#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, 31 Januari 2014

Anak terlalu agresif

Utusan Malaysia - 30/01/2014
Bersama Dr. Rozieta Shaary
Pakar keluarga & Kasih-sayang
www.facebook.com/familyguru
www.rozietashaary.com/blog

Sebenarnya, pada usia satu hingga enam tahun adalah usia di mana anak-anak mula mengekpresikan diri mereka. Mereka mahu memberitahu apa yang mereka rasa dan mahu.

Namun, disebabkan belum pandai bercakap terutama anak yang baru berusia satu hingga dua tahun, maka mereka melakukannya melalui pergerakan dan aksi.

Sebelum ini mereka melakukan melalui tangisan sahaja. Oleh itu ibu bapa perlu memerhatikan apakah maksud pergerakan mereka itu.


Perkara perlu kita fahami

Jika ada anak satu hingga dua tahun yang kelihatan mahu memukul anak lain, jangan cepat bersangka buruk kepadanya. Selalunya dia mahu memegang dan mengusap anak kecil itu kerana melihat orang lain melakukan perkara seperti itu.

Namun, pada usia sebegini mereka belum pandai mengawal kekuatan tangan, maka adakalanya jadi terlebih kasar.

Apa yang Ibu selalu lakukan pada anak-anak kecil sebegini ialah Ibu akan menolong memegang tangan mereka dan menolong anak itu mengawal tangannya supaya dia boleh mengusap bayi kecil itu sambil mengatakan; ‘gently, gently...’ atau ‘perlahan-perlahan...’

Jika anda cepat marah dengannya, maka dia akan hilang keyakinan diri dan membentuk kepercayaan diri yang negatif di dalamnya. Contohnya, “ Saya ini tidak berguna”. Jika ini berlaku, maka tentu ini akan menyusahkan anda nanti.

Ramai ibu bapa kurang berpengetahuan cara terbaik menangani anak-anak gen Milenia atau Alpha ini. Ramai yang masih menggunakan skil keibubapan semalam untuk menangani generasi hari ini.

Contohnya, menyuruh anak-anak dengar dan patuh tanpa penjelasan yang memuaskan. Terlalu lembut sehingga semuanya dibiarkan, terlalu keras dan tidak ada ruang berbincang atau terlalu suka melarang dan ditakut-takutkan. Maka, anak-anak ini menjadi lagi hampa dan memberontak.

Generasi Melinia ini lagi cepat dan kuat berasa hampa kerana memang mereka ini adalah sangat ekspresi. Sebenarnya mereka bukan degil, tapi kuat keinginan dan mahukan cara mereka.

Oleh itu bila kehendak mereka ditangani dengan kurang bijak dan berhemah, ini yang menyebabkan mereka memberontak. Sekiranya ini terus-menerus berlaku, anak ini akan membesar dengan semangatnya patah atau menjadi agresif yang tidak menentu. Apabila perkara ini berteruskan, maka boleh menyebabkan keadaan bertambah kritikal bila anak itu membesar menjadi remaja, maka dia menjadi suka melawan cakap dan payah dibentuk.

Untuk mengatasi anak-anak menjadi agresif, anda perlu mencari ruang untuk anak-anak itu mengeluarkan tenaga yang berlebihan juga tenaga negatif disebabkan kehampaan.


1 Caranya anda boleh membawa anak-anak bermain dengan aktif, seperti di padang mainan indoor atau outdoor. Lebih baik outdoor. Apabila mereka bermain, mereka dapat mengekpresi diri mereka. Mereka boleh menjerit-jerit, melompat, berpeluh dan sebagainya. Ini membolehkan tenaga negatif yang tersimpan dikeluarkan dengan cara yang sihat.


2 Kurangkan masa menonton televisyen, bermain permainan video di komputer atau ipad atau TV. Bila anak-anak bermain permainan video, mereka akan mengalami pengaliran adrenalin dan bila mereka tidak diberi bermain lasak di luar terutamanya, maka aliran adrenalin itu tiada jalan keluar dan menyebabkan anak-anak kecil itu menjadi tidak keruan perlakuan mereka.


3 Kurangkan pengambilan gula secara nampak atau tidak nampak. Nampak, maksudnya kita sendiri yang memasukkan gula itu. Tak nampak contohnya minuman soda, makanan segera dan sebagainya. Jika menyediakan makanan sediakanlah dengan penuh kasih sayang dan tenang. Makanan itu masuk ke dalam badan mereka dan menjadi darah daging.


4 Elakkan menjerit-jerit dan terlalu kerap marah. Boleh marah, tapi simpan marah itu untuk sesuatu isu yang sangat memerlukan. Contohnya, sesuatu yang berbahya baginya, seperti bermain di tengah jalan dan sebagainya. Apabila terlalu suka memarahi, marah kita itu sudah tidak ada maknanya.

Malah ia menjadi cara hidup yang anak-anak kecil itu akan ikut. Marah yang tidak dikawal dengan baik akan menyalurkan tenaga negatif yang akan diserap oleh anak-anak itu.

Maka kita akan lihat mereka pula mempunyai karakter suka marah-marah. Ibu tahu para ibu bapa semua adakalanya tidak boleh mengawal diri dan terus marah. Itu sekali sekala, tidak mengapa. Kita manusia, kita buat silap. Apa yang kita tidak mahu terjadi ialah kita menjadikan itu karakter kita iaitu suka marah-marah dan berleter



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140130/ke_03/Anak-terlalu-agresif#ixzz2rxECz8TZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan