#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, 28 Februari 2011

Rasa nak hantuk kepala!

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SAYA pernah melihat seorang wanita yang menderita migrain yang teruk sehingga dia menekan dan memukul kepalanya berulang kali.

Malah pada satu keadaan, si pesakit mengatakan terasa ingin menghantuk kepala ke dinding hanya kerana tidak dapat menahan sakit.

Kejadian itu berulang-ulang dan lebih kerap berlaku apabila dia datang haid.
Apabila dia mengambil ubat penahan sakit, kelegaan jelas kelihatan pada wajahnya apabila sakit akibat migrain itu berkurang dan dia dapat tidur dengan lena.

Bagi pesakit migrain sakit kepala yang mereka alami ini diibaratkan sebagai ujian Allah yang ada kalanya amat mengecewakan.


Ini kerana pesakit terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit untuk meredakan kesakitan, malangnya ada sesetengah keadaan ubat penahan sakit juga sudah ‘lali’ atau sebati dalam diri mereka sehinggakan kesakitan tidak dapat dikurangkan.

Menurut Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Zainordin Md Noor, migrain adalah masalah berkaitan neurologi yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki.

Ini disebabkan perubahan hormon yang berlaku kepada wanita misalnya, sebelum dan selepas datang haid biasanya wanita mengalami migrain yang teruk dan akan hilang selepas haid.

Ada pula wanita yang mempunyai migrain, tidak mengalaminya ketika mereka mengandung sembilan bulan dan kesakitan datang semula selepas mereka datang haid.

Selain itu tekanan di tempat kerja, bunyi bising atau lampu yang silau juga boleh menyebabkan migrain.

“Ini kerana keadaan ini akan memberi tekanan kepada otak dan menyebabkan urat saraf tegang seterusnya menyebabkan migrain atau menambahkan kuatnya migrain,” jelasnya.

Selain itu, kurang tidur atau faktor pemakanan seperti seperti makan makanan tersimpan lama, makanan ditapai atau minuman mengandungi kafein yang tinggi seperti kopi, coklat dan keju turut menjadi penyebab kepada migrain.

“Secara umumnya migrain juga adalah penyakit keturunan kerana berkait rapat dengan sistem saraf.

“Justeru sekiranya ada ahli keluarga anda menghidap migrain anda juga berkemungkinan turut mengalaminya,” jelasnya.

Menurut Dr Zainordin, migrain berbeza dengan sakit kepala.

Serangan sakit kepala yang berlaku setiap hari adalah sakit kepala biasa dan bukannya migrain.

“Migrain sebaliknya membabitkan serangan seminggu sekali atau sebulan sekali dan biasanya kesakitan seperti dicucuk-cucuk ini berlaku pada sebelah bahagian kepala saja.

“Ini diikuti rasa loya, muntah dan sensitif pada cahaya, bunyi, bau malah pergerakan seperti gegaran yang kuat,” katanya.

Bagi sesetengah individu, rasa sakit yang menyerang itu boleh hilang dalam tempoh tiga jam tetapi ada yang perlu menanggung kesakitan sehingga tiga hari lamanya.

Daripada segi perubatan, migrain terjadi apabila kombinasi saluran darah yang mengembang dan membebaskan bahan kimia daripada saraf gentian yang melingkari sekitar saluran darah itu.

Pembebasan bahan kimia itu menyebabkan radang, rasa sakit dan seterusnya arteri menjadi bengkak.

Migrain biasanya menyerang mereka yang berumur 30 tahun ke bawah terutama pada usia 16 tahun ke atas namun ada kanak-kanak pada awal usia 10 tahun boleh diserang migrain namun ia sedikit berbeza.

“Migrain kanak-kanak biasanya mempunyai simptom seperti muntah atau loya.

“Ia bagaimanapun tidak membabitkan sakit kepala yang teruk seperti mana orang dewasa,” jelasnya.

Dr Zainordin menjelaskan, migrain terbahagi kepada dua iaitu migrain biasa tanpa aura iaitu rasa sakit yang mencengkam dan selalunya pada sebelah kepala saja.

Biasanya, ia diikuti dengan rasa sakit perut, hilang selera makan, loya, muntah, sembelit dan cirit birit.

Pesakit juga akan sensitif pada bau, cahaya dan kebisingan.

Berbeza dengan migrain klasik (dengan aura) sebelum menyerang pesakit biasanya pandangan pesakit terganggu dengan gambaran bintang-bintang, cahaya atau garisan bengkang bengkok.

Secara puratanya, serangan migrain jenis ini berlaku dalam tempoh 22 jam.
Tambahnya, sakit kepala atau migrain bukanlah tanda awal bagi sebarang ketumbuhan otak.

Ia biasanya muncul dengan tanda lain atau sakit kepala datang apabila tanda lain sudah ada.

Mungkin pesakit akan mendapat sawan atau masalah pada pendengaran dan penglihatan.

Pesakit juga biasanya akan mendapati tangan atau kakinya lemah seperti mendapat penyakit strok.

“Hanya satu peratus saja migrain mempunyai kaitan dengan tumor atau kanser otak dan selebihnya hanya disebabkan migrain.

“Biasanya pesakit kanser otak akan menunjukkan gejala yang teruk seperti kesakitan yang amat sangat pada kepala diikuti muntah, loya, hilang selera makan, kurang penglihatan dan pendengaran, seterusnya lemah tangan dan kaki,” jelasnya.

Menurut Dr Zainordin, tidak seperti penyakit lain, migrain ini tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dielak atau dikurangkan dengan cara berjumpa doktor dan mengambil ubat-ubatan bersesuaian.

“Biasanya ubat penahan sakit seperti panadol, aspirin, ponstan dan synflex boleh dibeli di farmasi namun ubat ini lama-kelamaan tidak dapat mengurangkannya malah boleh menyebabkan penyakit lain misalnya kerosakan buah pinggang atau hati apabila diambil berlebihan.

“Biasanya ubat ini juga tidak lagi berkesan apabila diamalkan terlalu kerap walaupun dimakan melebihi hadnya,” katanya.

Justeru, pesakit digalakkan berjumpa doktor kerana doktor akan memberi ubat migrain sepatutnya seperti cafergot, ubat tahan muntah maxolon dan valium, sejenis ubat tidur yang diambil secara serentak dan secara berkala untuk mengurangkannya.

Selain itu, pesakit juga akan diberikan diari migrain dan meminta pesakit mencatat tarikh, masa, makanan diambil, jenis ubat serta keterukan migrain yang dialami mereka.

“Dengan adanya diari ini, doktor akan dapat memantau tahap kesakitan yang dialami pesakit serta dos ubat yang dapat diberikan,” katanya.

Selain ubat-ubatan, pesakit juga perlu mengurangkan tekanan dengan banyak berehat, mengelak makanan yang boleh menjadi mencetus serangan migrain seperti minuman berkafein, coklat serta keju dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Apa yang penting, pesakit migrain tidak boleh murung kerana ini akan menyebabkan kesakitan mereka berulang.

“Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat serta ubat-ubatan sesuai,” katanya.

Ahad, 27 Februari 2011

Fasakh selepas suami hilang

PALING merisaukan Kirana Mohamad (bukan nama sebenar) sudah lama sangat Sharul Adam (bukan nama sebenar) tidak pulang ke rumah.

Sudah puas dia bersabar. Mana masa tidur cuma beberapa jam sahaja sehari kerana sejak pukul empat lagi dia sudah ke dapur hendak membuat kuih-muih sebagai jualan untuk menyara empat anaknya yang masih bersekolah.

Sedangkan pada waktu itu, isteri-isteri lain di luar sana begitu enak dibuai mimpi indah di sisi suami masing-masing.

Kirana bukan sahaja kena bekerja keras untuk menyara keluarga malah terpaksa menahan jeritan batin yang sudah lama ketandusan belaian kasih-sayang suami.

Bagi ibu ini pastinya tidak dapat menolak rasa gelodak jiwa mudanya itu yang ada kalanya meronta-ronta minta dibelai oleh suami yang hilang entah ke mana.

Suasana malam yang hening kadangkala sukar untuk menghambat kenangan Kirana terhadap Shahrul yang dikenalinya pada detik pertemuan pertama ketika lelaki itu bertandang ke rumah emak saudaranya sehingga akhirnya mereka diijabkabul sebagai suami-isteri.

Marah benar Kirana pada malam itu, masih terasa pedih tangan kasar suaminya itu ketika menghayun laju ke pipi lembutnya.

Tangisan anak-anaknya tidak mampu mencairkan hati Kirana untuk keluar meninggalkan mereka hanya disebabkan oleh perasaan cemburu buta.

Siang dan malam Kirana berharap suaminya akan pulang semula ke pangkuannya tetapi ia hanya sekadar mimpi yang tidak berkesudahan.

Menarik nafas lega

Akhirnya Kirana terpaksa merujuk ke mahkamah syariah supaya beliau dibebaskan dan bukannya ditinggalkan begitu sahaja.

Tindakan Kirana menuntut fasakh adalah jalan terakhir kepada mana-mana isteri yang telah puas bersabar untuk menjadi isteri kepada suami yang keluar dari rumah sehingga terus melupakan tanggungjawab untuk memberikan nafkah.

Situasi inilah yang dialami oleh tiga isteri yang akhirnya mampu menarik nafas lega setelah Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur telah memutuskan permohonan fasakh mereka dibenarkan dengan serentak.

Dalam kes pertama, seorang isteri kedua menuntut fasakh setelah suami keluar dari rumah dan tidak pulang lagi selepas itu.

Beliau bukan sahaja tekanan dengan kehidupan bermadu malah suami tidak berusaha untuk mencari pekerjaan dan lebih suka menganggur.

Kehidupan menjadi semakin sukar kerana terpaksa membuat kuih jualan secara kecil-kecilan untuk menyara lima anaknya yang masih bersekolah.

Kes kedua melibatkan seorang wanita yang mempunyai seorang anak tidak menyangka sama suami terus menghilangkan diri selepas memukulnya.

Manakala kes ketiga pula melibatkan plaintif tidak tahan lagi sebumbung dengan suami seorang penagih dadah.

Akhirnya beliau bertindak keluar dari rumah selepas percaya sudah tidak ada lagi jalan penyelesaian untuk menyelamatkan perkahwinan.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang mendengar keterangan itu kemudiannya telah membenarkan permohonan plaintif menuntut fasakh.

Wan Mahyuddin menjelaskan, kesemua kes itu telah difail berdasarkan peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUKIS 2003) bagi menuntut fasakh dari defendan (suami).

"Oleh kerana kesemua defendan (suami) tidak hadir semasa perbicaraan dan enggan memberi keterangan pembelaan maka kes ini telah diteruskan dengan keterangan pihak plaintif berasaskan seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003,'' katanya.

Berdasarkan hukum syarak dan Arahan Amalan No.1 Tahun 2003 JKSM maka mahkamah mengarahkan kesemua plaintif (isteri) bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.

Dalam sumpah istizhar itu, ketiga-tiga plaintif mengaku bahawa suami masing-masing telah tidak menunaikan nafkah batin melebihi tempoh satu tahun tanpa alasan yang munasabah.

Selain itu, perbuatan suami itu telah menyebabkan hidup plaintif telah dizalimi dan mendatangkan kemudaratan.

Dalam pengakuan itu, plaintif juga memohon supaya mahkamah mensabitkan aduan itu untuk memohon fasakh di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (2003) Negeri Selangor.

Plaintif juga mengaku jika semasa memberi keterangan dan saksi-saksi tidak bercakap benar maka akan bertanggungjawab ke atasnya dan sanggup menerima hukuman dan balasan dari Allah di dunia dan di akhirat.

Setelah mendengar keterangan plaintif, keterangan saksi dan sumpah istizhar, maka mahkamah telah meluluskan permohonan itu.

Mahkamah juga telah mensabitkan perbuatan defendantelah mendatangkan kesusahan dan kemudaratan kepada pihak plaintif.

Rabu, 23 Februari 2011

Bahaya seks usia muda

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
20/02/2011


Sedarkah anda dalam tempoh sesingkat empat minit nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 500,00 nyawa di seluruh dunia setiap tahun. Dalam konteks Asia , sekurang-kurangnya 266,000 disahkan menghidap kanser ini setiap tahun dengan 143, 000 kematian. Di negara-negara membangun, hanya 41 peratus daripada wanita berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup. Realitinya pakar-pakar perubatan juga tidak seratus-peratusnya pasti terhadap punca sesuatu penyakit. Keadaan itu merupakan kenyataan yang memeritkan.

Di Malaysia, 10.5 peratus wanita meninggal dunia akibat kanser ini dan 80 peratus pesakit dikesan pada tahap akhir.

Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya.

HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri daripada lebih 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki.

Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan).

Sekiranya dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.

Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim.

Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pakar Runding Obstetrisian dan Ginekologi Pusat Perubatan Pakar Pantai Klang, Selangor, Dr. S. Jeevaretanam berkata, mereka yang sering bertukar pasangan seks berisiko dijangkiti HPV.

Selain itu, mereka yang melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun turut berisiko.

"Wanita yang mempunyai tabiat merokok, melakukan hubungan seks dengan lelaki yang sering bertukar pasangan, penggunaan kontraseptif oral dalam jangka masa yang lama dan obesiti antara berisiko dijangkiti HPV. Bagaimanapun, terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah serangan kanser pangkal rahim.

Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu," tambahnya.

Dalam pada itu, timbul juga isu sama ada pemberian vaksin HPV secara percuma untuk pelajar berumur 13 tahun menggalakkan seks usia muda.

Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kanser ini.

Vaksin HPV sebenarnya mampu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun sebagai pencegahan awal.

Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Dr. S. Jeevaretanam menjelaskan, pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel yang dalam pangkal rahim.

"Semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun.

Ujian seperti itu merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang," tambahnya.

Makanan halal pengaruhi kesihatan tubuh badan

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
2011/02/23
Berita Harian


Sikap tak ambil berat pengguna Islam dorong penjual pandang remeh soal hukum

PEMBONGKARAN media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan betapa bahan makanan haram dijual sebagai ‘halal’ di pasaran di negara ini, dari semasa ke semasa membuktikan masalah ini bukan isu baru.

Bagaimanapun, setiap kali isu ini didedahkan media, barulah pihak tertentu akan ‘melompat’ dengan pelbagai bentuk tindakan. Yang terbaru mengenai pengenalan logo halal baru yang dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat. Sebenarnya isu halal haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan dibeli, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang larang orang Islam dan penguatkuasaan daripada segi tindakan dan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal dan sebagainya.

Ramai di kalangan kita suka memilih makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing. Ramai melihat kelazatan dan khasiat yang akan diperoleh tanpa meneliti sejauh mana ia sesuai untuk dimakan, terutama daripada segi kebersihan dan halalnya menurut syariat agama.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim bersabda; “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih dari apa yang kami kurniakan kepada kamu”.

Baginda kemudian menyebut bahawa seorang lelaki yang sedang berjalan jauh dengan keadaan kusut masai rambutnya dan berlumuran debu. Manakala kedua tangannya pula menadah ke langit sambil berdoa, “Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka betapakah boleh diperkenankan oleh Allah SWT doanya.”.

Makanan yang suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan pada masa yang sama akan kebersihan dan kesuciannya daripada segi syariat agama.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud; “Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

Islam begitu menitikberatkan soal kesihatan umatnya. Seseorang insan mukmin yang sentiasa prihatin terhadap soal kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari, maka pasti akan lahir nur keimanan dalam dirinya untuk turut sama menjaga kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan dan sebagainya.

Dalam ibadat asas agama iaitu solat sendiri, aspek terpenting yang ditekankan ialah perihal kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina. Ia sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Hibban iaitu; “Menjadi bersihlah kamu kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”

Islam begitu syumul dalam pemilihan makanan yang bersih dan halal. Dalam surah al-Nahl ayat 114-115, Allah Taala berfirman; “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.”

Makanan yang haram, sama ada daripada bahan dicampur najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah, maka pasti akan datang tiga bahaya besar kepada sipemakannya.

Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja kebajikan dan ketaatan. Kedua, sebarang doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, ia akan menyebabkan dia akan mendapat keseksaan neraka Allah di hari akhirat kelak.

Apa jua bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya sebagaimana disarankan agama Islam yang suci. Makanan seimbang umpamanya akan dapat menghindarkan diri seseorang itu daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah menyarankan agar perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Amat bertepatan dengan kaedah ilmu Sains dan Kesihatan sendiri, itu sebenarnya yang amat sesuai dan perlu diamalkan setiap manusia.

Insya-Allah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasa nikmat kenyang, tetapi juga hidup akan lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah Taala.

Daripada aspek adab pemilihan makanan pula, insan mukmin perlulah menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin yang sudah berkarat, makanan yang sudah layu dan sebagainya. Kita memakan sesuatu jenis makanan adalah untuk mendapat sejumlah tenaga yang mencukupi daripada zat yang terkandung di dalamnya.

Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya. Sejak kecil ketika manusia dilahirkan dalam bentuk bayi, maka makanan atau minuman awal yang masuk ke dalam perut seseorang bayi adalah susu ibunya. Selain terjamin kebersihan dan sucinya dari segi syariat, susu ibu adalah pemangkin terawal untuk menyemai kasih sayang antara seorang ibu dan anaknya.

Jumaat, 18 Februari 2011

Ragut sistem keluarga Islam

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


PELBAGAI kisah drama dalam institusi kekeluargaan akhir-akhir ini. Sebelum ini, kita sering dipaparkan dengan kisah suami curang, tetapi kini sebaliknya apabila isteri pula sanggup menodai kepercayaan suami dengan mencari keseronokan di luar.

Lebih mengejutkan, ada kes suami mencekup isterinya berasmara dengan lelaki lain ketika ketiadaan suami di rumah.

Hampir semua cerita sama yang mana suami tidak pernah menduga isterinya sanggup melakukan perkara sedemikian.

Di awal perkahwinan, isteri cukup baik dan sempurna termasuk perlakuannya, sopan cara berpakaian, malah datang daripada keturunan yang memiliki pengetahuan agama.

Mengapa isteri boleh berubah sampai ke tahap itu? Apakah mereka tidak mengetahui dosa itu cukup besar dan dilaknat Allah SWT.

Bibit-bibit ke arah ‘gelombang dosa’ itu semuanya bermula apabila isteri sering berbalas sistem pesanan ringkas (SMS) dengan lelaki tempat mereka mengadu masalah, bersembang di laman sosial sehingga larut malam dan menceritakan masalah dalaman keluarga kepada teman sekerja.

Bahana isteri curang seperti meragut sistem kekeluargaan di kalangan umat Islam di negara ini, apatah lagi kita memang terkenal dengan budaya budi bahasa dan sopan santun.

Di mana silapnya, apakah kerana dorongan seksual yang tiada batasan, menurut kata hati atau tiada asas agama?

Dalam Islam, suami mempunyai kewajipannya memastikan kebahagiaan rumah tangga. Sebagai ketua keluarga, mereka perlu bertindak sebagai pelindung isteri dan anaknya.

Ajar isteri dan anak hukum agama. Suami perlu mentadbir rumah tangga berdasarkan kasihan belas (rahmah), berakhlak serta menunjukkan contoh yang baik kepada keluarganya.

Rasulullah s.a.w menyifatkan wanita sebagai amanah-Nya. Maka, amanah itu hendaklah dijaga dengan sebaiknya. Nabi Muhammad berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka berkelakuan baik.

Berdasarkan kewajipan suami isteri yang ditetapkan Islam, kita dapat melihat perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab.

Curang adalah sifat tidak jujur dan mengkhianati antara satu sama lain. Jika dalam tempoh bertunang sekalipun mereka sudah mengkhianati serta membuka aib pasangan, tidak mustahil mereka akan melakukannya apabila berkahwin kelak.

Bukan semua perkara boleh diceritakan kepada orang lain meskipun kepada teman rapat sehingga menimbulkan perasaan cinta dan akhirnya mereka hanyut dalam hubungan terlarang.

Perbuatan itu adalah haram dan berdosa dalam Islam dan hukum syarak. Isteri wajib menjaga kehormatan diri, keluarga serta taat kepada perintah suami. Malah, setiap perkara yang dilakukannya perlu mendapat keizinan suami.

Allah berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki membelanjakan daripada harta mereka. Maka wanita yang soleh itu adalah sendiri yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah....”

Bagi menangani masalah perlakuan isteri curang, suami hendaklah segera memperbaiki penyelewengan itu dengan cara yang bijaksana.

Allah berfirman yang bermaksud: “...Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesung�guhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.

Jika terjadinya perselisihan faham antara suami dan isteri maka hendaklah ada seorang hakim daripada keluarga suami dan seorang dari keluarga isteri.

Kedua-duanya perlu mendamaikan keadaan dan bukannya menambah beban dan kekusutan sehingga suami isteri itu kembali berbaik semula.

Berdasarkan ayat itu, jika isteri menderhaka kepada suami, suami perlu menghadapinya dengan penuh sifat kesabaran.

Suami mesti bijak mengurus rumah tangganya dan tidak terburu-buru menggunakan kuasa cerai. Sikap cepat menjatuhkan talak kepada isteri tanpa usul periksa adalah tidak adil.

Berbicara mengenai faktor perceraian, antara penyumbang besar ialah tiada persefahaman, curang atau enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, penderaan fizikal, ketagihan bahan terlarang seperti dadah dan arak, masalah kewangan serta terbabit dengan jenayah.

Rasulullah memberikan penekanan kepada umat Islam agar memilih pasangan yang mempunyai empat prinsip iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.

Sebab itu, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agamanya. Kekurangan rupa, harta dan keturunan itu akan disempurnakan oleh agama.

Agama pula membezakan seorang manusia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa.”

Isteri perlu sentiasa ingat bahawa syarak mengharamkan mereka menyimpan perasaan suka apatah lagi cinta kepada lelaki selain daripada suami mereka.

Isteri perlu menghormati suami dalam keadaan mana sekalipun. Jangan lupa status sebenar diri yang mempunyai insan yang wajib diberi perhatian.

Niat ikhlas ketika berkahwin mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha memperbaiki kelemahan itu bersama-sama.

Jika keikhlasan tersemat dalam diri pasti hubungan perkahwinan sentiasa diperbaiki demi mendapatkan keredaan Allah. Menerima seadanya bermaksud terima dirinya dan usahakan yang terbaik bagi membantu mengatasi kelemahan masing-masing.

Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata curang boleh terjadi sebelum atau selepas berkahwin.

“Sebelum berkahwin sudah boleh melakukan kecurangan apatah lagi selepas berkahwin. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin.

“Tiada jalan lain melainkan bertaubat nasuha agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Barangkali amat berat bagi suami untuk menerima keadaan isterinya yang curang serta memusnahkan kepercayaannya,” katanya.

Beliau berkata, ada juga suami yang ‘terpaksa’ memaafkan isterinya atas faktor sayangkan hubungan dengan anak.

“Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara kerana perasaan itu bukannya datang daripada kesan tarbiah untuk memaafkan dalam erti akta sebenar.

“Dalam hal ini, suami berhak membuat keputusan untuk melepaskan isterinya atau rumah tangga yang dibina itu tidak akan bahagia kerana isteri sudah melakukan perkara yang dilaknat Allah,” katanya.

Mohd Zawawi berkata kecurangan berlaku tidak kira sama ada isteri atau suami adalah disebabkan hubungan dan perintah Allah tidak dilakukan dengan sempurna.

“Isteri yang curang kepada suaminya mempunyai masalah dengan keimanannya. Sebagai seorang isteri mereka perlu menjaga kehormatan dan maruah suaminya.

“Apabila kalah dengan godaan syaitan, mereka tiada iman. Akibatnya, perasaan malu tiada lagi sehingga sanggup gadaikan maruah diri untuk keseronokan,” katanya.

Beliau berkata jika suami mengesyaki isteri cenderung melakukan kecurangan ambil masa untuk menyiasatnya dan jangan bertindak terburu-buru.

“Sebagai ketua keluarga, suami wajib memenuhi segala tuntutan dan keperluan isteri. Ini termasuk menjaga hubungan seksual agar bertambah erat hubungan kasih sayang antara pasangan.

“Suami berhak memeriksa telefon bimbit atau barangan peribadi lain supaya isteri tidak menyembunyikan sebarang rahsia daripada pengetahuan suaminya.
“Namun, caranya perlu bijak iaitu memberitahu isteri secara jelas tujuan itu,” katanya.

Khamis, 17 Februari 2011

Bentan bawa maut

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/02/17


Jangkitan kuman akibat tiada penjagaan rapi

DALAM masyarakat Melayu, sering kita dengar, wanita selepas bersalin kena bentan, begitu juga dengan kanak-kanak yang baru lepas bersunat. Jika tidak dijaga betul-betul dalam tempoh pemulihan, mereka boleh diserang bentan.

Lebih membimbangkan, ada banyak juga wanita yang baru bersalin maut akibat bentan. Apakah sebenarnya bentan? Sejauh mana wanita benar-benar faham dan tahu mengenai penyakit itu? Jika dirujuk pakar perubatan, bentan tidak pernah disebut dalam mana-mana jurnal perubatan. Ia adalah situasi yang berlaku kepada wanita selepas bersalin akibat jangkitan kuman pada bahagian peranakan, rahim, saluran atau pundi kencing berpunca daripada sikap sambil lewa atau tidak prihatin mereka terhadap tahap kesihatan dan kebersihan diri sehingga berisiko tinggi untuk jangkitan kuman.

Lazimnya, wanita selepas bersalin lebih senang mendapat jangkitan kuman kerana berlaku perubahan hormon. Sepanjang tempoh itu, banyak perkara yang patut diambil kira, jangan terlalu taksub untuk mengikut petua ‘orang tua-tua’ atau kaedah tradisional yang banyak pantang larangnya.

Contohnya, ketika dalam pantang, wanita tidak boleh terlalu banyak berjalan, turun naik tangga, minum air banyak, suhu badan terlalu sejuk dan tidak boleh makan makanan sebarangan.

Ada antara petua ‘orang tua-tua’ membantu memulihkan kesihatan ibu selepas bersalin dengan cepat, namun ada antaranya yang tidak begitu baik dan relevan sehingga boleh memudaratkan.

Misalnya, kononnya minum air terlalu banyak takut perut menjadi buncit dan mengembang. Sebenarnya itu adalah persepsi yang salah kerana jika minum air sikit boleh menyebabkan kawasan faraj menjadi kering dan kurang buang air kecil serta air kencing menjadi kotor.

Apabila ini berlaku, jangkitan kuman pada bahagian faraj dan jika tidak dirawat ia boleh merebak masuk ke dalam darah sehingga memudaratkan dan membawa maut.

Pensyarah Kanan Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Sofiah Sulaiman, ketika diajukan mengenai isu bentan, berkata memang tidak ada istilah bentan dalam kamus perubatan, namun ia sebenarnya bersangkutan mengenai jangkitan kuman kepada ibu selepas bersalin jika mereka tidak mengamalkan penjagaan kesihatan dengan betul.

Katanya, wanita selepas bersalin memang mempunyai potensi diserang jangkitan kuman pada rahim, faraj, pundi kencing atau darah septicaemis jika tidak melakukan penjagaan lebih rapi.

Sepanjang tempoh pemulihan itu, katanya, imunisasi wanita adalah sangat rendah, jika mereka ambil mudah dari segi dalam penjagaan diri, jangkitan kuman mudah terjadi.

Dalam tempoh berpantang, darah nifas yang banyak keluar boleh menyebabkan jangkitan kuman jika wanita tidak kerap menukar tuala wanita.

“Mereka juga seharusnya lebih banyak minum air, jaga kebersihan, lebih kerap menukar tuala wanita atau melakukan rawatan segera pada jahitan yang terbuka pada tempat peranakan untuk mengelak jangkitan kuman. Penjagaan lebih rapi di bahagian peranakan amat penting, termasuk untuk mengelak jahitan terbuka dan jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan kuman mudah berjangkit.

“Selain itu, jika kurang minum air, boleh juga menyebabkan kawasan pundi air kencing menjadi kering hingga menyebabkan ia mudah dijangkiti penyakit.

“Jangkitan kuman berlaku di mana-mana bahagian peranakan dan faraj wanita itu, yang kemudian merebak sehingga ke dalam saluran darah serta menyerang organ lain dalam badan seperti buah pinggang menyebabkannya tidak berfungsi atau berlaku kompilasi penyakit lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, dalam tempoh berpantang, wanita juga memerlukan penjagaan kesihatan dan pemakanan yang betul bagi mengelak jangkitan kuman.

Jelasnya, sekitar tahun 1960-an, jangkitan kuman adalah pembunuh nombor satu bagi wanita selepas bersalin. Ia berlaku disebabkan pada waktu itu, pengambilan antibiotik tidak diberi penekanan.

“Malah, negara mundur juga mengalami masalah sama. Jangkitan kuman menjadi pembunuh nombor satu wanita selepas bersalin. Pada era itu, ramai wanita bersalin di rumah dan bukan di hospital. Mereka mengamalkan rawatan cara sendiri atau tradisional serta mungkin juga disebabkan kurang penjagaan kesihatan serta kebersihan.

“Bagaimanapun, dewasa ini, rekod wanita yang kena jangkitan kuman atau mati akibat jangkitan kuman tidak begitu serius kerana mengambil ubat antibiotik,” katanya.

Dr Sofiah berkata, ada juga wanita yang disebabkan terlalu taksub untuk menjaga bentuk badan selepas bersalin tidak mengamalkan diet pemakanan yang betul dan kurang minum air menyebabkan mereka lebih berisiko dijangkiti kuman.

“Wanita perlu makan makanan berkhasiat untuk mempercepatkan proses pemulihan, minum air banyak, lebih kerap menukar tuala wanita dan paling penting segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan termasuk mendapatkan antibiotik,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan menghalang kompilasi yang lebih serius terhadap penyakit lain, wanita yang mempunyai tanda seperti deman panas, sakit pinggang teruk dan berterusan, pendarahan melampau, perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

“Isu bentan tidak seharusnya dipandang ringan. Ia bukan saja punca kematian selepas bersalin, malah boleh menyebabkan pendarahan melampau selepas bersalin, darah tinggi ketika mengandung dan darah beku,” katanya.

Jumaat, 11 Februari 2011

Institusi keluarga tunjang kesempurnaan

Oleh Jami’ah Shukri
Berita Harian
2011/02/11


Mekanisme lebih komprehensif perlu dirangka bagi wujudkan keluarga berdaya tahan

INSTITUSI kekeluargaan adalah unit asas serta tulang belakang dalam mewujudkan kesempurnaan bagi melengkapkan sistem sosial dan sumber tenaga manusia negara. Sejak wujud zaman ketamadunan manusia pelbagai ranjau duri dilalui oleh sesebuah institusi keluarga mengikut arus perkembangan semasa.

Kini, membangunkan institusi keluarga yang kukuh menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi setiap negara di dunia. Perkembangan sains dan teknologi, globalisasi, peningkatan tahap pendidikan, transformasi struktur ekonomi dan penghijrahan dari luar bandar ke bandar sudah merubah struktur sosiobudaya masyarakat itu sendiri.

Daripada konsep keluarga luas kepada keluarga nuklear yang hanya ibu bapa dan anak tinggal bersama dalam sebuah keluarga, ia menunjukkan trend yang semakin berubah sehingga ramai keluarga terpaksa terdedah kepada risiko dan berisiko tinggi berhadapan pelbagai permasalahan sosial, pendidikan, kesihatan, penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Dengan kedaifan dan keruntuhan aspek itu dan tiada daya tahan yang kukuh menyebabkan pembangunan dalam komuniti itu semakin kompleks. Oleh itu tidak hairan mengapa sekarang kita lihat ramai wanita dan kanak-kanak menghidapi HIV/Aids berbanding sebelum ini hanya membabitkan penagih dadah saja.

Akibat terdedah kepada keruntuhan sosial, seks rambang, hamil luar nikah pula isu pembuangan bayi banyak dilaporkan. Begitu juga dengan isu keruntuhan sosial lain seperti perceraian, keganasan rumah tangga dan penjagaan anak yang tidak sempurna antara yang mengancam sistem kekeluargaan.

Dengan pelbagai permasalahan berkenaan, tindakan perlu dilaksanakan seluruh penduduk dunia untuk mengatasinya supaya ia tidak menjadi barah yang semakin parah ditangani pada masa depan dalam mewujudkan institusi keluarga yang sentiasa mengimpikan kehidupan yang aman, damai dan sejahtera untuk memastikan generasi akan datang turut kekal bahagia.

Atas keprihatinan terhadap penyediaan sistem kekeluargaan yang lebih sempurna dan mantap sebenarnya menjadi pentas perbincangan seantero dunia menerusi forum mengenai isu kekeluargaan. Ini sekali gus mampu dapat berkongsi maklumat mengenai program kekeluargaan, penyelidikan, dasar, polisi dan amalan terbaik yang pernah diamalkan negara terbabit.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata untuk melahirkan keluarga yang berdaya tahan, mekanisme lebih komprehensif perlu dirangka, selain mengenal pasti akar umbi berkaitan isu itu sebagai jalan penyelesaian lebih mapan.

Katanya, institusi keluarga adalah penting untuk pembangunan insan dan seharusnya ia diberi keutamaan untuk memastikan mempunyai daya tahan menghadapi pelbagai rintangan yang datang akibat perubahan sosio-budaya.

Perangkaan di Malaysia menunjukkan kira-kira tujuh juta sudah berkeluarga dan 70 peratus daripada jumlah itu adalah keluarga nuklear manakala 30 peratus pula hidup bersendirian.

“Selain itu, 58 peratus daripada wanita di negara ini pula bekerja dan mereka juga terpaksa berhadapan dengan isu untuk menyeimbangkan diri antara kerjaya dan pada masa sama sebagai ibu. Golongan ini ada masalah keluarga tersendiri.

“Dalam situasi lain pula, bagi orang yang tinggal bersendirian daripada jauh daripada ibu bapa, keluarga yang pendapatan isi rumah rendah dan kemiskinan di bandar tidak kurang terpaksa terdedah kepada risiko tertentu akibat keadaan sosio-ekonomi yang tidak seimbang.

Pada masa sama, wujud pula satu lagi golongan keluarga berisiko tinggi atas permasalahan lain, umpamanya dalam sebuah keluarga iaitu ibu, bapa atau anak yang menghidapi HIV/Aids atau isu sosial lain yang tegar.

“Jika dulu, tidak ramai yang terbabit dengan gejala penyakit ini, tetapi sekarang jumlahnya semakin meningkat disebabkan tiada kawalan dan pencegahan diambil seperti mengamalkan seks rambang, pemindahan darah antara keluarga yang ada HIV/Aids. Ini adalah antara golongan berisiko tinggi yang patut kita lihat supaya tidak tinggal dalam kesengsaraan,” katanya.

Jika dilihat permasalahan isu kekeluargaan di seluruh dunia, masing-masing ada kekangan tersendiri sehingga mengancam kesejahteraan institusi berkenaan.
Selain itu, pembentukan sesebuah institusi keluarga yang mantap sebenarnya adalah tunjang keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Dengan kepesatan arus pembangunan dan permodenan negara juga boleh memberi kesan terhadap kepincangan sosial sekiranya ia dipandang enteng.

Peningkatan gejala sosial seperti sumbang mahram, perzinaan, pembuangan bayi, keganasan rumah tangga, jenayah sosial, perceraian, penagihan dadah dan sebagainya secara tidak langsung turut menyumbang kepada keruntuhan serta kegoyahan institusi kekeluargaan dibina.
Tidak kurang juga, tekanan hidup dan dengan kadar pendapatan atau gaji rendah dan sara hidup tinggi menjadikan ketua keluarga sentiasa dalam keadaan tertekan disebabkan kesempitan ekonomi terutama mereka yang tinggal di bandar besar.
Dengan kesibukan mereka memenuhi keperluan asas keluarga sehingga sebilangannya padah apabila keharmonian dalam institusi keluarga tergugat dek kesibukan mencari rezeki.

Jika dilihat, di Jepun, walaupun menjadi negara kedua kuat dari segi kuasa ekonominya, tetapi tetap berhadapan dengan masalah kekeluargaan. Lain pula di negara matahari terbit ini apabila isu yang hangat diperkatakan mengenai kepincangan sosial pada masa depan, iaitu lelaki lebih ramai daripada perempuan.

“Dalam situasi itu, satu hari nanti, lelaki berkenaan tidak dapat berkahwin kerana tiada pasangan. Isu sebegini juga akan kita bincangkan dalam mewujudkan sebuah institusi kekeluargaan yang ideal untuk masa depan,” katanya.

Selasa, 8 Februari 2011

Muslimah dilarang cerita aurat wanita lain

Oleh Muhammad Asyraf
Berita Harian
2011/02/08


Islam angkat tinggi kedudukan golongan hawa, pelihara status kemuliaan dalam masyarakat

TIMBUL isu dibangkitkan muslimah kini dalam berinteraksi dengan wanita bukan Islam terutama membabitkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Ini sedikit sebanyak mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi muslimah diwajibkan oleh syarak serta satu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah. Seorang muslimah dibenarkan menampakkan aurat hanya kepada golongan tertentu.

Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan mereka, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Mengenai aurat muslimah dengan wanita bukan Islam, timbul perbezaan pendapat kerana ada mengatakan boleh bagi muslimah membuka aurat hanya kepada muslimah saja.

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azhim berkata, muslimah tidak dibenarkan menampakkan aurat kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah) bagi memastikan mereka tidak bercerita mengenai aurat muslimah kepada suami mereka.

Sebenarnya tidak ada larangan khusus mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah tetapi untuk muslimah, sudah semestinya dia memahami menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal berkenaan.
Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat muslim dihebah-hebahkan.

Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam. Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dengan kata-kata Ibn Abbas yang mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian.

Pendapat ini juga dipegang Imam al-Qurtubi dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud: “Dan Umar menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita Islam.
Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini adalah pendapat jumhur ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan ulama ini, mereka mendatangkan hukum berdasarkan alasan tertentu iaitu supaya aurat muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka (perempuan ahli zimmah).

Dalam isu ini, jika wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi muslimah menampakkan aurat kepada mereka. Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama.

Mereka tidak memandang menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan mereka secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan muslimah membuka aurat di hadapan wanita bukan Islam atas keperluan syarat tertentu.

Antaranya, dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahli zimmah) itu dapat dipercayai tidak menceritakan perihal aurat muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu sama ada boleh dipercayai atau tidak.

Ibn al-Arabi al-Maliki dalam kitabnya Ahkamul Qur'an, mengatakan boleh bagi muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan muslimah.

Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubungan baik dengan mereka termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya.

Apa ingin dijelaskan mereka adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam.

Pandangan ini dipersetujui Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi mendatangkan alasan berbeza keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita berlainan agama begitu meluas di sekolah, pusat pengajian tinggi, asrama dan tempat bekerja.

Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di depan mereka kerana mendedahkan kepada bahaya dan mudarat seperti mana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.

Disebabkan itulah Islam melarang muslimah menceritakan kepada rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota tertentu yang terselindung di sebalik batasan aurat digariskan Islam.

Islam mengangkat tinggi kedudukan wanita dengan memelihara status kemuliaan mereka. Disebabkan itu apa saja yang boleh memberi kesan terhadap merendahkan kedudukan wanita, maka ia dari awal lagi ditegah dalam Islam.

Perbuatan menceritakan aurat sendiri atau aurat wanita lain kepada bukan mahram mereka adalah ditegah kerana secara tidak langsung memberi gambaran kepada lelaki bukan mahram berkenaan aurat yang mana asalnya bertujuan menutup pintu perzinaan.

Daripada Ibn Mas’ud, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang perempuan itu bergaul dengan perempuan lain kemudian ia menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, wanita dilarang menceritakan aurat wanita saudaranya dan rakan lain kepada suami masing-masing. Apatah lagi bagi pasangan belum berkahwin untuk menceritakan perihal aurat mereka kepada tunang, kekasih mahupun rakan berlainan jantina.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Isnin, 7 Februari 2011

Berduaan di alam siber sama seperti khalwat

KUALA LUMPUR: Wanita dan lelaki bukan mahrim yang berbual berduaan biarpun di alam siber, melakukan perlakuan sama seperti berkhalwat kerana ia mengundang bisikan syaitan yang akhirnya akan menarik mereka melakukan perbuatan mungkar, termasuk curang pada suami atau isteri.

Sehubungan itu, penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata mereka yang menggunakan kemudahan Internet perlu meletakkan sempadan syariat dan sempadan hati supaya teknologi itu tidak disalah guna atau menjadi alat perantaraan untuk membuat maksiat.

Beliau berkata, isteri tidak seharusnya membenarkan lelaki bukan mahrim memasuki rumahnya ketika suami tiada di rumah, begitu juga halnya dengan perbuatan isteri berbual dengan lelaki lain menerusi Internet, seumpama membenarkan individu itu memasuki rumahnya, seterusnya merosakkan rumah tangga.

“Membenarkan perkara sebegini memasuki rumah bermakna membenarkan ia memasuki hati dan apabila manusia sudah keluar daripada sempadan, manusia itu akan menjadi rosak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, bisikan syaitan menjadikan seseorang itu merasakan sesuatu perkara itu begitu menyeronokkan hingga sanggup melakukan perkara mungkar termasuk meninggalkan suami, isteri atau anak-anak, sedangkan ia bakal menyesali perbuatannya kerana keseronokan berkenaan hanya bersifat sementara disebabkan ia berada dalam alam fantasi.

Katanya, alam khayalan dan realiti tidak sama dengan di alam nyata, kita semua mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul, bukan sekadar untuk berseronok.

“Asasnya adalah apabila hubungan dengan Allah rosak, maka semuanya akan meruntuh. Teknologi itu tidak salah, tetapi orang yang menyalah gunakan teknologi untuk tujuan terpesong,” katanya.

Minum air kosong 5 gelas sehari

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


“LIMAU Ais satu bang”, pesanan biasa yang sering kita dengar apabila menikmati hidangan di warung atau restoran tempatan.

Sama ada pada waktu panas terik atau tidak, minuman sejuk atau berais memang menjadi pilihan masyarakat negara ini tidak kira usia.

Biarpun menyedari minuman sejuk tidak begitu elok untuk kesihatan, masih ramai yang memandang remeh mengenai amalan itu kerana belum merasai kesannya.

Sejak akhir-akhir ini, ramai yang menerima e-mel daripada rakan atau individu yang menyarankan amalan itu dihentikan kerana ia mungkin boleh menyebabkan banyak penyakit berbahaya.

Bunyinya memang menakutkan kerana minuman sejuk dikatakan punca kegemukan selain turut dikatakan boleh menyebabkan serangan penyakit jantung.

Bagaimanapun, Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Haizal Haron Kamar, menjelaskan tiada sebarang kajian yang membuktikan amalan minum minuman sejuk boleh membekukan makanan berminyak, memperlahankan penghadaman sekali gus menyebabkan lemak berkumpul dan menyempitkan salur darah lalu menyebabkan serangan jantung.

Kata Dr Haizal, pembentukan plak di dinding pembuluh darah koronari melalui proses aterosklesoris antara lain disebabkan oleh kandungan darah kolesterol yang berlebihan.

Jelasnya, sebahagian daripada kolesterol berkenaan datang daripada lemak pemakanan yang dihadam dan diserap oleh usus.

“Bagaimana kita boleh mengaitkan minuman sejuk dengan penyakit jantung kerana secara logiknya, minum air sejuk boleh memperlahankan penghadaman yang secara langsung mengurangkan lemak dan kandungan kolesterol dalam darah.

“Memang sehingga kini tiada kajian atau sebarang bukti untuk menyokong pendapat berkenaan,” katanya.

Menurut Dr Haizal, pesakit jantung atau yang pernah menjalani pembedahan jantung juga tidak mempunyai masalah jika mengambil minuman sejuk.

“Apa yang penting di sini bukan minuman itu sejuk atau tidak.

“Setiap individu yang berpenyakit atau tidak, perlu minum air kosong sekurang-kurangnya lima gelas sehari.

“Terdapat satu kajian di Amerika Syarikat membabitkan lebih 20,000 orang mendapati mereka yang minum air kosong untuk jumlah sedemikian setiap hari mempunyai risiko mati akibat penyakit jantung yang lebih rendah berbanding mereka yang minum dua gelas atau kurang sehari.

“Jenis minuman selain daripada air kosong pula boleh meninggikan risiko terbabit,” katanya.

Daripada sudut kecantikan pula, minuman sejuk atau berais harus dijauhi wanita kerana ia dapat menjejaskan kesihatan kulit dan dalaman.

Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib, berkata wanita tidak kira yang sudah berkahwin atau belum, perlu mengelakkan minuman sejuk atau berais jika mahu menjaga kecantikan kulit wajah, dalaman dan luaran mereka.

Kata Halimah, walau bagaimana haus sekali pun, minuman sejuk perlu dijauhkan sebaliknya perlu mengambil air suam meskipun pada waktu tengah hari.

“Jika kita mengamalkan minuman berais, badan mudah menjadi kembang dan selain itu, tulang juga mudah berasa sakit dan bisa.

“Masalah berkenaan mungkin kurang dirasai ketika muda remaja dan hanya mula dirasai apabila menginjak usia 40 tahun ke atas,” katanya.

Bagi wanita yang sudah berkahwin pula, Halimah turut menasihatkan supaya jangan sesekali mengamalkan minuman sejuk kerana ia menjejaskan kesihatan dalaman serta menyejukkan peranakan.

Halimah berkata, penyakit hari ini senang singgah pada badan, tetapi ia amat susah untuk pergi iaitu disembuhkan.

Justeru, amalan pemakanan sihat dengan membanyakkan minum air kosong atau air suam amat penting kerana ia dapat meneutralkan kembali makanan yang diambil.

Jelas Halimah, berdasarkan pengalamannya, individu yang selalu minum air batu atau sering berada dalam pejabat atau rumah yang menggunakan penyaman udara, kulit mereka biasanya kelihatan kering dan tidak bermaya.

Amalan minum minuman sejuk atau berais juga dikatakan boleh menyebabkan perut mudah buncit.

Katanya, orang tua sering berpesan supaya jangan makan berselang dengan minum kerana ia juga akan menyebabkan perut menjadi buncit.

“Amalan menghirup sup ketika makan nasi juga tidak digalakkan kerana sup juga seperti air, boleh menyebabkan perut membuncit.

“Jika minum air, pastikan anda duduk dan jangan sesekali minum berdiri kerana air itu akan terus mengalir ke bahagian peranakan dan menyejukkannya.

“Memang wanita banyak pantang larang terutama dalam aspek pemakanan dan ia tidak boleh dipandang remeh kerana kesannya boleh dirasai selepas melepasi usia 40 tahun. Justeru, paling elok untuk diamalkan ialah air suam atau air kosong saja selain banyakkan makan sayuran,” katanya.

Selain itu, minuman sejuk juga tidak elok diberi kepada kanak-kanak kerana ia menyebabkan mereka mudah mengalami batuk, bibir kering atau pecah dan mudah diserang demam.

“Ibu bapa perlu memantau amalan berkenaan kerana kanak-kanak memang menggemari minuman sejuk.

“Jika kita sayangkan mereka, berilah air kosong kerana ia sememangnya lebih baik untuk kesihatan mereka,” katanya.


Rahsia ais dan air sejuk

■ Air sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia (sukar tidur) agar dapat kembali tidur seperti biasa.

■ Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.

■ Liputan ais di Antartika (daerah Kutub Selatan) dan Artik (daerah Kutub Utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.

■ Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah rahsia keseimbangan tekanan semula jadi alam yang mengawal graviti dan pergerakan bumi pada paksinya.

■ Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.

■ Ais amat diperlukan mana-mana atlet dalam kecederaan yang tidak disangka-sangka,

■ Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi bayi yang mempunyai potensi menghidapi penyakit sawan.

■ Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.

■ Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih cepat.

■ Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama terjadinya lumpuh.

■ Makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada suhu yang tinggi atau yang terkena panas cahaya matahari yang pasti akan mengganggu sistem deria pada kulit.

■ Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai unsur spiritual yang jahat.

■ Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan.

■ Air sejuk juga dipercayai dapat menguatkan tulang bayi.

■ Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan pelbagai penyakit alahan dan jangkitan.

■ Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekul kristal yang paling keras iaitu intan.

■ Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh dan menyeluruh.

■ Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh mengembalikan semangat yang sudah hilang bagi mereka yang pengsan, gila dan koma untuk kembali sedar.

■ Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan dengan asid urik akan meningkatkan suhu tulang.

■ Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.

■ Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.

■ Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan.

■ Air kelapa muda bersifat sejuk dan amat baik untuk kesihatan kerana ia berkesan untuk meneutralkan kesan keracunan dan keasidan yang berlebihan di dalam aliran darah. Tubuh secara semula jadi bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.

■ Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut. Menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk pada awal pagi kerana ia akan menguatkan perut.

(rujukan Internet)

Lebih kenyang dengan karbohidrat

RAMAI yang gemar menolak makanan berkarbohidrat apabila mahu melangsingkan badan.

Ada yang sanggup tidak menjamah nasi bertahun-tahun lamanya semata-mata beranggapan makanan berkarbohidrat tidak elok untuk tubuh terutama di kalangan mereka yang mahu mengurangkan berat badan.

Makanan berkarbohidrat adalah satu daripada sumber utama tenaga untuk tubuh. Makanan berkarbohidat dibahagikan kepada karbohidrat ringkas dan kompleks.

Sebelum bertindak untuk mengelak daripada menikmati karbohidrat, perlu difahami kelas karbohidrat yang sepatutnya. Hakikatnya, menikmati makanan yang padat dengan jenis karbohidrat yang betul antara rahsia untuk mendapatkan tubuh ramping dan kekal langsing.

Berdasarkan pelbagai kajian di universiti dan pusat penyelidikan terkemuka, karbohidrat dimaksudkan terdiri daripada kanji yang mempunyai ketahanan seperti biji-bijian, kekacang dan legum.

Kanji sedemikian membantu kita makan pada kadar yang kurang, membakar lebih kalori serta membuatkan tubuh lebih bertenaga, kurang tekanan dan kurang kolesterol.

Mereka yang berbadan ramping sekalipun mengambil karbohidrat setiap hari malah kajian mendapati, apabila karbohidrat merangkumi 64 peratus (361 gram) daripada jumlah pengambilan kalori setiap hari, ia banyak membantu tubuh untuk kekal langsing.

Kebanyakan diet rendah karbohidrat mengehadkan pengambilan karbohidrat kurang daripada 30 peratus jumlah kalori, malah ada kalanya hanya 30 gram karbohidrat setiap hari.

Kebanyakan makanan yang kaya dengan karbohidrat bertindak dengan mengekang selera makan. Ia lebih mengenyangkan berbanding protein atau lemak.

Karbohidrat berkenaan membuatkan tubuh rasa kenyang kerana ia dihadam secara perlahan berbanding jenis makanan lain, sekali gus mencetuskan rasa kenyang pada otak dan perut.

Kajian di Universiti Surrey, United Kingdom, mendapati pengambilan kanji yang mempunyai ketahanan lama dalam satu hidangan membuatkan peserta kajian itu mengambil 10 peratus lebih rendah kalori (anggaran 150 hingga 200 kalori untuk purata wanita) keesokan harinya kerana mereka rasa kurang lapar.

Gabungan karbohidrat yang tepat juga satu cara yang baik untuk mengawal gula dalam darah dan menjauhkan kencing manis.

Kajian di Pusat Pemakanan Manusia Beltsville di Amerika Syarikat mendapati peserta yang mengambil diet kaya dengan makanan tinggi kandungan kanji berkenaan berupaya untuk mengurangkan gula darah selepas makan dan tindak balas insulin sehingga 38 peratus.

Apapun, pengambilan karbohidrat perlu digabungkan untuk mengelakkan kenaikan mendadak gula dalam darah. Pilihan beras perang misalnya, lebih baik daripada beras putih dan pengambilannya sebaik-baiknya digabungkan dengan makanan lain seperti kekacang bagi menyeimbangi gula darah.

Karbohidrat dalam makanan berkanji tahan lama itu juga mempertingkatkan metabolisme dan pembakar lemak semula jadi tubuh yang lain. Ketika makanan terbabit bergerak ke arah sistem penghadaman, ia membebaskan asid lemak yang menggalakkan pembakaran lemak terutama di bahagian perut.

Asid lemak ini membantu untuk mengekalkan jisim otot yang turut meningkatkan metabolisme, membantu untuk mengurangkan berat lebih cepat.

Dalam satu kajian, apabila saintis memberikan sekumpulan tikus makanan yang kaya dengan kanji terbabit, ia didapati meningkatkan aktiviti enzim pembakaran lemak dan mengurangkan aktiviti enzim penyimpanan lemak.

Tip mengenai karbohidrat:

- Tubuh yang langsung tidak mendapat karbohidrat sebagai sebahagian daripada pemakanan seharian boleh menyebabkan mereka mengalami ketosis.

Ia adalah keadaan iaitu tubuh berada dalam mod kelaparan dan mula menghadam tisu otot, bukannya lemak. Paling minimum, sebanyak 100 gram karbohidrat disarankan oleh pakar untuk menghalang daripada berlakunya ketosis.

- Karbohidrat kompleks adalah sumber penting khasiat yang membekalkan tubuh dengan serat, potasium serta vitamin B, E dan C.

Karbohidrat kompleks ini lebih baik untuk tubuh kerana perlu dipecahkan terlebih dulu sebelum ditukar kepada glukos. Ini membolehkan pembebasan glukos dan insulin secara stabil.

Makanan berkarbohidrat kompleks termasuk buah-buahan, sayuran dan bijian penuh.

- Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah karbohidrat baik yang perlu dimakan setiap hari.
Sayuran tidak hanya menyihatkan malah kaya dengan antioksidan yang meningkatkan sistem ketahanan tubuh iaitu aspek penting untuk mengurangkan berat. Seeloknya, pilih sayuran terdiri daripada pelbagai warna.

- Bijian penuh yang juga karbohirat yang baik boleh didapati daripada makanan seperti oat, gandum penuh dan barli. Tambahkan bijian penuh dan kekacang dalam sajian seharian.

Rabu, 2 Februari 2011

'Kalaulah saya boleh bekerja...'

SELAMA ini dia bergantung sepenuhnya kepada anak saudaranya, Suriyanti Ali, 30, sama ada dalam menjaga makan minum, pakaian serta keperluan harian.

Pendek kata, anak saudaranya itu ibarat ibu dan bapa bagi Mazidah Selamat, 50, sejak dia berhenti kerja lima tahun lalu disebabkan penyakit asma.

Menurut Mazidah, siapa yang tidak sedih apabila hilang sumber pendapatan, tambahan pula dia hidup sebatang kara sejak ibu bapanya meninggal dunia enam tahun lalu.

Jika orang lain mungkin boleh mengharapkan bantuan suami atau saudara-mara tetapi tidak bagi Mazidah kerana dia tidak pernah berkahwin.

"Saya anak keempat daripada enam beradik. Walaupun ada saudara-mara, saya tidaklah mengharapkan bantuan mereka kerana mereka juga ada komitmen masing-masing dan sudah berkeluarga. Jika ada bantuan daripada sesiapa saya terima, jika tiada saya makan apa saja," katanya sayu.

Bercerita mengenai penyakitnya, sejak kecil Mazidah mempunyai penyakit asma. Walaupun mendapatkan rawatan sama ada moden atau tradisional, penyakitnya tidak berkurangan, malah semakin teruk ditambah pula apabila usia menjangkau 50 tahun sehingga dia perlu mendapatkan rawatan doktor apabila penyakit itu menyerang.

Apabila tidak mendapatkan rawatan, tubuh Mazidah menggigil dan hampir pengsan, malah sudah banyak kali dia keluar masuk hospital.

Bayangkan setiap kali tinggal di hospital, dia perlu membayar antara RM80 hingga RM100. Mungkin bagi orang lain apalah sangat dengan wang sebanyak itu, namun bagi Mazidah, jumlah itu amat bererti.

Mujur anak saudara, Suriyanti tinggal di sebelah rumahnya. Walaupun dia ibu tunggal, sekurang-kurangnya dia dapat membantu, lebih-lebih lagi menghantar Mazidah ke hospital apabila kecemasan. Dia juga yang membayar semua kos rawatan di hospital termasuk bayaran sekiranya dimasukkan ke wad.

"Kadang-kadang saya terfikir sampai bila saya perlu menyusahkan Suriyanti. Dia juga ada tanggungan sendiri iaitu anak seramai empat orang. Lambat-laun dia akan berkahwin semula memandangkan usianya masih muda.

"Apabila terfikir hal itu, dada saya menjadi sebak. Darah tinggi saya naik semula. Saya tiada tempat bergantung, sekiranya sihat saya boleh bekerja mencari pendapatan sendiri, tetapi saya tidak mampu dan hanya mengharapkan belas ihsan orang lain," ujarnya.

Lebih menyedihkan apabila Mazidah terpaksa berhenti kerja kerana terlalu kerap mengambil cuti sakit walaupun keinginannya masih kuat mahu mencari rezeki.

"Jika diikutkan memang saya masih mahu bekerja. Tetapi saya faham dalam keadaan sebegini, pihak syarikat tentu tidak dapat bertolak ansur. Daripada dibuang kerja, saya dengan rela hati berhenti. Kini bagi mencari sesuap nasi, saya mengusahakan tanaman pokok kari secara kecil-kecilan di belakang rumah dengan dibantu anak saudara. Daun kari yang sudah mekar saya jual pada pemborong," katanya.

Selain asma, kaki kiri Mazidah juga tidak lagi kuat walaupun hanya menyapu sampah. Apabila lama berdiri, dia akan menggigil dan jatuh. Dia sudah mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu ia akibat daripada tindak balas ubat asma yang diambil sejak bertahun-tahun.

Tetapi apa boleh buat, Mazidah terpaksa juga mengambil ubat asma memandangkan lelahnya semakin teruk.

"Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Jika diikutkan semua kos rawatan ditanggung anak saudara saya. Memang dia bergaji dan mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu am di sekolah, namun dia juga ada tanggungan sendiri.

"Malah anak sulungnya yang berusia 16 tahun tidak lagi bersekolah kerana mahu membantu ibu. Pada waktu siang, dia membaiki motosikal manakala pada sebelah malam dia menjual kuih. Walaupun puas dinasihati, dia tetap berpendirian tidak lagi berminat meneruskan persekolahan," katanya.

Menurut Mazidah, dia pernah memohon bantuan daripada Pusat Zakat tetapi sehingga sekarang masih belum ada sebarang jawapan.

"Jika diikutkan saya mendapat bantuan rumah kos rendah dalam program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak empat tahun lalu, namun ini hanya tempat berlindung sedangkan saya memerlukan sumber kewangan untuk makan dan minum, juga membiayai rawatan penyakit asma.

"Sekarang, mungkin anak saudara saya boleh menyara tetapi sampai bila? Selepas berkahwin sekiranya dia berpindah mengikut suami, bagaimana keadaan saya? "Itulah yang saya fikirkan. Jika ada yang berkata saya masih sihat dan boleh bekerja, lihatlah keadaan saya yang berpenyakit, ditambah faktor usia yang semakin meningkat, siapalah yang sudi mengambil saya bekerja," katanya yang menetap di Kampung Kuang, Sungai Buloh, Selangor.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kewangan, boleh melakukannya menerusi akaun Bank Rakyat Mazidah Selamat, 22-059-130681-9.