#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 18 Mac 2014

Kekalkan tenaga kerja profesional wanita

Sumber : Berita Harian - Famili
Tarikh : 2014/03/18
Oleh : Siti Nur Almizan Aripin

Waktu bertugas fleksibel antara tarikan kembali ke dunia kerjaya

Cerita Sonia Gomez, ibu muda kepada seorang cahaya mata itu bermula apabila beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja selepas mengalami alahan serius ketika hamil anak pertama.

“Ketika itu saya bernasib baik kerana majikan lama di sebuah syarikat minuman dan makanan beribu pejabat di Singapura masih memberi saya tugasan kerja bebas mengikut kemampuan saya.

“Paling terasa tentunya dari soal kewangan kerana apabila buat kerja bebas begitu, saya akui hendak mencari pelanggan bukan perkara mudah." Sonia Gomez

“Pada awalnya memang seronok kerana tidak terikat dengan sesiapa tapi beberapa bulan selepas itu, saya mula berasa lain. Paling terasa tentunya dari soal kewangan kerana apabila buat kerja bebas begitu, saya akui hendak mencari pelanggan bukan perkara mudah.

“Saya dan suami masih muda, ketika itu kami sedar kami memerlukan sumber kewangan tetap,” katanya ketika ditemui pada program Career Comeback Networking anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), baru-baru ini.

Kerja fleksibel

Tambah Gomez, tekanan semakin bertambah apabila beliau bersalin.
“Baru saya tahu, sebungkus lampin pakai buang hanya bertahan untuk tiga hari malahan seorang bayi juga ada pelbagai keperluan lain seperti kelas bayi, gimnasium bayi dan pelbagai lagi,” katanya.

Justeru, keputusan kembali ke dunia kerja dibuat sewaktu anak lelakinya itu berusia tiga tahun.

Bagaimanapun, wanita itu bernasib baik kerana mendapat majikan baru yang memahami statusnya sebagai ibu.

“Saya merayu terutama kepada majikan tempatan supaya mengambil kira kepentingan tugas seorang wanita terhadap keluarga dan menyediakan waktu kerja yang fleksibel atau peluang bekerja dari rumah, sekurang-kurangnya seminggu sekali,” katanya.

Mesyuarat penting atau anak sakit

Berbeza pula kisahnya dengan pencari bakat kerja, Vinnie Raviraj yang mempunyai tiga cahaya mata berusia lapan, 11, dan 17 tahun.

Dua kali beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan ia bermula selepas bersalin anak kedua.

“Waktu itu saya sudah berusia, rasa tidak larat membawa badan seberat 93 kilogram memanjat tangga pejabat terletak di tingkat tiga, kemudian apabila bersalin, terpaksa pula mengangkut bekas pam susu dan mengepam di dalam tandas.

“Jujurnya saya tidak selesa. Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti kerja. Enam bulan kemudian, saya cuba mendapatkan kerja tapi enam bulan mencuba, masih hampa.

“Rasa pelik kerana saya berada di bahagian pengambilan pekerja tapi saya sendiri menghantar lebih 320 permohonan kerja tetapi tidak berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Vinnie mengakui, beliau cukup terkesan apabila banyak majikan yang seolah-olah menafikan hak seorang pekerja wanita bergelar ibu.

“Ketika sesi temu duga, ada yang memberikan saya situasi, antara mesyuarat penting dan anak yang sakit, yang mana pilihan saya? Mereka seolah-olah cuba mengatakan seorang ibu tidak layak kembali bekerja,” katanya.

Cabaran wanita kembali bekerja

Dua paparan itu hanya sebahagian daripada kisah yang akhirnya mendorong seorang demi seororang wanita berkerjaya berhenti kerja selepas berkeluarga tanpa rasa ragu walaupun sudah mempunyai kedudukan kukuh dalam kerjaya.

Apabila ditanya, jawapan paling sering didengar adalah mahu menguruskan keluarga, waktu kerja keterlaluan sehingga tidak dapat menikmati hidup berkualiti selain faktor anak atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan dan perhatian.

Berdasarkan kajian Mengekalkan Wanita dalam Sektor Pekerjaan pada pertengahan 2012, 93 peratus responden wanita yang berhenti kerja (bagi tempoh sementara) menilai semula untuk kembali bekerja manakala 63 peratus daripada mereka berasakan sukar untuk kembali ke alam pekerjaan.

Persoalannya, mengapa tidak ramai wanita tempatan menyertai sektor pekerjaan? Adakah ada cabaran tertentu selalu dihadapi mereka? Bagaimana pula dengan penerimaan majikan dalam menggalakkan kepelbagaian gender?

Kajian sama mendapati, wanita di negara ini mahukan waktu kerja fleksibel bagi memudahkan mereka memenuhi komitmen terhadap keluarga, majikan yang menyokong keperluan keibuan, waktu kerja yang optimum dan ganjaran serta peluang sama rata.

Menyedari kepentingan itu, TalentCorp menganjurkan program khas bagi mengumpulkan wanita yang berpotensi untuk kembali bekerja bersama majikan yang menawarkan peluang kerja fleksibel bagi membolehkan wanita mengimbangi komitmen peribadi serta profesional mereka.

Program mendapat kerjasama myStarjob.com dan HEARTS Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), sekali gus mendokong usaha kerajaan meningkatkan peratusan pembabitan wanita kepada 55 peratus menjelang 2015 melalui proses menarik dan mengekalkan wanita berkelayakan tinggi dalam sektor pekerjaan.

Buka peluang

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican, berkata majikan di Malaysia boleh berperanan lebih aktif dalam menarik wanita yang berhenti kerja sementara untuk kembali bekerja.

“Walaupun mereka perlu diberi latihan semula, mereka adalah kumpulan profesional berbakat yang mana khidmat mereka perlu dimanfaatkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan majikan memerlukan kumpulan modal insan yang lebih besar bagi menyokong pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

Bagi menyokong usaha korporat yang mahu memudahkan wanita untuk kembali bekerja, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan di Invest Malaysia pada 2012 mengenai pemberian insentif potongan cukai berganda ke atas perbelanjaan latihan oleh syarikat yang mahu mengambil semula wanita profesional yang berhenti sementara, kembali bekerja.

HRDF turut memulakan program meningkatkan kemahiran bagi melancarkan proses untuk wanita kembali bekerja.

Hampir 30 syarikat mengambil bahagian dalam program Career Comeback Networking antaranya Accenture Malaysia, Astro, CIMB Group, Dell Malaysia, IBM Malaysia, Maybank, PwC, Royal Selangor, Shell Malaysia, Kumpulan Sunway dan Taylor’s Education Group.

Ketua Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Manaf, berkata jika Malaysia mahu mempercepatkan matlamat dalam merealisasikan ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan perlu mengekalkan tenaga kerja wanita yang berkepakaran tinggi dalam pasaran.

“Di Maybank sendiri, kami mempunyai ‘Talent Sourcing’ bagi mengenal pasti kepakaran kumpulan wanita yang mahu kembali bekerja dengan menggunakan proses tapisan berdasarkan pengalaman kerja mereka.

“Saya melihat program sebegini membuka peluang kami berjumpa lebih ramai wanita berkelayakan yang ingin mencari peluang kembali bekerja,” katanya.

Fakta Nombor
* Responden wanita berhenti kerja - 93 peratus (2012)
* Kembali bekerja - 63 peratus
* Sasaran kembali bekerja - 55 peratus (menjelang 2015)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan