#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, 20 September 2013

'Alam maya' dunia baru kanak-kanak

2013/09/19
Berita Harian - Agama
Oleh : Nik Salida Suhaila

Tanggungjawab membesarkan zuriat lebih sukar daripada mencari rezeki

Dunia tanpa sempadan menuntut komitmen yang luar biasa terhadap kehidupan. Jika dulu tugas ibu cukup dengan mengawasi anak di depan mata, tahu di mana tidurnya, bagaimana makannya, elok pakaiannya dan siapa temannya.

Hari ini, ada satu dunia lain yang dihuni oleh anak tanpa disedari ibu. Inilah yang dikatakan ‘alam maya’, sekecil-kecil anak pun tahu merentasinya tanpa berbekalkan wang sesen pun, cukup dengan sentuhan.

Sama ada alam maya menjadikan anak orang yang lebih berilmu atau sebaliknya bergantung kepada kesediaan ibu mencari ilmu menghadapi tanggungjawab sebagai pembantu pemimpin rumah tangga dalam dunia serba mencabar kini.

Semua ibu pasti merasakan tanggungjawab membesarkan anak jauh lebih sukar daripada mencari rezeki, makan dan pakai buat mereka. Apatah lagi seorang ibu yang turut berkerja dan pada masa sama membimbing cahaya mata yang dianugerahkan Ilahi.

Tak rasa penat lihat anak berjaya

Sudah pastilah masa diperuntukkan berganda banyaknya, tenaga diperah tidak terhingga, tetapi semuanya kerana tanggungjawab yang perlu dilaksana, jadi ibu yang mulia tidak akan terasa penat dan lelahnya apabila melihat anak-anak semuanya berjaya.

Setiap ibu yang sedar dan mengerti suruhan agama, tahu tanggungjawab dipikul serta kesan buruknya jika tidak ditunaikan untuk memastikan amanah Allah SWT, memulakan kehidupan di dunia dengan baik seterusnya berakhir dengan baik.
Bahkan anak lahir daripada pasangan bapa dan ibu yang bertakwa serta takutkan Allah SWT yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka dengan doa mereka.

Sudah tentulah setiap ibu ingin menyelamatkan anak- daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia serta batu. Tiada ibu yang tergamak menjadikan anaknya menjadi arang yang membara membakar manusia, tetapi hasrat dan nekad itu tidak akan menjadi jaminan tanpa bimbingan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Jika seorang ayah adalah pemimpin bagi sebuah keluarga, ibu pula pembantu dalam kepemimpinan rumah tangga. Rumah tangga adalah satu naungan yang dalamnya ada satu ikatan antara dua hati yang berkasih sayang kerana Allah SWT.

Jika ayah menjadi ketua yang wajib dihormati, dipatuhi dan mengetuai segala urusan membabitkan ahli rumah tangga, ibu pula memimpin sistem yang terdapat di dalamnya untuk memastikan ahli rumah tangga taat serta setia kepada pemimpin keluarga.

Tidak semudah berjanji, memimpin rumah tangga memerlukan daya tahan tinggi, teguh berdiri di belakang ketua keluarga yang bertanggungjawab atas segala tindak tanduk ahlinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang imam adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya, dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin pada rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang pembantu adalah pemimpin pada harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”

Ibu tidak perlu takut merotan anak yang melakukan kesalahan, ia patut bermula seawal usia mereka 10 tahun, apabila lalai mengerjakan solat.

Sabda Rasulullah SAW: “Perintahkanlah anakmu untuk melaksanakan solat pada saat mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila enggan mengerjakannya pada saat mereka berusia 10 tahun.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Proses bentuk akhlak

Nabi tidak meminta anak dipukul sebelum usianya 10 tahun, walaupun mereka melanggar perintah Allah SWT, tetapi mereka perlu sentiasa dinasihat serta dibimbing supaya proses pembentukan akhlak mulia dapat dilakukan dengan sempurna dan konsisten.

Ibu yang tidak merotan anaknya kerana meninggalkan solat selepas usianya 10 tahun bakal mendepani anak yang tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan, tidak taat perintah Tuhan, serta keliru antara suruhan dan larangan dalam agama.

Setiap ibu yang berjaya menjadikan anak mereka orang soleh dan baik budi pekerti sudah tentulah bermula dengan cara dibentuk mengikut acuan ad-Deen. Ia seawal mendedahkan anak dengan kisah nabi dan sahabat baginda yang tidak terkira banyaknya.

Moral kisah benar membuktikan keunggulan Islam, teladan akhlak dan ukhuwah akan menjadi pegangan anak yang dibentuk dengan didikan ibu yang ikhlas supaya anak bijak menilai baik atau buruk tanpa mampu dipengaruhi sesiapa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.