#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, 26 Januari 2011

Tugas peguam syarie permudah urusan anak guam

2011/01/26
Peguam Syarie Menulis

APABILA memperkatakan sistem kehakiman Islam, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai peguam syarie yang membela anak guaman yang menaruh harapan terhadap mereka di Mahkamah Syariah.

Oleh itu, apabila tidak mendapat pengadilan diharapkan, ada kala disebabkan terlalu kecewa kesalahan diletak di bahu peguam syarie.

Dalam menjalankan amanah, peguam syarie perlu menjaga etika kerana mereka sebahagian daripada sistem kehakiman Islam. Kita tidak mahu ada tanggapan negatif terhadap sistem kehakiman Islam disebabkan segelintir peguam syarie yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Justeru, perlu satu transformasi untuk memperkasakan peguam syarie dalam budaya kerja mahupun terhadap etika supaya peranan mereka lebih mantap dalam menegakkan hak anak guamnya di Mahkamah Syariah.

Peguam Syarie berperanan membantu melancarkan segala urusan anak guamnya berkaitan Mahkamah Syariah. Sebagai pemudah cara, mereka sepatutnya membimbing anak guam supaya kes yang dibawa dapat diselesaikan dengan berkesan.

Hari ini, kes membabitkan perceraian di Mahkamah Syariah, hakim syarie akan mengusulkan pihak bertikai supaya mendapatkan khidmat peguam syarie kerana kebanyakan ahli masyarakat kurang faham mengenai prosedur mahkamah.

Bantuan peguam syarie yang arif tentang perjalanan kes di Mahkamah Syariah akan memudahkan pelanggan sama ada suami atau isteri untuk mengemukakan tuntutan sementara bagi yang membela, dapat menyediakan hujah pembelaan yang kemas.
Melalui cara ini, persediaan dapat dilakukan dengan teliti dan proses di Mahkamah Syariah juga berjalan lancar. Lebih utama, semua yang dilakukan bertujuan memastikan semua pihak mendapat keadilan.

Dulu kedengaran dakwaan Mahkamah Syariah lambat menyelesaikan kes terutama kes cerai fasakh dan kini suara itu masih kedengaran, mungkin tidak selantang dulu tetapi masih wujud kelewatan.

Bagaimanapun, tidak adil meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap Mahkamah Syariah kerana punca kelewatan sebenarnya pelbagai. Banyak sebab menyebabkan kes berlarutan seperti tidak patuh pada syarat serta prosedur ditetapkan mahkamah.

Sebab lain, saman tidak dapat disempurnakan, gagal mengemukakan bukti, saksi tidak hadir ke mahkamah. Selalunya kelemahan oleh pihak bertikai tidak dibangkitkan tetapi meletakkan kesalahan terhadap pihak mahkamah.

Melihat prosedur perceraian secara fasakh yang sering dikatakan lambat sehingga menyusahkan pelbagai pihak, seperti dimaklumi, satu serahan saman serta Penyata Tuntutan oleh plaintif (pihak yang menuntut) perlu diserahkan kepada defendan (pihak yang kena tuntut).

Selepas serahan dilakukan, maka penyataan pembelaan perlu dibuat oleh defendan untuk menjawab segala tuduhan, jika berhasrat berbuat demikian. Plaintif kemudian akan menjawab pernyataan pembelaan dan jika ada tuntutan balas, perlu dijawab sebelum perbicaraan dimulakan.

Itu belum lagi kes suami hilang, suami ingkar hadir ke mahkamah walaupun saman sudah disempurnakan. Sesetengah berpendapat apabila suami tidak hadir, memadai fakta atau cerita dalam penyata tuntutan untuk hakim syarie membuat keputusan. Pandangan ini salah kerana mahkamah perlu membuat pertimbangan untuk memberi keputusan yang adil.

Oleh itu, kes perceraian fasakh bukannya mudah kerana kes itu memerlukan kepada pembuktian seiring dengan keterangan yang kukuh bagi mengelakkan penganiayaan terhadap mana-mana pihak lebih-lebih lagi kes perceraian fasakh dituntut sebelah pihak.

Segala keterangan dan bukti perlu ditapis dan dianalisis sebelum hakim syarie melalui Mahkamah Syariah membenarkan mana-mana pasangan bercerai sekali gus mengelak perceraian berlaku sewenang-wenangnya.

Masyarakat juga seharusnya memahami Mahkamah Syariah di setiap negeri mahupun daerah mempunyai kadar kes berbeza kerana Mahkamah Syariah bukan hanya menyelesaikan kes rumah tangga tetapi turut mendengar kes mal dan jenayah yang lain.

Jadual kes yang padat menyebabkan hakim syarie terpaksa menyusun tempoh masa perbicaraan kurang daripada satu jam bagi setiap kes dan ini agak menyukarkan peguam syarie membentangkan kes serta membuktikan segala-galanya dalam tempoh diberikan itu.

Bagi menangani kes fasakh ini, mahkamah perlu diberi ruang dan masa untuk menilai, menimbang seterusnya menyelesaikan kes berkenaan supaya tidak berlanjutan terlalu lama, di samping memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Masa untuk menilai juga perlu ada tempoh waktunya kerana apabila kes berlarutan, ini menyebabkan keadilan lambat ditegakkan yang ada kalanya menyebabkan hak pihak bertikai meneruskan kehidupan turut terkesan.

Bagi melicinkan perjalanan kes di Mahkamah Syariah, pihak yang bertikai perlu memahami apa yang perlu dilakukan, peguam pula seharusnya membimbing anak guamnya kerana tidak semua maklum dengan prosedur di mahkamah.

Jika semua persiapan dapat dilakukan dan keperluan dipenuhi, tiada alasan untuk hakim syarie sengaja melambat-lambatkan penghakiman kerana tanggungjawab mereka adalah memastikan pihak yang berhak mendapa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan