#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, 28 Mac 2011

Bila anak memberontak

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN Kosmo KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini. Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa. Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan. Tabiat Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. “Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas. “Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. “Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis. “Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya. Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa. “Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten. “Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu. “Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik. “Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka. “Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi. “Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik. “Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya. Wanita lebih murung Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan. Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol. “Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah. “Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya. “Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli. Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri. “Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya.

Jumaat, 25 Mac 2011

Isteri nusyuz tidak dapat nafkah

Bersama SHOLINA OSMAN

AZAM sudah tidak tentu arah, sudah puas diketuk pintu rumah tetapi langsung tidak ada sebarang jawapan. Jauh di sudut hati hatinya begitu bimbang apa sebenarnya telah berlaku kepada isterinya, Ain setelah ditinggalkan seharian.

Mujur terfikir di benaknya, ada kunci pendua yang disimpan dalam kereta. Sambil bergegas turun ke tempat parkir kereta, tangannya juga tidak henti-henti mendail telefon bimbit Ain.

Azam pelik kerana telefon Ain ditutup dan ketika pintu berjaya dibuka memang sah, puas dicari memang isterinya tidak ada di dalam rumah.

Beliau terkejut apabila nampak sekeping nota di atas meja makan tertulis perkataan yang mendebarkan 'Abang maafkan Ain kerana pulang ke kampung tanpa pengetahuan abang, biarkan Ain bersendirian'.

Patutlah semenjak malam tadi sehinggalah Azam keluar bekerja pagi tadi, Ain tidak ceria seperti kebiasaan di mana dia lebih banyak mendiamkan diri sahaja.

Azam pun tak faham, sepatutnya perkahwinan mereka yang baru menjangkau seminggu itu ceria seperti pasangan pengantin baru yang lain.

Rumah yang mereka duduki sekarang ini adalah pilihan Ain sendiri malah dia yang juga yang mereka hiasan dalamannya sehingga tidak sabar-sabar nak berpindah selepas mereka berkahwin.

Dalam tempoh itu Ain juga melayan Azam dengan begitu baik sekali seperti isteri-isteri yang lain sehinggalah dia bertindak keluar dari rumah secara tiba-tiba dengan tanpa sebab yang diketahui oleh Azam.

Kes ini adalah antara kes isteri yang meninggalkan rumah yang kini semakin banyak dibicarakan di Mahkamah Syariah di negara ini.

Kes seperti ini pernah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Satu kes telah difailkan pada X.X.2009 bagi menuntut mahkamah supaya menggunakan bidang kuasa mengikut Seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 dalam 'perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami-isteri'.

Mahkamah diminta supaya mengeluarkan perintah kembali taat kepada defendan (isteri) untuk kembali tinggal semula dengan plaintif (suami).

Sepanjang kes itu dibicarakan, defendan cuma hadir sekali sahaja iaitu ketika sebutan kes pada X.X.2009.

Saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada isteri tetapi beliau tidak memfailkan pembelaan dan tiada keterangan untuk membantah tindakan suami.

Berdasarkan fakta kes, plaintif dan defendan telah berkahwin pada X.X.2006.

Selepas 11 hari bernikah, isteri bertindak keluar dari rumah kelamin tersebut tanpa alasan yang munasabah selepas suami keluar bekerja.

Suami telah berusaha memujuk isteri untuk kembali kepadanya dengan pergi ke rumah keluarga isteri di kampung tetapi tidak berhasil.

Akibat dari tindakan isteri itu, suami telah membuat cadangan supaya menghadiri kaunseling di Pejabat Agama tetapi gagal kerana hanya suami yang hadir.

Sementara itu kata Wan Muhyiddin, isu yang dibicarakan dalam kes ini adalah mengenai kesan jika isteri masih gagal kembali taat kepada suami dari segi hukum syarak.

Jelasnya, mengikut hukum syarak, isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah.

Beliau turut merujuk kepada kes Aisny Mohd. Daris lawan Fahro Razi Mohdi (1990) di mana hakim dalam kes ini berpendapat: ''Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isterinya bergantung kepada isterinya, bergantung kepada syarat isteri itu taat kepada suaminya''.

Katanya, merujuk dalam Kitab Kifayatul Akhyar menyebut. ''Isteri yang nusyuz tidak boleh diberi belanja, sekalipun suami mampu membuatnya taat kembali."

Dalam kitab itu juga menjelaskan, kalau si isteri nusyuz pada sebahagian siang maka ada dua wajah (pendapat); pertama, ia (isteri) tidak berhak apa-apa pun, kedua, wajib memberi belanjanya pada sebahagian waktu yang ia taat.

Sehubungan itu, kedudukan kesan nusyuz di dalam hukum syarak ini selari dengan subseksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Selain itu, seseorang isteri yang telah disabitkan nusyuz sebelum bercerai juga tidak mempunyai hak untuk menuntut nafkah tertunggak.

Ia juga termasuk 'nafkah idah' seperti mana dinyatakan dalam kes Hasanah Abdullah lawan Ali Muda (1999), dengan merujuk kenyataan kitab Kifayatul Akhyar, Juzu' 2, muka surat 82 yang bererti;

''Jika seseorang menceraikan isterinya yang sedang nusyuz kepadanya maka isteri tersebut tidak berhak mendapat tempat tinggal selama dalam idah kerana isterinya itu tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal menurut dasar pernikahan.''

Wan Mahyuddin juga menjelaskan mengenai isu kedua bagi kes itu sama ada boleh atau tidak isteri diperintahkan supaya kembali taat kepada suaminya.

Oleh itu mahkamah berpandangan selagi pihak-pihak belum dibuktikan telah bercerai maka mereka masih lagi dianggap sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Di dalam tempoh perkahwinan ini, plaintif selaku suami yang sah menurut hukum syarak sudah tentu mempunyai kekuasaan mutlak ke atas defendan sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.

Berdasarkan keterangan plaintif dan saksi-saksi, plaintif berhasrat ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan tetapi defendan enggan kembali kepada plaintif.

Di dalam hukum syarak, suami boleh menceraikan isteri sekiranya isteri nusyuz dan selepas pihak-pihak gagal dalam meneruskan perkahwinan disebabkan faktor-faktor tertentu.

Maka mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan dan membuat keputusan di mana defenden (isteri) diperintahkan kembali taat kepada plaintif dengan kembali hidup bersama-sama plaintif.

Sekiranya isteri gagal untuk kembali taat selepas 30 hari perintah ini dikeluarkan maka dianggap menghina perintah mahkamah ini dan boleh disabitkan nusyuz kepada defendan.

Tibi bukan santau

RAUT wajah Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif, berkerut tatkala mengulas mengenai sikap sesetengah masyarakat alaf baru yang masih degil.

Beliau sendiri kurang faham dengan stigma rakyat negara ini yang sering mengaitkan penyakit tibi dengan santau.

"Sebagai doktor pakar tibi yang berpengalaman lebih sedekad, saya sering berjumpa kes yang mengaitkan batuk berdarah dikaitkan dengan santau.

"Biasalah bomoh, dia akan cakap orang ni, orang itu buatlah. Lepas itu, bagi ubat jampi tapi masalahnya, mangsa tidak sembuh-sembuh," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Razak mempunyai cerita sedih mengenai kepercayaan itu.

"Dulu, saya pernah merawat pelajar sekolah yang batuk berdarah, keluarga fikir anaknya kena santau jadi mereka jumpa bomoh. Bila jumpa saya, dia makin kronik dan akhirnya meninggal dunia.

"Tahun lalu juga, berlaku tragedi sama yang melibatkan seorang pelajar berusia 16 tahun," kata doktor pakar yang pernah bertugas di Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan sebelum bertugas di IPR Kuala Lumpur.

Sememangnya kupasan mengenai penyakit berjangkit itu sangat panjang. Abdul Razak turut ditanya sama ada penggunaan shisha boleh mendedahkan seseorang kepada tibi.

"Jawapannya tidak, melainkan individu yang menghisap shisha itu merupakan penghidap tibi dan kemudiannya berkongsi paip shisha dan menghembuskan asap ke udara," jelasnya.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu dokumen yang bertajuk, Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise menyatakan, tembakau dalam sebarang bentuk termasuk shisha tetap berupaya mendatangkan bahaya kepada penggunanya.

Satu sesi penggunaan shisha di antara 20 minit hingga 80 minit akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak pada masa yang lebih lama berbanding sebatang rokok.

Asap daripada shisha yang terhasil daripada pembakaran tembakau dan arang juga mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu, ia juga terkandung hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan elemen penyebab kanser tetapi kadarnya belum dapat dipastikan.

Kemiskinan tegar

Walau bagaimanapun, kata Abdul Razak, kajian mengenai shisha belum dilakukan secara intensif seperti rokok.

Adakah pendatang asing penyumbang utama kepada jangkitan tibi di Malaysia? Jawapannya juga tidak.

Abdul Razak berkata, hanya 10 peratus pesakit dijangkiti tibi kerana tahap kesihatannya tidak disaring, tetapi di antara 70 hingga 80 peratus daripadanya disebabkan faktor lain seperti kemiskinan tegar. Selain itu, ia juga mempunyai kaitan dengan penyakit kronik seperti diabetes, kanser dan HIV serta mereka yang kuat merokok.

Menceritakan tentang senario penyakit maut itu di Malaysia, beliau memberitahu, jumlah kes tibi mengalami peningkatan kes satu peratus dalam tempoh setahun.

Itu semua kerana masih ramai yang kurang ambil tahu dan kurang kesedaran terhadap tibi.

"Setiap tahun berlaku peningkatan pesakit tibi dan tahun lalu saja ia mencecah hingga 18,000 kes, membabitkan kira-kira 1,600 kematian yang dibimbangi terus meningkat," ujarnya sambil memberitahu, IPR sering menerima pesakit pada tahap kritikal. Sedangkan penyakit tibi sebenarnya dapat disembuhkan dalam tempoh enam bulan mengikut preskripsi yang ditetapkan.

Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai yang mengalami simptom tibi segera berjumpa doktor yang bertauliah untuk dapatkan nasihat.

"Janganlah kerana kita, orang lain yang tak bersalah turut terjejas.

"Mesej terakhir daripada saya, bersama-samalah kita berganding bahu mencegah penyebaran penyakit bahaya ini," katanya penuh harapan.

Sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut setiap tahun hari ini, pihak institut juga dijadualkan akan mengadakan sambutan hari bersejarah itu pada 28 Mac di IPR di Kuala Lumpur.

Pelbagai acara diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma. - MAZLINA ABDUL MAJID

Akibat tidak ikut nasihat doktor

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


Bertarung dengan Tibi

WAJAH enigma Nisa bertukar keriangan apabila disapa Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif.

“Nisa, ada wartawan ingin menemubual awak, awak ok ke?,” kata Abdul Razak sambil menyelak langsir katil di wad IPR Rabu lalu.

Tanpa ada bantahan, Nisa bingkas bangun dari katilnya lantas bersuara: “Tiada masalah Datuk, apa salahnya berkongsi cerita tentang penyakit saya, saya sudi.”

Rundingan mudah antara doktor dan pesakit itu se memangnya telah membuka ruang untuk penulis menebak kisah Nisa yang menghidap penyakit tibi. . Tanpa berselindung, wanita yang berumur 35 tahun itu memberitahu, dia menyewa sebuah bilik berharga RM20 sebulan di sebuah flat di Chow Kit bersama rakannya.

“Saya ibu tunggal dan ada seorang anak perempuan duduk di rumah ibu,” ujarnya yang duduk bersimpuh atas katil wad. Kemudian dia membetulkan ikatan rambutnya dan menegakkan posisi badannya, tanda dia bersedia menjawab pelbagai soalan yang ingin dilontarkan.

Sebelum itu, dia dinasihatkan Abdul Razak untuk memakai topeng udara. Sebagai langkah berjaga-jaga, penulis juga diminta untuk berbuat demikian bagi mencegah sebarang jangkitan.

Bicara semakin serius tatkala dia mula menitipkan cerita bagaimana dia mula menghidap penyakit tibi yang begitu menyesakkan hidupnya.

Langgar pantang

“Sebenarnya, saya pernah kena penyakit ini sekitar tahun 2003, tapi mahu tahu kenapa saya masih lagi di sini (wad), jawabnya ialah saya telah langgar pantang,” ujar Nisa yang menyalahkan dirinya sendiri.

Kata anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak mengikut preskripsi yang telah ditetapkan oleh doktor.

Sepatutnya dia harus makan 12 biji pil ubat dalam tempoh enam bulan tanpa gagal.

“Saya degil, tak ikut cakap doktor. Akibatnya, dua bulan lalu, nyawa saya bagai di hujung tanduk apabila saya disahkan diserang simptom tibi sekali lagi.

“Saya mengalami batuk berlarutan, jantung rasa sakit, muntah dan gagal bernafas dengan baik. Akhirnya saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian di pindahkan ke IPR,” katanya yang memberitahu bahawa keluarga sebelah ibunya, mempunyai sejarah penyakit berjangkit itu.

Nisa memberitahu, dia mempunyai sebab yang kuat membuka bicaranya dengan memberitahu lokasi tempat tinggalnya. Penulis sebenarnya dapat meramal bahawa kedudukan geografi kediamannya itulah penyumbang kepada penyakit yang dialaminya.

Chow Kit adalah sebuah kawasan yang cukup terkenal. Namun masyarakat harus akui, persekitaran di situ agak menakutkan.

Chow Kit yang terletak di jantung ibu kota didominasi oleh warga asing. Ia di burukkan lagi dengan lalu-lalang kenderaan yang bertali arus.

Udara tercemar

Sampah sarap yang bertaburan ditambah dengan bau yang menjengkelkan memang tidak payah cakap, pihak berkuasa tempatan pun sudah kering air liur menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan.

Dalam erti kata lain, persekitaran Chow Kit sangat kotor.

“Sememangnya apa yang kamu senaraikan tentang tempat itu, memang benar. Saya telah menyedut udara tercemar dengan kuman tibi.

“Tapi ingin saya tekankan sebab utama saya kena tibi semula ialah kerana saya tidak ikut prosedur menghabiskan rawatan enam bulan seperti yang ditetapkan doktor,” katanya.

Bagaimanapun, Nisa membongkar rahsia kedegilannya. Peringkat awal menghidap penyakit itu pada tahun 2003, dia benar-benar mahu segera sembuh.

Namun kekangan kewangan yang menghantui ibu tunggal itu telah membantutkannya ke hospital. Wang hasil kerjanya perlu diperuntukkan kepada anak tersayang.

Kali ini, dia bernasib baik, rawatan terbaik yang diberikan secara percuma di IPR akan menjadikan dia seorang yang sihat semula.

Ujar wanita itu, kini dia makin berselera. Berat badan yang dulunya 44 kilogram (kg) kini mencecah 51.7 kg merupakan indikasi bahawa wanita itu makin sihat.

Jiran katil Nisa, Iman, 34, mempunyai simptom yang sama tetapi kepercayaan konvensionalnya telah memakan diri.

“Saya fikirkan saya kena santau sebab saya batuk dan muntah berdarah.

“Menguatkan lagi kepercayaan yang saya terkena santau apabila doktor gagal mengesan penyakit tibi dan hanya memberitahu, saya hanya mengalami demam biasa,” ujarnya.

Hilang selera

Wujud kekhuatiran dalam benak wanita yang juga seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di ibu kota itu. Segala bentuk ubat-ubatan kampung yang diberi oleh dukun juga tidak memulihkan kesihatannya.

Sebaliknya, Iman memberitahu, ada perkara pelik terjadi. Pada waktu pagi, suhu badannya normal. Bagaimanapun, pada sebelah petang hingga ke malam, seluruh tubuhnya akan panas.

Akhirnya, atas nasihat majikannya, Iman merujuk seorang pakar yang berjaya mengesahkan dia terkena jangkitan tibi.

Sukar untuk ibu kepada seorang anak itu memberi sebab mengapa dia mendapat jangkitan penyakit tibi.

Namun, dia mengesyaki tuntutan pekerjaan yang memerlukan dia bercakap dan bergaul dengan pelanggan hotel yang datang dari dalam dan luar negara merupakan faktor utama kepada penyebaran kuman tibi yang tersebar melalui udara.

Sama seperti Nisa, impak kepada penyakit yang dulu dikenali sebagai batuk kering, Iman hilang selera makan.

“Kita memang terasa nak makan itu dan ini tapi bila makanan itu ada depan mata, kita tak mampu nak telan.

“Percaya atau tidak, badan saya susut 14 kg disebabkan tibi,” katanya yang baru dua minggu menjadi tetamu kepada wad IPR Kuala Lumpur.

Sedang penulis dan Iman masih rancak berbual, Nisa hadir menghampiri kami. Nisa kemudiannya seolah-olah memberi mandat kepada Iman agar jangan mengikut jejak langkahnya yang mengingkari nasihat pakar.

“Jangan tinggal walau satu hari pun dan ingat kalau kita terlupa sehari, kita terpaksa mengulangi sekali lagi putaran preskripsi dari awal,” pesan Nisa kepada Iman.

Kepada orang ramai, Iman pula mengingatkan bahawa nyahkan kepercayaan karut sebaliknya dapatkan rawatan di hospital.

Penyakit tibi, hakikatnya tidak mengenal batasan kehidupan seseorang. Tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, kuman tibi mampu menyerang.

“Masyarakat perlu lebih peka kepada penyakit yang berbisa ini, hindari kawasan sesak yang boleh beri kita risiko,” kata mereka yang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IPR yang menjaga mereka dengan baik.

Dalam pada itu, menurut Abdul Razak, mengikut prosedur biasa, seseorang penghidap tibi akan menjalani rawatan yang dikenali sebagai Short Course Chemotheraphy (SCC) yang mengambil masa enam bulan.

“Pesakit akan diberi 12 tablet ubat setiap hari dalam tempoh itu dan mereka mesti dipastikan makan ubat tanpa putus, jika tak, penyakit bolah datang semula,” ujarnya.

Pemberian ubat adalah mengikut kaedah Directly Observed Therapy Short Course (DOTS) yang mempunyai lima cabang rawatan.

Pada dua bulan pertama, rawatan harian akan diberikan. Kebiasaannya, ia mengandungi empat jenis ubat yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.

Jumaat, 18 Mac 2011

Awasi pengaruh filem asing

SEBANYAK 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia bagi tempoh lima tahun sejak 2005. Statistik yang direkodkan itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak lebih-lebih lagi anak perempuan, statistik di atas pastinya membangkitkan kekhuatiran dan kebimbangan.

Bimbang jika perkara yang tidak diingini itu berlaku kepada anak-anak gadis yang disayangi dan ditatang ibarat minyak yang penuh.

Apa yang pasti, Islam mempunyai cara tersendiri dalam mendidik atau mentarbiah anak-anak supaya nafsu yang dikurniakan Allah itu tidak disalah-guna atau disalurkan ke perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam.

Timbalan Pengarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, kebanyakan gejala sosial dalam masyarakat mula berlaku di peringkat usia remaja dan juga semasa di bangku sekolah.

Seringkali, kata beliau, perlakuan orang dewasa atau ibu bapa mudah dicontohi oleh anak-anak.

"Tiada pengawasan oleh orang dewasa menjadikan anak-anak terjebak ke kancah maksiat," katanya.

Menurut Dr. Zulkifli, sebab itu, pendidikan awal anak-anak amat penting kerana anak-anak yang membesar dalam kelompok yang sihat, maka baiklah anak itu dan begitulah sebaliknya.'

Sebab itu, kata beliau, Islam menitikberatkan penyelesaian di peringkat akar umbi iaitu manusia sendiri.

"Al-Quran melihat manusia sebagai agen pembangunan yang utama di muka bumi. Berjaya atau tidak pembangunan di dunia bergantung kepada manusia," jelasnya.

Justeru, al-Quran menggariskan dua gagasan dalam menangani isu ini iaitu membangunkan diri remaja dan membanteras cabang masalah.

Kata Dr. Zulkifli, isu melibatkan remaja tidak mudah diselesaikan jika masalah yang melibatkan manusia tidak ditangani dengan baik.

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membangunkan diri remaja kerana remaja yang tidak membangun jiwanya akan menyalahgunakan pembangunan fizikal.

"Mereka akan menjadi makhluk perosak merosakkan kemudahan fizikal sama ada di rumah flat, jalan raya dan tempat-tempat awam," katanya.

Pada masa yang sama, ibu bapa mesti serius membimbing anak-anak ke arah masa depan yang gemilang.

Biasanya, kata Dr. Zulkifli, mereka yang tidak mendapat perhatian di rumah akan mencari rakan sebaya yang boleh memenuhi ego dan keperluan tersebut.

Menurut beliau, faham keagamaan yang cetek turut menyumbang kepada pertumbuhan gejala sosial di kalangan remaja termasuk berzina.

Ada di kalangan umat Islam yang jika tahu tentang agama pun hanya serpihan sahaja seperti hal berkaitan ibadah solat, puasa, tahlil, akikah dan beberapa juzuk kecil.

"Mereka tidak mendalami agama sebagai sesuatu yang bertitik tolak daripada akidah.

"Mereka juga tidak faham hukum hakam agama yang akan mempengaruhi sikap mereka dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan," katanya.

Bagi membanteras cabang masalah, Dr. Zulkifli mencadangkan supaya media massa dan hiburan diberi suntikan pendidikan bersepadu dunia dan akhirat.

Katanya, kesan penayangan adegan bercumbu, pendedahan aurat dan berpelukan cukup mempengaruhi minda remaja.

"Malah, kebanyakan filem import juga membawa budaya dan norma yang bertentangan dengan budaya tempatan," katanya.

Pendidikan seks dalam Islam

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

BAB seks sering dianggap tajuk yang sensitif untuk dibincangkan secara terbuka. Justeru, ada ibu bapa yang berharap anak-anak akan 'belajar' atau memahaminya secara semulajadi, tanpa perlu bersoal-jawab dengan ibu bapa.

Sebab itulah, ramai yang menyatakan kebimbangan jika cadangan mewujudkan subjek pendidikan seks di sekolah menjadi kenyataan.

Jangkaan ibu bapa, jika ia diajar di sekolah, rasa ingin tahu anak-anak akan membuak-buak lantas membawa mereka melakukan eksperimen terhadap ilmu baru yang diperolehi itu.

Pendidikan seks di rantau Asia melalui status perkembangan yang pelbagai. Negara seperti Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan mempunyai rangka polisi yang sistematik tentang pengajaran seks di sekolah.

Bagaimanapun, Malaysia dan Thailand melihat pendidikan kesihatan reproduktif adalah lebih sesuai kepada golongan remaja.

Di Jepun, pendidikan seks adalah wajib bagi remaja berusia antara 10 ke 11 tahun. Bagaimanapun topik utamanya berkisar kepada bab biologi seperti baligh yang melibatkan bab haid dan keluar mani.

Di China dan Sri Lanka, pendidikan seks tradisionalnya adalah membaca buku teks biologi yang berkaitan bab reproduktif. Sri Lanka juga hanya mengajar bab ini apabila remaja berumur 17 dan 18 tahun.

Demikian antara senario apabila membicarakan bab pendidikan seks di beberapa negara di rantau Asia ini.

Bagaimanapun, pendidikan seks sebenarnya bukan semata-mata membincangkan bab hubungan intim suami isteri. Sebaliknya, ia melibatkan isu berkaitan anatomi manusia.

Bagi ibu bapa yang menghalang pendidikan seks diajar di sekolah, kita memahami kebimbangan mereka. Namun, untuk memutuskan pendidikan seks tidak perlu diajar kerana merasakan anak-anak itu akan tahu sendiri, bukan tindakan yang bijak.

Sebenarnya, ibu bapa tidak ada pilihan. Sama ada mereka membenarkan ia diajar di sekolah, atau mereka sendiri yang perlu mengajarnya.

Jika tidak, memang anak-anak itu akan tahu sendiri tetapi kita bimbang mereka mengetahuinya daripada sumber-sumber yang mungkin menjerumuskan mereka ke kancah yang ingin kita elakkan itu. Apatah lagi dengan dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari menerusi Internet.

Tambahan pula, ada bukti bahawa tanpa ilmu yang secukupnya ramai remaja yang tersilap langkah dan terpaksa mengakhiri hidup dengan pengalaman yang tidak menyenangkan.

Contohnya, ramai pelajar sekolah yang dihidapi AIDS akibat hubungan seks rambang dan ramai juga yang mengandung anak di luar nikah akibat hubungan seks yang tidak sepatutnya berlaku.

Ketika pelbagai pihak sibuk bercakap mengenai pro dan kontra mengenai pendidikan seks di sekolah, ramai yang alpa bahawa perkara itu sebenar terangkum dalam ajaran Islam.

Ia dibincangkang dengan jelas dalam bab taharah atau bersuci. Bab ini adalah yang terpenting dalam hidup setiap Muslim lebih-lebih lagi bab mandi wajib atau mandi junub. Tanpa memahami kaifiat atau cara-cara mandi junub, segala ibadat yang dilakukan adalah sia-sia.

Pensyarah Institut Pendidikan (Pendidikan awal kanak-kanak) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Penolong Profesor Dr. Mastura Badzis berkata, dalam Islam pendidikan seks sebenarnya telah bermula di peringkat prasekolah lagi.

Ini apabila kanak-kanak diajar dan boleh membezakan fizikal lelaki dan wanita serta jenis alat permainan mereka.

Beliau berkata, walaupun secara spontan kanak-kanak akan cuba bermain dengan semua alat permainan tetapi kita akan nampak kecenderungan mengikut jantina.

Demikian juga, katanya, dalam segi memperkenalkan anggota dan fungsi badan seperti kaki, tangan, dada dan sebagainya.

"Yang selalu berlaku silap, apabila tiba ke anggota sulit ibu bapa tidak beritahu kepada anak-anak yang berusia empat atau lima tahun tentang pantang larangnya.

"Kita perlu menjelaskan kepada anak-anak yang alat sulit itu hanya boleh disentuh oleh ibu bapa dan guru bagi tujuan membersihkan apabila ke tandas dan bukannya untuk tujuan lain," katanya.

Demikian juga bagi kanak-kanak perempuan, mereka perlu diberi penjelasan dan pengetahuan tentang haid apabila mencapai usia baligh.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: "Haid itu adalah kotoran". Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu (al-Baqarah: 222).

Sebenarnya, menurut Dr. Mastura, kebimbangan masyarakat tentang pengenalan pendidikan seks di sekolah berkait dengan persepsi bahawa subjek itu akan menjurus kepada persoalan hubungan seks semata-mata.

Sedangkan, katanya, di Barat ia telah lama diajar dan diletakkan di bawah subjek Pendidikan Kesihatan, Sosial, Peribadi dan Ekonomi (PSHE).

"Jika tajuk itu menjadi halangan, maka ia boleh ditukar kepada Pendidikan Kesihatan dan Penjagaan Diri, misalnya," jelas beliau.

Seorang tokoh iaitu Dr. Mohd Aqlah (1990) (Jordan) dalam bukunya Tarbiyyatul aulad fil Islam melihat pendidikan seks sebagai sebahagian dari pendidikan dan pembentukan akhlak.

Menurut Dr. Mastura, antara adab-adab yang perlu dipupuk pada anak-anak berkaitan pendidikan ini adalah:

lCara duduk dan cara berkomunikasi

lMemahamkan kanak-kanak tentang perasaan malu, penjagaan kehormatan diri dan pisahkan tempat tidur pada usia 10 tahun adalah permulaan yang baik kepada pemahaman tentang pendidikan seks (walaupun tanpa diberitahu apakah itu hubungan seks).

lMenyemai adab meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa (surah an-Nur: 58)

lPemahaman tentang bab aurat dan rasional kenapa perlu menutup aurat

lPisah tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan bila usia masuk tujuh tahun (dari segi perkembangan kognitif, kanak-kanak di usia ini sudah mula boleh membezakan sesuatu yang yang konkrit dan abstrak serta di peringkat permulaan memahami sesuatu yang berbentuk konseptual)

lPendidikan tentang penjagaan maruah dan perwatakan diri contohnya tak boleh lihat aurat orang lain, larangan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah.

Kata Dr. Mastura lagi, berikut adalah tips hasil penulisan Dr. Hassan Shamsi Basha dari Beirut (2001):

lUsah menganggap anggota sulit sebagai suatu yang aib dan tak perlu disebut bila memperkenalkan anggota badan. Didik anak menerima dan menghargai dirinya seadanya.

lCuba menjawab persoalan anak tentang sesuatu yang berkaitan pendidikan seks dengan jawapan mudah difahami (sesuai mengikut peringkat umur) tanpa perlu diperincikan. Contohnya soalan, "Bagaimana adik boleh ada dalam perut umi"?

lApabila kanak-kanak semakin besar, boleh bercerita tentang proses kejadian manusia dan peringkat perkembangan janin dalam kandungan sehingga usia sembilan bulan.

lDidik anak tentang keselamatan diri: apa yang ada pada dirinya adalah miliknya. Jangan biarkan sesiapa menyentuh alat sulitnya kecuali untuk tujuan membersihkan atau sebab perubatan.

lPerhatikan tingkahlaku anak ketika bermain terutama jika bermain bercampur lelaki perempuan yang remaja dan kanak-kanak di bawah umur.

Selasa, 15 Mac 2011

Suami, isteri saling memerlukan

Oleh ZUHAYATI YAZID

PASANGAN adalah 'sahabat' kita yang paling rapat dan setia. Tak kira waktu suka atau duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi.

Begitulah diibaratkan pasangan suami atau isteri pasti saling memerlukan antara satu sama lain ketika ditimpa masalah.

Bagi seorang suami, ia memerlukan isteri di sisi bukan sahaja untuk menyokongnya, malah sebagai kawan dan juga penasihat kepada diri suami.

Dalam kehidupan suami isteri, pastinya suami akan mencari isteri untuk berkongsi cerita, tidak kisah yang pahit mahupun yang manis, sebab itu dalam berumah tangga isteri dianggap sebagai kaunselor peribadi suami.

Dalam situasi sedemikian, suami sangat mengharapkan isteri boleh membantu menyelesaikan keadaan.

Sanjungan isteri setulus hati adalah kunci untuk memikat hati suami dalam membina keyakinannya untuk berkongsi masalah.

Namun dalam situasi begitu ada juga suami yang kecewa apabila isteri hanya akan menentang kelemahan tindakan suami itu.

Menurut penceramah bebas, Dr. Fatma El Zahra, isteri yang solehah akan bertindak sebagai kawan rapat kepada suami tidak kira ketika dalam apa jua masalah.

Wanita berketurunan Arab ini menjelaskan, sebab itu wanita sebenarnya memang dikurniakan dengan kelebihan dan satu anugerah dapat membaca dan merasai sesuatu yang unik mengenai pasangannya.

"Isteri juga sebenarnya mempunyai perspektif terhadap kehidupan suaminya yang tidak dimiliki orang lain. Isteri itu sangat dekat dengan kehidupan suaminya, sebab itu apabila suami kelihatan gelisah dia suka mengetahui sekiranya suaminya itu sedang menghadapi masalah,'' ujarnya semasa Diskusi Keluarga, Bagaikan Cinta Khadijah di hati Rasulullah SAW, di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, sebagai isteri yang prihatin kepada suami, jangan tambah permasalahan dengan rungutan dan sindiran kepada suami sebaliknya cubalah menjadi kawan dan pendengar terbaik.

"Dekatilah diri si dia, tanya dengan lembut, pasti suami akan rasa selamat dan bersedia untuk berkongsi masalahnya,'' ujarnya yang memberikan tip untuk berkongsi masalah.

Bagaimanapun, dalam situasi ini jangan pula si isteri melebih-lebih memberi idea kepada suami sebaliknya jadilah pendengar yang boleh meredakan masalah kepadanya.

"Hanya sesekali berilah pendapat supaya komunikasi yang berlaku menjadi dua hala tetapi dalam masa yang sama jangan sesekali bertindak ibu kepada suami dengan memberikan perintah kepadanya untuk mengikut cadangan kita,'' ujarnya serius.

Bagaimanapun tambahnya lagi, berikanlah kebebasan kepadanya untuk menyelesaikan masalah itu dengan caranya sendiri.

Jelasnya, dalam menyelesaikan masalah, isteri boleh membantu suami memperbetulkan dirinya dengan memberikan kebebasan kepadanya.

"Dengan itu, fikirannya boleh berfungsi tanpa diganggu dan semangatnya akan berkobar-kobar,'' katanya.

Jelasnya lagi, isteri sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap kelakuan suami, sebab itu sebagai isteri kita jangan sesekali melukakan ego dirinya, sebaliknya jadilah penyelamat kepada suami pada saat-saat dia menghadapi masalah dan kekalahan.

"Jika suami gagal dalam keadaan ini dan terus meruntuhkan imej suami, kesan terhadap personalitinya adalah serius dan menjejaskan keseluruhan kejayaan dalam hidupnya,'' katanya.

Bagaimanapun jelasnya, apa yang lebih bahaya ialah perasaan dendam suami terhadap isteri yang sering menjatuhkan harga dirinya.

"Sesungguhnya, isteri itu sangat penting dalam hidup seorang suami, isteri sebenarnya berperanan membina atau meruntuhkan imej seseorang lelaki.

"Bagi seorang lelaki, apabila harga dirinya telah dilukai berulang kali dia akan membina tembok atau dinding pemisah di sekelilingnya yang menjadi masalah besar dalam perkahwinannya.

"Dalam perkahwinan yang bahagia tidak sepatutnya ada tembok antara suami dan isteri. Seharusnya, suami dapat meluahkan perasaannya dengan bebas tanpa khuatir disakiti hatinya," katanya.

Elak risiko kanser payu dara

Oleh ZUHAYATI YAZID

Wanita sebenarnya mempunyai reaksi yang berbeza apabila diberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan payu dara mereka.

Apa yang lebih membimbangkan atau mungkin menjadi trauma dalam hidup, jika wanita itu didiagnosis menghidap barah payu dara.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesanan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Bagaimanapun pemakanan yang teratur dan sihat memainkan peranan penting dalam menjalani kehidupan yang sempurna.

Bukan lagi rahsia, melalui pemakanan berasaskan soya mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Ini terbukti apabila satu kajian secara klinikal yang telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara yang dilakukan oleh profesor di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang profesor dari Jabatan Biostatistik di Universiti Tokyo, Dr. Yasuo Ohashi.

Mereka mendapati pengambilan soya dan begitu juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati, wanita yang mengambil minuman susu kultur dengan lebih kerap di lihat kurang berpotensi untuk di jangkiti kanser payu dara, walaupun mereka tidak mengambil makanan berasaskan soya dalam jumlah yang banyak.

Kajian itu juga mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS atau lebih dikenali sebagai Strain Shirota) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan Strain Shirota mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujarnya semasa membentangkan kertas kerja di Simposium Kanser Payu Dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Kajian kertas kerja itu mengkaji hubung kait antara pengambilan minuman yang mengandungi Strain Shirota dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara.

Bakteria yang dinamakan LcS dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak di dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan bahawa kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semula jadi tubuh khususnya aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," tegasnya.

Tegasnya dalam kajian itu, seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu berbanding mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.

Dalam pada itu, sebanyak 40 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang menyatakan mereka tidak makan banyak produk soya tetapi minum Yakult empat kali atau lebih seminggu berbanding dengan mereka yang minum tiga kali atau kurang seminggu.

''Sebelum ini terdapat kajian yang mendapati pengambilan unsur soya turut memberi pengaruh dalam pengurangan risiko kanser payu dara.

''Penyumbang kepada pengurangan risiko kanser payu dara itu adalah disebabkan oleh pengaruh LcS kepada mikroflora yang terdapat pada usus yang sekali gus menambahbaikan metabolisme pada unsur soya," katanya.

Isnin, 14 Mac 2011

Kesan penuaan pada bibir




Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2011/03/14


Kedut sebelum waktunya

SATU punca kita kelihatan lebih tua daripada usia ialah apabila kulit dan epidermis yang semakin nipis. Masalah ini bertambah teruk lagi pada kulit bibir kerana permukaan bibir lebih nipis berbanding lapisan kulit lain.


Bibir hanya mempunyai tiga hingga lapisan berbanding bahagian lain kulit sehingga 16 lapisan. Bibir juga tidak mempunyai sebarang bulu atau rambut halus yang dapat melindunginya dan tiada kelenjar peluh serta kelenjar sebum untuk melembapkan kulit.

Kerana itu, bibir adalah bahagian yang paling cepat kering, paling sensitif dan paling mudah `berumur’ berbanding bahagian lain pada wajah. Seiring peningkatan usia, bibir secara semula jadi akan kehilangan air dan minyak, menjadikan kulit bibir lebih cepat dimamah usia berbanding bahagian lain jika tidak dijaga.

Tidak perlu menunggu lama untuk berhadapan masalah ini. Seawal usia 25 tahun, kesan penuaan pada bibir sudah boleh dilihat. Garis bibir hilang, bibir kurang nyalaan merah dan mula nampak berkedut.

Bibir amat sensitif pada sinar matahari. Pendedahan keterlaluan boleh mempercepatkan lagi penuaan pada bibir, lebih-lebih lagi jika tidak menggunakan sebarang tabir pelindung.

Memburukkan lagi masalah, perawatan bibir sering kali diabaikan kebanyakan wanita menyebabkan bibir mudah mengering dan pecah-pecah. Keadaan itu lebih ketara dilihat apabila wanita memakai gincu yang akan memperlihatkan kesan pecah-pecah pada bibirnya. Bagi wanita yang merokok, penuaan pada bibir dikatakan lebih cepat ditambah lagi jika tidak menjaganya.


Keadaan itu tidak sepatutnya dibiarkan kerana bibir kering akibat kesan penuaan bukan saja akan menimbulkan garis tetapi turut mengurangkan darjah penampilan. Harus diingat, kecantikan seorang wanita juga tidak mengecualikan pesona bibir. Gerakan bibir menawan pada saat berbicara tidak lepas menjadi perhatian lawan bicara.

Justeru, hindarkan penuaan pada bibir dengan menjaga dan menghindarkannya daripada kesan yang boleh ‘mencemarkan’. Antara yang boleh dilakukan ialah mulai berhenti merokok jika anda seorang perokok. Tabiat merokok bukan saja bahaya untuk kesihatan anda dan orang lain tetapi boleh menyebabkan bibir berubah warna menjadi kusam dengan cepat walaupun usia masih muda. Ini berpunca kesan daripada bahan nikotin yang terdapat pada rokok.

Pakar kecantikan turut berpesan, untuk menjaga bibir dengan baik anda hendaklah kenal pasti ‘perosak’ bibir. Sama ada anda sedar atau tidak, gincu atau kosmetik yang dicalitkan konon untuk mencantikkan ulas bibir, sebenarnya boleh juga merosakkan bibir jika ia tidak sesuai digunakan. Antara tandanya ialah muncul kesan menggelupas dan gatal pada bibir.

Bagi mengelakkan itu berlaku, sebaik-baiknya perhatikan kandungan yang terdapat pada kosmetik sebelum membelinya. Lihat tarikh luput kosmetik berkenaan dan jika sudah kelihatan rosak, elok saja ia dibuang. Jaga selalu kebersihan kosmetik supaya tidak menjadi tempat tumbuhnya bakteria dan simpan di tempat yang sepatutnya serta bersihkan bibir sebelum menggunakan gincu supaya kotoran yang ada tidak terus ‘berhimpun’ pada bibir.

Menyapu balsam bibir setiap kali keluar rumah perlu dijadikan amalan kerana ia adalah asas yang paling penting dalam rutin penjagaan bibir.

Pastikan bibir anda tidak basah supaya balsam bibir boleh diaplikasikan dengan sempurna pada bibir, atau bibir yang kering dan merekah akan jadi lebih teruk. Pelembap bibir yang mengandung SFP 15 juga boleh digunakan untuk melindungi bibir dari kesan sinar cahaya matahari.

Sinar ultra lembayung (UV) yang ada pada sinar matahari boleh merosakkan bibir termasuk menjadikannya pecah-pecah, terbakar, bengkak atau timbul bintik-bintik keperangan. Masalah mungkin lebih serius kerana sinar matahari berupaya membuat kolagen yang terdapat pada bibir berkurangan. Akibatnya, muncul kerutan pada bibir.

Meningkat usia, kandungan kolagen pada bibir menurun sehingga bibir tidak lagi terlihat kenyal. Penuaan pada bibir tampak sehingga menyebabkan bahagian itu kasar, berkerut dan ada garis halus.

Rawatan sama ada secara dalaman iaitu dengan pengambilan makanan berkhasiat atau secara luaran, menyapu balsam, boleh melambatkan kesan penuaan pada bibir dan paling penting, membuatkan bibir menyerlahkan kecantikan.

INFO: Rahsia bibir sihat

•Ambil vitamin B dan C dengan memakan buah-buahan dan sayuran. Pengambilannya sangat baik supaya bibir tampak lebih segar.

•Banyakkan minum air putih setiap hari supaya bibir tidak mengering.

•Sebelum tidur, buang semua kesan gincu bibir menggunakan penanggal mekap yang lembut. Kemudian ambil kain lembut yang dilembapkan dan gosok dengan perlahan di permukaan bibir. Ini untuk menanggalkan semua sel mati di permukaan bibir. Gosok sehingga bibir berasa lembut dan licin. Sapu nipis produk rawatan bibir atau serum bibir dan biarkan semalaman.

•Hentikan tabiat menggigit dan menjilat bibir. Ia adalah penyebab utama bibir menggelupas.

•Lakukan urutan pada bibir dengan menggunakan madu, dua kali seminggu sebelum tidur. Amalan itu akan membantu menjadikan bibir lembap dan berseri kemerah-merahan.

Rahsia bibir sihat

•Berdiri di hadapan cermin.
•Bukalah mulut seperti kita mengucapkan huruf O besar.
•Lakukan dengan santai, gerakkan mulut ke depan dan ke bawah.
•Tahan gerakan tadi selama 20 saat.
•Kemudian hembuskan nafas keluar dan tarik nafas melalui hidung .
•Lakukan berulang-ulang.

Ahad, 13 Mac 2011

Bersalin tambah risiko rahim jatuh

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto RAZAK LATIFF

UTERUS atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.

Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.

Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).

"Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara," kata Dr. Ixora.

Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.

Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.

Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.

"Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah," kata beliau.

Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).

Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).

Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

* Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj

* Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj

* Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

* Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj
* Ketulan pada faraj
* Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)
* Sakit belakang
* Sakit semasa hubungan seks
* Pendarahan faraj selepas menopaus
* Inkontinens kencing
* Sukar buang air kecil / besar

Jumaat, 11 Mac 2011

Komunikasi secara terbuka penting

PENGAGIHAN sumber berubah apabila lahirnya anak pertama. Kelahiran anak akan meningkatkan kos sara hidup dan ia akan mengurangkan aliran wang dalam sesebuah keluarga.

Ada juga ibu yang mengambil keputusan berhenti kerja apabila mempunyai anak demi memberi fokus kepada keluarga dan anak-anak.

Sesetengah syarikat sanggup menawarkan cuti bersalin berbayar untuk pekerja mereka bagi memastikan mereka tidak kehilangan pekerja yang berpengalaman dan terlatih.

Malah tawaran ini turut tidak terkecuali kepada kaum bapa yang ingin melibatkan diri dalam penjagaan bayi mereka.

Bagi kakitangan sektor awam, cuti selama 60 hari kepada ibu bersalin tetapi terhad kepada lima orang anak sahaja dan cuti selama tujuh hari bagi bapa.

Selain itu, pasangan suami isteri juga perlu membuat perancangan selepas kelahiran anak.

Hal ini termasuklah hidup dengan pendapatan tunggal, menggunakan wang secara lebih berhemat, mengurangkan hiburan dan makan di rumah dengan lebih kerap.

Sebagai tambahan, mereka akan mempunyai banyak peruntukan untuk membeli barang keperluan untuk bayi mereka.

Tidak dinafikan mempunyai anak sedikit sebanyak menjejaskan perhubungan antara pasangan. Namun, ia merupakan satu transisi dalam sebuah kitaran hidup keluarga.

Hal sebegini akan mendatangkan perubahan. Sekiranya tidak diatasi ia boleh menyebabkan konflik.

Ibu bapa perlu menyelesaikan konflik ini dengan cara berkomunikasi secara terbuka dengan pasangan dan berbincang tentang peranan baru yang perlu dimainkan.

Masa bersama-sama pasangan sama ada aktiviti bersama-sama pasangan dan juga aktiviti peribadi akan berkurangan selepas mempunyai anak.

Terdapat perubahan besar dari segi cara hidup dan kebiasaan pasangan selepas kelahiran bayi. Kadangkala, sesetengah cara hidup akan berubah secara dramatik.

Pasangan akan berasa letih disebabkan kekurangan tidur kerana mereka perlu bangun untuk menjaga anak sekiranya anak terjaga pada waktu malam.

Adalah amat penting bagi kedua-dua pasangan meluangkan masa semasa sendiri berbincang tentang keperluan mereka. Hal ini memerlukan mereka mencari masa apabila bayi tidur atau memastikan mereka menjalankan kegiatan harian mereka secara bersama-sama.

Sokongan fizikal dan emosi juga amatlah diperlukan pada saat ini bagi memudahkan mereka melalui detik-detik yang penuh mencabar ini.

Contohnya, saling tolong menolong antara pasangan sama ada dalam tugasan menaja anak, melakukan kerja rumah dan sebagainya.

Seperkara yang tidak dapat dielak ialah perasaan cemburu suami atau bapa apabila melihat si isteri atau si ibu lebih memberi perhatian kepada anak berbanding kehendak mereka.

Semua konflik ini boleh diatasi dengan adanya pembahagian masa yang bijak sesama pasangan agar natijahnya terjalin perhubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak.

Suami ringan tulang

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my
2011/03/11

Eratkan hubungan suami isteri

MENGEMAS, memasak, membasuh, melipat baju dan menjaga anak sememangnya tidak dinafikan seolah-olah tugas mutlak isteri. Suami, hanya kerana dia bekerja dan memenuhi perbelanjaan sekeluarga, kerja rumah seperti sudah tertulis, di luar bidang kuasa mereka.

Satu senario yang mungkin wajar atau boleh diterima jika isteri tidak bekerja. Tetapi, jika isteri juga bekerja, sama-sama menyumbang untuk perbelanjaan isi rumah, keadaan seharusnya berubah. Suami harus membantu isteri. Sudahlah penat bekerja, balik ke rumah, 1,000 tugas lagi menanti.

Hari ini, kita dapat lihat ramai wanita dan isteri keluar bekerja, malah tidak kurang juga yang memegang jawatan hebat. Perangkaan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat menunjukkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 45.7 peratus pada 2008. Ia terus meningkat kepada 46.4 peratus pada 2009, malah kerajaan menyasarkan sebanyak 55 peratus penyertaan wanita dalam guna tenaga pada akhir Rancangan Malaysia Ke-10.

Namun, sebagai isteri, tanggungjawab di rumah masih lagi perlu diteruskan. Bagaimanapun, sebagai pembantu menambah pendapatan isi rumah, suami juga perlu membantu, ringan tulang dan saling bekerjasama dalam melakukan tugasan berkenaan.

Tolak tepi buat mereka yang berkemampuan atau mahu menggaji pembantu rumah. Pendek kata, segala-gala urusan, jika boleh diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah. Tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang kedua-duanya bekerja dan tidak mengupah pembantu? Tidakkah suami juga perlu memainkan peranan menguruskan kerja rumah?

Kerjasama, tolak ansur dan memahami antara satu sama lain amat penting dalam institusi kekeluargaan, lebih-lebih lagi hubungan suami isteri. Apabila suami ringan tulang, rajin membantu isteri di rumah, yang lelah dengan bebanan tugas di pejabat, isteri pasti sejuk hati. Paling penting, tidaklah isteri berasa diri seperti orang gaji.
Kerja dilakukan bukan lagi kerana terpaksa sebaliknya dilakukan dengan penuh keikhlasan. Bila terbit keikhlasan, hati gembira, hubungan suami isteri akan lebih intim malah lebih seronok apabila dapat melakukan kerja rumah bersama.

Penulis kagum melihat suami yang rajin menolong isteri di rumah. Ayah saudara penulis adalah contoh nyata, bagaimana sikap suami yang memahami dan bertolak-ansur ini mampu mengeratkan hubungan dengan pasangan dan membawa kesejahteraan pada keluarga.

Sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Pak Ngah memang sibuk, belum lagi mengambil kira tekanan yang ditanggung. Tetapi, sebaik melangkah kaki ke rumah, biar pun penat, Pak Ngah tetap membantu isterinya, Mak Yah, melakukan kerja rumah, mengemas rumah, membasuh pinggan malah memasak.

Memang ada suami begitu tetapi penulis yakin, tidak ramai. Jika ada pun yang membantu, itu pun selepas diminta isteri berulang kali. Paling malang, tolong pun tak sepenuh hati, membentak-bentak, paling tidak pun muncung panjang sejengkal.

Alangkah bagusnya jika suami yang menawarkan diri. Bukankah itu lebih manis dan bahagia?

INFO: Rahsia 'Suami Mithali'

•Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang.

•Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil itu, otak suami kenalah memproses maklumat yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

•Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan atau cara menghias si isteri anda lebih baik dan canggih daripada emak anda.

•Jika mempunyai anak, sama-samalah menjaga anak. Ada suami, isteri sedang makan, disuruhnya basuh kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam Maharaja.

•Jangan sesekali duduk tersandar depan TV atau goyang kaki sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dan sebagainya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila tak cukup tangan nak menguruskan rumah tangga sedangkan suami lepas tangan.

•Jika suami makan dulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Sedih hati isteri!

•Jika hendak mengajak rakan bertandang ke rumah, beritahu isteri terlebih dulu. Jika boleh, sehari dua sebelum itu. Bolehlah dia mengemas rumah cantik-cantik dan menyediakan makanan yang enak. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak berselerak dan isteri cuma masak mi segera.

•Jangan sekali-kali menyakat isteri mengenai saiz badannya yang semakin 'sihat' atau melidi. Cermin diri sendiri dulu!

•Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu, kenapa boleh kawal kentut?

Rahsia Rumah Tangga Bahagia

•Sering melakukan kegiatan bersama-sama seperti melakukan kerja rumah bersama, makan bersama, keluar berjalan berdua-duaan, beriadah dan mandi bersama.

•Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayang akan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan.

•Jaga mulut dan badan supaya tidak berbau bagi memastikan suami sentiasa mahu berseronok dengan isteri.

•Isteri yang hangat dan romantis sentiasa mengharapkan suaminya berada di rumah bersama-samanya.

•Tukar gaya penampilan untuk mengelakkan pasangan berasa jemu.

•Kreatif mencipta suasana yang harmoni dan tenang dalam rumah tangga.

•Jika ada pergaduhan atau pertengkaran, cuba ingat kembali kenangan manis ketika bercinta dan berbulan madu.

•Suami perlu sentiasa kenang jasa dan susah payah isteri mengandung serta melahirkan anak.

•Suami atau isteri jangan tumpu perhatian yang berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri.

•Isteri perlu berhias lebih kepada suaminya berbanding apabila keluar rumah.

•Menjawab setiap pertanyaan suami dengan lembut.

•Jika ada masalah, bawalah berbincang. Jangan bertengkar dan masing-masing menegakkan pendapat sendiri.

•Fahami dan hayati sifat pasangan dan anak. Suami disifatkan seperti matahari sentiasa panas; isteri bulan - cantik, lembut dan indah dipandang, manakala anak pula umpama bintang iaitu sifatnya sebagai penghibur dalam rumah tangga.

•Suami isteri perlu mengekalkan sifat romantis dan sentiasa berhati muda walaupun masing-masing sudah berusia.

•Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya, sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan tempat percutian.

Sumber: http://www.fadzilahkamsah.com/

* “Lelaki malas kerana sejak kecil ibu mereka beranggapan dan `mendidik’ mereka, lelaki tidak perlu membuat kerja rumah. Bila kahwin, serahkan segala-galanya kepada isteri kerana baginya itu tanggungjawab isteri. Ini tidak lagi relevan, lebih-lebih lagi bila kedua-duanya, suami dan isteri bekerja. Isteri yang bekerja khususnya perlu terangkan pada suami, kerja rumah adalah tanggungjawab bersama kerana kedua-duanya bekerja. Bagaimanapun, jika si isteri ingin minta bantuan suami, lebih manis menggunakan perkataan `tolong’ berbanding kata berbentuk arahan.” - Pekerja swasta, Norakmah, 29.

* “Kena 'ajar' suami yang `everything takes two to tango’ (perlu bekerjasama). Bukan dengan cara membebel, tetapi didik suami sejak awal awal perkahwinan. Ajak dan galakkan suami sama-sama melakukan kerja rumah. Kita tak harap suami melakukan semua seperti memasak, memadai jika membantu basuh baju dan kemas rumah. Zaman sekarang, kalau hendak basuh baju, bukannya perlu membanting pakaian di sungai. Mesin basuh automatik banyak, `campak’ saja baju dalam mesin, tahu-tahu sudah siap. Ini ada isterilah memasak, anak menangis, memasaklah sambil mendukung anak, suami terbongkang tengok TV.

* Abang ipar saya, walaupun penat balik kerja, bila kakak saya memasak, dia basuh baju, sidai dan lipat bila kering. Hujung minggu, kakak basuh baju, memasak dan ajar anak, dia kemas rumah. That doesn't make him less manly than other men (tidak sedikit pun menjejaskan sifat kejantanannya).” - Wanita bekerjaya, Rafida.

* “Lelaki yang malas sebenarnya adalah lelaki yang `anak emak’, manja. Kalau kita suruh sikit, mesti dia mula bandingkan kita dengan emak dia,” - Ahli perniagaan, Jus Hassan, 36.

* “Kita berbalik kepada asas. Lelaki buat kerja lelaki, cari duit, bayar bil dan sediakan segala-galanya untuk keluarga. Wanita pula jaga rumah tangga (basuh, gosok baju dan masak ). Yang lain adalah kerja lebih yang dipersetujui bersama. Lelaki akan sediakan semua yang isteri mahukan seperti baju, kasut, beg tangan dan aksesori, begitu juga isteri perlu sediakan apa yang diperlukan suami seperti makan, pakaian yang bersih dan sebagainya. Apa pun perkara, berbincanglah elok-elok sebagai jalan terbaik.” - Shafiq Shariffuddin.

“Kerja rumah adalah tanggungjawab bersama dan bukan tugas isteri semata-mata. Tetapi, ada suami zaman sekarang yang merasakan ia adalah tugas azali isteri sejak dulu lagi. Isu ini tidak akan timbul jika suami memahami hak, tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga kerana ia perlu dikongsi bersama dan bukan hanya meletakkan ia di bahu isteri.” Pekerja syarikat permotoran, Muaz Mohd.

Khamis, 10 Mac 2011

Diterajang suami yang cemburu buta keterlaluan

Oleh ZUHAYATI YAZID
Utusan Malaysia


Jika dahulu saya memang suka dia cemburu sebab mahukan perhatiannya, tetapi selepas berkahwin cemburunya semakin menjadi-jadi.

"Malah saya pernah diterajang di depan orang ramai semata-mata kerana ditegur oleh seorang lelaki tua yang hanya bertanyakan arah jalan,"ujar Siti Sarah (bukan nama sebenar) yang merupakan mangsa suami cemburu buta.

Katanya, perangai cemburu suaminya itu bermula sejak mereka berkenalan. Tetapi keadaan semakin teruk selepas mereka bertunang. Malah selepas bertunang, lelaki itu mula menguasai kehidupan Siti Sarah.

"Kadang-kadang hanya disebabkan tidak sempat mengangkat telefon, saya ditempelak olehnya,'' ujarnya .

Kerana cemburu buta, wanita malang itu sering menjadi mangsa keganasan suaminya.

Adakalanya perbuatan suaminya itu keterlaluan dan hanya berpunca daripada hal-hal remeh-temeh.

"Begitu kritikal cemburu suami saya, sehingga masa lampu isyarat merah, saya dilarang untuk memandang orang di sekeliling kerana bimbang 'terpaut' kepada lelaki yang berada di kereta sebelah,'' ujarnya meperihalkan kisah suaminya itu.

Menurut Siti Sarah, semasa bercinta dia memang sudah mengetahui teman lelakinya pada ketika itu kuat cemburu. Tetapi kerana sayang Siti Sarah tetap menerimanya seadanya.

"Memanglah ketika itu saya suka kerana seolah-olah dia terlalu sayangkan diri saya tetapi keadaan ini semakin keterlaluan,'' ujar wanita yang bergelar pendidik itu.

Malah, sehari selepas mereka berkahwin, suaminya sudah berani bertindak melampau dengan menamparnya.

Malah, hanya kerana disapa oleh seorang saudara lelaki, Siti Sarah teruk ditampar suaminya yang cemburu buta itu.

"Masa itu, Allah sahaja tahu perasaan saya apabila suami berkelakuan begitu. Tambahan pula ibu bapa saya juga ada ketika itu,"ceritanya .

Tambahnya, keadaan semakin teruk ketika dirinya sedang berpantang selepas bersalin anak pertamanya.

Dia diterajang hanya semata-mata tidak mengangkat panggilan telefon daripada si suami.

"Memanglah sakit kena terajang tetapi entah kenapa saya masih patuh padanya,'' ujarnya yang memberitahu suaminya seorang romantik dan penyayang ketika dalam keadaan normal.

Siti Sarah sendiri tidak faham apa yang dicemburui oleh suaminya biarpun ketika itu dia berpantang di rumah mereka sendiri.

"Apabila saya tanya kenapa dia sering cemburu kepada saya sehinggakan meninggalkan kesan pada diri saya, alasan yang diberikan ialah kerana dia terlalu sayangkan saya dan tidak mahu kehilangan saya dan anak-anak,'' ujarnya.

Apabila ditanya pernahkah dia berbincang dengan suaminya berkaitan sikap cemburu itu, Siti Sarah memberitahu, ada sahaja alasan yang diberikan suaminya.

Malah Siti Sarah juga pernah mendapatkan bantuan keluarga agar menasihati suaminya, tetapi dia pula akan dipersalahkan kerana dituduh menceritakan masalah rumahtangga kepada orang lain.

"Saya pasrah atas semua yang berlaku, tetapi di hati kecil saya tetap mengharapkan dia berubah suatu hari nanti," ujarnya mengharap.

Katanya, suaminya yang bekerja sebagai guru juga sering bergaduh dengan rakan di sekolahnya hanya kerana hal-hal yang remeh-temeh.

Malah, Siti Sarah memberitahu dia pernah dihubungi pengetua tempat suaminya mengajar dan meminta supaya menasihati suaminya agar tidak bersikap melulu.

"Dulu memanglah malu apabila orang memperihalkan kelakuan suami sendiri, tetapi kini saya sudah kalis dengan sikapnya itu,'' ujarnya yang turut mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tradisional untuk mengurangkan perangai cemburu buta suaminya.

Siti Sarah juga mengakui, dia kini risau jika tindakan negatif suaminya itu ditiru oleh anak-anak mereka.

"Maklumlah mereka kecil lagi, sebab itu bila suami mengamuk, saya cepat-cepat suruh anak masuk ke bilik supaya mereka tidak melihat tindakannya,'' ujarnya yang mempunyai empat orang anak lelaki.

Katanya , suaminya bukan sekadar cemburu kepadanya sahaja tetapi anak-anaknya juga turut dicemburui apabila mereka rapat dengan orang lain.

Malah, pernah anaknya juga ditendang oleh suami gara-gara cemburu kerana mereka rapat dengan suami jirannya.

"Sekarang, anak-anak saya trauma apabila bapa mereka mengamuk.

"Mungkin akibat terlalu kerap ditampar dan dipukul suami, saya tidak boleh mendengar bunyi yang kuat, keadaan itu menjadikan saya berdebar-debar," ujarnya yang pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital kerajaan.

Siti Sarah juga turut diberikan kaunseling supaya dapat menangani keadaan ketika suaminya naik angin.

"Sepatutnya, hanya suami yang diberikan kaunseling tetapi kerana kasihkan suami, saya sanggup temankan dirinya agar dia berubah,'' ujarnya tenang.

Terangnya, selama dua tahun dia berulang ke hospital dan menjalani kaunseling, kini, biarpun sikap suaminya masih tidak berubah tetapi terdapat unsur-unsur pengurangan pada dirinya.

Akuinya lagi, biarpun suaminya bersikap sedemikian, kasih sayang terhadap suami tetap tidak berkurangan.

"Setiap masa saya tetap berdoa supaya suami diberikan hidayat untuk berubah dan tidak lagi kuat cemburu,'' ujarnya.

Cemburu tindakan dalaman

Oleh ZUHAYATI YAZID
Utusan Malaysia

DARI sudut psikologi, cemburu adalah perasaan sakit hati, marah, tidak percaya dan kurang yakin seseorang terhadap pasangan yang dicintai.

Biasanya, perasaan itu timbul lantaran sikap si suami atau isteri yang membayangkan pasangannya mempunyai hubungan istimewa dengan orang lain di luar pengetahuannya.

Pensyarah Kaunseling keluarga dan Perkahwinan, Fakulti kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berkata, masalah cemburu di kalangan suami isteri sebenarnya berkait rapat dengan tindakan seseorang dari sudut dalaman dan luaran.

"Mungkin kerana terlalu sayangkan seseorang membuatkan dirinya terlalu menjaga sehingga dianggap keterlaluan,'' terangnya.

Penilaian dari kedua-dua sudut itu akan menentukan sama ada seseorang yang berperasaan cemburu itu mengalami masalah psikologi atau tidak.

"Jika masalah itu berpunca daripada aspek dalaman, ia mungkin terganggu dan sering kali menimbulkan perasaan bimbang, resah, gelisah dan syak wasangka terhadap pasangan.

"Tetapi, jika pasangan mempamerkan tindakan negatif antaranya mengecam dan memberontak, mereka dikatakan menunjukkan sifat cemburu itu dari aspek luaran," jelas Dr. Saedah.

Tegas beliau lagi, faktor yang menjadi penyumbang kepada masalah itu tidak banyak kaitannya dengan keegoan suami, tetapi kurangnya keyakinan dan kepercayaan kepada pasangan menyumbang kepada permasalahan berkenaan.

Beliau berkata, masalah makin meruncing apabila kurang persefahaman dan interaksi antara kedua-dua belah pihak.

Malah, kesan positif dan negatif boleh timbul daripada sifat cemburu itu.

''Positif jika perasaan berkenaan dapat menghalang seseorang itu daripada berlaku curang terhadap pasangannya.

"Bagaimanapun, perasaan cemburu yang tidak terkawal sering kali membawa kepada perlakuan di luar batas kemanusiaan antaranya bertindak memukul dan mendera isteri,'' ujar Dr. Saedah.

Katanya lagi, sikap cemburu yang membabi buta boleh menjadi satu bentuk tekanan perasaan jika tidak boleh dikawal dan tidak mustahil ia mampu membawa kepada masalah yang lebih besar seperti jenayah.

Jelas beliau, tekanan perasaan boleh diselesaikan, namun ia terpulang bagaimana individu tersebut melihat cemburu sebagai masalah kepada mereka.

"Untuk menyelesaikan masalah cemburu ini, individu perlu memastikan punca yang mencetuskan rasa cemburu dalam dirinya.

"Apabila sudah dapat punca, mereka boleh mengatasi tekanan cemburu itu dengan dua kaedah berbeza iaitu memilih untuk menyelesaikan masalah yang menjadi penyebab cemburu ataupun memilih untuk mengawal emosi daripada menjadi cemburu," katanya.

Dalam hubungan ini, Dr. Saedah berkata, apabila seseorang itu sudah berkahwin perlu menanamkan sifat kesetiaan kepada pasangannya.

Malah, keyakinan, perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan itu serba sedikit akan mengurangkan perasaan cemburu suami atau isteri.

Selain itu, tingkah laku sebagai isteri atau suami dan batas pergaulan dengan bukan mahram perlu dijaga dan diawasi setiap masa.

"Ikatan perkahwinan perlu ada sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Oleh itu, sebelum seseorang berkahwin, terlebih dulu kita digalakkan mengenali pasangan .

"Ini serba sedikit membantu supaya tidak mengalami pelbagai masalah selepas berkahwin kelak," kata Dr. Saedah.

Beliau berkata, dari aspek psikologi seseorang yang bersikap cemburu sebenarnya mempunyai sikap kurang yakin kepada diri sendiri dan sering kali berprasangka buruk kepada pasangannya.
"Perasaan yang kurang yakin itu mendorong dirinya untuk bertingkah laku sedemikian, sekiranya keadaan ini di kawal ia sekali gus dapat mengurang permasalahan ini,'' ujarnya.

Selain itu, pengalaman masa lampau yang buruk juga mempengaruhi seseorang itu bertindak menjadi cemburu.

"Mungkin ada kisah hitam pada diri mendorong dirinya lebih berhati-hati kepada pasangan sehingga menyebabkan dia menjadi terlalu cemburu,'' ujar Dr. Saedah.

Malah, faktor keistimewaan yang dimiliki oleh pasangan juga adalah antara menjadi punca kepada masalah ini.

Dalam Islam, suami perlu ada sifat cemburu dan sentiasa was-was kepada isteri. Begitu juga isteri.

Bagaimanapun tegasnya, keadaan itu perlu berada pada keadaan terkawal dan tidak memudaratkan diri sendiri serta hubungan suami isteri.

"Seharusnya, kedua-dua pihak harus menjaga hubungan dengan sebaiknya untuk mengelak masalah cemburu ini," katanya.

Tegas Dr. Saedah, tidak salah cemburu pada pasangan kerana cemburu juga merupakan tanda kita menyayangi pasangan tetapi haruslah ada tahapnya.

Rabu, 9 Mac 2011

Bina mahligai bahagia

Oleh ZUHAYATI YAZID
Utusan Malaysia

SETIAP insan yang berumahtangga tentu akan mengimpikan sebuah mahligai yang indah dan membahagiakan. Banyak cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan keluarga yang dibina mampu mencapai kebahagiaan yang diidamkan.

Ini kerana, perkahwinan melibatkan pasangan yang berlainan jantina, akal, perasaan, dan emosi yang biasanya merumitkan perhubungan antara manusia khususnya suami dan isteri serta ahli keluarga.

Bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, pasangan harus mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental, dan emosi supaya masalah ini boleh diatasi.

Menurut Perunding Motivasi dan Keluarga terkenal Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, suami adalah pemimpin utama yang menentukan kerukunan dalam dalam rumah tangga.

"Si suami kena tahu peranan, tugas dan tanggungjawabnya. Si isteri juga begitu, ada peranan dan tanggungjawabnya pada suami.

"Masing-masing kena tunaikan hak kepada pasangan masing-masing," ujarnya.

Pendek kata, kedua-dua belah pihak kena saling faham memahami, saling bertolak- ansur dan saling bantu- membantu antara satu sama lain.

"Oleh itu, kerjasama antara suami isteri dalam pembentukan institusi kekeluargaan yang harmoni perlu dititikberatkan dengan ini mampu mewujudkan suasana yang positif, harmonis dan bahagia,'' ujarnya pada Diskusi Keluarga: Bagaikan Cinta Khadijah di hati Rasulullah SAW, di Putrajaya, baru-baru ini.

Cinta sebenarnya pengikat dalam keutuhan kehidupan rumah tangga. Apabila rasa cinta suami kepada isteri atau sebaliknya telah hilang dari hati, maka kehancuran rumah tangga amat sukar untuk dihindari.

"Oleh kerana itu, suasana cinta-mencintai mesti saling dipupuk sepanjang masa dan tidak hanya pada masa-masa awal kehidupan rumah tangga," katanya.

Kata beliau, berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana penumpangnya ingin menikmati pelayaran itu, dan belum ada sebarang kesulitan, tetapi ketika kapal itu telah sampai di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang menerpa.

"Begitu jua dalam situasi berumah tangga, biar apa pun masalah hadapi dengan tenang kerana dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai kehidupan rumah tangga.

"Jadikan pasangan sebagai kawan baik kepada kita, kongsilah apa jua masalah kita dengannya," ujarnya lagi.

Keadaan ini, tegasnya mampu mengelakkan kita daripada menumpahkan kasih sayang kepada orang luar.

Sebagai suami yang soleh dan ketua dalam keluarga tunjukkanlah sifat yang mulia kepada isteri dan anak-anak.

Malah sentiasalah menunjukkan wajah yang ceria kepada ketika dirumah. Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri.

Biarpun ketika dilanda masalah, tenanglah hadapinya, bak kata pepatah bumi mana tidak ditimpa hujan inikan pula berumah tangga.

"Sekiranya tidak berpuas hati dengan perlakuan isteri, berbincanglah dengan tenang elakkan memarahi isteri di hadapan anak-anak.

"Luahkan kekurangan isteri tetapi jangan lupa puji kembali kebaikan yang pernah isteri lakukan kepada kita," ujarnya lagi.

Satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian suami ialah suami hendaklah menjaga penampilan dirinya, di samping mempamerkan wajah yang ceria.

Malah, menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih.

"Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri.

"Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya,''ujarnya tegas.

Dalam menguruskan rumahtangga, tidak salah sama-sama membantu demi keharmonian.

"Sebagai suami bantulah isteri dalam urusan rumah tangga, tidak salah kalau si suami membantu isteri menjemur pakaian,''ujarnya tenang.

Malah akuinya, Rasulullah sendiri pernah membantu isteri-isteri ketika dalam urusan keluarga.

Sebenarnya, pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa cinta.

"Oleh itu, kita harus saling cinta-mencintai antara pasangan dengan memberikan penghargaan yang sewajarnya.

Dalam mengharungi rumah tangga, pasti ada kekurangan bukan saja kekurangan dari segi fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka.

"Oleh itu, usahlah bercerita kelemahan pasangan kita walaupun kepada orang tuanya sendiri dan anggaplah kelemahan pasangan kita sebagai lumrah dalam kehidupan. Mana mungkin manusia dilahirkan sempurna di dunia ini,"ujarnya lagi.

Selasa, 8 Mac 2011

Kuasa urutan

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Berita Harian
2011/03/08

`Khasiat’ penting rangsang tumbesaran bayi

BAYI boleh mati akibat tidak menerima belaian dan sentuhan. Mungkin bunyinya keras, tetapi itulah hakikat kehidupan manusia yang memerlukan orang dewasa, terutama ibunya sendiri untuk menyusu atau memandikan. Belaian dan sentuhan bertindak bagaikan magis, membantu bayi untuk lebih bersemangat melalui tempoh tumbesarannya.

Kajian dijalankan pada 1915 di beberapa rumah anak yatim di Amerika Syarikat mendapati, kadar kematian bayi berusia bawah satu tahun mencapai angka 100 peratus. Ia bukan disebabkan kekurangan khasiat makanan atau keadaan kurang bersih, tetapi menghidapi marasmus, sejenis penyakit misteri, mengakibatkan kehilangan selera makan, seterusnya tidak bermaya. Marasmus, dipercayai berlaku akibat kurang sentuhan dan belaian. Kajian di Hospital Bellevue New York pada 1938 pula, mendapati kadar kematian bayi di bawah usia setahun, menurun daripada 30 peratus kepada kurang 10 peratus, apabila jururawat memulakan rutin harian menyentuh dan membelai bayi berkenaan.

Tidak dapat disangkal lagi, susu ibu membekalkan antibodi penting untuk melindungi dan membantu bayi membesar. Namun, urutan yang dilakukan ke atas bayi membantu merangsang perkembangan fizikal dan mental secara semula jadi. Komunikasi mesra antara ibu dengan anak, seperti percakapan dan hubungan mata mengeratkan lagi hubungan itu.

Perunding Pediatrik dan Kardiologi, Datuk Dr Zulkifli Ismail, menjelaskan mengurut adalah cara asuhan dan penyembuhan diamalkan pelbagai budaya di seluruh dunia sejak berabad lalu.

Pengamal kesihatan terdahulu cuba memahami bagaimana sentuhan dan urutan boleh memberikan kesan ajaib, tetapi tiada penemuan ketara yang diperoleh sehinggalah pada kurun sekarang.

“Dr Tiffany Field, seorang profesor di University of Miami School of Medicine, yang mengetuai Institut Kajian Sentuhan menemui perhubungan istimewa terapi sentuhan terhadap manusia. Ia mendatangkan banyak kebaikan, bukan saja kepada bayi, malah orang dewasa,” katanya yang bertemu Dr Field pada satu persidangan kesihatan di luar negara, lantas diundang untuk mempelajari teknik berkenaan secara lebih mendalam. Dr Zulkifli menjadi pelopor teknik berkenaan di negara ini.


Dr Field mendapati sentuhan bagi bayi, sama penting seperti makan dan tidur. Ini kerana pada asasnya, terapi sentuhan atau urutan boleh merangsang saraf otak dalam proses penyerapan zat makanan, seterusnya membantu penambahan berat badan lebih baik. Ia turut membantu mengurangkan tahap hormon tekanan dan hasilnya, mempertingkatkan fungsi imuniti.

Kata Dr Zulkifli, urutan juga mampu mengurangkan tahap dan tempoh kolik pada bayi, selain memperbaiki masalah tidur. Urutan dapat membantu bayi tidur lebih cepat dan kurang terjaga malam.

Dalam satu kajian membabitkan 72 bayi jaundis atau ‘penyakit kuning’ oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 2000 dan 2001, mendapati bayi yang diurut mengalami peningkatan berat badan berbanding bayi yang tidak diurut. Keadaan itu dikaitkan dengan manfaat nutrisi lebih baik bagi bayi yang diurut.

Penemuan itu konsisten dengan kajian klinikal dibentangkan Dr Field pada 1997, yang menunjukkan terapi sentuhan juga membantu bayi pramatang menambah berat badan lebih cepat, memperbaiki fungsi pernafasan kanak-kanak yang menghidapi asma, manakala bagi kanak-kanak diabetes ia mampu bertindak balas positif terhadap rawatan.

Dr Zulkifli ditemui pada majlis perasmian siri bengkel urutan bayi, Touch atau sentuh, anjuran Johnson’s Baby dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad. Program itu yang akan dilaksanakan di lapan negeri seluruh negara, selama tiga bulan bermula Mei, bertujuan mendidik ibu atau bakal ibu mengenai teknik urutan bayi berkesan.

Ibu bapa yang berminat untuk menyertai mana-mana bengkel boleh menghubungi talian bebas tol di 1-300-88-0566 pada waktu pejabat atau mendaftar di laman www.babycenter.com.my/johnsonsbaby/touch.

Isnin, 7 Mac 2011

'Teman maya' di Facebook untuk pasangan diabai kasih sayang

KUALA LUMPUR 5 Mac - Golongan yang ketagih melayani 'teman maya' melalui laman sosial seperti Facebook di samping khidmat pesanan ringkas (SMS) sehingga mengabaikan tanggungjawab rumah tangga perlu diberi rawatan kaunseling psikologi.

Pensyarah dan Kaunselor Berdaftar di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Haslee Sharil Abdullah berkata, seperti penagih dadah, golongan yang ketagihan melayani 'teman maya' juga perlu diberi rawatan psikoterapi pada peringkat awal.

Menurutnya, akibat terlalu tertumpu kepada alam maya, seseorang itu secara tidak sedar telah mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga selain menjejaskan kehidupan sehariannya.

"Jika tidak diberi rawatan psikoterapi, seseorang itu akan hilang kawalan diri dan dalam keadaan tersebut sama ada menghentikan tabiat itu atau terus leka dan hanyut dalam dunia mereka sendiri," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim semalam bahawa keasyikan melayani 'teman maya' di Facebook sehingga lupa tanggungjawab menjadi antara punca ramai pasangan Islam bercerai.

Beliau menambah, penagih 'teman maya' akan hilang pertimbangan sehingga sanggup menolak aspek moral dan agama asalkan apa yang dilakukan memberi kepuasan dan memenuhi nafsu mereka.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seseorang itu jika merasakan diri mereka terabai setelah tidak mendapat kasih sayang secukupnya daripada pasangan hidup juga akan bertindak melayani 'teman maya' di Facebook.

Apabila pasangan hidup merasakan diri mereka diabaikan jelasnya, mereka akan cuba mencarinya menerusi Facebook dan laman sembang di Internet.

Kata Haslee, kadangkala golongan berkenaan hanya memerlukan ayat-ayat cinta menerusi Facebook tanpa bersemuka bagi memenuhi keperluan yang gagal dipenuhi oleh pasangan hidup.

Beliau menambah, perasaan tersisih dan terancam kerana isteri berkedudukan tinggi dan bergaji lebih besar daripada suami juga antara faktor 'teman maya' di Facebook sering didampingi.

Berhubung fenomena hari ini yang mana hampir semua remaja mempunyai kenalan di Facebook sebelum berkahwin, Haslee berkata, perceraian tidak akan berlaku sekiranya setiap suami dan isteri saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Katanya, pertalian perkahwinan akan tetap kukuh selagi pasangan tidak berasa diabaikan, tersisih serta tergugat walaupun masing-masing mempunyai 'teman maya' di Facebook.

Jumaat, 4 Mac 2011

Sijil Faraid elak pertikai status, hak waris

2011/03/04
Berita Harian


Penting untuk pastikan hanya waris berhak menerima pusaka dengan kadar ditetapkan berasaskan ketetapan Allah SWT

HUKUM faraid adalah ketetapan Allah yang merujuk kepada pembahagian pusaka menurut Islam dan untuk orang Islam saja seperti mana sudah dibincangkan sebelum ini. Hukum faraid hanya membicarakan harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang Islam yang sudah meninggal dunia. Harta pusaka dimaksudkan adalah semua harta membabitkan harta alih dan harta tak alih yang dimilikinya secara sah sehingga seseorang itu meninggal. Perkara berkaitan harta sudah diperjelas dalam siri sebelum ini.

Penting bagi orang Islam untuk tidak mengambil mudah perkara membabitkan cara mengguna pakai atau membelanjakan harta pusaka walaupun apa juga nilai atau jumlahnya kerana harta berkenaan milik ahli warisnya.

Harta pusaka akan dibahagikan kepada waris yang berhak sama ada secara persetujuan bersama ataupun melalui hukum faraid. Pembahagian membabitkan hukum faraid adalah pembahagian mutlak hanya kepada waris yang berhak sebagai jalan keluar jika berlaku pertikaian dalam kalangan waris.

Oleh itu, penting untuk memastikan hanya waris yang berhak menerima pusaka dengan kadar ditetapkan berasaskan ketetapan Allah SWT. Justeru, apabila pembahagian sudah dibuat dan dilaksanakan, semua waris wajib menerima dengan hati ikhlas, reda dan bersyukur.

Ini kerana masalah perebutan pusaka yang berpanjangan akhirnya meruntuhkan jalinan kekeluargaan. Keadaan buruk ini turut membawa kepada kesengsaraan waris terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan dan tidak berdaya.
Perkara yang lebih mendukacitakan apabila tuntutan hak dan keadilan daripada waris yang berhak terhadap pusaka simati terus diabaikan atau dilupakan. Di AmanahRaya, prosedur sudah dirangka supaya perkara seperti itu dapat diuruskan dengan baik demi kebajikan semua waris.

Ada kes, tidak diketahui sama ada dilakukan secara sengaja atau sebaliknya, waris yang berhak tidak mendapat pusaka mereka. Alasannya, kewujudan mereka tidak diketahui. Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk memastikan keadilan dilaksanakan?

Di peringkat waris simati sendiri perlu bersikap matang, tulus, ikhlas dan amanah apabila menyelesaikan pusaka. Waris boleh mencuba menggunakan pendekatan positif dan sihat secara bermuzakarah jika terdapat perbezaan pendapat atau rasa ketidakpuasan hati.

Di saat genting begini adalah kritikal bagi waris sentiasa bekerjasama dan komited ke arah penyelesaian segera pusaka di semua peringkat terutama untuk mendapatkan Sijil Faraid dan pentadbiran pusaka.

Kini, waris yang mahu menyelesaikan pentadbiran pusaka perlu mendapatkan Sijil Faraid dan menyerahkannya kepada pentadbir atau wasi bagi tujuan pembahagian pusaka kepada waris yang berhak.

Sijil Faraid berupaya mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini antaranya penipuan kepada senarai waris yang berhak, penganiayaan hak waris, perbalahan dan manipulasi sesama anggota waris kerana di dalamnya tercatat butiran waris dan bahagian yang akan diterimanya.

Mengikut seksyen 51, Enakmen 3 Tahun 1991, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 menetapkan Mahkamah Syariah diberi hak dan bidang kuasa untuk menentukan cara pembahagian harta pusaka kepada ahli waris menurut hukum Islam supaya hak waris terjamin.

Bagi tujuan itu, sistem pengiraan dan pembahagian faraid menyeluruh dibangunkan untuk membantu memudahkan dan mempercepatkan proses berkenaan.
Sistem itu akan membuat pengiraan dan pembahagian dengan kadar yang tepat secara automatik untuk ahli waris yang disahkan status serta kedudukannya.

INFO: Permohonan Sijil Faraid membabitkan:

•Pemohon perlu mengemukakan permohonan.
•Terima permohonan, disemak dan jika lengkap terima dan daftar.
•Siasatan waris dijalankan pada hari pendaftaran atau pada hari lain yang ditetapkan.
•Apabila siasatan selesai, pengiraan dibuat.
•Dapatkan sijil dalam masa lima hari selepas siasatan ahli waris selesai.
•Pemberitahuan akan dibuat pada hari siasatan selesai.

Dokumen yang diperlukan:

•Borang permohonan yang lengkap
•Salinan kad pengenalan waris/sijil kelahiran atau surat akuan
•Salinan geran harta/buku akaun/penyata
•Sijil nilaian harta jika ada
•Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30.00/RM20.00/RM10.00)

Rabu, 2 Mac 2011

Susahnya nak kurus semula

Maria berjumpa doktor kerana mengalami masalah obesiti. Dia mahu mengurangkan berat badan yang meningkat sehingga 90 kg. Doktor mencadangkan program pengawalan makanan dan juga ubat-ubatan bagi merangsang rasa kenyang dengan cepat. Menurut doktor ini merupakan langkah saintifik yang digunakan di seluruh dunia. Selepas dua minggu makan ubat dan mengawal pemakanan, Maria mula kehilangan berat badan. Dalam tempoh sebulan berat badannya mengurang sebanyak 10 kg dan semestinya dia gembira.

Bagaimanapun pada bulan kedua, tiada sebarang pengurangan menyebabkan Maria mula risau. Sebulan selepas itu Maria berhenti makan ubat kerana jemu dengan keadaannya yang tidak berubah. Tambahan pula dia diberitahu ubat yang dimakan mempunyai kesan tidak baik kepada kesihatan. Beberapa bulan selepas itu, Maria mengalami kenaikan berat badan berganda. Tubuhnya berasa lemah dan mukanya kelihatan sembap. Dia kecewa dan hairan dengan keadaan tubuhnya yang tidak memberi sebarang reaksi terhadap rawatan dan ubat-ubatan. Dia melihat beberapa rakannya yang memakan ubat dan pengawalan makanan menjadi kurus dan cantik.

Mengapakah sukar untuk kurus? Mengapakah seseorang itu tetap gemuk meskipun berdiet dan mengamalkan senaman? Apakah yang terjadi?

Setelah mendengar cerita Maria saya menyatakan kepadanya bahawa dia mengalami masalah refraktori obesiti yang bermaksud seseorang itu tidak berjaya menjadi kurus semula. Diet senaman dan ubat-ubatan tidak dapat membantu menurunkan berat badan. Mangsa refraktori obesiti akan menjadi lebih gemuk setelah menjalani rawatan pelangsingan. Mereka juga mempunyai tenaga yang lemah dan mudah murung. Keadaan kulit mereka kasar dan kurang menarik. Senaman juga membuatkan mereka lemah dan semakin gemuk.

Kanak kanak yang mengalami refraktori obesiti juga menjadi kurang bermain dan mudah menyendiri. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana jika tidak ditangani bakal menjadi lebih serius.

Kesan refraktori obesiti terhadap tubuh badan

* Tulang mengecil dan merosot terutamanya tulang pada muka. Ini menyebabkan muka kelihatan bulat dan sembap.
* Kekejangan otot.
* Berisiko mendapat penyakit metabolik.
* Mudah letih.
* Mata mengecil dan tampak sepet
* Cepat lapar
* Tidak mampu bersenam
* Masalah haid tidak menentu bagi wanita

Rawatan

Tidak ada kaedah diet dan senaman yang mampu memberi kesan terhadap masalah ini. Ini kerana masalah refraktori obesiti disebabkan kekurangan enzim dan hormon pembakar lemak. Oleh kerana itu pengidap refraktori obesiti berdiet sepanjang tahun malah bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang kesan.

Rawatan yang terbaik adalah meningkatkan paras enzim dan hormon. Di Marissa Esthetic misalnya rawatan yang penting adalah terapi enzim yang merangsang ketosis.

Selain itu senaman menggunakan otot yang menyokong tubuh kita iaitu core muscle excersize bukan sahaja tidak memenatikan malah mampu menjana fungsi metabolik dengan berkesan.

Masalah

* Masalah lemak pada bahagian depan tubuh iaitu pada buah dada, ketiak, perut termasuk lengan.

Lemak yang berkumpul pada bahagian ini disebabkan faktor hormon yang tidak seimbang. Dalam tubuh wanita terdapat hormon yang penting iaitu estrogen dan progestron. Kehadiran kedua-dua hormone ini perlu seimbang. Apabila estrogen terlalu banyak maka akan berlaku ketidakseimbangan. Estrogen cenderung untuk mengumpulkan lemak pada perut dada lengan dan ketiak. Mereka yang mengalami masalah ini berasa cepat letih. Mereka juga sukar memakai korset atau pakaian ketat kerana saiz badannya lebih besar apabila waktu petang atau malam. Korset yang dipakai terasa seolah-olah semakin ketat di sebabkan perkara ini. Sebenarnya tubuh mereka menyimpan air yang banyak. Pendekatan menangani obesiti haruslah dibuat menerusi pelbagai aspek kerana mengawal makan sahaja bukanlah penyelesaiannya. Selepas rawatan barulah doktor mengenalpasti makanan yang sesuai dengan komposisi tubuh seseorang. Ini membuatkan seseorang itu lebih mudah menjaga dirinya bagi mengelakkan stimulasi hormon cortisol dan estrogen. Perubahan gaya hidup juga penting iaitu dengan menjauhi ketegangan dan bijak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian.

* Pengumpulan lemak pada muka.

Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini dinamakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae pada perut wanita hamil. Mereka mempunyai muka yang bulat, dagu berlapis dan selalunya bertubuh rendah

* Pengumpulan lemak pada punggung.

Lemak hanya berkumpul pada punggung sahaja. Bahagian atas tubuh kecil, muka juga kecil dan comel. Ini berlaku kerana keaktifan hormon gonadal yang tinggi dan merangsang tubuh menyimpan lemak pada punggung. Perkara ini berlaku bagi lelaki dan wanita. Mereka yang mengalami masalah ini disaran mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon tersebut.

* Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang.

Bagi lelaki ini berlaku disebabkan kekurangan hormon seks lelaki iaitu testosterone serta kemerosotan dalam aktiviti hormon GH. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis kerana masalah insulin yang tidak efektif. Sel-sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin di keluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula dalam tubuh rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar dan kerap makan menyebabkan berat badan bertambah.

Selasa, 1 Mac 2011

Islam galak umat tampil kemas, cantik

2011/03/01
Berita Harian

Berfesyen tidak salah tetapi jangan melampaui batas, langgar hukum

ISLAM tidak mengharamkan apa yang dinamakan fesyen sebaliknya meraikan sesiapa yang menghendaki gaya penampilan kemas dan cantik dan imej seseorang juga terletak pada cara berpakaian.

Islam juga tidak menggalakkan umatnya kelihatan selekeh daripada pandangan mata umum kerana ia seolah-olah menggambarkan sikap umat Islam tidak mementingkan keterampilan yang kemas dan cantik. Malah, Allah lebih menyukai hamba-Nya yang bijak menggunakan nikmat kurniaan-Nya sebagai tanda bersyukur. Tetapi, pada masa sama, kekemasan dan kecantikan itu tetap didasari oleh peraturan serta ketetapan disediakan oleh Allah SWT.

Kecantikan itu mestilah tidak dituruti bersama dengan sifat riak mahupun takbur. Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi.”

Lalu bertanya seorang lelaki: “Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takbur? Baginda menjawab: “Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia.”

Selain penjagaan aurat, Allah menjadikan pakaian sebagai perhiasan bagi si pemakai yang juga fitrah seorang insan.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (libaasa) pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk (wariisya) perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, ayat 26)
Menurut Tafsir Jalalain’, ‘Libaasa’ dalam ayat itu ialah pakaian bertujuan untuk menutup aurat. Adapun ‘Wariisya’ ialah apa yang diambil atau dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu bertujuan untuk perhiasan.

Menutup aurat adalah keperluan asas sementara perhiasan hanya sampingan kepada tujuan pakaian.

Fungsi pakaian dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang.” (Surah an-Nahl, ayat 81)
Seluar kebiasaannya pakaian bagi lelaki tetapi turut mula dipakai golongan wanita sehinggakan ada sebahagian pendapat dari ulama yang mengharamkan secara terus pemakaian segala jenis seluar bagi wanita.

Bagaimanapun, ramai juga di kalangan ulama yang membenarkan pemakaian seluar kepada wanita berdasarkan jenis seluar dipakai. Hingga ada segelintir yang menyalahgunakan hadis Nabi SAW dengan pendapat wanita lebih mulia jika memakai seluar.
Ini disebabkan salah faham kepada maksud hadis diriwayatkan oleh Al-Uqayli, Dar al-Qutni dan kitab Kanzul Ummal iaitu: “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang.”

Hadis ini berikutan kejadian seorang wanita yang jatuh dari kenderaan sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya. Maka sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu Rasulullah SAW memuji dan menyebut hadis berkenaan.

Diriwayatkan juga dari Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermakaud: “Sesiapa yang tidak ada sarung, hendaklah memakai seluar panjang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hukum ini umum, bagi membolehkan perempuan dan lelaki memakai seluar, asalkan seluar perempuan berbeza dengan seluar lelaki kerana mereka tidak boleh sama dalam bentuk penampilan diri berasaskan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah melaknat ke atas lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bekas Pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Atiyyah Saqqar, dalam kitab Mausuah al-Usrah berkata: “Pada dasarnya seluar panjang itu lebih kemas menutup aurat lelaki dan perempuan, dan tidak ada aib celanya seluar panjang dipakai mereka sekarang ini.”

Cuma bagi perempuan pula ia menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang menggiurkan sekalipun tidak berwarna-warni yang mengundang perhatian. Kalaulah seluar perempuan itu berwarna-warni tetapi dipakaikan pula di luarnya kain yang menutupi anggota yang boleh menimbulkan fitnah di samping tidak kelihatan rupa bentuknya (dari dilihat dan diketahui orang lain) maka sudah tentu hukumnya tidak mengapa.

Ini bermaksud wanita dibenarkan memakai seluar dengan menepati syarat penutupan aurat yang sebenar. Permasalahan yang muncul adalah aliran masa kini yang mana anak muda semakin ramai mengenakan seluar yang terlalu ketat sehinggakan menampakkan tubuh badan mereka.

Seluar ketat termasuk ‘legging’ ini terkadang dilihat dipakai oleh wanita bertudung dan ia jelas menampakkan bentuk aurat wajib ditutup sehingga menonjolkan bentuk tubuh seperti betis, peha dan kemaluan dengan ketara.


Dalam isu pemakaian seluar ketat, ia turut menjadi perbincangan ulama.
Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan dalam kitabnya Al-Qaul Al-Mubin fi Akhtha’ Al-Mushallin berkata: “Majoriti pemuda yang menamakan dirinya remaja Muslim, mereka mengingkari wanita yang berpakaian ketat kerana membentuk tubuhnya. Sementara pemuda ini sendiri lupa dirinya turut sama melakukan perbuatan itu. Tidak ada perbezaan antara seorang wanita berpakaian ketat dan seorang lelaki memakai seluar yang membentuk tubuh, kerana keduanya sama-sama membentuk kedua punggungnya. Sedangkan punggung lelaki dan punggung perempuan adalah aurat, kedua-duanya sama hukumnya.”

Sebahagian pandangan dari Mazhab Syafie berpendapat harus lelaki memakai seluar asalkan tidak menampakkan bentuk kemaluan kerana jika ternampak bentuk kemaluan maka jatuh kepada hukum haram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka umpama bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian jauh.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Justeru, fesyen itu tidak salah tetapi salah memilih cara berfesyen itulah membuatkan diri dimurkai. Jangan kerana fesyen, maruah tergadai.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis