#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, 3 Oktober 2013

Suami dahulukan usaha atasi krisis rumah tangga

2013/10/01
Berita Harian

Amru bin Ahwas al-Jusyami berkata, “Ketika Rasulullah melakukan haji perpisahan, beliau memberi nasihat kepada orang ramai. Beliau membaca ‘Alhamdulillah’, kemudian memuji Allah, lalu bersabda: Ingatlah. Berilah nasihat kepada kaum wanita dengan sebaik-baiknya. Mereka itu ibarat orang tawanan kamu. Kamu tidak mendapat apa-apa daripada mereka melainkan bergaul sebagai suami isteri.

Jika mereka berkelakuan buruk, tidurlah berasingan dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakiti. Tetapi jika mereka taat semula kepadamu, janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahannya dengan tujuan menyakiti mereka.

Ingatlah bahawa kamu semua mempunyai hak ke atas isterimu. Begitu juga isteri kamu mempunyai hak ke atasmu. Hak kamu yang wajib isteri patuhi ialah tidak memberi tempat kepada orang yang tidak kamu sukai iaitu tidak duduk berdua-duaan dengan lelaki lain dan tidak membawa orang lain masuk ke rumah tanpa izin suaminya. Ingatlah kamu bahawa hak mereka pula adalah kamu melayannya dengan baik dan memberi pakaian serta makanan kepada mereka.” (Riwayat Tirmizi, katanya ini hadis hasan sahih)


Hubungan suami, isteri

Hubungan antara suami isteri turut dijelaskan Islam, agama yang menjadi cara hidup penganutnya kerana memahami tanggungjawab wajib ditunaikan bermakna memastikan semua hak setiap insan itu dipelihara sebaiknya.

Jika isteri memenuhi tanggungjawab dan suami juga memahami peranan serta kedudukannya sebagai ketua keluarga, tidak akan timbul sebarang masalah dalam perhubungan suami, isteri serta anak-anak.

Malangnya, disebabkan tidak menghayati ajaran Islam menjadikan suami lupa tanggungjawab. Apabila berlaku perselisihan, suami bukan saja tidak berusaha mengatasi malah menambahkan lagi masalah dengan sifat cepat marah mereka.

Laporan keganasan rumah tangga yang kini mudah tersiar dalam laman sosial menunjukkan kepincangan masyarakat hingga suami tidak ada lagi perasan segan silu memukul isteri di tempat awam.

Masyarakat juga perlu bimbang dengan kes isteri menjalin hubungan dengan pasangan yang ditemui di alam maya. Semua itu sebenarnya mencerminkan keimanan serta penghayatan terhadap larangan serta suruhan agama.