#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, 24 April 2014

Terpisah dek tuntutan kerjaya

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 23/04/2014


RAMAI yang mengatakan perkahwinan itu suatu yang indah. Dan saya tidak menafikannya. Bahkan saya merasakan alangkah ruginya saya apabila membuat keputusan untuk berkahwin pada usia yang agak lewat. Namun saya akur. Itu semua ketentuan Allah SWT. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Dan tiba masa yang ditetapkan, termeterailah satu ikatan yang sah, sekali gus menukar status saya daripada cik kepada puan. Saya berbangga dengan ‘pangkat’ serta anugerah yang diberikan atas satu lafaz yang disaksikan oleh keluarga, rakan, jiran juga saudara mara. Alangkah indahnya waktu itu.

Bermula dari saat itu, maka ‘sauh’ diangkat untuk kami belayar menempuh lautan yang luas terbentang. Terlalu sayup mata memandang. Tatkala bayu laut menampar muka, terasa begitu tenang hati ini. Apatah lagi apabila kapal dinakhodai insan yang dipercayai - suami yang akan menentukan arah tuju kehidupan.

Namun benar kata orang. Dalam kehidupan berumah tangga, ada pasang surutnya. Andai bijak melayari layar, maka segalanya akan mudah dilalui. Namun sebaliknya…, inilah yang saya lalui kini. Suami saya terpaksa bertukar di negeri di bawah bayu. Tiada alasan untuk menolaknya kerana itu arahan yang diterima, apatah lagi ia adalah sebagai memenuhi syarat kenaikan pangkat dalam jawatan. Saya akur dengan rezeki yang Allah berikan.

Kini, telah masuk lima tahun usia hubungan jarak jauh kami. Ada kala timbul resah di hati, apakah ada insan lain yang bertakhta di hati suami. Mana tidaknya, tahun pertama bertugas di tempat yang diarahkan, agak kerap juga suami berulang alik. Paling tidak sebulan sekali. Kini setelah lima tahun, untuk balik pun agak payah. Ada sahaja alasan yang diberikan hingga pernah bertemu tiga bulan sekali. Itu pun setelah saya mendesaknya. Tapi sampai bila?

Berhenti kerja? Oh tidak! Saya tidak akan melakukannya. Ramai teman yang menasihati saya untuk tidak melakukan keputusan sedemikian. Kata mereka, andai berlaku sesuatu kepada suami, sekurang-kurangnya saya tidak kehilangan ‘tali’ untuk saya meneruskan kehidupan.

Keputusan itu, saya sendiri yang buat pilih bukan kawan atau orang lain. Kisah seorang sahabat yang kehilangan suami di usia muda serta keperitan menyara anak-anak, sedikit sebanyak meninggalkan trauma pada diri. Saya takut, jika diuji sedemikian.

Namun jauh dalam sudut hati, saya tertanya-tanya juga adakah suami masih tetap setia? Lebih-lebih lagi, kami masih belum dikurniakan anak. Apakah mungkin dia akan beralih arah?

Pernah suatu ketika, ketika dalam gurauan, nada suami agak sumbang bunyinya. "Kalau adalah ‘rumah’ kedua di sana, tidak adalah hati sering menyepi," katanya dalam senyum menjeling. Namun apabila melihat reaksi saya, suami mula memberi alasan ia satu gurauan.

Entahlah, saya tak tahu apakah keputusan yang saya ambil untuk terus bertahan dengan kerjaya sekarang, suatu keputusan yang tepat atau saya akhirnya terpaksa mengalah demi mengelak berkongsi kasih.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140423/ba_01/Terpisah-dek-tuntutan-kerjaya#ixzz2znhxSQ3x
© Utusan Melayu (M) Bhd

1 ulasan: