#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 18 Mac 2014

Rasa tidak disayangi - Bersama Hushim

Oleh : Hushim Saleh, Perunding Motivasi dan Kaunseling
Tarikh : 18/03/2014
Sumber : Berita Harian - Famili

Soalan;

Saya anak kedua dalam tiga beradik. Berbanding dengan abang dan adik perempuan, saya memang selalu ketinggalan dalam pelajaran. Apa yang menyedihkan, ibu seolah-olah sering penuhi permintaan abang dan adik menyebabkan saya berasa tidak disayangi. Adakah kerana saya tidak sebijak adik beradik lain hingga disisihkan?

Khairul Nazri Seremban, Negeri Sembilan.


Jawapan;

Di dalam dunia ini, manusia yang paling dikasihi Allah ialah manusia yang bertakwa iaitu hidupnya menurut dan mengamalkan semua perintah Allah. Oleh itu, dalam proses kehidupan, ilmu asas utama memastikan kita berjaya hidup di dunia dan akhirat.

Kebijaksanaan bukan semata-mata kerana hebat dalam akademik. Justeru, ilmu psikologi membahagikan kebijaksanaan manusia terbahagi kepada tujuh bidang iaitu;
1. Bijak akademik
2. Bijak muzik
3. Bijak lisan
4. Bijak bahasa
5. Bijak kinestetik
6. Bijak visual
7. Bijak matematik

Contohnya, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, bijak dalam aspek kinestetik manakala Pablo Picasso dalam aspek visual. Arbert Einstein pula bijak dalam Matematik. Bahkan, banyak lagi manusia terkenal di dunia ini boleh menjadi contoh berasaskan kepada tujuh bidang berkenaan.

Anda jangan berputus asa jika tidak berminat dan berpotensi dalam bidang akademik. Anda mungkin akan jadi jutawan atau pakar dalam bidang lain bidang seperti di atas.

Bina cita-cita diri

Mengenai sikap ibu yang pada hemat anda lebih memanjakan dua orang adik beradik, anda mesti banyakkan istighfar dan bersabar. Cuba baca sejarah Nabi dan Rasul SAW. Ada nabi yang dibakar oleh ibu bapanya sendiri dan sebagainya. Ini semua ujian daripada Allah. Anda mesti bersabar.

Anda boleh atasi masalah itu dengan melakukan perkara berikut;
1. Bina matlamat atau cita-cita diri. Catatkan cita-cita anda itu di dalam diari.

2. Sebaik-baik cita-cita sebagai pelajar ialah sasaran untuk dapat berapa A di dalam setiap peperiksaan.

3. Fokus sentiasa kepada cita-cita personal anda.

4. Ingat, semua pelajar adalah pekerja. Sebab, akar kata pelajar ialah ajar. Apabila kata terbitannya pelajar, maka ia bermaksud kerjaya seorang pelajar.

5. Setiap pekerja sebagai pelajar juga mesti ada KPI (Sasaran Kerja Untuk Dicapai). Bekerja tanpa sasaran ibarat kapal yang belayar tanpa nakhoda dan hala tuju.

6. Apabila anda sudah ada matlamat kerjaya sebagai pelajar, catat dan mudah dilihat di dinding bilik tidur atau dalam diari anda. Maka hidup akan penuh fokus, sibuk melaksana tugasan dan miliki konsep kendiri yang unggul.

7. Ingat sentiasa, pelajar yang berkonsep kendiri unggul tiada masa untuk memikirkan perkara remeh temeh, mudah merajuk, suka dipujuk, suka dirayu
dan manja macam budak yang hidupnya lemah semangat dan suka bergantung dengan orang lain terutama daripada ibu bapanya.

8. Bina sikap berdikari dengan sentiasa membuat sesuatu kerja tanpa disuruh. Misalnya sentiasa ringan tulang untuk lipat dan susunkan pakaian adik beradik, empati dengan adik beradik dan ibubapa dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan iblis untuk mencemburui kelebihan adik beradik yang lain sama ada dari aspek pelajaran, rupa paras dan bakat.

9. Bina sifat mahmudah iaitu sabar, tabah dan berfikiran positif sentiasa dalam menghadapi apa saja tugasan diberikan oleh ibu bapa, guru dan orang lain yang memerlukan bantuan dan sokongan anda.

Kesimpulannya, Allah sentiasa mengasihi dan merahmati setiap kanak-kanak atau remaja yang sentiasa membuat amalan mulia seperti ringan tulang, sabar dengan setiap kekurangan diri dan sentiasa cekal untuk berjuang untuk hidup penuh bahagia pada masa depannya. Contohnya, pakar motivasi ulung, Nick Vujicic yang sejak lahir, hidupnya derita kerana cacat tiada tangan dan kaki tetap sifat cekal, tabah dan berani berubah, kini dikenali dunia dengan bakatnya dalam bidang lisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan