Sumber : Pesona - Kosmo
KETIKA dimaklumkan mengenai Kelab Isteri Taat yang bakal dilancarkan, saya tertanya-tanya mengenai objektif penubuhan kelab tersebut.
Penulis terfikir kemungkinan ia sebagai satu kempen untuk mengembalikan kerukunan rumah tangga dengan mengingatkan isteri mengenai cara taat yang sewajarnya kepada suami sebagai langkah membanteras kes-kes isteri nusyuz yang makin meningkat.
Namun, selepas membaca objektif penubuhannya seperti yang dilaporkan oleh media saya cukup terkejut. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah:
Isteri hamba seks
Objektif yang diumumkan bagai satu pengiktirafan bahawa para isteri adalah hamba seks suami. Saya tertarik kepada pernyataan layan suami macam pelacur.
Pada pendapat saya, ada pro dan kontranya pernyataan tersebut. Berdasarkan kes-kes yang pernah saya kendalikan, memang diakui ada para suami yang mengadu mengenai sikap isteri yang hanya menunggu aksi si suami ketika di ranjang malah ada juga yang komen, isteri hanya keras seperti batang kayu menyebabkan selera suami terganggu.
Dalam konteks ini, bersikap bagai pelacur boleh diterima pakai bagi membolehkan si isteri yang bertindak memulakan gelagat seperti para pelacur mencari pelanggan. Para isteri juga boleh menggoda suami hingga menimbulkan keghairahan suami untuk bersama.
Namun, ada batasan-batasan yang perlu dipatuhi kerana ada aksi panas pelacur yang tidak sesuai dilakukan dalam hubungan seks suami isteri para muslimin dan mukmin. Saya pernah mendapat penjelasan daripada lelaki yang pernah melanggan pelacur dan menjelaskan mengenai aksi para pelacur.
Banyak aksi mereka melanggar adab-adab berjimak seperti yang disarankan syarak.
Islam meletakkan tatacara tertentu yang perlu dipatuhi bagi kebajikan dan kemaslahatan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri.
Islam melarang para suami dan isteri melakukan hubungan seks mengikut tabiat haiwan kerana tabiat seumpamanya banyak dilakukan oleh para pelacur.
Perlu difahami, perkahwinan bukan semata-mata untuk melampiaskan nafsu seks.
Perkahwinan adalah tanda kasih sayang dan seks sebagai satu wasilah untuk menyambung keturunan. Banyak perkara penting lain yang diamanahkan dalam perkahwinan.
Bukan saja oleh agama Islam malah agama-agama lain juga begitu.
Malah seks dalam Islam bukan semata-mata untuk kepuasan nafsu sebaliknya adalah satu ibadah jika kena cara dan adabnya.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?
Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala." - hadis riwayat Muslim.
Tanggungjawab seks
Satu perkara yang perlu difahami adalah seks bukan sahaja tanggungjawab si isteri sebaliknya ia adalah tanggungjawab seorang suami yang menjadi hak seorang isteri.
Banyak kes isteri bersikap curang dengan suami disebabkan tidak mendapat kepuasan daripada si suami.
Menurut Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula." - hadis riwayat al-Suyuthi.
Hak nafkah zahir batin
Dalam isu melayani keperluan seks suami, ada ulama berpendapat tanggungjawab tersebut gugur sekiranya suami gagal melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah zahir yang sepatutnya.
Mengambil qias mas kahwin dan nafkah zahir adalah keutamaan tanggungjawab suami dan Rasulullah S.A.W melarang Saidina Ali bersama dengan Sayyidatina Fatimah sebelum Saidina Ali menyerahkan mas kahwin anakanda baginda.
Ibnu Abbas menceritakan: "Ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). Saidina Ali memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan. Lantas, Rasulullah bersabda: "Berikan baju perangmu itu." Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri. - Riwayat Abu Daud.
Islam meletakkan martabat kaum wanita di tempat yang tinggi tetapi segelintir golongan yang mengakui berilmu memusnahkannya. Jika perkahwinan bertunjangkan seks untuk kepuasan nafsu semata-mata, bahagia sebenar tidak akan diperoleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan