#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, 26 Januari 2011

Tugas peguam syarie permudah urusan anak guam

2011/01/26
Peguam Syarie Menulis

APABILA memperkatakan sistem kehakiman Islam, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai peguam syarie yang membela anak guaman yang menaruh harapan terhadap mereka di Mahkamah Syariah.

Oleh itu, apabila tidak mendapat pengadilan diharapkan, ada kala disebabkan terlalu kecewa kesalahan diletak di bahu peguam syarie.

Dalam menjalankan amanah, peguam syarie perlu menjaga etika kerana mereka sebahagian daripada sistem kehakiman Islam. Kita tidak mahu ada tanggapan negatif terhadap sistem kehakiman Islam disebabkan segelintir peguam syarie yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Justeru, perlu satu transformasi untuk memperkasakan peguam syarie dalam budaya kerja mahupun terhadap etika supaya peranan mereka lebih mantap dalam menegakkan hak anak guamnya di Mahkamah Syariah.

Peguam Syarie berperanan membantu melancarkan segala urusan anak guamnya berkaitan Mahkamah Syariah. Sebagai pemudah cara, mereka sepatutnya membimbing anak guam supaya kes yang dibawa dapat diselesaikan dengan berkesan.

Hari ini, kes membabitkan perceraian di Mahkamah Syariah, hakim syarie akan mengusulkan pihak bertikai supaya mendapatkan khidmat peguam syarie kerana kebanyakan ahli masyarakat kurang faham mengenai prosedur mahkamah.

Bantuan peguam syarie yang arif tentang perjalanan kes di Mahkamah Syariah akan memudahkan pelanggan sama ada suami atau isteri untuk mengemukakan tuntutan sementara bagi yang membela, dapat menyediakan hujah pembelaan yang kemas.
Melalui cara ini, persediaan dapat dilakukan dengan teliti dan proses di Mahkamah Syariah juga berjalan lancar. Lebih utama, semua yang dilakukan bertujuan memastikan semua pihak mendapat keadilan.

Dulu kedengaran dakwaan Mahkamah Syariah lambat menyelesaikan kes terutama kes cerai fasakh dan kini suara itu masih kedengaran, mungkin tidak selantang dulu tetapi masih wujud kelewatan.

Bagaimanapun, tidak adil meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap Mahkamah Syariah kerana punca kelewatan sebenarnya pelbagai. Banyak sebab menyebabkan kes berlarutan seperti tidak patuh pada syarat serta prosedur ditetapkan mahkamah.

Sebab lain, saman tidak dapat disempurnakan, gagal mengemukakan bukti, saksi tidak hadir ke mahkamah. Selalunya kelemahan oleh pihak bertikai tidak dibangkitkan tetapi meletakkan kesalahan terhadap pihak mahkamah.

Melihat prosedur perceraian secara fasakh yang sering dikatakan lambat sehingga menyusahkan pelbagai pihak, seperti dimaklumi, satu serahan saman serta Penyata Tuntutan oleh plaintif (pihak yang menuntut) perlu diserahkan kepada defendan (pihak yang kena tuntut).

Selepas serahan dilakukan, maka penyataan pembelaan perlu dibuat oleh defendan untuk menjawab segala tuduhan, jika berhasrat berbuat demikian. Plaintif kemudian akan menjawab pernyataan pembelaan dan jika ada tuntutan balas, perlu dijawab sebelum perbicaraan dimulakan.

Itu belum lagi kes suami hilang, suami ingkar hadir ke mahkamah walaupun saman sudah disempurnakan. Sesetengah berpendapat apabila suami tidak hadir, memadai fakta atau cerita dalam penyata tuntutan untuk hakim syarie membuat keputusan. Pandangan ini salah kerana mahkamah perlu membuat pertimbangan untuk memberi keputusan yang adil.

Oleh itu, kes perceraian fasakh bukannya mudah kerana kes itu memerlukan kepada pembuktian seiring dengan keterangan yang kukuh bagi mengelakkan penganiayaan terhadap mana-mana pihak lebih-lebih lagi kes perceraian fasakh dituntut sebelah pihak.

Segala keterangan dan bukti perlu ditapis dan dianalisis sebelum hakim syarie melalui Mahkamah Syariah membenarkan mana-mana pasangan bercerai sekali gus mengelak perceraian berlaku sewenang-wenangnya.

Masyarakat juga seharusnya memahami Mahkamah Syariah di setiap negeri mahupun daerah mempunyai kadar kes berbeza kerana Mahkamah Syariah bukan hanya menyelesaikan kes rumah tangga tetapi turut mendengar kes mal dan jenayah yang lain.

Jadual kes yang padat menyebabkan hakim syarie terpaksa menyusun tempoh masa perbicaraan kurang daripada satu jam bagi setiap kes dan ini agak menyukarkan peguam syarie membentangkan kes serta membuktikan segala-galanya dalam tempoh diberikan itu.

Bagi menangani kes fasakh ini, mahkamah perlu diberi ruang dan masa untuk menilai, menimbang seterusnya menyelesaikan kes berkenaan supaya tidak berlanjutan terlalu lama, di samping memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Masa untuk menilai juga perlu ada tempoh waktunya kerana apabila kes berlarutan, ini menyebabkan keadilan lambat ditegakkan yang ada kalanya menyebabkan hak pihak bertikai meneruskan kehidupan turut terkesan.

Bagi melicinkan perjalanan kes di Mahkamah Syariah, pihak yang bertikai perlu memahami apa yang perlu dilakukan, peguam pula seharusnya membimbing anak guamnya kerana tidak semua maklum dengan prosedur di mahkamah.

Jika semua persiapan dapat dilakukan dan keperluan dipenuhi, tiada alasan untuk hakim syarie sengaja melambat-lambatkan penghakiman kerana tanggungjawab mereka adalah memastikan pihak yang berhak mendapa

Isnin, 24 Januari 2011

Jangan terjerat untuk kurus

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Berita Harian
2011/01/24


MENDAPATKAN bentuk badan langsing dan sempurna menjadi idaman setiap wanita. Kini seakan satu trend apabila setiap hari, di mana-mana saja kita boleh lihat iklan lokasi sesuai untuk menjadikan impian wanita itu menjadi kenyataan.

Seolah-olah matlamat mendapatkan tubuh sempurna hanya diperoleh menerusi program seumpama itu atau mengamalkan pemakanan produk tertentu. Keadaan itu menjadikan populariti dan amalan menerusi aktiviti senaman untuk mendapatkan tubuh sihat sempurna semakin berkurangan.

Antara memenuhi matlamat atau sekadar mahu mengikut aliran, ramai pengguna sebenarnya menjadi mangsa pusat pelangsingan badan. Pelbagai promosi iklan ditawarkan, termasuk sesi percubaan percuma disediakan bagi menarik pelanggan mengambil pakej bagi merealisasikan matlamat mereka.

Zaliza Ishak (bukan nama sebenar) menganggap dirinya antara mangsa, terjerat dengan program pelangsingan badan ditawarkan jenama ternama di ibu negara walaupun Zaliza bukanlah dalam kategori wanita bertubuh gempal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu merasakan keadaan perutnya yang agak menggeleber, selepas melalui proses kehamilan sebelum ini, memerlukan beliau melakukan rawatan pelangsingan yang hangat iklannya di mana-mana sedangkan dia tahu hanya menerusi teknik senaman yang dilakukan secara teratur dan disiplin, dapat menangani masalahnya itu.

“Saya tahu senaman mampu merealisasikan hajat saya, tapi seperti wanita lain yang kesuntukan masa bersenam, waktu makan yang tidak menentu, menuntut saya mencuba ke pusat rawatan berkenaan.

“Atas tiket sesi percubaan, saya ke pusat pelangsingan berkenaan. Antara prosedur biasa dilakukan apabila mereka berkunjung ke pusat itu, pelanggan dibawa masuk ke bilik rundingan terlebih dulu sebelum mendapatkan rawatan. Di dalam bilik berkenaan, saya mendapat khidmat nasihat seorang pakar perunding sebelum di bawa ke bilik rawatan di maksudkan,” katanya.
Menceritakan pengalaman itu, Zaliza berkata, sesi berkenaan memakan masa selama kira-kira 60 minit, tetapi dirasakan bagaikan sehari kerana rawatan memecahkan lemak bagaikan ‘memecahkan’ perutnya kerana terlalu panas dan dia dibiarkan bersendirian dalam bilik berkenaan tanpa pengawasan.

“Rawatan awal hanyalah urutan tetapi apabila masuk ke bahagian memecahkan lemak, perut saya disapu dengan sejenis tanah liat yang agak panas. Lama-kelamaan ia menjadi semakin hangat bagaikan terbakar menyebabkan saya terpaksa mengangkat tanah liat itu daripada perut saya,” katanya yang tidak terfikir untuk menjerit meminta tolong kerana berasa malu jika berbuat demikian.

Selesai membuat rawatan Zaliza kembali ke pusat rundingan dan menceritakan segala-galanya, tetapi pakar perunding bagaikan tidak mengendahkan masalah Zaliza, sebaliknya mencadangkan mencuba rawatan jenis lain yang harganya mencecah ribuan ringgit.

Lebih mengejutkan Zaliza apabila perunding itu menyatakan tubuh Zaliza `terlalu teruk’ dan jika tidak dirawat segera, dia akan menjadi ‘semakin buruk dan gemuk’.

“Perunding cenderung memaksa `mangsa’ menyertai rawatan pelangsingan badan dan `dikurung’ dalam bilik rundingan selama beberapa jam. Perunding sedaya upaya memujuk supaya kita ikuti juga program diadakan. Bermula dengan harga puluhan ribu, kita akan diperangkap dengan ‘penurunan harga’ antara RM2,000 dan RM3,000.

“Antara pilihan atau sekadar melepaskan diri daripada perangkap pengurus dan pakar perunding, mangsa terpaksa bersetuju untuk menyertai rawatan pelangsingan badan. Pusat pelangsingan badan lebih suka memburu mangsa yang mempunyai kad kredit,” katanya.

Seorang mangsa baru-baru ini, berjaya mendapatkan semula wangnya melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Beliau menuntut semua kos rawatan daripada syarikat pelangsingan badan yang menjanjikan penurunan berat badan antara 10 kilogram (kg) hingga 15 kg dalam tempoh empat bulan dengan 84 sesi rawatan, selepas gagal untuk melangsingkan badan.

Hasil perbincangan itu, pihak syarikat pelangsingan bersetuju membayar semula kepada wanita berkenaan, kos keseluruhan rawatan serta pembelian produk minuman yang semuanya berjumlah RM4,060.

Dalam tuntutannya, wanita itu berkata, dia hanya ingin mengurangkan 10 kg berat dan mengempiskan perut serta mengecilkan lengan, namun itu tidak dapat dipenuhi oleh rawatan di syarikat pelangsingan badan berkenaan.

Beliau mengikut jadual rawatan tanpa gagal di bawah seliaan seorang pakar terapi, tetapi hasilnya selepas melakukan 80 sesi rawatan, berat badannya tidak berubah malah meningkat lagi sekitar 100 gram (g) kepada 71.6 kg.

Malah, pada sesi kesembilan, dia diminta pula membeli produk tambahan bagi mempercepatkan kadar penurunan badan walaupun pada awalnya diberitahu beliau tidak perlu menambah apa-apa bayaran lain bagi mendapatkan keputusan yang dijanjikan.

Malangnya produk berbentuk minuman disyorkan pusat berkenaan, meningkatkan selera makannya. Dia memutuskan untuk menghentikan rawatan yang berbaki tiga sesi atas nasihat doktor selepas mengalami tekanan darah tinggi, yang diyakininya kesan daripada rawatan yang diikutinya itu, selain tidak diberikan sebarang nasihat berkaitan diet pemakanan sepanjang menerima rawatan pelangsingan yang dijanjikan syarikat berkenaan.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa pengguna supaya bijak membuat pertimbangan supaya tidak terjerat dengan janji pusat pelangsingan badan.

Berdasarkan laporan media, banyak kes membabitkan pusat pelangsingan badan yang dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), memihak kepada pengguna. Ada juga kes membabitkan pengguna yang ingin membatalkan kontrak mengikuti program di pusat pelangsingan.

Berdasarkan Akta Perlindungan Pengguna 1999, pengguna yang mengikuti program membabitkan kontrak perkhidmatan hadapan (termasuk program untuk menurunkan berat badan), boleh membatalkan kontrak dengan membuat notis pembatalan secara bertulis.

“Jika selepas mengikut beberapa sesi rawatan tetapi tiada hasil dicapai, pengguna boleh meminta supaya kontrak dibatalkan. Biasanya, dalam pendengaran di Tribunal, jika kes berkenaan tidak diselesaikan di luar kamar, Presiden akan mengarahkan pusat pelangsingan membayar baki bayaran bagi sesi yang belum diikuti,” katanya.

Sepanjang 2009, sebanyak 2,347 kes difailkan membabitkan perkhidmatan kontrak hadapan (termasuk kes berkaitan pusat pelangsingan badan) manakala 2008, kes khusus berhubung pusat pelangsingan badan yang dilaporkan adalah sebanyak 971 kes.

Katanya, promosi dan iklan melalui media massa yang agresif, termasuk testimonial yang didakwa dibuat oleh pelanggan terdahulu yang mengikuti sesi rawatan di pusat pelangsingan badan itu selalunya dapat mempengaruhi pengguna.

Jika ingin membuatkan tuntutan, bukti perlu dibawa ke TTPM, seperti perjanjian kontrak, brosur atau risalah berhubung dakwaan pusat pelangsingan boleh menguruskan badan pada tempoh tertentu, atau apa juga bukti lain yang boleh menyokong tuntutan pengguna itu.

Pengguna juga boleh mendapatkan khidmat Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional dengan menghubungi talian 03-78779000 atau melayari laman web www.nccc.org.my.

Selasa, 18 Januari 2011

Wanita pemangkin pembangunan negara

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/01/18


Lonjakan 30 peratus kuota wanita pembuat dasar jadi agenda utama

AGENDA memperkasakan keupayaan wanita dalam pembangunan dan pentadbiran negara perlu di pertingkatkan dengan merujuk kepada kekukuhan semangat, penguasaan individu dalam komuniti menerusi sektor ekonomi, politik, sosial dan pendidikan.

Sepanjang beberapa dekad lalu, kecemerlangan wanita menerusi bidang tertentu memang tercatat dalam sinopsis negara, malah ada yang mendapat pengiktirafan dunia. Namun cukupkah setakat negara berbangga dengan kejayaan beberapa kerat wanita berjaya itu dalam bidang masing-masing? Lazimnya, pembabitan pembangunan pengupayaan wanita membabitkan keyakinannya mengikuti kapasiti diceburi.

Kewibawaan keupayaan wanita juga seharusnya merangkumi dalam kuasa sendiri membuat keputusan; mempunyai akses terhadap sumber dan maklumat dalam menyediakan keputusan yang lebih baik; mampu membuat pilihan sama ada untuk berkata ya atau tidak; kebolehan berfikiran positif dan dalam membuat perubahan; kebolehan menukar persepsi serta meningkatkan imej diri dan stigma.

Di mana saja negara di dunia ini, mahu mengangkat wanita ke puncak tertinggi sejajar dengan kemampuan mereka untuk sama-sama sealiran membangunkan negara. Dalam pada itu, dominasi lelaki dalam masyarakat dan kerajaan selalunya dilihat terhadap perkara yang menarik perhatian golongan itu saja, sehingga keupayaan wanita sering kali dilihat terkebelakang walaupun lebih separuh populasi dunia dihuni wanita dan sebahagiannya amat hebat sekiranya digilap potensinya.

Perbezaan gender masih membelenggu penguasaan wanita dalam bidang utama, meskipun di kebanyakan negara, sudah menerima pakai kuota 30 peratus wanita dalam membuat keputusan. Begitu juga penyertaan golongan hawa dalam parlimen di negara dunia juga mencapai tahap membanggakan, sebilangannya mencapai lebih 50 peratus.

Contohnya, Rwanda mencapai 56.3 peratus; Afrika Selatan (44.5 peratus); Mozambique (39.2 peratus); Angola (38.6 peratus); Costa Rica (38.6 peratus); Argentina (38.5 peratus); Nepal (33.2 peratus); Equador (32.2 peratus); Uganda (31.5 peratus) dan Tanzania (32 peratus).
Merujuk negara Asean pula, Vietnam mencatat pencapaian tertinggi dengan penyertaan wanita dalam Parlimen berjumlah 25.8 peratus; Laos (25.2 peratus); Singapura (23.4 peratus); Kemboja (21.1 peratus); Indonesia (18 peratus); Thailand (13.3 peratus) manakala Malaysia pula hanya 10.4 peratus.

Jika ditinjau wanita Malaysia yang menjadi Ahli Dewan Negara pada 2005 sebanyak 32.3 peratus dan sehingga tahun lalu, ia menurun kepada 24.3 peratus. Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula hanya lapan peratus.

Melihat kepada penguasaan wanita dalam sektor awam agak membanggakan iaitu 32.2 peratus bagi jawatan pengurusan tertinggi manakala golongan profesional pula 60.9 peratus.

Malangnya kehebatan sama tidak mampu dicapai di sektor swasta. Contohnya wanita yang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat bursa saham, cuma 6.2 peratus, begitu juga jawatan sama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jauh tertinggal dibandingkan lelaki.

Jika diintai jumlah pengambilan pelajar di pusat pengajian tertinggi, lebih 60 peratus adalah wanita. Bagaimanapun, jumlah itu tidak setara dengan keupayaan mereka sebaik saja memasuki pasaran pekerjaan. Malah, apabila beberapa tahun bekerja, kewibawaan mereka semakin terserlah dan bertaraf profesional, tiba-tiba ada yang mengundur diri daripada pasaran pekerjaan atas pelbagai alasan khususnya ingin menumpu perhatian kepada keluarga.

Dilema antara pekerjaan dan tugas di rumah iaitu menjaga, mengurus anak dan suami, akhirnya menjejaskan potensi untuk menjawat jawatan tertinggi dalam dunia pekerjaan terbantut di situ. Jika keadaan berterusan, penguasaan wanita dalam bidang utama mungkin kekal di takuk sama dan jika berganjak pun ia dengan jumlah yang kecil.

Lantaran, peranan pelbagai pihak khusus kerajaan, swasta dan individu sendiri perlu lebih fokus serta komited dalam isu ini. Salah satu, badan yang yang tidak ketinggalan memperjuangkan misi potensi wanita ialah Institut Pengupayaan Wanita (NIEW) yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kewujudannya juga wajar lebih agresif dengan meneroka dan mengeksploitasikan sepenuh tenaga dan kepakaran wanita dengan memberikan latihan dan kursus sebagai persediaan melangkah jauh ke hadapan dalam kerjaya.

Sejak penubuhan NIEW, pada 2005, yang antara lain misinya adalah sebagai pemangkin, penggerak mempromosikan pembangunan dan pengupayaan wanita, kesaksamaan gender melalui program latihan dan penyelidikan serta mengintegrasikan perspektif wanita dan hak kesaksamaan dalam semua aspek pembangunan negara, tidak seharusnya hanya dalam kertas saja.

Dengan bidang tugasnya amat luas termasuk menganjurkan program pembangunan kapasiti untuk negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dalam bidang dikenal pasti penting untuk wanita dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi maklumat (IT), kesihatan dan anti keganasan itu memberikan peluang terbaik berkongsi pengalaman dan kepakaran antara negara peserta.

Justeru, Pengarah NIEW, Datuk Rafiah Salim, berkata agenda memperkasakan wanita tidak pernah padam sebaliknya akan terus berjuang untuk mendapatkan meningkatkan martabat golongan itu dalam masyarakat serta relevan kepada pembangunan negara.

Katanya, banyak program yang sudah dilaksanakan institusi itu bagi memenuhi misinya dan mulai tahun ini fokus utama adalah untuk mencapai kuota 30 peratus wanita dalam barisan pembuat dasar.

Pada masa sama, pihaknya akan mengadakan sidang meja bulat tidak lama lagi membabitkan penyertaan kerajaan, badan korporat dan GLC untuk mendapatkan sokongan untuk mencari kaedah terbaik mencapai matlamat kuota berkenaan.

“Ketika ini, komitmen pihak swasta dan GLC begitu rendah mengetengahkan keupayaan wanita bagi memegang jawatan tertinggi. Sepatutnya mereka perlu wujudkan garis panduan dengan menetapkan kuota untuk melantik wanita yang berkelayakan menerajui syarikat seperti institusi perbankan dan sebagainya.
Saya yakin dengan adanya sokongan padu, langkah yang kuat, kedudukan dan keupayaan wanita akan dapat dimanipulasi setinggi mungkin.

“Ramai wanita Malaysia berwibawa, cuma peluang mereka agak kurang. Jika tidak dicungkil ia satu kerugian kepada negara. Ilmu dan kepakaran mereka mampu dijana untuk membantu pembangunan negara,” katanya yang menjelaskan sehingga ini sebanyak 39 program termasuk forum, bengkal serta kursus diadakan di peringkat tempatan dan antarabangsa dihadiri lebih 15,000 peserta sepanjang empat tahun lalu untuk meningkatkan keupayaan wanita.

Mengulas mengenai keupayaan wanita Malaysia, beliau menegaskan wanita perlu mempunyai semangat tinggi untuk menyahut cabaran lebih bagi mempamerkan kehebatan mereka dalam apa saja bidang.

Pada masa sama, wanita tidak seharusnya menunggu untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk maju dan sentiasa berdikari, selain mempersiapkan diri dengan kemahiran supaya kewibawaan mereka tidak dinafikan pihak lelaki.

“Kita juga tidak boleh salahkan sistem yang ada. Ruang yang sempit itu perlu digunakan sepenuhnya. Kadang kala wanita diberi jawatan tinggi, tetapi menolak dengan alasan tidak yakin dapat melakukannya,” katanya.

Apa yang diharapkan, tahun ini dapat memberikan harapan lebih tinggi terhadap isu berkaitan bagi meningkatkan lagi status, kuasa dan keupayaan wanita dalam pelbagai bidang.

Selain itu, sejajar dengan misi, mulai tahun ini, NIEW akan memberi tumpuan terhadap mengumpul akta berkaitan isu wanita daripada negara NAM yang boleh dijadikan panduan dan digunakan pakai mengikut kesesuaian serta latar belakang negara.

Tahun ini, katanya, penekanan juga akan ditumpukan kepada cara mengatasi wabak penyakit berjangkit seperti cirit-birit yang melanda dunia. Forum akan diadakan membabitkan negara anggota bagi membincangkan secara mendalam berkaitan isu itu secara global. Sudah pasti apa yang diharapkan wujud anjakan paradigma yang lebih gemilang, tahun ini bagi mengangkat martabat wanita di tempat sewajarnya.

INFO:

VISI: NIEW berperanan sebagai sebuah institusi pengajian antarabangsa dan pusat rujukan yang menyumbang kepada pengupayaan wanita serta pembangunan modal insan di kalangan negara NAM.

MISI: Sebagai pemangkin dan penggerak untuk mempromosikan pembangunan dan pengupayaan wanita serta kesaksamaan gender melalui program latihan dan penyelidikan;

* Menguruskan dengan lebih efektif pengetahuan berkaitan gender dan mempertingkatkan program-program pembangunan kapasiti bagi menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam mengutamakan dan mengintegrasikan perspektif wanita dan hak kesaksamaan dalam semua aspek pembangunan negara;

* Memperkukuhkan kerjasama Selatan-selatan dan membangunkan rangkaian dan perkongsian dengan Negara lain untuk pengupayaan dan pembangunan wanita;

* Memperoleh pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan tempatan melalui inisiatif yang dijalankan dalam program pengupayaan NIEW.

* Menjalinkan kerjasama strategik dengan organisasi tempatan dan pertubuhan antarabangsa, Negara-negara Anggota NAM dan bukan NAM untuk mendapatkan sumber bagi program Pengupayaan Wanita.

Statistik kuota sebagai pembuat dasar

Rwanda - 56.3 peratus
Afrika Selatan - 44.5 peratus
Mozambique - 39.2 peratus
Angola - 38.6 peratus
Costa Rica - 38.6 peratus
Argentina - 38.5 peratus
Nepal - 33.2 peratus
Equador - 32.2 peratus
Uganda - 31.5 peratus
Tanzania - 32 peratus

Penyertaan wanita dalam Parlimen di negara Asean

Vietnam - 25.8 peratus
Laos - 25.2 peratus
Singapura - 23.4 peratus
Kemboja - 21.1 peratus
Indonesia - 18 peratus
Thailand - 13.3 peratus
Malaysia - 10.4 peratus

Isnin, 17 Januari 2011

Dilema wanita kerjaya

Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/01/17


Negara rugi profesional akibat tekanan antara tugas suri rumah dan kerja

SEAWAL 5.30 pagi setiap hari, kecuali hujung minggu dan cuti umum, pakar teknologi maklumat, Maria Ahmad, 37, sudah bangkit tidur untuk melakukan pelbagai rutin harian khususnya mengurus persiapan tiga anak, berusia antara 3 hingga 15 tahun ke sekolah. Sebaik saja menghantar ke semua anaknya ke sekolah, terus bergegas dari rumahnya di Bangi ke pejabatnya terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Dalam perjalanan sudah merangka apakah tugas bakal dilangsaikan, selain perlu berhadapan dengan bos yang cerewet. Perjalanan mengambil kira-kira sejam untuk sampai ke destinasi tempat kerjanya dan kalau nasib tidak menyebelahinya, sampai lewat ke pejabat jika berlaku kesesakan lalu lintas yang melampau.

Lewat petang dan ada kalanya sampai ke rumah malam sekiranya banyak kerja di pejabat. Kadang-kadang kerja pejabat juga dibawa ke rumah untuk diselesaikan. Sudah pasti, rutin itu tidak habis di situ. Maria kena juga menyelesaikan lagi banyak tanggungjawab sebagai ibu dan isteri di rumah. Ada pembantu rumah pula tidak begitu bagus, banyak tugas rumah tidak beres, cuma sekadar diharapkan untuk melihat tiga anaknya. Itupun Maria bercadang tamatkan kontraknya tidak lama lagi. Sehingga ini sudah lima pembantu rumah warga Indonesia diambil semuanya menyakitkan hati.

Dalam keadaan tertekan itu, Maria sudah berkira-kira untuk berhenti saja kerja untuk menumpukan perhatian kepada anak dan keluarga, selepas melihat beberapa rakannya berjawatan profesional turut mengambil langkah sama.


Kisah Maria, adalah antara sekelumit cerita yang turut dirasai oleh jutaan wanita berkerjaya di seluruh dunia. Masing-masing mempunyai masalah hampir sama, dilema dalam menangani tuntutan antara kerjaya dan keluarga.

Apabila berlaku senario berkenaan, sebenarnya negara juga yang kerugian tenaga pekerja profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan negara. Malah trend wanita profesional termasuk doktor, peguam dan akauntan berhenti kerja di Malaysia kini sudah menampakkan tanda dengan alasan untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga.

Senario itu diakui Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menjelaskan walaupun trend itu nampak kecil tetapi ia sudah bermula.

Di lihat dari satu sudut, mempunyai kerjaya yang kukuh menggambarkan warna kehidupan yang begitu menarik. Namun disebabkan banyak kekangan yang terpaksa dilalui itu, sebilangan wanita memilih saja untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga khususnya anak.

Sebenarnya, situasi itu bukan dianggap sebagai trend baru, sebaliknya sudah berlaku sejak beberapa dekad lalu. Bagaimanapun, sekitar 1980-an kesibukan kerja dan tanggungjawab menguruskan rumah tangga semakin meningkat dengan jumlah wanita yang memasuki pasaran pekerjaan semakin melebar.

Namun, isu ini tidak perlu dipandang remeh kerana kini wanita mula mendapat tempat sewajarnya dan mampu mencapai ke tahap lebih cemerlang. Berdasarkan Bancian penduduk dan Perumahan Malaysia, penduduk negara melebihi 27.5 juta orang dengan nisbah hampir sama dengan lelaki.

Keupayaan wanita Malaysia mampu dilonjakkan ke tahap tertinggi sekiranya diberi peluang dengan mengenepikan jurang gender.

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Awal ketika diajukan pandangan berkenaan wanita profesional berhenti untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, lantas menegaskan senario itu bukan dianggap trend baru, sebaliknya ia sudah berlaku sejak dulu lagi atas pelbagai sebab seperti kekangan terhadap tugas di rumah, tidak mempunyai pembantu rumah dan merasa lebih terjamin mengurus sendiri rumah tangga tanpa sebarang masalah.

Katanya, ada wanita yang bimbang meninggalkan anak di pusat asuhan kanak-kanak yang mungkin kurang mendapat pengawasan rapi atau didera. Dengan kesukaran mendapatkan pembantu rumah yang baik juga menjadikan mereka mengambil keputusan berhenti kerja.

“Oleh itu, kerajaan dan pertubuhan NGO wanita perlu lebih agresif untuk membela nasib wanita berkenaan supaya tidak mengambil keputusan berhenti kerja seperti memperjuangkan kerja separuh masa atau memberi cuti tanpa gaji bagi membolehkan mereka menguruskan rumah tangga. Kemudian dibenarkan memasuki semula pasaran pekerjaan sebaik saja yakin mampu melaksanakan tugas tanpa sebarang halangan.

“Ketika ini, kelonggaran dapat dilihat di sektor awam apabila memberi kebenaran wanita mengambil cuti untuk tempoh tertentu dan masuk semula bekerja. Bagaimanapun, senario sama tidak diamalkan di sektor swasta,” katanya.

Situasi ini berbeza dengan negara maju seperti di England yang membenarkan wanita mengambil cuti tanpa gaji atas alasan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga. Malah, wanita berkenaan juga tidak dikenakan ‘double standard’ dari segi kenaikan pangkat walaupun bercuti panjang.

Insentif seumpama itu sepatutnya diwujudkan di negara ini di semua sektor bagi memastikan Malaysia tidak kehilangan wanita profesional yang mampu menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk kepentingan industri pekerjaan.

Selain itu, beliau berkata, kebenaran bekerja separuh masa untuk wanita terbabit juga perlu dikuatkuasakan bagi meringankan bebanan dan tekanan sebagai wanita bekerjaya dan sekali gus dapat menumpukan waktu berkualiti untuk keluarga.

Kajian di Amerika Syarikat pada 2007 menunjukkan 60 peratus daripada wanita bekerja lebih selesa untuk bekerja separuh masa. Begitu juga hasil laporan sama ditemui dalam kajian dilakukan di Pejabat Statistik United Kingdom, pada 2006 lalu yang menunjukkan trend wanita bekerja lebih suka bekerja separuh masa untuk memberi tumpuan kepada anak.

Rabu, 12 Januari 2011

Tinggal kerjaya demi keluarga

KUALA LUMPUR: Ramai wanita yang mempunyai kelulusan, malah ada antara mereka yang berkelayakan profesional seperti doktor, peguam dan akauntan terpaksa meninggalkan profesion mereka selepas berkahwin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar), berkata beliau mula nampak tanda mengenai senario berkenaan apabila wanita yang berkahwin terpaksa membuat pilihan antara keluarga dan pekerjaan.

“Hari ini kita sudah mula nampak tanda ramai wanita yang mempunyai kelulusan berhenti, kerana mereka terpaksa memilih keluarga. Kita tengok ada satu trend walaupun kecil tetapi trend itu dah bermula. “Kelayakan mereka antaranya sebagai doktor, peguam dan akauntan tetapi bila sudah berkahwin, sudah ada anak dan berasa susah sebab tempat kerja tidak mesra keluarga, mereka memilih untuk berundur daripada alam pekerjaan,” katanya, di sini, semalam.

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia tahun lalu, negara mempunyai 27,565,821 penduduk, dengan wanita hampir menyamai bilangan pada nisbah 100:105, sekali gus menunjukkan sumbangan mereka kepada pembangunan negara sangat penting.

Malah, hari ini wanita mula mendapat tempat sewajarnya, malah sesuai dengan peredaran masa Kemeterian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengolah dasar baru wanita supaya ia lebih relevan untuk membawa mereka ke satu lagi tahap kecemerlangan. Justeru, bagi mengekang masalah itu, Shahrizat berkata, kerajaan perlu mengambil beberapa tindakan untuk menentukan bukan hanya lelaki, malah wanita yang berilmu dan berpengalaman tidak keluar daripada tenaga pekerja. “Dalam kes ini, kementerian perlu kepada bantuan dan kerjasama semua agensi di sektor awam dan swasta,” katanya.

Menurutnya, pada masa sekarang beliau melihat perkhidmatan awam mendahului daripada sektor swasta dalam mewujudkan persekitaran seimbang di tempat kerja. “Bagi kerajaan bila kita bawa perkara ini ke Jemaah Menteri, mereka bersetuju tetapi apabila sektor swasta saya nampak ia susah sikit untuk melaksanakannya. “Ini menjadi cabaran kepada kita sebenarnya. Kita akan perjuangkan perkara ini,” katanya.

Sabtu, 8 Januari 2011

Rakan kongsi dalam rumah tangga



TIADA lafaz paling keramat daripada lidah seorang lelaki yang bergelar suami kecuali talak. Bahkan jika dilihat dari satu sudut, ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

Ada benarnya kerana dalam Islam, lafaz talak atau cerai yang keluar daripada bibir isteri tidak diambil kira, walaupun wanita itu melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh.

Dalam Islam, kedudukan dan hak wanita sangat jelas. Dahulu, wanita mungkin dianggap sebagai tempat pemuas nafsu lelaki, bagaimanapun, Islam mengangkat darjat wanita kepada martabat yang sangat mulia.

Bercerita soal hubungan, seorang penulis skrip yang banyak menghasilkan karya untuk drama-drama di televisyen, Zaini Kosnin, 30, memberitahu, perasaan cinta yang berputik di hatinya hadir tanpa diduga.

Menceritakan detik perkenalan dengan wanita yang sah menjadi isterinya pada 5 November tahun lalu iaitu Siti Norerdah Akir, 26, segala-galanya bermula apabila adik Norerdah menjadi orang tengah yang menemukan mereka.

“Cara Siti Norerdah melayan dan menghormati ayah saya, membantu keluarganya, dan sikap tanggungjawabnya cukup sempurna di mata saya,” kata Zaini yang juga tercalon dalam Anugerah Skrin 2010 untuk drama bertajuk, Lillahi Taala lakonan Rita Rudaini dan Zamarul Hisyam.

Selepas tempoh perkenalan lebih kurang setahun, Zaini dan Siti Norerdah mengambil keputusan untuk menyimpul erat hubungan mereka dengan pertunangan sebelum kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri.


TEMPOH perkenalan antara Zaini dan Siti Nurerda hanya setahun setengah sebelum mereka mengambil keputusan menjadi suami isteri.


Seperti pasangan lain, mereka juga menempuh pelbagai halangan dan dugaan sebelum mendirikan rumah tangga. Cabaran paling besar adalah sindiran daripada orang sekeliling yang mengatakan bahawa Zaini dan Siti Nurerda tidak sekufu kerana Zaini adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Walaupun saya mempunyai kerjaya yang kukuh, namun kekurangan fizikal itu masih menjadi ukuran sesetengah individu.

“Tetapi saya bersyukur kepada Allah, Siti Norerdah dan keluarganya dapat menerima saya seadanya,” kata Zaini yang pernah menjadi deejay radio kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok lapan tahun lalu.

Zaini mengakui seseorang itu tidak dapat mengenali pasangannya seratus peratus meskipun mereka telah hidup bersama selama berpuluh-puluh tahun. Sikap manusia yang boleh berubah-ubah, menuntut persefahaman yang tinggi antara kedua-duanya.

Beliau juga mengakui, membentuk persefahaman antara satu individu dengan individu yang lain bukan satu perkara mudah. Setiap insan mempunyai cita rasa dan kehendak yang berbeza-beza. Bagaimanapun kata Zaini, persefahaman itu sebenarnya boleh diterjemahkan sebagai kesamarataan iaitu suami dapat memenuhi kehendak isteri dan sebaliknya.

“Komunikasi menjadi medium yang sangat penting. Perbincangan tentang sesuatu perkara perlu dilakukan ketika masing-masing dalam keadaan selesa dan tidak lapar. Jika perkara itu tidak, ia akan membuatkan emosi masing-masing tidak stabil dan keadaan bertambah buruk,” kata Zaini ketika ditemui di kediamannya di Puchong, Selangor.

Beliau turut mengajak pasangan suami isteri berkongsi perkara yang sama kerana secara tidak langsung ia dapat membentuk perasaan dihargai sekali gus mengeratkan hubungan.

Rakan kongsi

Tidak ada seorang manusia pun yang berhak menyatakan orang lain adalah haknya. Isteri adalah rakan kongsi dan bukannya hak milik suami lantaran kedua-duanya berkongsi sebuah kehidupan. Cuma, suami diberi sedikit kuasa sebagai pemimpin atau nakhoda bahtera rumah tangganya.

Justeru, suami perlu tahu menentukan haluan bahtera rumah tangganya.

Sementara itu Siti Nurerda menjelaskan, isteri haruslah memberikan taat setia kepada suami selagi suami tidak membuat perkara-perkara yang melanggar hukum syarak.

Pada masa yang sama, isteri juga perlu bijak memberi nasihat dan pandangan kepada suami yang memimpin supaya suami tidak tersasar daripada matlamat hidup berumah tangga.

“Sentiasa ingatkan suami bahawa segala keputusan yang diambil turut memberi kesan kepada isteri dan anak-anak.

“Saya rasa dengan konsep perkongsian itu akan dapat membentuk keluarga yang lebih harmoni kerana setiap manusia tidak kira lelaki atau wanita, mempunyai hak untuk menikmati kehidupan yang bahagia,” jelasnya.


DALAM hukum syarak, tidak ada istilah yang boleh menghukum seorang yang sah bergelar suami sebagai pencabul atau perogol.

Ketika ditanya tentang kes melibatkan seorang isteri yang mendakwa dicabul oleh suaminya baru-baru ini, Zaini mempunyai pandangan sendiri.

“Memang tidak dinafikan, diri kita adalah hak kita dan tidak ada seorang manusia pun yang berhak mengatakan bahawa dia berhak ke atas kita. Tetapi kita perlu ingat, sewaktu lafaz ijab kabul. Apabila nikah itu sah, maka bermulalah perkongsian hidup antara suami dan isteri,” kata Zaini.

Tambahnya, perkahwinan menghalalkan seorang lelaki ke atas pasangannya lantaran segala-galanya dikongsi. Jika seseorang isteri boleh mendakwa suami mencabul dirinya ketika hubungan suami isteri masih sah, bagaimanakah dengan kesucian hubungan yang telah dihalalkan oleh akad nikah itu?

“Adakah suatu hari nanti akan ada pula suami menuntut di mahkamah dan mendakwa isteri tidak memenuhi kehendak batin suami? Adakah mahkamah boleh membuat keputusan memerintahkan isteri supaya melayan tuntutan batin suami?

“Seharusnya, suami isteri tahu hak masing-masing dan seelok-eloknya sebelum melakukan hubungan intim, mintalah izin sesama sendiri demi menghormati perasaan dan keharmonian perhubungan,” jelasnya.

Penyelesaian terbaik

Sementara itu, pakar motivasi pembinaan diri dan pemikiran dan pakar pemikiran kreatif dan lateral, Datuk Jaafar Abdul Rahim berkata, dalam sesebuah perkahwinan apabila seseorang wanita sudah diijab kabulkan, suami mempunyai hak penuh ke atas isterinya.

Beliau memberitahu, seorang lelaki itu halal untuk meminta hubungan seks daripada isterinya melainkan dalam keadaan-keadaan yang dilarang.

Dalam permasalahan tersebut, beliau mengajak orang ramai agar memahami konsep hak dan segala pertimbangan dalam kehidupan, perhubungan dan rumah tangga.

“Apa-apa pun, adalah lebih manis jika masalah rumah tangga itu diselesaikan dengan cara baik dan di luar mahkamah,” kata Jaafar ketika ditemui di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor.


FAKHRUL AZMAN


Mengakui bahawa mahkamah adalah sebuah institusi keadilan terbaik, Jaafar menjelaskan, jika isu yang ingin dibawa itu hanya mencalarkan maruah sendiri dan keluarga, lebih baik masalah itu diselesaikan melalui perbincangan tertutup.

Tambah Jaafar, dalam perhubungan, lelaki perlu bijak mengambil hati isteri. Sudah menjadi fitrah manusia yang mahukan kepuasan dalam perhubungan.

Sehubungan itu, kedua-dua belah pihak hendaklah memahami konsep perkahwinan dan tidak hanya pandai berjanji tetapi apabila berlaku perselisihan pendapat, segala kebaikan bertukar menjadi kejahatan. Tidak cukup dengan itu, timbul pula ungkit-mengungkit dan menyalahkan antara satu sama lain.

Dalam hukum syarak, tidak ada istilah yang boleh menghukum seorang yang sah bergelar suami sebagai pencabul atau perogol.

Menurut peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, mengikut prinsip-prinsip Islam, seorang suami tiada halangan untuk mendampingi isterinya. Lelaki hendaklah mendatangi isterinya dengan lemah lembut.

“Jika isteri tidak bersetuju untuk mengadakan hubungan kelamin, dia boleh memohon perintah tegahan sementara di Mahkamah Syariah,” terangnya ketika dihubungi.

Perintah tersebut menurut Fakhrul, boleh dipohon sama ada oleh seorang isteri yang ingin menuntut cerai atau sebaliknya.

Menyentuh isu isteri mendakwa dicabul suami, Fakhrul menjelaskan, pasangan Islam yang telah berkahwin tetapi tidak tinggal sebumbung masih boleh bersama dengan syarat mendapat persetujuan dan kerelaan kedua-dua pihak.

Bagi hubungan intim, suami perlu mendapatkan persetujuan isteri terlebih dahulu dan memintanya secara baik bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham.

Ilmu menjauhi zina


PERASAN cinta sering disalah anggap. Ramai remaja mengaitkannya dengan kebenaran melakukan sentuhan intim dan melakukan hubungan seks. - Gambar hiasan


BERBICARA mengenai bahagian sulit wanita mahupun lelaki secara terbuka apatah lagi di depan kanak-kanak bawah umur sering kali mengundang persepsi yang janggal dan negatif.

Segelintir ibu bapa khususnya menyifatkan kanak-kanak atau golongan muda tidak seharusnya terdedah pada perbualan atau subjek berbaur seks sebelum tiba waktunya.

Bagi golongan dewasa, isu-isu sedemikian hanya layak dibincangkan oleh individu yang sudah akil baligh.

Namun begitu, tidak ramai pula ibu bapa yang meluangkan masa bercakap dengan anak-anak mereka yang akil baligh tentang topik tersebut.

Dalam banyak kes, ibu bapa menganggapnya sesuatu yang tabu atau memalukan jika dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak.

Pencabulan secara senyap

Anak-anak yang meningkat usia remaja juga kebanyakannya tidak mahu membincangkan isu tersebut dengan ibu bapa mereka dan mengambil jalan mudah dengan berkongsi masalah dengan teman-teman sebaya.

Masalahnya, bagaimanakah jika maklumat yang diperoleh itu tidak tepat dan seterusnya menjurus kepada masalah lain?

Begitu juga dengan masalah pencabulan yang banyak terjadi dalam senyap. Ramai kanak-kanak bawah umur yang tidak tahu makna, kemungkinan, risiko dan kesan perlakuan cabul itu sendiri. Maka, bersediakah ibu bapa untuk melindungi anak-anak kesayangan mereka dengan maklumat yang diperlukan?

Justeru, bagi mengelakkan kes pencabulan dalam kalangan kanak-kanak terus meningkat, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisitif dengan memperkenalkan pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), yang berkuat kuasa pada tahun ini.


KES pembuangan bayi terjadi apabila pelakunya tidak memahami dan bertanggungjawab terhadap isu perhubungan serta kehormatan diri.

Menurut Pengarah Raudhatus Sakinah (RS) dan Jawatankuasa Pusat Wanita, Jamaah Islah Malaysia, Rosmawati Zainal, segelintir ibu bapa bimbang apabila pendidikan seks diperkenalkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Mereka gusar subjek tersebut secara tidak langsung mendorong anak-anak melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Ironinya, jiwa anak-anak muda sentiasa ingin tahu dan melakukan secara praktikal apabila sudah diberikan pendedahan secara teori.

"Rasanya ibu bapa tidak perlu bimbang. Pelajar bukan diajar cara-cara untuk melakukan seks tetapi subjek berkenaan lebih menjurus pada pendidikan kesihatan reproduksi.

"Dengan adanya subjek sebegini ia membantu meningkatkan kefahaman pelajar tentang kesihatan reproduktif sebenar.

"Saya berharap menerusi subjek PEERS, mereka turut didedahkan dengan isu seks sebelum berkahwin, kehamilan dan penyakit kelamin. Diharapkan subjek itu turut menyelitkan budaya, adab ketimuran dan batasan agama," jelas Rosmawati yang yakin PEERS dapat membantu mengurangkan masalah keguguran anak dan seks bebas di negara ini.

Hampir 12 tahun menguruskan Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rosmawati sentiasa dikelilingi remaja perempuan yang pernah terlanjur dan mengandung anak luar nikah.

Faktor utama yang mendorong mereka ke kancah negatif itu adalah gara-gara kurangnya pendidikan agama, tiada pemahaman etika seksual dan pengurusan masalah perhubungan cinta.

Tambah Rosmawati, kebanyakan penghuni RS menyifatkan perasaan dan ucapan cinta perlu disertai aksi di luar batasan seperti hubungan seks, ciuman dan berpegangan tangan. Tanggapan itu ternyata salah.

Enggan melihat masalah sosial semakin meningkat, pihak RS mengambil inisiatif menjalankan kempen Anda Bijak Jauhi Zina. Ia merupakan program mendidik, membimbing dan memperkasa generasi semasa untuk mengatakan tidak kepada zina.


KANAK-KANAK cenderung menjadi mangsa lantaran tidak memahami definisi cabul. - Gambar hiasan


Bagi selebriti Nurul Huda Abdul Wahab, 31, sebagai ibu, dia menerima kehadiran kurikulum PEERS dengan hati terbuka.

Perubahan fizikal

Menurut penyanyi itu, pendedahan awal di sekolah mampu menangani masalah kehamilan dan keguguran anak yang kian meningkat dalam kalangan remaja.

"Subjek ini merupakan satu langkah yang baik dalam memberi maklumat berkesan kepada anak-anak. Jika pendidikan ini diterapkan di sekolah rendah, saya percaya para pelajar akan memahami kepentingan menjaga kehormatan tubuh mereka.

"Mereka menjadi lebih berhati-hati dan menghindari kemungkinan bahagian sulit pada tubuh mereka disentuh individu bukan muhrim.

"Pada masa yang sama, mereka akan mempelajari isu haid dan perubahan fizikal yang berlaku pada tubuh," jelas Nurul yang sentiasa berbincang dengan anak gadisnya, Ayu Nazirah Mohd. Faizal, mengenai implikasi dan kesan aktiviti seks sebelum berkahwin.

Tambah Nurul: "Ibu bapa kini perlu berfikiran terbuka dan tak perlu malu berbicara dengan anak-anak tentang perkara ini.

"Ia lebih baik daripada mereka memperolehinya daripada sumber yang salah menerusi Internet, filem lucah atau bahan bacaan." - KHAIRUL AMRI HASSAN