#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, 9 September 2011

Bersihkah Zon V anda?

Oleh NURUL IZZA ROSLY
Sumber : KOSMO




TANYALAH apa sahaja mengenai kecantikan, fesyen, kosmetik kepada anak gadis zaman sekarang ini, pasti lancar sahaja mulut mungil mereka menjawab mengenai trend, fesyen dan jenama terkini yang sesuai dengan jiwa remaja mereka.

Jangan terperanjat jika mendapati mereka mempunyai pengetahuan lebih luas daripada anda selaku ibu.

Namun, di sebalik keghairahan mereka terhadap penjagaan dan penampilan diri, masih ramai di antara mereka masih kurang menitikberatkan mengenai penjagaan dan kebersihan zon wanita atau Zon V.

Penjagaan Zon V adalah amat penting dalam kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan seseorang wanita.

“Jika aspek kesihatan wanita ini diabaikan, jangkitan dan penyakit mungkin terjadi. Ini boleh menjejaskan kesihatan dan juga keyakinan diri. Anda harus kerap memeriksa Zon V anda untuk memastikan ia sihat. Kita selaku wanita perlu selalu mengawasi tubuh masing-masing,” kata Pakar Sakit Puan, Dr. Premitha Damodaran.

Tambahnya, simptom seperti bau atau bendalir yang kurang menyenangkan, haid tidak teratur atau pendarahan antara kitaran haid adalah tanda amaran.

“Jika ia berlaku, anda sepatutnya segera berjumpa dengan doktor untuk menentukan sama ada rawatan diperlukan. Jangan ambil mudah atau terlalu membersihkan Zon V anda. Sentiasa peka dan jangan gunakan produk cucian atau wangian yang boleh merosakkan keseimbangan semula jadi Zon V anda,” ujarnya.

Jelas Premitha, minyak dan bendalir yang berada secara semula jadi dalam Zon V membantu melindungi dan memelihara kesihatan.

Oleh yang demikian, pembersihan yang melampau akan menghapuskan perlindungan tersebut dan menjadikan Zon V mudah mendapat jangkitan.

“Apa yang diperlukan untuk mengekalkan kebersihan Zon V? Anda hanya perlu membersihkannya menggunakan air suam (bukan air panas) dan sabun lembut di sekeliling Zon V jika perlu.

“Lindungi Zon V anda dengan membenarkan ia bernafas dengan memakai seluar dalam kain kapas dan tukar tuala wanita atau tampon secara kerap ketika haid,” jelasnya.

Selain itu, gunakan liner setiap hari untuk mengekalkan kekeringan dan kesegaran Zon V sepanjang masa tetapi pastikan anda menukarnya sekurang-kurangnya setiap empat jam!

Premitha memberitahu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan pada persekitaran Zon V iaitu pengambilan antibiotik, kehamilan, pil hormon, perubahan hormon, diabetes, stres, hubungan seks, bertukar-tukar pasangan, cuaca panas dan lembap serta penggunaan pencuci vagina.

Katanya, pengeluaran cecair vagina yang normal biasanya berwarna putih, tiada bau, tidak gatal, basah, cair dan banyak ketika ovulasi atau pekat pada waktu lain.

“Pengeluaran cecair yang tidak normal tidak semestinya kerana jangkitan tetapi, mungkin disebabkan kerengsaan daripada penggunaan cecair pencuci vagina, garam mandian, air laut, peluh dan kelembapan, alergi kepada kondom lateks, terlupa mengeluarkan tampon dan kekeringan vagina.

“Setiap wanita pasti ada satu episod jangkitan kulat sepanjang kehidupan mereka. Ia bukan penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks tetapi, 12 hingga 15 peratus pasangan mungkin mengalami kegatalan,” ujarnya.

Menurutnya, jangkitan kulat pada vagina berlaku kerana beberapa perkara seperti pengambilan antibiotik, diabetes, kehamilan, pengambilan alkohol berlebihan, pil perancang kehamilan, perubahan hormon, penggunaan steroid, kemerosotan sistem imunisasi, cecair pembersih vagina, berpakaian ketat, perubahan jenama pad atau tampon, cuaca yang lembap dan stres.

“Sebanyak 50 peratus daripada jangkitan vagina disebabkan oleh bakteria vaginosis (BV). BV berlaku kerana pertumbuhan lampau bakteria tertentu seperti gardnerella vaginalis pada vagina.

“BV akan menjangkiti mereka yang mengadakan hubungan seks secara kerap dan bertukar-tukar pasangan seks,” jelasnya sambil memberitahu BV tidak boleh berjangkit melalui tandas duduk, tempat tidur atau kolam renang.

Buat masa ini BV tidak menunjukkan simptom cuma seseorang itu mengeluarkan cecair kelabu keputihan dengan berbau hanyir terutamanya selepas hubungan seks, sakit ketika membuang air kecil dan kegatalan pada kawasan keliling vagina.

Bagi mengelakkan jangkitan, Premitha menyarankan wanita memastikan kawasan alat kelamin bersih dan kering, elakkan penggunaan sabun yang menyebabkan iritasi, penyembur vagina, pencuci vagina, syampu rambut, menukar tampon dan pad dengan kerap serta memakai pakaian dalam yang tidak memerangkap kelembapan.

Selain itu, seseorang perlu menukar pakaian yang kering segera selepas berenang, mengambil antibiotik apabila disarankan doktor sahaja dan jika menghidap diabetes, seseorang itu perlu mengawal paras gula dalam darah.

Premitha menasihatkan kepada mereka yang dijangkiti supaya mengelakkan aktiviti seks sehingga sembuh sepenuhnya, merawat jangkitan, menggunakan kondom, mengelap alat kelamin dari bahagian depan hingga ke belakang dan mengurangkan pengambilan roti, gula dan alkohol.

“Sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Tidak semestinya seseorang yang aktif seks akan mendapat jangkitan pada vagina.

“Anda tidak perlu membasuh secara berlebih-lebihan kawasan vagina anda kerana ia mempunyai sistem pembersihannya sendiri,” pesannya.

Rabu, 7 September 2011

Muhasabah di bulan Syawal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED
Sumber : Utusan Malaysia


SEBENARNYA, hidup ini boleh diumpamakan seperti perjalanan sebuah kereta api. Tempat perhentian hanya menjadi persinggahan sementara untuk menurunkan penumpang.

Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.

Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan akan datang. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi.

Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai tarikh luputnya yang tersendiri. Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap hamba di hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara, tentang umur, ke manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu? Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu? Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya? Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu?" (riwayat Tirmidzi).

Pepatah Melayu ada menyebut, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan yang ditempuhi.

Sekiranya ia bercanggah dengan penilaian syariah, maka lebih baik berpatah balik ke pangkal jalan. Walaupun kadang-kadang ia memerlukan pengorbanan, namun ia cukup berharga serta bernilai di sisi Allah SWT. Jangan sampai sudah terlambat, barulah hendak menyesali segalanya.

Terlalu banyak ayat yang tercatit dalam al-Quran menceritakan penyesalan orang-orang yang melakukan maksiat kepada Allah dan minta diberikan sedikit ruang masa untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal kebajikan.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:

* Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman. (as-Sajadah: 12)

* Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit lagi, maka aku dapat bersedekah dan dapat pula aku tergolong dalam orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Demikianlah digambarkan sesalan golongan yang berbuat dosa di akhirat kelak. Amat dahsyat penyesalan itu sehingga merayu dan meratap kepada Allah SWT supaya diberikan sedikit masa untuk kembali ke dunia.

Marilah sama-sama kita bersyukur di atas nikmat masa yang diberikan Allah. Gunakanlah ia sebaik mungkin kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Bulan Ramadan telah berlalu.

Namun, apakah amalan puasa yang kita jalani pada bulan tersebut di terima Allah? Atau puasa kita hanya menjadi sia-sia sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW?

Daripada Abu Hurairah Sabda Rasulullah SAW: “Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga, dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali letih kerana berjaga (riwayat Ahmad).”

Diharapkan semangat mengerjakan ibadah pada bulan tersebut dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga. Dan sepatutnya kita tidak lupa membuat kesinambungan puasa Ramadan yang lalu dengan mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini.

Abu Ajjud berkata Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikutinya dengan enam hari Syawal, maka bagaikan berpuasa sepanjang masa." (riwayat Muslim).

Justeru, marilah kita membersihkan diri dari dosa dan noda. Janganlah pada bulan Syawal yang mulia dicemari dengan maksiat kepada Allah SWT yang akan merosakkan benih-benih taqwa yang telah dituai selama sebulan.

Takwa kepada Allah SWT perlu dituai dengan penuh keimanan serta rasa syukur di atas peluang menjalani ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan Ramadan tahun hadapan akan kita temui lagi, insya-Allah.