#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, 2 Februari 2011

'Kalaulah saya boleh bekerja...'

SELAMA ini dia bergantung sepenuhnya kepada anak saudaranya, Suriyanti Ali, 30, sama ada dalam menjaga makan minum, pakaian serta keperluan harian.

Pendek kata, anak saudaranya itu ibarat ibu dan bapa bagi Mazidah Selamat, 50, sejak dia berhenti kerja lima tahun lalu disebabkan penyakit asma.

Menurut Mazidah, siapa yang tidak sedih apabila hilang sumber pendapatan, tambahan pula dia hidup sebatang kara sejak ibu bapanya meninggal dunia enam tahun lalu.

Jika orang lain mungkin boleh mengharapkan bantuan suami atau saudara-mara tetapi tidak bagi Mazidah kerana dia tidak pernah berkahwin.

"Saya anak keempat daripada enam beradik. Walaupun ada saudara-mara, saya tidaklah mengharapkan bantuan mereka kerana mereka juga ada komitmen masing-masing dan sudah berkeluarga. Jika ada bantuan daripada sesiapa saya terima, jika tiada saya makan apa saja," katanya sayu.

Bercerita mengenai penyakitnya, sejak kecil Mazidah mempunyai penyakit asma. Walaupun mendapatkan rawatan sama ada moden atau tradisional, penyakitnya tidak berkurangan, malah semakin teruk ditambah pula apabila usia menjangkau 50 tahun sehingga dia perlu mendapatkan rawatan doktor apabila penyakit itu menyerang.

Apabila tidak mendapatkan rawatan, tubuh Mazidah menggigil dan hampir pengsan, malah sudah banyak kali dia keluar masuk hospital.

Bayangkan setiap kali tinggal di hospital, dia perlu membayar antara RM80 hingga RM100. Mungkin bagi orang lain apalah sangat dengan wang sebanyak itu, namun bagi Mazidah, jumlah itu amat bererti.

Mujur anak saudara, Suriyanti tinggal di sebelah rumahnya. Walaupun dia ibu tunggal, sekurang-kurangnya dia dapat membantu, lebih-lebih lagi menghantar Mazidah ke hospital apabila kecemasan. Dia juga yang membayar semua kos rawatan di hospital termasuk bayaran sekiranya dimasukkan ke wad.

"Kadang-kadang saya terfikir sampai bila saya perlu menyusahkan Suriyanti. Dia juga ada tanggungan sendiri iaitu anak seramai empat orang. Lambat-laun dia akan berkahwin semula memandangkan usianya masih muda.

"Apabila terfikir hal itu, dada saya menjadi sebak. Darah tinggi saya naik semula. Saya tiada tempat bergantung, sekiranya sihat saya boleh bekerja mencari pendapatan sendiri, tetapi saya tidak mampu dan hanya mengharapkan belas ihsan orang lain," ujarnya.

Lebih menyedihkan apabila Mazidah terpaksa berhenti kerja kerana terlalu kerap mengambil cuti sakit walaupun keinginannya masih kuat mahu mencari rezeki.

"Jika diikutkan memang saya masih mahu bekerja. Tetapi saya faham dalam keadaan sebegini, pihak syarikat tentu tidak dapat bertolak ansur. Daripada dibuang kerja, saya dengan rela hati berhenti. Kini bagi mencari sesuap nasi, saya mengusahakan tanaman pokok kari secara kecil-kecilan di belakang rumah dengan dibantu anak saudara. Daun kari yang sudah mekar saya jual pada pemborong," katanya.

Selain asma, kaki kiri Mazidah juga tidak lagi kuat walaupun hanya menyapu sampah. Apabila lama berdiri, dia akan menggigil dan jatuh. Dia sudah mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu ia akibat daripada tindak balas ubat asma yang diambil sejak bertahun-tahun.

Tetapi apa boleh buat, Mazidah terpaksa juga mengambil ubat asma memandangkan lelahnya semakin teruk.

"Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Jika diikutkan semua kos rawatan ditanggung anak saudara saya. Memang dia bergaji dan mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu am di sekolah, namun dia juga ada tanggungan sendiri.

"Malah anak sulungnya yang berusia 16 tahun tidak lagi bersekolah kerana mahu membantu ibu. Pada waktu siang, dia membaiki motosikal manakala pada sebelah malam dia menjual kuih. Walaupun puas dinasihati, dia tetap berpendirian tidak lagi berminat meneruskan persekolahan," katanya.

Menurut Mazidah, dia pernah memohon bantuan daripada Pusat Zakat tetapi sehingga sekarang masih belum ada sebarang jawapan.

"Jika diikutkan saya mendapat bantuan rumah kos rendah dalam program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak empat tahun lalu, namun ini hanya tempat berlindung sedangkan saya memerlukan sumber kewangan untuk makan dan minum, juga membiayai rawatan penyakit asma.

"Sekarang, mungkin anak saudara saya boleh menyara tetapi sampai bila? Selepas berkahwin sekiranya dia berpindah mengikut suami, bagaimana keadaan saya? "Itulah yang saya fikirkan. Jika ada yang berkata saya masih sihat dan boleh bekerja, lihatlah keadaan saya yang berpenyakit, ditambah faktor usia yang semakin meningkat, siapalah yang sudi mengambil saya bekerja," katanya yang menetap di Kampung Kuang, Sungai Buloh, Selangor.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kewangan, boleh melakukannya menerusi akaun Bank Rakyat Mazidah Selamat, 22-059-130681-9.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan