaiz besar dan jeans lusuh. Sebagai gadis remaja dia ingin berbaju cantik namun apakan daya penyakit obesiti yang menyerang membuat dia tidak dapat menikmati zaman remaja dengan maksimum.

Puan Aliza mengajak Sara berjogging bagi menguruskan badan namun Sara berasa terlalu letih. Setiap langkah terasa berat dan sukar sehinggakan akhirnya Sara membuat keputusan untuk berhenti bersenam. Anehnya apabila dia berehat dia tidak merasa hilang keletihan itu. Akibatnya Sara gemar berbaring sahaja sambil membaca atau menonton televisyen.

Apabila Puan Aliza cuba berbincang, Sara enggan mengulas lanjut lagi tentang masalah obesiti. Dia seakan akan sudah putus asa. Dia mula berubah menjadi murung dan sensitif dengan kritikan serta teguran terhadap tubuh badannya.

Pada suatu hari Puan Aliza ternampak Sara menjamah makanan pada tengah malam. Sara memberi alasan bahawa dia tersangat lapar. Dia tidak dapat membendung rasa lapar. Apabila makan dia berasa bertenaga dan kenyang hanya selama beberapa jam. Selepas itu keinginan untuk makan muncul semula dan dia sukar menahannya.

Dalam rawatan obesiti, simptom simptom sebegini adalah fenomena yang melanda mereka yang mempunyai kadar metabolik rendah

Mereka yang bermetabolik rendah bukan sahaja gemuk malah berubah wajah menjadi tidak cantik disebabkan oleh kehadiran air yang banyak di bawah kulit. Air ini merupakan sejenis bahan berlendir dan berlemak juga. Ia hadir di bawah kulit membuatkan kulit tampak sembap dan tidak bercahaya. Wajah tampak kasar dan lebar membuatkan mereka hilang kecantikan yang dimiliki. Oleh kerana simpanan air yang banyak mereka ini kurang minum air. Mereka juga tidak selesa dalam cuaca panas dan tidak tahan cuaca terlalu sejuk juga. Tubuh mereka sukar mengadaptasi perubahan cuaca.

Wajah seseorang yang obes hampir sama bentuknya. Ini di sebabkan faktor hormon yang mengumpulkan lelemak pada pipi dan leher. Hal ini membuatkan mereka kehilangan bentuk wajah asal dan kelihatan hampir serupa. Apabila kurus semula barulah mereka mendapat kembali kecantikan wajah yang hilang akibat lemak itu.

Rawatan meningkatkan metabolisme memerlukan komitmen yang tinggi. Di Marisaa Estetik kunci utama kejayaan kami dalam menurunkan berat badan pelanggan adalah kefahaman yang jelas mengenai proses metabolik. Apabila pelanggan mendapat kefahaman yang jelas dia akan berusaha mengubah corak kehidupan sebagaimana yang disarankan.


Langkah pertama adalah mengubah persepsi dan kefahaman terhadap pemakanan. Apabila pelanggan faham maka mereka tidak membenci makanan sebaliknya hati mereka menjadi tenang kerana masalah sebenar bukanlah di sebabkan pemakanan.

Masalah sebenar adalah mereka tidak mempunyai hormon dan enzim yang mencukupi bagi menukarkan makanan kepada tenaga. Kerana itulah mereka keletihan dan tubuh menjadi lemah.

Apabila seseorang makan dan minum, makanan itu akan di tukarkan kepada tenaga kepada empat bahagian tubuh iaitu otot, otak hati dan sel lemak. Makanan tiba pada sel otot bertukar kepada tenaga yang membolehkan pergerakan dan aktiviti fizikal tubuh kita. Apabila tiba ke otak pula ia bertukar kepada tenaga menghasilkan neurotransmitter bagi otak kita. Begitu juga apabila ia tiba pada hati. Di hati pelbagai proses penghasilan protein berlaku. Hati dianggap sebagai kilang menghasilkan protein yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan juga akan tiba ke lemak tubuh dan bergabung membentuk simpanan lemak yang digunakan kembali semasa tubuh kita memerlukannya.

Masalah obesiti terjadi kerana proses penggunaan tenaga terganggu. Sebaliknya semua makanan yang dimakan hanya menjadi lemak dalam tubuh sahaja.

Dengan terapi enzim dan hormon proses metabolik akan berjalan lancar semula. Dengan itu golongan yang bermasalah akan dapat menurunkan berat badan dengan mudah.

Ayah enggan jadi wali

ILA sudah tidak tahu hendak cakap apa lagi. Rancangan perkahwinannya dengan Adi sudah tertangguh masuk bulan kelima.

Dia dan Adi sudah lama menjalin percintaan selama tujuh tahun memang dan keduanya memang berhajat sangat mendirikan rumah tangga sebaik sahaja masing-masing sudah mendapat kerja.

Bagaimanapun Ila juga tidak menyangka hari pertunangan dia dan Adi telah membongkar rahsia kedua ibu bapanya yang telah disimpan selama 26 tahun.

Ila merasakan dunianya menjadi gelap seketika kerana tidak menyangka selama ini telah dibesarkan oleh ibu bapa angkat.

Bagaimanapun ayahnya berjanji untuk mencari ayah kandung Ila secepat mungkin demi untuk memastikan perkahwinannya berjalan dengan lancar.

Sayangnya setelah ayah kandung ditemui lain pula jadinya apabila dia enggan jadi wali.

Bapanya melahirkan rasa kecewa setelah mendapat tahu namanya disisihkan kerana Ila telah dibintikan dengan nama bapa angkat.

Berikutan itu Ila akhirnya membawa kes berkaitan dengan wali pernikahannya itu ke mahkamah supaya perkahwinannya dengan Adi akan terlaksana.

Kes seperti Ila ini juga pernah menjadi koleksi penghakiman Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Salah satu kes berkaitan ini telah difailkan pada 2008 berhubung tuntutan untuk menggunakan wali hakim atas alasan defendan (bapa) enggan menjadi wali di dalam pernikahan yang dicadangkan.

Tuntutan ini dibuat di bawah seksyen 13 (b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Saman bagi kes ini telah sempurna kerana telah diserahkan oleh pihak peguam plaintif kepada defendan (bapa) melalui Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, Terengganu dan satu affidavit penyampaian telah diserahkan ke mahkamah.

Namun, defenden masih tidak hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan tersebut dan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung.

Oleh itu, kes ini telah diteruskan dengan keterangan pihak plaintif berasaskan seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.

Berikutan itu jika defendan tidak hadir maka mahkamah boleh tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya.

Berdasarkan fakta ringkas kes ini, plaintif telah diserahkan oleh bapa sebenar yang menjadi saksi di dalam kes ini sejak masih kecil.

Bapa angkat plaintif kemudiannya telah meletakkan nama beliau (jadi plaintif telah dibintikan dengan bukan nama bapa sebenar)

Jadi perkara ini yang menjadi punca defendan (bapa sebenar) enggan memberi kerjasama kerana tidak berpuas hati dengan tindakan bapa angkat plaintif seolah-olah menafikan defendan sebagai anaknya.

Mahkamah telah berpuas hati dengan keterangan saksi iaitu bapa angkat plaintif sendiri.

Bapa angkat plaintif sebenarnya telah berusaha secara lisan dan bersurat bagi memujuk defendan supaya menjadi wali dan memberi keizinan atas pernikahan yang dicadangkan namun defendan masih tidak bersetuju menjadi wali.

Oleh itu kes ini telah di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bernikah secara wali hakim disebabkan oleh keengganan wali sebenar untuk berbuat demikian.

Dalam hal akad perkahwinan wali yang dimaksudkan ialah ke atas wanita di dalam sesuatu akad perkahwinan, sama ada wali mujbir atau wali bukan mujbir atau Sultan (Qadhi) bagi orang yang tidak berwali.

Kewajipan wali di dalam aqad pernikahan adalah wajib menurut hukum syarak. Jika kesemua wali di atas tidak ada, walinya adalah wali Sultan sebagaimana hadis yang bermaksud; 'Sultan (pemerintah) menjadi wali kepada sesiapa yang tidak ada wali.'

Setelah mahkamah mendengar keterangan plaintif serta saksi dan hujah yang dikemukakan mahkamah berpuashati membuat keputusan iaitu:

Setelah itu, Wan Mahyuddin memutuskan mahkamah mensabitkan ketidakhadiran defendan sebagai wali sebagai satu qarinah membenarkan plaintif bernikah menggunakan wali hakim.

Rabu, 1 Jun 2011

Ancaman pekerja wanita

Oleh Jami’ah Shukri
Berita Harian
2011/06/01


Peningkatan angka kemalangan membimbangkan

ACAP kali kita dengar ada pekerja kilang cacat anggota badan seperti putus tangan, jari atau sebagainya akibat terkena mesin ketika menjalankan kerja. Tidak kurang juga yang mati akibat terhidu gas beracun.

Bagi sesetengah sektor pekerjaan, khususnya perkilangan, pembuatan, perusahaan dan pertanian pekerja mudah terdedah kepada kemalangan di tempat kerja hingga menyebabkan kematian, kecederaan, kecacatan sementara atau kekal. Isu kemalangan waktu bekerja ini sebenarnya berkaitan dengan aspek keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan (OSH), lantaran setiap majikan sepatutnya menyediakan suasana lebih selamat, selesa dan kondusif kepada pekerja.

Bagaimanapun, risiko kematian atau kecederaan akibat kemalangan sebenarnya tidak saja boleh berlaku di tempat kerja, sebaliknya kemalangan jalan raya juga dianggap ancaman baru kepada warga pekerja ketika mereka pergi dan balik ke tempat kerja.

Kini trend kemalangan jalan raya membabitkan warga pekerja semakin membimbangkan berikutan peningkatan dari setahun ke setahun. Berdasarkan statistik, kes kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja mencatat lebih 40 peratus daripada keseluruhan kemalangan industri yang dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pastinya kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja memang tidak dapat dielakkan kerana sebahagian besar pekerja itu memandu kereta atau menunggang dan membonceng motosikal sebagai pengangkutan utama.

Dalam kekalutan, kesesakan jalan raya dan keadaan tergesa-gesa, bermacam-macam bencana boleh berlaku ketika warga pekerja itu berulang alik ke tempat kerja, sama ada disebabkan kesilapan sendiri atau kelalaian pemandu lain.
Kes kemalangan jalan raya yang berlaku itu juga membabitkan pekerja wanita kerana mereka juga memandu, menunggang atau membonceng motosikal. Tambahan lagi, sebahagian sumber tenaga manusia di negara ini adalah kalangan wanita dengan ramai daripada mereka bekerja di sektor perkilangan dan pembuatan.

Pekerja wanita itu pula ramai menunggang atau membonceng motosikal, khususnya di luar bandar. Golongan ini juga tidak terlepas daripada terbabit dalam kemalangan jalan sama ada atas kelalaian mereka sendiri atau pemandu lain.

Trend baru ini, diakui Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye, yang menjelaskan ramai wanita terutama yang bekerja di kilang khususnya mereka yang tinggal di luar bandar menunggang motosikal ke tempat kerja dan pada masa sama menjadi golongan yang paling tinggi terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, ketika ini dengan ramai wanita yang bekerja pelbagai sektor dan mereka memiliki kenderaan sendiri sama ada kereta atau motosikal untuk kemudahan ke tempat kerja.

“Apa yang membimbangkan laporan menunjukkan lebih 50 peratus dari jumlah kemalangan jalan raya itu membabitkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja,” katanya.

Lam Thye berkata, statistik Perkeso, mendapati sebanyak 57,656 kemalangan membabitkan pelbagai sektor pekerjaan di negara ini dan daripada jumlah itu, sejumlah 22,040 kes adalah membabitkan kemalangan jalan raya ketika berulang-alik ke tempat kerja.

Kemalangan jalan raya itu mengakibatkan kerajaan kehilangan sumber tenaga manusia dan kerugian kepada negara terutama yang berkemahiran.

“Golongan itu adalah aset kepada pembangunan negara terutama mereka yang terlatih. Oleh itu, kita pandang serius kes ini. Selain pelbagai risiko dan bahaya jenayah seperti rogol, ragut, gangguan seksual di tempat kerja terpaksa dihadapi oleh pekerja wanita mereka juga terdedah kepada kemalangan jalan raya ketika berulang alik ke tempat kerja.

“Berdasarkan laporan diterima, kemalangan jalan raya sepatutnya menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian berikutan trend menunjukkan jumlah mereka yang tercedera atau mati akibat kemalangan semakin meningkat dari setahun ke setahun.

“Jika diteliti bilangan kemalangan jalan raya dalam perjalanan pergi dan balik bekerja meningkat sejak lebih 15 tahun lalu berbanding kemalangan di tempat kerja lain seperti di sektor perkilangan, pembuatan dan pertanian.

“Jumlah itu, menggambarkan bahawa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan berulang alik ke tempat kerja adalah ancaman terhadap isu keselamatan dan kesihatan pekerja. Oleh itu, amat penting sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diberi perhatian oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata, peranan NIOSH adalah untuk memastikan persekitaran di tempat kerja yang selamat dan sihat melalui sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Sebenarnya warga pekerja sentiasa terdedah kepada risiko dan bahaya sama ada di tempat kerja atau ketika ke tempat kerja.

Jika dilihat secara keseluruhan, bilangan kemalangan membabitkan industri sektor pekerjaan semakin menurun berbanding kes kemalangan dalam perjalanan pekerja ketika berulang alik ke tempat kerja.

“Statistik mencatatkan bahawa bilangan kemalangan industri ialah sebanyak 121,593 kes, pada 1993 menurun kepada 35,616 (2010) iaitu penurunan lebih 50 peratus.

“Bagaimanapun, bilangan kemalangan dalam perjalanan pekerja berulang alik ke tempat kerja pula sebaliknya, ia meningkat daripada 11,700 pada 1993 kepada 22,040 (2010),” katanya.

Justeru, Niosh bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan agensi berkaitan bagi mengadakan program dan kursus kesedaran mengenai keselamatan jalan raya membabitkan warga pekerja.

Selain itu, beliau juga mencadangkan majikan supaya menyediakan lebih banyak bas pekerja bagi menampung keperluan warga kerja ini.

“Dengan adanya bas pekerja ini, mereka tidak perlu menaiki kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pekerja daripada terdedah kepada risiko atau bahaya kemalangan jalan raya, khususnya yang menunggang motosikal,” katanya.