Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/01/17
Negara rugi profesional akibat tekanan antara tugas suri rumah dan kerja
SEAWAL 5.30 pagi setiap hari, kecuali hujung minggu dan cuti umum, pakar teknologi maklumat, Maria Ahmad, 37, sudah bangkit tidur untuk melakukan pelbagai rutin harian khususnya mengurus persiapan tiga anak, berusia antara 3 hingga 15 tahun ke sekolah. Sebaik saja menghantar ke semua anaknya ke sekolah, terus bergegas dari rumahnya di Bangi ke pejabatnya terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Dalam perjalanan sudah merangka apakah tugas bakal dilangsaikan, selain perlu berhadapan dengan bos yang cerewet. Perjalanan mengambil kira-kira sejam untuk sampai ke destinasi tempat kerjanya dan kalau nasib tidak menyebelahinya, sampai lewat ke pejabat jika berlaku kesesakan lalu lintas yang melampau.
Lewat petang dan ada kalanya sampai ke rumah malam sekiranya banyak kerja di pejabat. Kadang-kadang kerja pejabat juga dibawa ke rumah untuk diselesaikan. Sudah pasti, rutin itu tidak habis di situ. Maria kena juga menyelesaikan lagi banyak tanggungjawab sebagai ibu dan isteri di rumah. Ada pembantu rumah pula tidak begitu bagus, banyak tugas rumah tidak beres, cuma sekadar diharapkan untuk melihat tiga anaknya. Itupun Maria bercadang tamatkan kontraknya tidak lama lagi. Sehingga ini sudah lima pembantu rumah warga Indonesia diambil semuanya menyakitkan hati.
Dalam keadaan tertekan itu, Maria sudah berkira-kira untuk berhenti saja kerja untuk menumpukan perhatian kepada anak dan keluarga, selepas melihat beberapa rakannya berjawatan profesional turut mengambil langkah sama.
Kisah Maria, adalah antara sekelumit cerita yang turut dirasai oleh jutaan wanita berkerjaya di seluruh dunia. Masing-masing mempunyai masalah hampir sama, dilema dalam menangani tuntutan antara kerjaya dan keluarga.
Apabila berlaku senario berkenaan, sebenarnya negara juga yang kerugian tenaga pekerja profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan negara. Malah trend wanita profesional termasuk doktor, peguam dan akauntan berhenti kerja di Malaysia kini sudah menampakkan tanda dengan alasan untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga.
Senario itu diakui Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menjelaskan walaupun trend itu nampak kecil tetapi ia sudah bermula.
Di lihat dari satu sudut, mempunyai kerjaya yang kukuh menggambarkan warna kehidupan yang begitu menarik. Namun disebabkan banyak kekangan yang terpaksa dilalui itu, sebilangan wanita memilih saja untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga khususnya anak.
Sebenarnya, situasi itu bukan dianggap sebagai trend baru, sebaliknya sudah berlaku sejak beberapa dekad lalu. Bagaimanapun, sekitar 1980-an kesibukan kerja dan tanggungjawab menguruskan rumah tangga semakin meningkat dengan jumlah wanita yang memasuki pasaran pekerjaan semakin melebar.
Namun, isu ini tidak perlu dipandang remeh kerana kini wanita mula mendapat tempat sewajarnya dan mampu mencapai ke tahap lebih cemerlang. Berdasarkan Bancian penduduk dan Perumahan Malaysia, penduduk negara melebihi 27.5 juta orang dengan nisbah hampir sama dengan lelaki.
Keupayaan wanita Malaysia mampu dilonjakkan ke tahap tertinggi sekiranya diberi peluang dengan mengenepikan jurang gender.
Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Awal ketika diajukan pandangan berkenaan wanita profesional berhenti untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, lantas menegaskan senario itu bukan dianggap trend baru, sebaliknya ia sudah berlaku sejak dulu lagi atas pelbagai sebab seperti kekangan terhadap tugas di rumah, tidak mempunyai pembantu rumah dan merasa lebih terjamin mengurus sendiri rumah tangga tanpa sebarang masalah.
Katanya, ada wanita yang bimbang meninggalkan anak di pusat asuhan kanak-kanak yang mungkin kurang mendapat pengawasan rapi atau didera. Dengan kesukaran mendapatkan pembantu rumah yang baik juga menjadikan mereka mengambil keputusan berhenti kerja.
“Oleh itu, kerajaan dan pertubuhan NGO wanita perlu lebih agresif untuk membela nasib wanita berkenaan supaya tidak mengambil keputusan berhenti kerja seperti memperjuangkan kerja separuh masa atau memberi cuti tanpa gaji bagi membolehkan mereka menguruskan rumah tangga. Kemudian dibenarkan memasuki semula pasaran pekerjaan sebaik saja yakin mampu melaksanakan tugas tanpa sebarang halangan.
“Ketika ini, kelonggaran dapat dilihat di sektor awam apabila memberi kebenaran wanita mengambil cuti untuk tempoh tertentu dan masuk semula bekerja. Bagaimanapun, senario sama tidak diamalkan di sektor swasta,” katanya.
Situasi ini berbeza dengan negara maju seperti di England yang membenarkan wanita mengambil cuti tanpa gaji atas alasan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga. Malah, wanita berkenaan juga tidak dikenakan ‘double standard’ dari segi kenaikan pangkat walaupun bercuti panjang.
Insentif seumpama itu sepatutnya diwujudkan di negara ini di semua sektor bagi memastikan Malaysia tidak kehilangan wanita profesional yang mampu menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk kepentingan industri pekerjaan.
Selain itu, beliau berkata, kebenaran bekerja separuh masa untuk wanita terbabit juga perlu dikuatkuasakan bagi meringankan bebanan dan tekanan sebagai wanita bekerjaya dan sekali gus dapat menumpukan waktu berkualiti untuk keluarga.
Kajian di Amerika Syarikat pada 2007 menunjukkan 60 peratus daripada wanita bekerja lebih selesa untuk bekerja separuh masa. Begitu juga hasil laporan sama ditemui dalam kajian dilakukan di Pejabat Statistik United Kingdom, pada 2006 lalu yang menunjukkan trend wanita bekerja lebih suka bekerja separuh masa untuk memberi tumpuan kepada anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan