#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, 11 Februari 2011

Institusi keluarga tunjang kesempurnaan

Oleh Jami’ah Shukri
Berita Harian
2011/02/11


Mekanisme lebih komprehensif perlu dirangka bagi wujudkan keluarga berdaya tahan

INSTITUSI kekeluargaan adalah unit asas serta tulang belakang dalam mewujudkan kesempurnaan bagi melengkapkan sistem sosial dan sumber tenaga manusia negara. Sejak wujud zaman ketamadunan manusia pelbagai ranjau duri dilalui oleh sesebuah institusi keluarga mengikut arus perkembangan semasa.

Kini, membangunkan institusi keluarga yang kukuh menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi setiap negara di dunia. Perkembangan sains dan teknologi, globalisasi, peningkatan tahap pendidikan, transformasi struktur ekonomi dan penghijrahan dari luar bandar ke bandar sudah merubah struktur sosiobudaya masyarakat itu sendiri.

Daripada konsep keluarga luas kepada keluarga nuklear yang hanya ibu bapa dan anak tinggal bersama dalam sebuah keluarga, ia menunjukkan trend yang semakin berubah sehingga ramai keluarga terpaksa terdedah kepada risiko dan berisiko tinggi berhadapan pelbagai permasalahan sosial, pendidikan, kesihatan, penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Dengan kedaifan dan keruntuhan aspek itu dan tiada daya tahan yang kukuh menyebabkan pembangunan dalam komuniti itu semakin kompleks. Oleh itu tidak hairan mengapa sekarang kita lihat ramai wanita dan kanak-kanak menghidapi HIV/Aids berbanding sebelum ini hanya membabitkan penagih dadah saja.

Akibat terdedah kepada keruntuhan sosial, seks rambang, hamil luar nikah pula isu pembuangan bayi banyak dilaporkan. Begitu juga dengan isu keruntuhan sosial lain seperti perceraian, keganasan rumah tangga dan penjagaan anak yang tidak sempurna antara yang mengancam sistem kekeluargaan.

Dengan pelbagai permasalahan berkenaan, tindakan perlu dilaksanakan seluruh penduduk dunia untuk mengatasinya supaya ia tidak menjadi barah yang semakin parah ditangani pada masa depan dalam mewujudkan institusi keluarga yang sentiasa mengimpikan kehidupan yang aman, damai dan sejahtera untuk memastikan generasi akan datang turut kekal bahagia.

Atas keprihatinan terhadap penyediaan sistem kekeluargaan yang lebih sempurna dan mantap sebenarnya menjadi pentas perbincangan seantero dunia menerusi forum mengenai isu kekeluargaan. Ini sekali gus mampu dapat berkongsi maklumat mengenai program kekeluargaan, penyelidikan, dasar, polisi dan amalan terbaik yang pernah diamalkan negara terbabit.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata untuk melahirkan keluarga yang berdaya tahan, mekanisme lebih komprehensif perlu dirangka, selain mengenal pasti akar umbi berkaitan isu itu sebagai jalan penyelesaian lebih mapan.

Katanya, institusi keluarga adalah penting untuk pembangunan insan dan seharusnya ia diberi keutamaan untuk memastikan mempunyai daya tahan menghadapi pelbagai rintangan yang datang akibat perubahan sosio-budaya.

Perangkaan di Malaysia menunjukkan kira-kira tujuh juta sudah berkeluarga dan 70 peratus daripada jumlah itu adalah keluarga nuklear manakala 30 peratus pula hidup bersendirian.

“Selain itu, 58 peratus daripada wanita di negara ini pula bekerja dan mereka juga terpaksa berhadapan dengan isu untuk menyeimbangkan diri antara kerjaya dan pada masa sama sebagai ibu. Golongan ini ada masalah keluarga tersendiri.

“Dalam situasi lain pula, bagi orang yang tinggal bersendirian daripada jauh daripada ibu bapa, keluarga yang pendapatan isi rumah rendah dan kemiskinan di bandar tidak kurang terpaksa terdedah kepada risiko tertentu akibat keadaan sosio-ekonomi yang tidak seimbang.

Pada masa sama, wujud pula satu lagi golongan keluarga berisiko tinggi atas permasalahan lain, umpamanya dalam sebuah keluarga iaitu ibu, bapa atau anak yang menghidapi HIV/Aids atau isu sosial lain yang tegar.

“Jika dulu, tidak ramai yang terbabit dengan gejala penyakit ini, tetapi sekarang jumlahnya semakin meningkat disebabkan tiada kawalan dan pencegahan diambil seperti mengamalkan seks rambang, pemindahan darah antara keluarga yang ada HIV/Aids. Ini adalah antara golongan berisiko tinggi yang patut kita lihat supaya tidak tinggal dalam kesengsaraan,” katanya.

Jika dilihat permasalahan isu kekeluargaan di seluruh dunia, masing-masing ada kekangan tersendiri sehingga mengancam kesejahteraan institusi berkenaan.
Selain itu, pembentukan sesebuah institusi keluarga yang mantap sebenarnya adalah tunjang keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Dengan kepesatan arus pembangunan dan permodenan negara juga boleh memberi kesan terhadap kepincangan sosial sekiranya ia dipandang enteng.

Peningkatan gejala sosial seperti sumbang mahram, perzinaan, pembuangan bayi, keganasan rumah tangga, jenayah sosial, perceraian, penagihan dadah dan sebagainya secara tidak langsung turut menyumbang kepada keruntuhan serta kegoyahan institusi kekeluargaan dibina.
Tidak kurang juga, tekanan hidup dan dengan kadar pendapatan atau gaji rendah dan sara hidup tinggi menjadikan ketua keluarga sentiasa dalam keadaan tertekan disebabkan kesempitan ekonomi terutama mereka yang tinggal di bandar besar.
Dengan kesibukan mereka memenuhi keperluan asas keluarga sehingga sebilangannya padah apabila keharmonian dalam institusi keluarga tergugat dek kesibukan mencari rezeki.

Jika dilihat, di Jepun, walaupun menjadi negara kedua kuat dari segi kuasa ekonominya, tetapi tetap berhadapan dengan masalah kekeluargaan. Lain pula di negara matahari terbit ini apabila isu yang hangat diperkatakan mengenai kepincangan sosial pada masa depan, iaitu lelaki lebih ramai daripada perempuan.

“Dalam situasi itu, satu hari nanti, lelaki berkenaan tidak dapat berkahwin kerana tiada pasangan. Isu sebegini juga akan kita bincangkan dalam mewujudkan sebuah institusi kekeluargaan yang ideal untuk masa depan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan