#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, 30 September 2012

Hukum berpakaian tapi telanjang

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
Berita Harian - Agama
2012/09/30

Mengapa masih ramai perempuan yang tidak mengambil berat persoalan aurat dengan memakai pakaian yang merangsang syahwat lelaki. Saya rasa tidak salah untuk mengatakan kejadian rogol dan buang bayi ini yang berlaku adalah kesan daripada perempuan yang mendedahkan aurat sehingga merangsang syahwat lelaki. Apa pendapat ustaz? Saya juga ingin bertanya mengenai hukum menghias rumah dengan ukiran? Adakah Islam mengharamkannya?

PAK MAN
Gombak, Selangor.

Antara sebab utama masih ramai dalam kalangan perempuan yang masih memakai pakaian yang tidak menutup aurat atau menutup aurat tetapi tidak sempurna adalah faktor kejahilan berkaitan persoalan agama. Mungkin ada yang tahu hukum menutup aurat tetapi mereka ini sombong seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW iaitu menolak kebenaran.

Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang kelihatan bentuk tubuh dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk antaranya ialah pakaian yang dapat mempertajam bahagian tubuh terutama tempat yang membawa fitnah seperti buah dada, paha dan sebagainya.

Golongan ahli neraka

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya: Pertama, kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang mereka buat untuk memukul orang (maksudnya pemerintah yang kejam). Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol (bukhtun) unta. Mereka ini tidak boleh masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat terhidu sejauh perjalanan sekian dan sekian.
Mereka dikatakan berpakaian kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi untuk menutup aurat kerana itu mereka dikatakan telanjang kerana pakaiannya terlalu nipis sehingga memperlihatkan tubuh seperti yang dipakai oleh sebahagian pakaian perempuan sekarang.

Bukhtun adalah salah satu jenis unta yang mempunyai bonggol besar. Rambut orang perempuan seperti bonggol unta kerana rambutnya ditarik ke atas. Jika diperhatikan kepada hadis itu seolah-olah Rasulullah SAW melihat apa yang berlaku pada zaman sekarang ini iaitu ramai perempuan cenderung untuk membuat rambut dengan pelbagai fesyen dalam salun yang disebut sebagai salun kecantikan, manakala ramai lelaki yang bekerja di salun kecantikan dengan upah yang sangat tinggi.

Ada juga perempuan yang berasa tidak puas dengan rambut asli kurniaan Allah. Kerana itu mereka membeli rambut palsu yang disambung dengan rambutnya yang asli supaya kelihatan lebih cantik sehingga ia menjadi perempuan yang menarik dan memikat hati.

Islam tidak melarang penganutnya menghias rumah dengan karangan bunga yang berwarna-warni dan ukiran-ukiran serta hiasan yang halal. Oleh kerana itu Allah SWT berfirman dalam surah al-Araf ayat 32 yang bermaksud: Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah Ia keluarkan untuk hamba-hamba-Nya.

Sekali lagi ingin mengatakan bahawa seorang Muslim tidak berdosa untuk menghiasi rumahnya, pakaiannya, kasutnya dan sebagainya. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim (yang bermaksud): Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada perasaan sombong sekalipun sebesar zarah. Kemudian ada seorang lelaki bertanya: Ya Rasulullah! Seseorang itu suka kalau pakaiannya baik, dan kasutnya baik. Adakah ia termasuk kesombongan? Nabi SAW menjawab: Sesungguhnya Allah itu baik, Ia suka kepada yang baik.
Suka keindahan

Dalam hadis riwayat Abu Daud pula menyebut (yang bermaksud): Ada seorang lelaki yang kacak datang kepada Nabi SAW, kemudian ia bertanya: Saya ini sangat suka kepada keindahan dan saya sendiri telah diberi keindahan itu sebagaimana yang tuan lihat sehingga aku tidak suka kalau ada seseorang yang mahu mengatasi aku dengan menyamakan kasutnya. Adakah ini termasuk kesombongan wahai Rasulullah? Jawab Nabi SAW: Tidak! Sebab yang disebut kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan menghina orang lain.

Namun Islam tidak suka berlebih-lebihan dalam segala hal. Nabi SAW sendiri tidak suka seorang Muslim yang rumahnya itu penuh dengan lambang kemewahan dan kemegahan kerana berlebih-lebihan itu dicela oleh al-Quran.

Rabu, 26 September 2012

Enam cara capai keredaan Allah

Rizal Azman Rifin
2012/09/26
Sumber : Berita Harian - Agama

Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, seharusnya menuju kepada matlamat memperoleh keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia seharusnya menepati jalan dibenarkan agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan ditetapkan.
Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah, beberapa panduan dikemukakan Imam at-Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri.

Pertama, kita mesti bertaubat kepada Allah. Menurut beliau, tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Panduan beliau ini memang tepat seperti diperintahkan Allah kepada kita.

Banyak sekali ayat Allah memperkatakan suruhan bertaubat. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang membawa maksud: “Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri.”
Allah SWT juga berfirman bahawa orang bertaubat adalah insan yang akan mendapat kebahagiaan. “Orang yang bertaubat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu.” (At-Taubah: 112)

Kedua ialah hidup dalam keadaan zuhud. Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang zuhud terhadap dunia tidaklah bermakna kita mengharamkan yang halal dan tidak mahu berusaha mencari harta kekayaan, tetapi zuhud yang sebenarnya dan menepati erti makna ialah adanya keyakinan dan berqanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah.

Pesanan ketiga at-Tirmizi ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah.

Petua keempat ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Hal ini bertepatan apa dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah. Kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku nescaya kamu akan dicintai Allah.” (Ali-Imran: 31).

Seterusnya kata Imam at-Tirmizi lagi, “Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah SWT. Ini kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh.”

Pesanan terakhir Imam at-Tirmizi ialah manusia perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara mendirikan solat khasnya yang wajib termasuk sunat.

Elakkan tekanan kerja melampau

Sumber : Kosmo - Varia

Ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa tekanan kerja sebenarnya merupakan sebahagian daripada penyakit epidemik yang sedang menyerang kita semua.


TUNTUTAN dunia kerjaya memerlukan perhatian dan kesungguhan walaupun adakalanya kita merungut tentang beban tugas, kekangan waktu dan persekitaran tempat bekerja.


Kita terpaksa bekerja kerana itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi menyara kehidupan dan keluarga.


Bagaimanapun, janganlah pula kita terlalu asyik dengan kerja sehingga mengabaikan kesihatan diri.


Walaupun pekerjaan memberikan kita kebahagiaan, kajian-kajian yang dibuat jelas menunjukkan bahawa pekerjaan juga 'menyumbangkan' pelbagai jenis penyakit kepada manusia, baik bersifat psikologikal atau fizikal.


Tekanan kerja yang melampau misalnya, bukan sekadar menyebabkan manusia terpaksa mengharungi kebimbangan, masalah tidur, penyakit fizikal seperti serangan jantung dan darah tinggi, malah ada yang sampai membawa ke tahap kematian.

Asia merupakan satu-satunya rantau yang memaksa manusia bekerja dengan sangat teruk.

Walaupun jumlah jam kerja ideal yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hanyalah 40 jam seminggu, didapati secara puratanya para pekerja di Asia bekerja lebih daripada 60 jam seminggu, bahkan ada yang mencecah 90 jam seminggu.


Bunuh diri dan kematian yang berpunca daripada pekerjaan mungkin sesuatu yang janggal dalam budaya kita. Bagaimanapun, harus diingat statistik menunjukkan pekerja di Asia sedang mengalami masalah serius.


Mati akibat kerja


Secara global, dianggarkan seramai 2.5 juta manusia telah membunuh diri kerana kerja dan 60 peratus daripada kes membunuh diri berlaku di Asia.


Di Jepun sahaja, yang terkenal dengan simptom karoshi (kematian akibat terlalu teruk bekerja), dianggarkan 10,000 pekerja mati kerana pekerjaan setiap tahun.


Trend itu nampaknya sedang merebak ke beberapa negara lain di Asia. Semua ini bermula dengan jumlah masa bekerja yang mencapai tahap optimum. Mereka mengalami burnout dan kemurungan teruk yang kemudiannya memaksa mereka mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.


Sebenarnya, negara kita juga sedang menghadapi masalah yang sama. Laporan Kementerian Kesihatan misalnya menunjukkan kadar prevalen kemurungan dalam kalangan golongan dewasa mencapai 1.8 peratus.

Walaupun ia mungkin diakibatkan oleh pelbagai sebab, tetapi salah satunya mungkin berpunca oleh pekerjaan.

Malangnya, dalam konteks budaya kita, aspek kesihatan psikologikal ini tidak dianggap sebagai isu besar.


Apabila berlaku tekanan kerja seperti kemurungan, rasa cemas dan tidak dapat tidur malam misalnya, banyak daripada kita mengambil jalan mudah dengan membuat kesimpulan bahawa individu tertentu terkena gangguan makhluk halus atau buatan orang.


Jarang yang cuba berfikir bahawa mereka mungkin sedang mengalami gangguan yang berpunca daripada bebanan pekerjaan.


Ini menjadikan, ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa tekanan kerja sebenarnya merupakan sebahagian daripada penyakit epidemik yang sedang menyerang kita semua.


Sekiranya tidak diatasi, ia akan menyebabkan penyakit yang lain termasuklah darah tinggi, serangan jantung atau penyakit fizikal yang lain.


Kajian-kajian juga merumuskan bahawa pekerjaan adakalanya menyebabkan rumah tangga terganggu, khususnya apabila emosi negatif yang timbul akibat oleh pekerjaan dibawa pulang ke rumah.


Perasaan marah atau tekanan yang berlaku di tempat kerja kemudiannya telah menyebabkan keluarga dan anak-anak menjadi mangsa.


Salah satunya ialah melalui contagion effects. Sindrom ini berlaku apabila seseorang mengalami perasaan negatif seperti murung dan perasaan kemudiannya dipindahkan kepada pasangan atau keluarga mereka di rumah.


Pergilah bercuti


Salah satu langkah yang boleh diambil termasuklah bercuti. Hal ini kerana bercuti didapati mampu menghindar kita semua daripada diserang pelbagai penyakit psikologikal termasuklah kepenatan dan kemurungan.


Salah satu teori yang selalu dikemukakan bagi mengupas isu berkenaan ialah Conservation of Resources Theory.


Teori itu menerangkan mengenai pekerjaan yang menyebabkan manusia mengalami pengurangan 'tenaga' psikologikal dalam diri. Ia mencetuskan tekanan kerana manusia tersebut perlu berjuang untuk mendapatkan tenaga yang hilang.


Bagaimanapun, dengan bercuti, ia mampu mengembalikan tenaga psikologikal tersebut.


Semoga kita sentiasa menghargai peluang bercuti apabila tiba waktunya. Kesempatan tersebut melupakan kita seketika dengan kesibukan dunia pekerjaan dan memulihkan semula tenaga kita untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Wanita terus jadi mangsa diskriminasi

Oleh Nik Salida Suhaila
2012/09/13
Sumber - Berita Harian - Agama

Mentauhidkan diri kepada Allah SWT adalah rukun Islam yang pertama dan menjadi prasyarat kepada sesiapa ingin mengabdikan diri sebagai hamba sebenar. Justeru, mengaku sebagai hamba, tetapi culas mentaati perintah tuannya, satu kepincangan yang nyata.

Bagi sesiapa yang nekad menjadi Muslim, mereka tiada pilihan, melainkan berseteru dengan larangan Tuhan dan dosa. Islam adalah agama membawa cahaya menerangi kegelapan. Islam satu-satunya agama yang benar dan membawa kebenaran. Kejahilan yang menjadi ikutan dan cara hidup manusia pada masa lampau berganti dengan muamalah insani yang penuh adab dan hikmah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah Islam. (Surah Ali-Imran, ayat 19)


Umat Islam di Malaysia beruntung


Umat Islam di Malaysia beruntung kerana Islam diperakui undang-undang dan dijadikan agama Persekutuan, malah cara hidup Islami juga tidak dihalang oleh undang-undang. Sungguhpun begitu, ada segelintir manusia yang sukar meninggalkan kejahatan dan kezaliman.


Malah menjadikan saudara seagama sebagai mangsa keruntuhan jiwa sehingga menjejaskan timbangan amal baik di akhirat kelak. Wanita contohnya, sering menjadi mangsa kezaliman. Kanak-kanak tidak terkecuali. Golongan kurang upaya pula pernah terpinggir akibat kurangnya keprihatinan kepada mereka.

Sesungguhnya Islam tidak pernah membezakan antara manusia melainkan iman mereka yang menjadi taruhan untuk kekal di dalam lindunga-Nya.


Mutakhir ini, jenayah seantero dunia berleluasa ke atas wanita. Dalam peperangan, wanita dirogol dan dibunuh. Wanita selalu menjadi mangsa rompakan. Begitu juga jenayah ragut serta serangan fizikal serta harta benda, wanita sering menjadi mangsa.


Undang-undang manusia tidak berkecuali turut mendiskriminasi wanita. Walaupun hak diberi sama seperti lelaki, tetapi persamaan mendapatkan hak bukan penentu keadilan. Keperluan berbeza dalam mendapat perlindungan tidak memungkinkan lelaki dan wanita mendapat hak.


Sukar dapat kemudahan dan pembelaan


Berbanding Malaysia, di negara maju yang majoriti penduduknya bukan Islam, umat Islam mengalami kesukaran mendapat kemudahan dan pembelaan. Namun, hak mereka sebagai manusia tidak pernah dinafikan oleh undang-undang.


Cuma, kehidupan sebagai Muslim tidak seindah seperti dialami di negara yang mengangkat Islam sebagai agama negara. Seorang teman di luar negara nyaris dilanggar kereta dan dihalau memasuki premis perniagaan kerana berhijab, walaupun undang-undang tidak pernah menyekat.


Firman Allah SWT: Dan mereka orang kafir itu sentiasa memerangi kamu hingga mereka mahu memalingkan kamu dari agama kamu. Kalau mereka sanggup melakukan yang demikian dan sesiapa di antara kamu yang murtad berpaling tadah dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya. (Surah Al-Baqarah, ayat 127)


Memang benar musuh-musuh Allah yang memusuhi umat Islam adalah orang yang sangat rugi seperti firman Allah SWT: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi. (Surah Ali-Imran, ayat 85)


Tetapi kita harus mengetahui bahawa menjadi musuh kepada agama Islam dan musuh kepada umat Islam adalah dua perkara berbeza.


Kes mahkamah di United Kingdom menunjukkan agama Islam bukan perkara yang menjadi titik tolak kepada perbalahan antara penganut, tetapi tindak tanduk penganut Islam itu sendiri.


Secara tidak langsung kita dapat fahami bahawa dunia akui tiada salahnya pada agama ini hingga boleh menyebabkan kezaliman antara manusia, tetapi perbuatan umat Islam melanggar moral dan akhlak sebagai manusia itulah yang menyebabkan porak peranda dan menjadi fitnah kepada agama.


Strategi musuh Islam

Perlu disedari bahawa musuh Islam tidak pernah jemu untuk menghapuskan agama Islam dan umatnya dari muka bumi ini. Dengan strategi dan perancangan yang rapi, mereka mendekati umat Islam untuk menjauhkan Muslimin daripada pegangan agama.


Allah SWT berfirman: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu wahai Muhammad sehingga engkau menurut agama mereka yang telah terpesong itu. Katakanlah kepada mereka: Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu tentang kebenaran, maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. (Surah Al-Baqarah, ayat 120)


Setiap individu Muslim yang menjadikan Islam sebagai pegangan dan setiap ajarannya sebagai prinsip hidup pasti tidak akan tergelincir dari landasan. Mereka tidak tertipu dengan tipu daya dalam bentuk wang ringgit mahupun kuasa. Mereka tidak terkilan kehilangan nama dan pangkat, asal saja Islam tidak diganggu gugat.

Jumaat, 14 September 2012

Pap smear penyelamat kanser

ARKIB : 02/09/2012

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

dianna.azaham@utusan.com.my

SETIAP minit, seorang wanita disahkan menghidapi kanser serviks di dalam dunia. Kanser serviks atau kanser pangkal rahim boleh menyebabkan keseluruhan rahim dibuang dan menyebabkan wanita itu tidak boleh mengandung lagi.
Malah pengesanan yang lambat juga boleh meragut nyawa akibat keseriusan kanser tersebut yang merupakan pembunuh kedua tertinggi wanita di Malaysia selepas kanser payudara!

Kanser serviks boleh berlaku kepada mana-mana wanita yang pernah melakukan seks walaupun sekali sahaja tidak kira usia dan gaya hidup kerana ia terjadi akibat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) ketika hubungan intim.

Ironinya, kanser serviks boleh dicegah dengan pengesanan awal melalui pap smear tetapi wanita memberi seribu satu alasan mengelak daripada melakukan ujian yang mampu menyelamatkan nyawa ini.

Malu antara alasan utama mereka. Bagi mereka, terkangkang dan menunjukkan alat sulit di hadapan doktor dalam keadaan sedar adalah sesuatu yang amat memalukan.

Ada juga yang membayangkan perbuatan doktor memasukkan alatan seperti spatula lalu mengorek dinding rahim mereka sebagai sesuatu yang amat menyakitkan lalu memilih untuk berserah sahaja dengan kemungkinan menghidap kanser serviks.

Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Paul Tay Yee Siang berkata, rakyat Malaysia masih kurang kesedaran tentang kepentingan melakukan pap smear atas alasan seperti malu dan takut.

"Ada juga yang merasakan mereka terlalu muda untuk mendapat kanser sedangkan ia tidak mengira usia dan ujian itu juga dapat menyelamatkan nyawa kerana ia dapat mengesan tisu-tisu yang abnormal atau dijangkiti HPV dan berpotensi untuk menjadi kanser dari awal.

"HPV merupakan virus yang biasa terjadi dan selepas ia dikesan melalui pap smear, ia boleh diubati dengan rawatan biasa bagi mengelakkan ia semakin teruk lalu berubah menjadi kanser.

"Ramai yang tidak pernah melakukan pap smear dan lewat mengesan kanser serviks yang dihidapi dan malangnya sudah terlambat untuk menyelamatkan nyawanya," ujarnya.

Apa itu pap smear Pap smear juga dikenali sebagai ujian papanicolaou yang dicipta oleh Dr. Georgios Papanikolaou (1883-1962).

Sedikit tisu diambil dari pangkal serviks ketika ujian ini dijalankan dan tisu itu dihantar ke makmal untuk mengesan tisu-tisu yang abnormal dan berpotensi menjadi kanser.

Sel serviks biasanya tidak berubah menjadi sel kanser dalam masa semalaman. Sel normal akan berubah dalam jangka masa tertentu di antara dua hingga 10 tahun sebelum menjadi sel kanser.

Ujian pap smear secara berkala berpeluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser dan rawatan awal memberi peluang yang cerah untuk sembuh.

Semasa prosedur pap smear, doktor juga boleh mengesan polip dan jangkitan.

Prosedur pap smear Terang Dr. Paul, kurang lima minit masa diambil untuk menjalani ujian tersebut dan ia tidaklah menyakitkan seperti yang sering digambarkan cuma ada sedikit rasa tidak selesa.

Doktor akan memasukkan spekulum iaitu alat seperti paruh itik ke dalam laluan rahim (melalui faraj) lalu meletakkan berus 'cyto' ke dalamnya.

Berus 'cyto' yang kecil itu digunakan untuk mengikis sedikit tisu pada pangkal rahim dengan memusingkannya 360 darjah dan sel yang diperoleh diletakkan di dalam botol khas lalu dihantar ke makmal.

"Jika normal, wanita itu boleh mengulangi ujian pap smear sekali lagi dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi dan jika tidak normal, maka ujian susulan diperlukan.

"Sasarannya mengesan perubahan tahap awal seperti prakanser kerana virus boleh berubah menjadi kanser dalam tempoh sehingga 10 tahun," ujarnya.

Katanya lagi, sehingga 80 peratus wanita akan dijangkiti HPV di dalam hidup mereka dan ia bergantung kepada ketahanan badan sama ada ia akan kekal dan menjadi lebih teruk atau hilang begitu saja.

Siapa perlu pap smear Seperti yang diterangkan, wanita yang pernah melakukan hubungan seks perlu menjalani ujian pap smear terutamanya mereka yang berusia 20 hingga 65 tahun setiap dua tahun sekali.

Jika keputusan ujian pertama adalah normal, wanita tersebut boleh mengurangkannya kepada tiga tahun sekali.

Pap smear perlu dilakukan secara berkala kerana ia boleh berlaku lagi dalam tempoh tersebut asalkan ada melakukan hubungan seks.

Dianggarkan empat daripada lima wanita yang aktif seks dijangkiti dengan HPV sepanjang hidup mereka walaupun mereka hanya mempunyai seorang atau dua orang saja pasangan.

Lebih menakutkan apabila selalunya tiada simptom atau tanda berlakunya kanser serviks pada tahap awal yang juga tempoh yang mampu merawatnya.

"Golongan paling berisiko ialah mereka yang amat aktif melakukan seks. Di kebanyakan negara barat, ujian sebegini perkara biasa dan kempen mengenainya dijalankan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Tegasnya, wanita di Malaysia perlu mengambil inisiatif melakukan ujian pap smear sebagai langkah berjaga-jaga.

Jangan bimbang kerana ujian ini mudah dan ia dilakukan oleh doktor yang terlatih!

140 bayi luar nikah diselamatkan

Sumber : Kosmo
14/09/2012

MUAR - Seramai 140 bayi luar nikah di negeri ini berjaya diselamatkan daripada digugur atau dibuang oleh ibu mereka yang kebanyakannya remaja bawah umur berusia di antara 13 hingga 18 tahun sepanjang empat tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak 2009 menunjukkan bayi yang dapat diselamatkan meningkat setiap tahun setelah ibunya ditempatkan di pusat-pusat perlindungan remaja hamil luar nikah.

Katanya, daripada jumlah itu, 23 bayi diselamatkan pada 2009 dengan Johor Bahru mencatatkan bilangan tertinggi iaitu lima bayi diikuti Muar dan Kluang masing-masing empat bayi, Kota Tinggi (3) dan Segamat serta Batu Pahat masing-masing dua bayi, selebihnya di daerah lain.

"Pada tahun 2010, jumlahnya meningkat apabila 39 bayi berjaya diselamatkan iaitu Johor Bahru (10), Muar, Pontian dan Kota Tinggi masing-masing lima bayi manakala Segamat, Muar dan Kluang masing-masing empat bayi dan di Mersing pula dua bayi.

"Bagi 2011, bilangan bayi yang diselamatkan melonjak kepada 70 orang iaitu Johor Bahru (15), Segamat (empat), Batu Pahat (tiga), Kulaijaya (satu) dan selebihnya di daerah lain.

Sehingga Julai lalu pula, sebanyak lapan bayi dari Johor Bahru berjaya diselamatkan dan daerah lain masih belum ada laporan diterima.

"Pada tahun 2009 dan 2010, semua yang diselamatkan adalah bayi berketurunan Melayu manakala pada 2011 terdapat empat bayi Cina dan dua bayi India sementara selebihnya bayi Melayu. Pada tahun ini pula semuanya melibatkan bayi Melayu," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di Sungai Balang di sini kelmarin.

Katanya, bayi-bayi tersebut dapat diselamatkan apabila remaja yang mengandung luar nikah atau ibu bapa mereka mempunyai kesedaran lalu menghantar anak-anaknya ke pusat-pusat kebajikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang itu memberitahu, di pusat-pusat kebajikan berkenaan, remaja bawah umur yang hamil itu akan dijaga dengan baik sehingga selamat melahirkan anak mereka.

Jelasnya, penghuni pusat itu juga dilatih sepenuhnya mengenai proses penjagaan bayi, selain diberi latihan dan kemahiran sebagai bekalan bagi meneruskan kehidupan selepas meninggalkan pusat itu.

Ujarnya, terdapat tiga pusat penjagaan di negeri ini yang semuanya terletak di Johor Bahru dan pihaknya bercadang membina sebuah lagi di daerah ini bagi menampung bilangan remaja hamil luar nikah yang jumlahnya meningkat saban tahun.

Beri pujian

ARKIB : 11/09/2012
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

SETIAP hari sebenarnya adalah peluang yang terbaik untuk anda menzahirkan rasa penghargaan kepada pasangan.

Ia menunjukkan bagaimana besarnya hati anda terhadap pasangan atas setiap pertolongan mahupun pemberian atau bermaknanya hubungan anda dengannya.

Hargai pasangan anda atas sikap tanggungjawab dan perhatiannya bukan sebab kerjanya. Ia berasaskan apa sahaja, mungkin si dia membantu anda memasak, mengemas rumah, menjaga anak kecil, membuang sampah atau apa sahaja yang berkaitan dengan hubungan dan perasaan.

Beritahu juga pasangan anda mengapa anda begitu menghargai apa yang dia telah lakukan untuk anda biarpun dengan sekadar ucapan 'terima kasih'.

Namun untuk mengucapkan terima kasih anda perlu kreatif, sekiranya sebutan terima kasih hanya dilafazkan seperti selalu, tentulah kurang 'magisnya'.

1. Kreatifkan ucapan

Anda boleh menyebut 'saya menghargainya..., saya amat terharu..., semoga Allah merahmati sayang... jika pasangan anda terlupa membeli sesuatu di pasar raya atas pesanan anda mungkin anda boleh berkata, 'tiada masalah besar sayang...'
2. Beritahu masalah anda dengan jujur

Jika anda mengalami masalah atau terpaksa bekerja lewat malam atau apa sahaja, beritahu pasangan anda dengan sejujurnya, seperti "sayang saya terpaksa bekerja lewat hari ini sebab hendak siapkan projek itu tapi saya rasa sangat bersalah kerana terpaksa meninggalkan sayang lebih lama," ini akan menyebabkan pasangan anda tidak terasa hati.

3. Beri nota terima kasih

Anda akan rasa terkejut membayangkan bagaimana hanya dengan nota terima kasih akan menyebabkan hari pasangan anda ceria.

4. Pujilah di depan orang ramai

Pernahkah anda memuji dan ucapkan terima kasih kepada pasangan anda di depan orang ramai atau jiran atau rakan? Ucapkanlah rasa penghargaan anda kepada pasangan ketika berada di kalangan sanak saudara untuk membayangkan rasa penghargaan anda kepada pasangan. Pasangan anda pasti terkesima.

5. Ketahui hatinya

Sekiranya pasangan anda kelihatan sedih dan rasa gelisah, usah diganggu dirinya, biarkan dia tidur seketika tanpa gangguan anak-anak daripada asyik bertanya mengapa, kenapa, apa sebabnya kepada pasangan anda atas sesuatu yang terjadi.

6. Guna kaedah biasa

Ini merupakan satu strategi yang biasa, gunalah hadiah atau bunga untuk menyatakan perasaan anda kepadanya. Tidak perlu mahal, cukuplah ia datang ikhlas dari hati.

Isnin, 10 September 2012

Anak lambat bercakap

ARKIB : 06/09/2012
Sumber : Utusan Malaysia

BEGITUPUN, ada juga keadaan di mana bayi yang normal akan lambat bercakap sehingga usia mereka mencecah dua hingga lima tahun.

Jika dilihat daripada situasi tersebut, menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Malinee Thambyayah, cepat atau lambat seseorang kanak-kanak itu bercakap banyak dipengaruhi persekitaran termasuk peranan ibu bapa.

Kata beliau, secara umum, bayi mempelajari cara percakapan menerusi orang yang berada di sekeliling mereka.

“Lazimnya bayi akan memberi tindak balas sebaik sahaja mereka dilahirkan.

“Seorang kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah.

“Untuk itu, enam bulan pertama amat penting di mana ibu bapa harus berkomunikasi dengan bayi mereka dalam usaha merangsang kanak-kanak bercakap.

“Ini kerana seawal 10 hingga 12 bulan bayi lazimnya sudah boleh mengungkapkan perkataan papa, mama, baba, ibu, umi dan sebagainya yang dalam dua perkataan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, perkembangan tersebut akan meningkat perlahan-lahan sehinggalah mereka berusia 18 bulan di mana percantuman perkataan mula dituturkan.

Kata beliau, sekiranya bayi lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusianya maka ada sesuatu yang tidak kena.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza.

Begitupun jelas Malinee lagi, masalah bercakap hanya boleh ditentukan menerusi terapi pertuturan bahasa.

Menerangkan lebih lanjut situasi tersebut, kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap.

Katanya, ibu bapa yang mengesyaki anak mereka berhadapan masalah bercakap perlu segera merujuk kepada pakar terapi.
Ini kerana lambat bercakap boleh menjadi petanda kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme, terencat akal, lembap pembelajaran dan sebagainya.

Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu.

Selain itu, perkara lain yang menyebabkan anak-anak lambat bercakap ialah tiada komunikasi antara ibu bapa dengan anak masing-masing dan juga hubungan mata yang lemah.
Hal ini terjadi kerana ibu bapa lebih gemar mendedahkan anak-anak mereka dengan gajet-gajet terkini yang tidak mempunyai komunikasi dua hala.
Apabila ini terjadi, kanak-kanak tersebut tidak didedahkan dengan perkataan-perkataan ataupun komunikasi seharian yang sepatutnya mereka dengar.

Selain itu sambung Malinee, antara petanda yang boleh dipantau ibu bapa bagi mengetahui anak mereka mempunyai masalah lambat bercakap ialah bayi tidur sepanjang masa, gagal untuk bertindak balas pada suara atau lain-lain bunyi dan tindak balas luar biasa yang berlebihan kepada rangsangan fizikal seperti bising, cahaya dan sentuhan.

“Pada usia kanak-kanak dua tahun pula dia sepatutnya sudah boleh menguasai 200 hingga 300 patah perkataan. Selain itu mereka boleh menyebut dua gabungan perkataan seperti baby nangis.

“Menjelang usia tiga tahun pula, mereka boleh menguasai 900 hingga 1,000 perkataan dan boleh menyebut beberapa baris ayat ringkas.

“Mereka juga boleh bermain dengan bunyi dan perkataan dan boleh menerima arahan. Tetapi perlu diingatkan ada sesetengah kanak-kanak yang normal tidak boleh bercakap sehingga usianya mencecah lima tahun," katanya.

Apa-apa pun, Malinee menyarankan agar membawa anak masing-masing berjumpa dengan pakar untuk mengetahui perkembangan serta masalah yang dihadapi sekiranya anak masih tidak boleh bercakap.

Khamis, 6 September 2012

Wanita solehah permata suami

Penulis : Dr Harlina Halizah Siraj
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 06/09/2012

Bijak tangani masalah, sedar tanggungjawab didik keluarga


Allah SWT mengurniakan keupayaan intelektual dan kognitif untuk berfikir kepada makhluk-Nya bergelar manusia. Dengan kemampuan itu, manusia diberikan kebebasan membuat pilihan, mahu taat dan patuh secara sukarela, atau mengingkari seruan mentauhidkan Allah serta tahu akibatnya.

Kapasiti menggunakan akal dianugerahkan Allah yang akan membezakan manusia dengan makhluk lain. Malaikat dikurniakan akal tanpa nafsu, menjadikan mereka makhluk paling taat serta tidak langsung membantah segala ketetapan dan perintah Allah. Sementara haiwan melata diberikan nafsu tanpa keupayaan akal sofistikated, sehingga mereka hanya mampu bertindak menuruti keperluan nafsu syahwat semata-mata.

Individu yang memilih jalan ketakwaan, ketaatan dan keimanan akan mendapat kemenangan serta kejayaan besar. Sementara mereka yang memilih dengan penuh sedar jalan kefasikan, kemungkaran dan kemunafikan, akan menempa azab sengsara yang berkekalan.

Firman Allah SWT: “Demi jiwa (manusia) dan penyempurnaan (kejadiannya). Maka (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams, ayat 7-10)

Peluang manusia buat pilihan

Dengan penuh kasih sayang Allah SWT, diberikan petunjuk kepada manusia melalui perutusan para Rasul dan Nabi yang membawa kitab petunjuk, panduan menerangi jalan kehidupan. Maha adil Allah yang memberikan peluang terbuka seluas-luasnya untuk manusia membuat pilihan mereka.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa memaksa kita menyembah zat-Nya yang Maha Tinggi dan Mulia, namun Dia lebih suka hamba-Nya menyerahkan diri mereka serta kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.
Suntikan capai status soleh, solehah

Tiada bezanya jalan ketaatan seorang wanita dan seorang lelaki yang mahu mencapai status soleh dan solehah di sisi Allah SWT. Mereka mestilah memastikan dua suntikan ini mampu dilaksanakan terlebih dulu.

Pertama, menyuntik akal dengan ilmu pengetahuan yang sahih dan benar, manakala yang kedua, menyuntik hati dengan iman serta takwa kepada Allah SWT.

Seorang wanita mestilah mencapai tahap kecerdasan dan kecerdikan yang tinggi untuk meraih gelaran solehah. Dia akan mencari-cari dan mengutip semua permata ilmu berharga di mana saja dia menemuinya.

Motivasi tinggi mendorong wanita solehah menggunakan potensi akal yang luar biasa dalam menentukan keputusan kritikal. Wanita solehah bukan seorang yang sekadar menurut membabi buta, perempuan biasa yang tiada minat kepada ilmu pengetahuan dan penambahbaikan diri.

Dia tidak boleh menumpang tuah suami atau bapanya yang tersohor dengan perilaku dan amalan soleh selama ini. Belum tentu dia boleh diterima secara automatik masuk ke Jannah Allah kerana sudah puluhan tahun menjadi isteri mithali kepada suami yang terkenal soleh dan warak.
Wanita harus mampu menggerakkan akalnya dengan berfikiran kritis dan sentiasa menagih penjelasan bagi setiap yang kabur dan belum difahaminya. Akalnya tajam, pemerhatiannya mendalam dan kesimpulannya mengagumkan.

Tak dipengaruhi emosi dangkal

Penuh keyakinan diri, wanita cerdik yang solehah mampu menganalisa situasi dengan objektif dan tidak semata-mata dipengaruhi emosi yang dangkal.

Dia menyedari tugas dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini memerlukannya keluar dari zon selesa, menjalankan fungsinya dengan efektif di samping memberi manfaat sebanyak mungkin kepada orang lain.

Kepintaran wanita solehah menguruskan kehidupannya dan keluarga memberi nilai tambah yang tiada bandingannya kepada suami, anak serta keluarganya. Dia bijak membahagikan masa, ruang dan peluang 24 jam sehari semalam yang dikurniakan Allah untuk kebajikan manusia yang lain.

Ayuh, tingkatkan keazaman di hati untuk menjadi wanita cerdik yang solehah, yang akan menjadi obor penerang kemajuan wanita Muslim, di mana juga mereka berada.