#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 30 Oktober 2012

Dilema ibu kembara

Oleh : Siti Nur Almizan Aripin Sumber : Berita Harian
Tarikh : 30/10/2012

Antara bekas dan plastik untuk menyimpan susu perahan ibu. - FOTO DANIAL NOORDIN/


Aini ibu berkerjaya yang bersemangat tinggi hendak menyusukan bayinya dengan susu perahan ibu (EBM) secara eksklusif. Bagaimanapun, tuntutan kerjaya memerlukan dia menghadiri lawatan kerja ke Jepun selama lapan hari.
Dilema Aini, kembara itu tanpa si kecil di sisi. Tanpa pengalaman, ibu muda itu gusar bagaimana cara untuk mengendalikan EBM bagi perjalanan membabitkan tempoh yang panjang.

Malah dilema sama turut menerjah dalam kotak minda ibu di seluruh dunia apabila mereka terpaksa berjauhan dengan bayi dalam tempoh panjang terutama jika tidak pernah memberinya susu formula.

“Bergelar ibu, bukan sekadar gelaran, tapi ibu juga perlu bijak merangka dan menjangka situasi,” ujar perunding dan Pengarah Urusan Lunatots, Siti Nur Suraya Mohamed Ali memulakan bicara.

Tambah Siti Nur Suraya, desakan kerja adalah komitmen dan menambah kesukaran, wanita sering mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri.

“Jangan jadikan kerja sebagai penghalang. Perhatikan lelaki, mereka sebenarnya lebih berdisiplin berbanding wanita. Bijak ‘mencuri masa’ misalnya untuk merokok.

“Jadi, walau apa juga situasi, ibu kena kuatkan semangat dan jadikan aktiviti mengepam setiap tiga jam sebagai tabiat bagi memastikan kelenjar susu sentiasa dirangsang terutama apabila si kecil tiada bersama,” katanya.

Apabila ditugaskan keluar kawasan, ibu perlu tahu tempoh perjalanan, lokasi penginapan dan berapa lama tugasan bagi merangka proses seterusnya dalam penyimpanan EBM.

“Jika perjalanan menggunakan kapal terbang, pastikan perjalanan ke lapangan terbang, waktu menunggu mendaftar masuk dan jarak perjalanan dari lapangan terbang ke tempat penginapan diambil kira.

“Menjadi kebiasaan bagi ibu menyusu menyimpan stok EBM di dalam peti sejuk.

Jika tempat penginapan tidak menyediakan kemudahan itu, usah malu meminta pertolongan staf hotel menyimpan stok itu di peti sejuk di dapur hotel.

“Bagaimanapun, jangan lupa masukkan botol atau plastik penyimpanan susu pakai buang (liner) dalam plastik besar dan dilabelkan nama anda, nombor bilik serta telefon bersama label ‘susu ibu’,” katanya.

Jelas Siti Nur Suraya, penyimpanan EBM di peti sejuk beku penting bagi ibu yang perlu berada di luar kawasan melebihi empat hari.
Susu yang diperah tahan lima hari di dalam peti sejuk dan selepas lima hari, ia perlu dibawa ke peti sejuk beku (freezer).

Sementara itu, bawa bekas menyimpan susu sama ada botol atau plastik secukupnya.

Kata Siti Nur Suraya, kaedah penyimpanan menggunakan plastik menjimatkan ruang tapi botol susu pula lebih tahan lasak dan tidak mudah pecah.

Membawa pulang EBM dikatakan rumit, namun kata Siti Nur Suraya, ibu hanya perlukan kotak pendingin (cooler box) atau beg pendingin (cooler bag), pek ais secukupnya dan pembungkus plastik.

“Secara peribadinya, saya sarankan ibu yang mengembara sendirian menyimpan EBM di dalam beg (simpan dalam kargo) kerana ada sesetengah negara tidak mesra EBM.

“Namun, kelebihan kotak pendingin, ia lebih kedap dan EBM juga tidak mudah cair atau tumpah. Bagi yang memilih menggunakan kotak pendingin, pastikan ia dibungkus, ditampal pelekat fragile, keep up right atau handle with care,” katanya.

Bagi memastikan EBM kekal dalam suhu sepatutnya, letakkan pek ais di bahagian bawah dan atas. Boleh juga taburkan garam di dalam bekas bagi mengelakkan ais cepat cair.

Bagaimanapun, jika menggunakan kaedah yang betul, EBM yang disimpan di dalam kotak pendingin atau beg pendingin (0-4 darjah celsius) boleh bertahan antara 12 hingga 24 jam.

“Apabila selamat tiba di destinasi, ibu harus segera pulang ke rumah. EBM yang sudah dibekukan dan masih mempunyai ais kristal, boleh dibekukan kembali, manakala yang beku tapi sudah cair kena habiskan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Ramai tidak sedar bahaya pil kurus

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN ikhwan.hamidun@kosmo.com.my
Sumber : Kosmo
Tarikh : 30/10/2012

PIL Duromine boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa merujuk kepada doktor terlebih dulu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keinginan mempunyai badan yang cantik dan langsing dengan cepat menyebabkan sebilangan pengguna hari ini tidak menghiraukan kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan yang boleh membahayakan diri mereka.

Ada antara mereka yang cuba mengambil jalan singkat untuk mengurangkan berat badan tanpa mengamalkan diet yang seimbang sehingga menyebabkan mereka menderita penyakit seperti bulimia (memuntahkan makanan) dan anoreksia (takut untuk makan).

Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang terlalu taksub dengan kempen penjualan pil-pil kurus seperti pil Duromine yang sebenarnya boleh memberikan kesan buruk kepada diri sendiri.

Pil berkenaan tidak boleh dibeli di farmasi ataupun kedai ubat kerana ia merupakan ubat kawalan dan boleh didapati melalui preskripsi doktor sahaja.

Menurut seorang pengamal perubatan, Dr. Hamdi Mohd. Noor (gambar kecil), pil Duromine sebenarnya hanya dibenarkan kepada mereka yang mengalami risiko perubatan sekiranya terus mempunyai berat badan berlebihan.

Beliau berkata, pil tersebut akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan seseorang.

“Duromine juga cuma diberikan kepada mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang melebihi 30 agar berat badan mereka dapat dikurangkan.

“Ia selalunya diambil untuk tempoh masa yang singkat dan sekiranya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas dua minggu maka pengambilannya harus dihentikan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Norfazilawaty Abdul Latif memberitahu, pil tersebut mempunyai banyak kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang.
“Sesiapa yang mengambil pil tersebut sebenarnya berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit seperti kegagalan buah pinggang, gangguan atau susah untuk tidur, sembelit, mati pucuk dan banyak lagi.

“Pil tersebut juga akan mengganggu metabolisme hati di mana hati tidak dapat memproses glukosa dengan sempurna dan akhirnya ia akan menjejaskan kesihatan,” katanya.
Tambah Norfazilawaty, pengambilan pil tersebut merupakan jalan terakhir kepada mereka yang mengalami masalah berat badan kerana ia bukanlah cara yang betul untuk mengurangkan berat badan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada sesiapa yang ingin mengurangkan berat badan supaya mengubah cara hidup yang sedia ada kepada amalan yang lebih sihat.
Ujarnya, menjaga pemakanan, bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang merupakan cara yang sihat dan tidak membahayakan kesihatan.