#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, 7 Februari 2014

Andai jodoh tidak panjang

Oleh NORAZMAN AMAT
Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 29/01/2014

HANYA tinggal dua hari untuk Zana memberikan keputusan. Tempoh seminggu yang diberikan kepadanya, terasa begitu cepat. Menerima lamaran atau tidak? Ternyata tempoh lima tahun meninggalkan alam perkahwinan, parutnya masih terasa. Mahu sahaja dibuang jauh-jauh memori hitam perkahwinan sebelum ini. Apakah perkahwinan kali kedua ini mampu mengisi kembali sisa-sisa kebahagiaan kehidupan rumah tangga yang pernah terbina dahulu.

Suatu ketika dahulu, tatkala menerima lamaran Zaki untuk memperisterikannya, betapa perasaan gembira dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Memang itu yang diharapkannya. Hadirnya seorang lelaki dalam kehidupannya, sekali gus membimbingnya menjadi isteri yang solehah dan mithali.

Merisik daripada teman dan rakan-rakan yang mengenali Zaki, Zana dikatakan menolak tuah andai lamaran tersebut ditolak. Zaki, pemuda yang mempunyai pendidikan ilmu agama, juga berkerjaya. Apa lagi yang dia mahukan? Bukankah Islam juga menyarankan, jika hendak memilih isteri atau suami, maka dalam empat perkara yang perlu diberi perhatian, yang memiliki agama adalah keutamaannya.

Akhirnya Zana bersetuju menerima lamaran Zaki. Harapan Zana, rumah tangga yang bakal dibina bersama Zaki, akan kekal bahagia selama-lamanya. Tapi langit tidak selalunya cerah. Mendung datang bertamu menguji emosi Zana. Pada awalnya Zana tidak mahu mempercayainya. Cerita-cerita yang didengari daripada teman-teman Zaki cuba ditolak mentah-mentah. Dia kenal siapa suaminya. Mana mungkin suaminya mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang! Mustahil. Zaki tidak akan melakukannya.

Suatu malam, Zana menguatkan hati untuk mendapatkan kesahihan daripada mulut suaminya sendiri. Dia tidak mahu terpedaya dengan kata-kata yang disampaikan kerana khuatir terperangkap dalam mainan fitnah.

Dummm! Bagai petir menyambar ke tangkai jantungnya. Zaki mengiakan. Namun yang menjadi penghalang hubungan suaminya dengan perempuan itu,(Mira) ialah ikatan perkahwinan Mira yang tidak mahu dilepaskan oleh si suami, Farid.

Kata Farid, dia mahu melihat sejauh mana perbuatan curang Mira mampu diteruskan. Talak di tangannya dan hanya dia yang akan menentukan nasib si isteri.

Ternyata angau percintaan membuatkan manusia tidak kenal mana kaca, mana permata. Zaki dan Mira masih meneruskan hubungan sulit mereka sekalipun tahu, hubungan itu tidak akan membawa mereka ke alam perkahwinan. Makan, menonton wayang, berlibur, membeli-belah dan apa jua aktiviti yang dilakukan, pasti Zaki akan bersama Mira. Rumah? Hanya malam yang menyambut kepulangannya. Itu pun sekadar untuk merehatkan tubuh yang keletihan.

Sampai bila? Suara hati bertalu-talu mempersoalkan, sanggupkah Zana terus makan hati dengan kerenah suaminya sekalipun berpuluh kali dipujuk dan dinasihati agar melupakan Mira. Namun jawapannya hampa. Mira tetap menjadi pilihan Zaki.

Zana nekad. Dia tidak mahu menjadi isteri dayus ‘berkongsi’ dosa bersubahat dengan maksiat yang dilakukan oleh si suami. Zana memohon agar Zaki menceraikannya. Tapi Zaki enggan. Jalan akhir, Zana memfailkan fasakh dan akhirnya berjaya.

Setelah segala urusan selesai, Zana membuat keputusan pulang ke rumah orang tuanya bersama tiga cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Zaki. Zaki ditinggalkan dalam keadaan masih lena dibuai mabuk cinta dengan isteri orang!



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140129/ba_04/Andai-jodoh-tidak-panjang#ixzz2sdHI6dW6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan