#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, 31 Disember 2013

Cabaran dunia siber

Oleh Noor Atiqah Sulaiman
2013/12/31
Berita Harian

Pendedahan kepada gejala negatif jejas emosi kanak-kanak, undang pelbagai masalah sosial

Institusi keluarga hari ini sering berdepan pelbagai cabaran yang dikaitkan dengan masalah sosial seperti keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, jenayah berat seperti rogol, dan terbaru, melalui dunia siber.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi lain yang berkaitan, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), masalah ini saban hari dilihat semakin membimbangkan.

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan laporan yang dikeluarkan CyberSecurity Malaysia yang menyatakan sebanyak 5,592 insiden berkaitan keselamatan siber dilaporkan kepada pusat bantuan Cyber999.

Daripada analisa berkenaan, separuh tahun pertama 2013 mendapati, jenayah penipuan adalah yang banyak dilaporkan, diikuti pencerobohan (hack) serta gangguan siber.

Gejala negatif

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail, berkata apa yang lebih membimbangkan adalah pendedahan kanak-kanak kepada gejala negatif yang dipaparkan dalam dunia siber.
"Norton Online Family Report turut melaporkan kanak-kanak di Malaysia menghabiskan purata 19 jam seminggu melayari internet, sedangkan ibu bapa mereka beranggapan kanak-kanak cuma menggunakan internet kira-kira 11 jam seminggu.

"Selain itu, laporan berkenaan juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang diakses kanak-kanak dalam internet, manakala sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini pernah terdedah dengan pengalaman negatif secara atas talian.

"Secara tidak langsung, senario ini memberikan impak negatif terhadap perkembangan emosi kanak-kanak," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Remaja Perkasa Harapan Bangsa yang diadakan di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di sini, baru-baru ini.

Seminar berkenaan bagi membantu memperkasakan dan melindungi keselamatan ahli keluarga, selain bekerjasama mengatasi masalah sosial dan mencegah jenayah di kawasan setempat.


Lahirkan remaja berpengetahuan

Dr Siti Norlasiah berkata, seminar berkenaan juga mampu melahirkan remaja yang berpengetahuan serta mempunyai sikap positif.

"Dengan komitmen yang tinggi daripada peserta seminar ini, saya yakin mereka (remaja) akan menjadi penggerak ke arah transformasi minda dalam kalangan masyarakat dan membantu kerajaan mengelakkan generasi muda agar tidak terus menjadi mangsa jenayah," katanya.

Bagi Norlela Abd Hamid, 43, seminar itu sangat membantu kerana cara penyampaian oleh penceramah agak berlainan serta 'kena' dengan jiwa remaja.

"Selalunya, anak-anak hanya bersemangat pada awal seminar, namun kali ini mereka masih duduk dalam tempoh yang lama serta khusyuk mendengar ceramah yang diberikan.

"Ada juga saya menegur anak-anak apabila menggunakan internet, tetapi ia seperti mencurahkan air ke daun keladi.

"Justeru, melalui seminar seperti ini, diharap dapat menyedarkan mereka mengenai kebaikan dan keburukan laman sosial," katanya.

Bosan dengan perkahwinan

ARKIB : 24/12/2013
Utusan Malaysia - Keluarga


Pernahkah anda merasakan yang perkahwinan anda semakin hambar dan tiada penyerinya. Setiap hari sekiranya bangun dari tidur, anda akan merasakan diri sangat malas dan enggan bangun pun dari katil.

Sebenarnya tidak salah anda merasai kebosanan itu memandangkan ada hari-hari berkenaan anda pasti akan merasakan kehidupan anda terasa kosong berbanding hari-hari yang berlalu. Apa yang anda perlu lakukan adalah cuba fahami mengapa terasa kebosanan itu terhadap perkahwinan atau hubungan anda dengan pasangan dan seterusnya lakukan sesuatu mengenainya.

Perkahwinan hanya akan terasa menjadi semakin hambar apabila anda sendiri tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keadaan rumah tangga anda. Apabila anda memahami faktor-faktor yang menjadikan hubungan anda dan pasangan semakin membosankan, tentunya ada beberapa perkara boleh anda pelajari agar ia tidak berulang lagi.

Berikut merupakan antara perkara-perkara yang dilakukan sepanjang perkahwinan yang menjadikan anda bosan.


1 Rutin harian yang sama

Rutin kehidupan anda sama setiap hari dengan keadaan yang membosankan. Segala-galanya boleh dijangka setiap saat, minit dan jam apa yang akan dilakukan sepanjang minggu itu.


2 Kurang teruja

Ingatkah bila kali terakhir anda berdua melakukan perkara yang mengujakan bersama-sama. Apabila hubungan telah terlalu lama sebenarnya memerlukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan keterujaan kepada hubungan berkenaan. Apa lagi lakukan sesuatu mengenainya. Pergilah bercuti atau keluar makan malam bersama. Lakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan.


3 Hubungan cinta tidak dibina berasaskan sokongan yang kukuh

Kadang-kadang apabila hubungan cinta yang dibina terlalu cepat ke jinjang pelamin tanpa mengenal dahulu keadaan seseorang itu menyebabkan pasangan cenderung berlainan pandangan dan selalu berlaku percanggahan pendapat.


4 Suka membandingkan

Kehidupan pasangan akan semakin terasa hambar sekiranya anda banyak mendengar cerita mengenai pasangan orang lain lebih baik daripada pasangan anda.


5 Ada hubungan sulit lain

Mungkin di tempat kerja anda ada merasakan beberapa kehadiran individu yang lebih rapat dengan anda itu lebih membahagiakan daripada pasangan anda di rumah.


6 Seks yang sama

Hubungan seks anda terasa membosankan apabila hanya melakukan dengan keadaan yang sama. Ayuh! tukar posisi anda cara berhadapan dengan seks yang berlainan dari biasa.


7 Kenangan yang istimewa

Cipta kenangan yang istimewa berdua atau sama-sama mengingati saat-saat manis anda dan pasangan ketika dahulu.


8 Komunikasi

Hanya berkomunikasi sekiranya perlu setelah lama berumah tangga? Usah biarkan keadaan ini berlarutan. Berkomunikasilah dengan pasangan anda sebagaimana waktu bercinta dahulu.


9 Spontan

Hidup berumah tangga pasti membosankan sekiranya seharian kehidupan anda ditentukan oleh peraturan dan perancangan. Sekali-sekala kehidupan diceriakan dengan perkara-perkara yang spontan, menimbulkan keadaan yang baharu dalam hidup.


10 Masa bersama berdua

Adakan masa anda bersama berdua tanpa diselangi oleh perasaan marah, penat atau bosan. Ciptakan kehidupan anda bersama untuk memupuk kasih sayang biarpun sesibuk mana pun anda dan pasangan.


11 Hubungan dengan rakan

Kehidupan juga akan terasa membosankan sekiranya anda tidak mempunyai hubungan langsung dengan rakan-rakan luar sebagaimana sebelum berumah tangga. Kekalkan hubungan persahabatan dan ciri-ciri kekeluargaan lain bagi memberikan rasa keseronokan kepada kehidupan anda, agar anda tidak terasa keseorangan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131224/ke_02/Bosan-dengan-perkahwinan#ixzz2p0kpYdtu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 3 Oktober 2013

Suami dahulukan usaha atasi krisis rumah tangga

2013/10/01
Berita Harian

Amru bin Ahwas al-Jusyami berkata, “Ketika Rasulullah melakukan haji perpisahan, beliau memberi nasihat kepada orang ramai. Beliau membaca ‘Alhamdulillah’, kemudian memuji Allah, lalu bersabda: Ingatlah. Berilah nasihat kepada kaum wanita dengan sebaik-baiknya. Mereka itu ibarat orang tawanan kamu. Kamu tidak mendapat apa-apa daripada mereka melainkan bergaul sebagai suami isteri.

Jika mereka berkelakuan buruk, tidurlah berasingan dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakiti. Tetapi jika mereka taat semula kepadamu, janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahannya dengan tujuan menyakiti mereka.

Ingatlah bahawa kamu semua mempunyai hak ke atas isterimu. Begitu juga isteri kamu mempunyai hak ke atasmu. Hak kamu yang wajib isteri patuhi ialah tidak memberi tempat kepada orang yang tidak kamu sukai iaitu tidak duduk berdua-duaan dengan lelaki lain dan tidak membawa orang lain masuk ke rumah tanpa izin suaminya. Ingatlah kamu bahawa hak mereka pula adalah kamu melayannya dengan baik dan memberi pakaian serta makanan kepada mereka.” (Riwayat Tirmizi, katanya ini hadis hasan sahih)


Hubungan suami, isteri

Hubungan antara suami isteri turut dijelaskan Islam, agama yang menjadi cara hidup penganutnya kerana memahami tanggungjawab wajib ditunaikan bermakna memastikan semua hak setiap insan itu dipelihara sebaiknya.

Jika isteri memenuhi tanggungjawab dan suami juga memahami peranan serta kedudukannya sebagai ketua keluarga, tidak akan timbul sebarang masalah dalam perhubungan suami, isteri serta anak-anak.

Malangnya, disebabkan tidak menghayati ajaran Islam menjadikan suami lupa tanggungjawab. Apabila berlaku perselisihan, suami bukan saja tidak berusaha mengatasi malah menambahkan lagi masalah dengan sifat cepat marah mereka.

Laporan keganasan rumah tangga yang kini mudah tersiar dalam laman sosial menunjukkan kepincangan masyarakat hingga suami tidak ada lagi perasan segan silu memukul isteri di tempat awam.

Masyarakat juga perlu bimbang dengan kes isteri menjalin hubungan dengan pasangan yang ditemui di alam maya. Semua itu sebenarnya mencerminkan keimanan serta penghayatan terhadap larangan serta suruhan agama.

Jumaat, 20 September 2013

'Alam maya' dunia baru kanak-kanak

2013/09/19
Berita Harian - Agama
Oleh : Nik Salida Suhaila

Tanggungjawab membesarkan zuriat lebih sukar daripada mencari rezeki

Dunia tanpa sempadan menuntut komitmen yang luar biasa terhadap kehidupan. Jika dulu tugas ibu cukup dengan mengawasi anak di depan mata, tahu di mana tidurnya, bagaimana makannya, elok pakaiannya dan siapa temannya.

Hari ini, ada satu dunia lain yang dihuni oleh anak tanpa disedari ibu. Inilah yang dikatakan ‘alam maya’, sekecil-kecil anak pun tahu merentasinya tanpa berbekalkan wang sesen pun, cukup dengan sentuhan.

Sama ada alam maya menjadikan anak orang yang lebih berilmu atau sebaliknya bergantung kepada kesediaan ibu mencari ilmu menghadapi tanggungjawab sebagai pembantu pemimpin rumah tangga dalam dunia serba mencabar kini.

Semua ibu pasti merasakan tanggungjawab membesarkan anak jauh lebih sukar daripada mencari rezeki, makan dan pakai buat mereka. Apatah lagi seorang ibu yang turut berkerja dan pada masa sama membimbing cahaya mata yang dianugerahkan Ilahi.

Tak rasa penat lihat anak berjaya

Sudah pastilah masa diperuntukkan berganda banyaknya, tenaga diperah tidak terhingga, tetapi semuanya kerana tanggungjawab yang perlu dilaksana, jadi ibu yang mulia tidak akan terasa penat dan lelahnya apabila melihat anak-anak semuanya berjaya.

Setiap ibu yang sedar dan mengerti suruhan agama, tahu tanggungjawab dipikul serta kesan buruknya jika tidak ditunaikan untuk memastikan amanah Allah SWT, memulakan kehidupan di dunia dengan baik seterusnya berakhir dengan baik.
Bahkan anak lahir daripada pasangan bapa dan ibu yang bertakwa serta takutkan Allah SWT yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka dengan doa mereka.

Sudah tentulah setiap ibu ingin menyelamatkan anak- daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia serta batu. Tiada ibu yang tergamak menjadikan anaknya menjadi arang yang membara membakar manusia, tetapi hasrat dan nekad itu tidak akan menjadi jaminan tanpa bimbingan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Jika seorang ayah adalah pemimpin bagi sebuah keluarga, ibu pula pembantu dalam kepemimpinan rumah tangga. Rumah tangga adalah satu naungan yang dalamnya ada satu ikatan antara dua hati yang berkasih sayang kerana Allah SWT.

Jika ayah menjadi ketua yang wajib dihormati, dipatuhi dan mengetuai segala urusan membabitkan ahli rumah tangga, ibu pula memimpin sistem yang terdapat di dalamnya untuk memastikan ahli rumah tangga taat serta setia kepada pemimpin keluarga.

Tidak semudah berjanji, memimpin rumah tangga memerlukan daya tahan tinggi, teguh berdiri di belakang ketua keluarga yang bertanggungjawab atas segala tindak tanduk ahlinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang imam adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya, dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin pada rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang pembantu adalah pemimpin pada harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”

Ibu tidak perlu takut merotan anak yang melakukan kesalahan, ia patut bermula seawal usia mereka 10 tahun, apabila lalai mengerjakan solat.

Sabda Rasulullah SAW: “Perintahkanlah anakmu untuk melaksanakan solat pada saat mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila enggan mengerjakannya pada saat mereka berusia 10 tahun.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Proses bentuk akhlak

Nabi tidak meminta anak dipukul sebelum usianya 10 tahun, walaupun mereka melanggar perintah Allah SWT, tetapi mereka perlu sentiasa dinasihat serta dibimbing supaya proses pembentukan akhlak mulia dapat dilakukan dengan sempurna dan konsisten.

Ibu yang tidak merotan anaknya kerana meninggalkan solat selepas usianya 10 tahun bakal mendepani anak yang tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan, tidak taat perintah Tuhan, serta keliru antara suruhan dan larangan dalam agama.

Setiap ibu yang berjaya menjadikan anak mereka orang soleh dan baik budi pekerti sudah tentulah bermula dengan cara dibentuk mengikut acuan ad-Deen. Ia seawal mendedahkan anak dengan kisah nabi dan sahabat baginda yang tidak terkira banyaknya.

Moral kisah benar membuktikan keunggulan Islam, teladan akhlak dan ukhuwah akan menjadi pegangan anak yang dibentuk dengan didikan ibu yang ikhlas supaya anak bijak menilai baik atau buruk tanpa mampu dipengaruhi sesiapa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Selasa, 22 Januari 2013

Tip lebih menyayangi isteri

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 20/01/2013

MENGIKUT pengalaman saya selama hampir 20 tahun menjalankan motivasi, hampir 90 peratus penyelesaian konflik rumahtangga tidak perlu melalui penceraian. Oleh itu, saya membuat kesimpulan peribadi bahawa 90 peratus penceraian yang berlaku di luar sana sebenarnya tidak perlu berlaku namun tetap berlaku kerana pasangan tiada ilmu, tidak sabar dan kurang bijak mengurus konflik. Memanglah jodoh itu ditangan Allah namun usaha menyelamatkan perkahwinan itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh terlebih dahulu.

Bagi kita para suami, hayatilah beberapa tip di bawah agar kita menjadi seorang suami yang mampu bersabar dalam perkahwinan.

Ingatlah kita lelaki yang dipilihnya menjadi suami sedangkan dia dulunya mungkin ada pilihan yang lain.

Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kita menjadi suami kerana isteri menerima kita untuk menjadi suaminya. Dia mungkin ada beberapa pilihan lain namun kitalah yang dirasakan paling serasi, secocok dan sekufu dengannya. Kitalah yang diharapkan dapat menjadi payung baginya dan mendidik dia menjadi isteri yang baik lagi solehah. Cuba imbas kembali betapa bahagianya hati kita ketika dia bersetuju menjadi isteri. Indah dan bermakna sungguh saat itu.
Kenang pengorbanannya sewaktu dia sanggup bersusah-susah dahulu sebelum senang.

Mengharungi kehidupan di saat-saat awal perkahwinan bukannya mudah. Rumah sewa dan gaji pun kecil. Yang berniaga, juga bermula secara kecil-kecilan. Kita suami isteri sanggup berkorban masa, tenaga, perasaan dan segalanya demi membina sebuah kejayaan. Makan kita makanlah isteri. Ramai isteri yang sanggup sama-sama bersusah payah demi memastikan keadaan keluarga menjadi lebih berjaya satu hari nanti. Doanya untuk kita tidak pernah putus. Sakit demam kita dijaganya. Keluhan hati kita didengarnya. Kesusahan kita dirasakannya. Jadi, kenapa mesti kita lupakan semua itu. Apa sekali pun jalan yang kita pilih pastikan isteri yang sama-sama susah itu tidak diabaikan, apa lagi dibuang. Tutup mulut dan padam perkataan cerai daripada dalam minda.

Dialah ibu yang separuh nyawa bertarung mengandung dan melahirkan anak-anak kita.

Bukan senang mahu mengandungkan anak selama sembilan bulan dan melahirkannya. Jika kita berpeluang melihat bagaimana sukar dan sakitnya isteri melahirkan anak maka pastilah timbul rasa insaf dan kasihan terhadapnya. Ketika anak pertama saya lahir, isteri saya memberitahu bahawa roh bagaikan terkeluar seketika daripada badan. Anak pertama itu beratnya lebih kurang empat kilogram, isteri saya merintih atas katil dalam wad bersalin selama lebih 12 jam. Ketika anak diteran keluar dengan satu nafas, dia rasakan seolah-olah dirinya terapung dan dia nampak saya, doktor, jururawat, anak dan dirinya sendiri ketika berada di atas itu. Semuanya berlaku dengan pantas dan dia kembali ke jasadnya. Begitu sekali pengalamannya. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Apakah kita sebagai suami dengan mudah mahu lupakan semua itu. Oleh itu, walau apa sekali pun ujian Allah, didiklah hati isteri dan pujuklah hatinya sebab marah bagaimana sekali pun isteri, jauh di sudut hatinya dia sayangkan kita. Mulutnya bising, kata-katanya kesat tetapi percayalah semua itu hanya luarannya sahaja.

Imbas kembali saat-saat indah ketika zaman berkenalan atau bercinta dahulu

Sepatutnya semakin lama usia perkahwinan semakin kenal kita akan pasangan masing-masing. Kita kenal baiknya, kita juga kenal buruknya. Sebab itulah perkahwinan itu untuk saling melengkapi, apa yang kurang pada isteri lebihnya mungkin pada suami dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu setiap kali berlakunya krisis, kenanglah semula saat-saat indah bersama dan segala kebaikannya yang membuatkan hati tertarik padanya. Dengan cara itu tidaklah kita tidak membuat tindakan melulu dan terburu-buru.

Tatap wajahnya ketika dia sedang tidur dan ucaplah syukur serta kasihanilah dia serta doakan dia

Kenapa perlu tatap wajah isteri ketika dia tidur? Kerana wajah isteri ketika itu tanpa emosi. Cuba dengarkan suara hati ketika menatap wajah itu. Pasti akan hadir rasa sayang, kasih dan simpati. Pasti tidak dapat dibayangkan pilu dan sedihnya hati ini jika bangun esok paginya wajah itu sudah tiada lagi. Bersyukurlah ketika ramai orang yang tidak punya isteri, Allah anugerahkan kita seseorang sebagai teman hidup. Itulah wajah yang menyimpan segala memori pahit manis bersama.

Hargai usahanya memasak, mengemas, menjaga anak dan melayani kehendak batin kita

Bukan senang menjalani hidup sebagai seorang isteri. Tugas seorang isteri ialah dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130120/ke_02/Tip-lebih-menyayangi-isteri#ixzz2Igf1r9S4

© Utusan Melayu (M) Bhd