Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/01/18
Lonjakan 30 peratus kuota wanita pembuat dasar jadi agenda utama
AGENDA memperkasakan keupayaan wanita dalam pembangunan dan pentadbiran negara perlu di pertingkatkan dengan merujuk kepada kekukuhan semangat, penguasaan individu dalam komuniti menerusi sektor ekonomi, politik, sosial dan pendidikan.
Sepanjang beberapa dekad lalu, kecemerlangan wanita menerusi bidang tertentu memang tercatat dalam sinopsis negara, malah ada yang mendapat pengiktirafan dunia. Namun cukupkah setakat negara berbangga dengan kejayaan beberapa kerat wanita berjaya itu dalam bidang masing-masing? Lazimnya, pembabitan pembangunan pengupayaan wanita membabitkan keyakinannya mengikuti kapasiti diceburi.
Kewibawaan keupayaan wanita juga seharusnya merangkumi dalam kuasa sendiri membuat keputusan; mempunyai akses terhadap sumber dan maklumat dalam menyediakan keputusan yang lebih baik; mampu membuat pilihan sama ada untuk berkata ya atau tidak; kebolehan berfikiran positif dan dalam membuat perubahan; kebolehan menukar persepsi serta meningkatkan imej diri dan stigma.
Di mana saja negara di dunia ini, mahu mengangkat wanita ke puncak tertinggi sejajar dengan kemampuan mereka untuk sama-sama sealiran membangunkan negara. Dalam pada itu, dominasi lelaki dalam masyarakat dan kerajaan selalunya dilihat terhadap perkara yang menarik perhatian golongan itu saja, sehingga keupayaan wanita sering kali dilihat terkebelakang walaupun lebih separuh populasi dunia dihuni wanita dan sebahagiannya amat hebat sekiranya digilap potensinya.
Perbezaan gender masih membelenggu penguasaan wanita dalam bidang utama, meskipun di kebanyakan negara, sudah menerima pakai kuota 30 peratus wanita dalam membuat keputusan. Begitu juga penyertaan golongan hawa dalam parlimen di negara dunia juga mencapai tahap membanggakan, sebilangannya mencapai lebih 50 peratus.
Contohnya, Rwanda mencapai 56.3 peratus; Afrika Selatan (44.5 peratus); Mozambique (39.2 peratus); Angola (38.6 peratus); Costa Rica (38.6 peratus); Argentina (38.5 peratus); Nepal (33.2 peratus); Equador (32.2 peratus); Uganda (31.5 peratus) dan Tanzania (32 peratus).
Merujuk negara Asean pula, Vietnam mencatat pencapaian tertinggi dengan penyertaan wanita dalam Parlimen berjumlah 25.8 peratus; Laos (25.2 peratus); Singapura (23.4 peratus); Kemboja (21.1 peratus); Indonesia (18 peratus); Thailand (13.3 peratus) manakala Malaysia pula hanya 10.4 peratus.
Jika ditinjau wanita Malaysia yang menjadi Ahli Dewan Negara pada 2005 sebanyak 32.3 peratus dan sehingga tahun lalu, ia menurun kepada 24.3 peratus. Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula hanya lapan peratus.
Melihat kepada penguasaan wanita dalam sektor awam agak membanggakan iaitu 32.2 peratus bagi jawatan pengurusan tertinggi manakala golongan profesional pula 60.9 peratus.
Malangnya kehebatan sama tidak mampu dicapai di sektor swasta. Contohnya wanita yang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat bursa saham, cuma 6.2 peratus, begitu juga jawatan sama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jauh tertinggal dibandingkan lelaki.
Jika diintai jumlah pengambilan pelajar di pusat pengajian tertinggi, lebih 60 peratus adalah wanita. Bagaimanapun, jumlah itu tidak setara dengan keupayaan mereka sebaik saja memasuki pasaran pekerjaan. Malah, apabila beberapa tahun bekerja, kewibawaan mereka semakin terserlah dan bertaraf profesional, tiba-tiba ada yang mengundur diri daripada pasaran pekerjaan atas pelbagai alasan khususnya ingin menumpu perhatian kepada keluarga.
Dilema antara pekerjaan dan tugas di rumah iaitu menjaga, mengurus anak dan suami, akhirnya menjejaskan potensi untuk menjawat jawatan tertinggi dalam dunia pekerjaan terbantut di situ. Jika keadaan berterusan, penguasaan wanita dalam bidang utama mungkin kekal di takuk sama dan jika berganjak pun ia dengan jumlah yang kecil.
Lantaran, peranan pelbagai pihak khusus kerajaan, swasta dan individu sendiri perlu lebih fokus serta komited dalam isu ini. Salah satu, badan yang yang tidak ketinggalan memperjuangkan misi potensi wanita ialah Institut Pengupayaan Wanita (NIEW) yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kewujudannya juga wajar lebih agresif dengan meneroka dan mengeksploitasikan sepenuh tenaga dan kepakaran wanita dengan memberikan latihan dan kursus sebagai persediaan melangkah jauh ke hadapan dalam kerjaya.
Sejak penubuhan NIEW, pada 2005, yang antara lain misinya adalah sebagai pemangkin, penggerak mempromosikan pembangunan dan pengupayaan wanita, kesaksamaan gender melalui program latihan dan penyelidikan serta mengintegrasikan perspektif wanita dan hak kesaksamaan dalam semua aspek pembangunan negara, tidak seharusnya hanya dalam kertas saja.
Dengan bidang tugasnya amat luas termasuk menganjurkan program pembangunan kapasiti untuk negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dalam bidang dikenal pasti penting untuk wanita dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi maklumat (IT), kesihatan dan anti keganasan itu memberikan peluang terbaik berkongsi pengalaman dan kepakaran antara negara peserta.
Justeru, Pengarah NIEW, Datuk Rafiah Salim, berkata agenda memperkasakan wanita tidak pernah padam sebaliknya akan terus berjuang untuk mendapatkan meningkatkan martabat golongan itu dalam masyarakat serta relevan kepada pembangunan negara.
Katanya, banyak program yang sudah dilaksanakan institusi itu bagi memenuhi misinya dan mulai tahun ini fokus utama adalah untuk mencapai kuota 30 peratus wanita dalam barisan pembuat dasar.
Pada masa sama, pihaknya akan mengadakan sidang meja bulat tidak lama lagi membabitkan penyertaan kerajaan, badan korporat dan GLC untuk mendapatkan sokongan untuk mencari kaedah terbaik mencapai matlamat kuota berkenaan.
“Ketika ini, komitmen pihak swasta dan GLC begitu rendah mengetengahkan keupayaan wanita bagi memegang jawatan tertinggi. Sepatutnya mereka perlu wujudkan garis panduan dengan menetapkan kuota untuk melantik wanita yang berkelayakan menerajui syarikat seperti institusi perbankan dan sebagainya.
Saya yakin dengan adanya sokongan padu, langkah yang kuat, kedudukan dan keupayaan wanita akan dapat dimanipulasi setinggi mungkin.
“Ramai wanita Malaysia berwibawa, cuma peluang mereka agak kurang. Jika tidak dicungkil ia satu kerugian kepada negara. Ilmu dan kepakaran mereka mampu dijana untuk membantu pembangunan negara,” katanya yang menjelaskan sehingga ini sebanyak 39 program termasuk forum, bengkal serta kursus diadakan di peringkat tempatan dan antarabangsa dihadiri lebih 15,000 peserta sepanjang empat tahun lalu untuk meningkatkan keupayaan wanita.
Mengulas mengenai keupayaan wanita Malaysia, beliau menegaskan wanita perlu mempunyai semangat tinggi untuk menyahut cabaran lebih bagi mempamerkan kehebatan mereka dalam apa saja bidang.
Pada masa sama, wanita tidak seharusnya menunggu untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk maju dan sentiasa berdikari, selain mempersiapkan diri dengan kemahiran supaya kewibawaan mereka tidak dinafikan pihak lelaki.
“Kita juga tidak boleh salahkan sistem yang ada. Ruang yang sempit itu perlu digunakan sepenuhnya. Kadang kala wanita diberi jawatan tinggi, tetapi menolak dengan alasan tidak yakin dapat melakukannya,” katanya.
Apa yang diharapkan, tahun ini dapat memberikan harapan lebih tinggi terhadap isu berkaitan bagi meningkatkan lagi status, kuasa dan keupayaan wanita dalam pelbagai bidang.
Selain itu, sejajar dengan misi, mulai tahun ini, NIEW akan memberi tumpuan terhadap mengumpul akta berkaitan isu wanita daripada negara NAM yang boleh dijadikan panduan dan digunakan pakai mengikut kesesuaian serta latar belakang negara.
Tahun ini, katanya, penekanan juga akan ditumpukan kepada cara mengatasi wabak penyakit berjangkit seperti cirit-birit yang melanda dunia. Forum akan diadakan membabitkan negara anggota bagi membincangkan secara mendalam berkaitan isu itu secara global. Sudah pasti apa yang diharapkan wujud anjakan paradigma yang lebih gemilang, tahun ini bagi mengangkat martabat wanita di tempat sewajarnya.
INFO:
VISI: NIEW berperanan sebagai sebuah institusi pengajian antarabangsa dan pusat rujukan yang menyumbang kepada pengupayaan wanita serta pembangunan modal insan di kalangan negara NAM.
MISI: Sebagai pemangkin dan penggerak untuk mempromosikan pembangunan dan pengupayaan wanita serta kesaksamaan gender melalui program latihan dan penyelidikan;
* Menguruskan dengan lebih efektif pengetahuan berkaitan gender dan mempertingkatkan program-program pembangunan kapasiti bagi menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam mengutamakan dan mengintegrasikan perspektif wanita dan hak kesaksamaan dalam semua aspek pembangunan negara;
* Memperkukuhkan kerjasama Selatan-selatan dan membangunkan rangkaian dan perkongsian dengan Negara lain untuk pengupayaan dan pembangunan wanita;
* Memperoleh pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan tempatan melalui inisiatif yang dijalankan dalam program pengupayaan NIEW.
* Menjalinkan kerjasama strategik dengan organisasi tempatan dan pertubuhan antarabangsa, Negara-negara Anggota NAM dan bukan NAM untuk mendapatkan sumber bagi program Pengupayaan Wanita.
Statistik kuota sebagai pembuat dasar
Rwanda - 56.3 peratus
Afrika Selatan - 44.5 peratus
Mozambique - 39.2 peratus
Angola - 38.6 peratus
Costa Rica - 38.6 peratus
Argentina - 38.5 peratus
Nepal - 33.2 peratus
Equador - 32.2 peratus
Uganda - 31.5 peratus
Tanzania - 32 peratus
Penyertaan wanita dalam Parlimen di negara Asean
Vietnam - 25.8 peratus
Laos - 25.2 peratus
Singapura - 23.4 peratus
Kemboja - 21.1 peratus
Indonesia - 18 peratus
Thailand - 13.3 peratus
Malaysia - 10.4 peratus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan