Oleh Jami’ah Shukri
Berita Harian
2011/06/01
Peningkatan angka kemalangan membimbangkan
ACAP kali kita dengar ada pekerja kilang cacat anggota badan seperti putus tangan, jari atau sebagainya akibat terkena mesin ketika menjalankan kerja. Tidak kurang juga yang mati akibat terhidu gas beracun.
Bagi sesetengah sektor pekerjaan, khususnya perkilangan, pembuatan, perusahaan dan pertanian pekerja mudah terdedah kepada kemalangan di tempat kerja hingga menyebabkan kematian, kecederaan, kecacatan sementara atau kekal. Isu kemalangan waktu bekerja ini sebenarnya berkaitan dengan aspek keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan (OSH), lantaran setiap majikan sepatutnya menyediakan suasana lebih selamat, selesa dan kondusif kepada pekerja.
Bagaimanapun, risiko kematian atau kecederaan akibat kemalangan sebenarnya tidak saja boleh berlaku di tempat kerja, sebaliknya kemalangan jalan raya juga dianggap ancaman baru kepada warga pekerja ketika mereka pergi dan balik ke tempat kerja.
Kini trend kemalangan jalan raya membabitkan warga pekerja semakin membimbangkan berikutan peningkatan dari setahun ke setahun. Berdasarkan statistik, kes kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja mencatat lebih 40 peratus daripada keseluruhan kemalangan industri yang dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pastinya kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja memang tidak dapat dielakkan kerana sebahagian besar pekerja itu memandu kereta atau menunggang dan membonceng motosikal sebagai pengangkutan utama.
Dalam kekalutan, kesesakan jalan raya dan keadaan tergesa-gesa, bermacam-macam bencana boleh berlaku ketika warga pekerja itu berulang alik ke tempat kerja, sama ada disebabkan kesilapan sendiri atau kelalaian pemandu lain.
Kes kemalangan jalan raya yang berlaku itu juga membabitkan pekerja wanita kerana mereka juga memandu, menunggang atau membonceng motosikal. Tambahan lagi, sebahagian sumber tenaga manusia di negara ini adalah kalangan wanita dengan ramai daripada mereka bekerja di sektor perkilangan dan pembuatan.
Pekerja wanita itu pula ramai menunggang atau membonceng motosikal, khususnya di luar bandar. Golongan ini juga tidak terlepas daripada terbabit dalam kemalangan jalan sama ada atas kelalaian mereka sendiri atau pemandu lain.
Trend baru ini, diakui Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye, yang menjelaskan ramai wanita terutama yang bekerja di kilang khususnya mereka yang tinggal di luar bandar menunggang motosikal ke tempat kerja dan pada masa sama menjadi golongan yang paling tinggi terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Katanya, ketika ini dengan ramai wanita yang bekerja pelbagai sektor dan mereka memiliki kenderaan sendiri sama ada kereta atau motosikal untuk kemudahan ke tempat kerja.
“Apa yang membimbangkan laporan menunjukkan lebih 50 peratus dari jumlah kemalangan jalan raya itu membabitkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja,” katanya.
Lam Thye berkata, statistik Perkeso, mendapati sebanyak 57,656 kemalangan membabitkan pelbagai sektor pekerjaan di negara ini dan daripada jumlah itu, sejumlah 22,040 kes adalah membabitkan kemalangan jalan raya ketika berulang-alik ke tempat kerja.
Kemalangan jalan raya itu mengakibatkan kerajaan kehilangan sumber tenaga manusia dan kerugian kepada negara terutama yang berkemahiran.
“Golongan itu adalah aset kepada pembangunan negara terutama mereka yang terlatih. Oleh itu, kita pandang serius kes ini. Selain pelbagai risiko dan bahaya jenayah seperti rogol, ragut, gangguan seksual di tempat kerja terpaksa dihadapi oleh pekerja wanita mereka juga terdedah kepada kemalangan jalan raya ketika berulang alik ke tempat kerja.
“Berdasarkan laporan diterima, kemalangan jalan raya sepatutnya menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian berikutan trend menunjukkan jumlah mereka yang tercedera atau mati akibat kemalangan semakin meningkat dari setahun ke setahun.
“Jika diteliti bilangan kemalangan jalan raya dalam perjalanan pergi dan balik bekerja meningkat sejak lebih 15 tahun lalu berbanding kemalangan di tempat kerja lain seperti di sektor perkilangan, pembuatan dan pertanian.
“Jumlah itu, menggambarkan bahawa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan berulang alik ke tempat kerja adalah ancaman terhadap isu keselamatan dan kesihatan pekerja. Oleh itu, amat penting sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diberi perhatian oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata, peranan NIOSH adalah untuk memastikan persekitaran di tempat kerja yang selamat dan sihat melalui sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Sebenarnya warga pekerja sentiasa terdedah kepada risiko dan bahaya sama ada di tempat kerja atau ketika ke tempat kerja.
Jika dilihat secara keseluruhan, bilangan kemalangan membabitkan industri sektor pekerjaan semakin menurun berbanding kes kemalangan dalam perjalanan pekerja ketika berulang alik ke tempat kerja.
“Statistik mencatatkan bahawa bilangan kemalangan industri ialah sebanyak 121,593 kes, pada 1993 menurun kepada 35,616 (2010) iaitu penurunan lebih 50 peratus.
“Bagaimanapun, bilangan kemalangan dalam perjalanan pekerja berulang alik ke tempat kerja pula sebaliknya, ia meningkat daripada 11,700 pada 1993 kepada 22,040 (2010),” katanya.
Justeru, Niosh bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan agensi berkaitan bagi mengadakan program dan kursus kesedaran mengenai keselamatan jalan raya membabitkan warga pekerja.
Selain itu, beliau juga mencadangkan majikan supaya menyediakan lebih banyak bas pekerja bagi menampung keperluan warga kerja ini.
“Dengan adanya bas pekerja ini, mereka tidak perlu menaiki kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pekerja daripada terdedah kepada risiko atau bahaya kemalangan jalan raya, khususnya yang menunggang motosikal,” katanya.
selain dari NGO, dan kerajaan, majikan juga perlu prihatin kebajikan pekerja.
BalasPadam