Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my
2011/03/11
Eratkan hubungan suami isteri
MENGEMAS, memasak, membasuh, melipat baju dan menjaga anak sememangnya tidak dinafikan seolah-olah tugas mutlak isteri. Suami, hanya kerana dia bekerja dan memenuhi perbelanjaan sekeluarga, kerja rumah seperti sudah tertulis, di luar bidang kuasa mereka.
Satu senario yang mungkin wajar atau boleh diterima jika isteri tidak bekerja. Tetapi, jika isteri juga bekerja, sama-sama menyumbang untuk perbelanjaan isi rumah, keadaan seharusnya berubah. Suami harus membantu isteri. Sudahlah penat bekerja, balik ke rumah, 1,000 tugas lagi menanti.
Hari ini, kita dapat lihat ramai wanita dan isteri keluar bekerja, malah tidak kurang juga yang memegang jawatan hebat. Perangkaan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat menunjukkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 45.7 peratus pada 2008. Ia terus meningkat kepada 46.4 peratus pada 2009, malah kerajaan menyasarkan sebanyak 55 peratus penyertaan wanita dalam guna tenaga pada akhir Rancangan Malaysia Ke-10.
Namun, sebagai isteri, tanggungjawab di rumah masih lagi perlu diteruskan. Bagaimanapun, sebagai pembantu menambah pendapatan isi rumah, suami juga perlu membantu, ringan tulang dan saling bekerjasama dalam melakukan tugasan berkenaan.
Tolak tepi buat mereka yang berkemampuan atau mahu menggaji pembantu rumah. Pendek kata, segala-gala urusan, jika boleh diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah. Tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang kedua-duanya bekerja dan tidak mengupah pembantu? Tidakkah suami juga perlu memainkan peranan menguruskan kerja rumah?
Kerjasama, tolak ansur dan memahami antara satu sama lain amat penting dalam institusi kekeluargaan, lebih-lebih lagi hubungan suami isteri. Apabila suami ringan tulang, rajin membantu isteri di rumah, yang lelah dengan bebanan tugas di pejabat, isteri pasti sejuk hati. Paling penting, tidaklah isteri berasa diri seperti orang gaji.
Kerja dilakukan bukan lagi kerana terpaksa sebaliknya dilakukan dengan penuh keikhlasan. Bila terbit keikhlasan, hati gembira, hubungan suami isteri akan lebih intim malah lebih seronok apabila dapat melakukan kerja rumah bersama.
Penulis kagum melihat suami yang rajin menolong isteri di rumah. Ayah saudara penulis adalah contoh nyata, bagaimana sikap suami yang memahami dan bertolak-ansur ini mampu mengeratkan hubungan dengan pasangan dan membawa kesejahteraan pada keluarga.
Sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Pak Ngah memang sibuk, belum lagi mengambil kira tekanan yang ditanggung. Tetapi, sebaik melangkah kaki ke rumah, biar pun penat, Pak Ngah tetap membantu isterinya, Mak Yah, melakukan kerja rumah, mengemas rumah, membasuh pinggan malah memasak.
Memang ada suami begitu tetapi penulis yakin, tidak ramai. Jika ada pun yang membantu, itu pun selepas diminta isteri berulang kali. Paling malang, tolong pun tak sepenuh hati, membentak-bentak, paling tidak pun muncung panjang sejengkal.
Alangkah bagusnya jika suami yang menawarkan diri. Bukankah itu lebih manis dan bahagia?
INFO: Rahsia 'Suami Mithali'
•Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang.
•Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil itu, otak suami kenalah memproses maklumat yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
•Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan atau cara menghias si isteri anda lebih baik dan canggih daripada emak anda.
•Jika mempunyai anak, sama-samalah menjaga anak. Ada suami, isteri sedang makan, disuruhnya basuh kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam Maharaja.
•Jangan sesekali duduk tersandar depan TV atau goyang kaki sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dan sebagainya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila tak cukup tangan nak menguruskan rumah tangga sedangkan suami lepas tangan.
•Jika suami makan dulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Sedih hati isteri!
•Jika hendak mengajak rakan bertandang ke rumah, beritahu isteri terlebih dulu. Jika boleh, sehari dua sebelum itu. Bolehlah dia mengemas rumah cantik-cantik dan menyediakan makanan yang enak. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak berselerak dan isteri cuma masak mi segera.
•Jangan sekali-kali menyakat isteri mengenai saiz badannya yang semakin 'sihat' atau melidi. Cermin diri sendiri dulu!
•Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu, kenapa boleh kawal kentut?
Rahsia Rumah Tangga Bahagia
•Sering melakukan kegiatan bersama-sama seperti melakukan kerja rumah bersama, makan bersama, keluar berjalan berdua-duaan, beriadah dan mandi bersama.
•Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayang akan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan.
•Jaga mulut dan badan supaya tidak berbau bagi memastikan suami sentiasa mahu berseronok dengan isteri.
•Isteri yang hangat dan romantis sentiasa mengharapkan suaminya berada di rumah bersama-samanya.
•Tukar gaya penampilan untuk mengelakkan pasangan berasa jemu.
•Kreatif mencipta suasana yang harmoni dan tenang dalam rumah tangga.
•Jika ada pergaduhan atau pertengkaran, cuba ingat kembali kenangan manis ketika bercinta dan berbulan madu.
•Suami perlu sentiasa kenang jasa dan susah payah isteri mengandung serta melahirkan anak.
•Suami atau isteri jangan tumpu perhatian yang berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri.
•Isteri perlu berhias lebih kepada suaminya berbanding apabila keluar rumah.
•Menjawab setiap pertanyaan suami dengan lembut.
•Jika ada masalah, bawalah berbincang. Jangan bertengkar dan masing-masing menegakkan pendapat sendiri.
•Fahami dan hayati sifat pasangan dan anak. Suami disifatkan seperti matahari sentiasa panas; isteri bulan - cantik, lembut dan indah dipandang, manakala anak pula umpama bintang iaitu sifatnya sebagai penghibur dalam rumah tangga.
•Suami isteri perlu mengekalkan sifat romantis dan sentiasa berhati muda walaupun masing-masing sudah berusia.
•Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya, sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan tempat percutian.
Sumber: http://www.fadzilahkamsah.com/
* “Lelaki malas kerana sejak kecil ibu mereka beranggapan dan `mendidik’ mereka, lelaki tidak perlu membuat kerja rumah. Bila kahwin, serahkan segala-galanya kepada isteri kerana baginya itu tanggungjawab isteri. Ini tidak lagi relevan, lebih-lebih lagi bila kedua-duanya, suami dan isteri bekerja. Isteri yang bekerja khususnya perlu terangkan pada suami, kerja rumah adalah tanggungjawab bersama kerana kedua-duanya bekerja. Bagaimanapun, jika si isteri ingin minta bantuan suami, lebih manis menggunakan perkataan `tolong’ berbanding kata berbentuk arahan.” - Pekerja swasta, Norakmah, 29.
* “Kena 'ajar' suami yang `everything takes two to tango’ (perlu bekerjasama). Bukan dengan cara membebel, tetapi didik suami sejak awal awal perkahwinan. Ajak dan galakkan suami sama-sama melakukan kerja rumah. Kita tak harap suami melakukan semua seperti memasak, memadai jika membantu basuh baju dan kemas rumah. Zaman sekarang, kalau hendak basuh baju, bukannya perlu membanting pakaian di sungai. Mesin basuh automatik banyak, `campak’ saja baju dalam mesin, tahu-tahu sudah siap. Ini ada isterilah memasak, anak menangis, memasaklah sambil mendukung anak, suami terbongkang tengok TV.
* Abang ipar saya, walaupun penat balik kerja, bila kakak saya memasak, dia basuh baju, sidai dan lipat bila kering. Hujung minggu, kakak basuh baju, memasak dan ajar anak, dia kemas rumah. That doesn't make him less manly than other men (tidak sedikit pun menjejaskan sifat kejantanannya).” - Wanita bekerjaya, Rafida.
* “Lelaki yang malas sebenarnya adalah lelaki yang `anak emak’, manja. Kalau kita suruh sikit, mesti dia mula bandingkan kita dengan emak dia,” - Ahli perniagaan, Jus Hassan, 36.
* “Kita berbalik kepada asas. Lelaki buat kerja lelaki, cari duit, bayar bil dan sediakan segala-galanya untuk keluarga. Wanita pula jaga rumah tangga (basuh, gosok baju dan masak ). Yang lain adalah kerja lebih yang dipersetujui bersama. Lelaki akan sediakan semua yang isteri mahukan seperti baju, kasut, beg tangan dan aksesori, begitu juga isteri perlu sediakan apa yang diperlukan suami seperti makan, pakaian yang bersih dan sebagainya. Apa pun perkara, berbincanglah elok-elok sebagai jalan terbaik.” - Shafiq Shariffuddin.
“Kerja rumah adalah tanggungjawab bersama dan bukan tugas isteri semata-mata. Tetapi, ada suami zaman sekarang yang merasakan ia adalah tugas azali isteri sejak dulu lagi. Isu ini tidak akan timbul jika suami memahami hak, tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga kerana ia perlu dikongsi bersama dan bukan hanya meletakkan ia di bahu isteri.” Pekerja syarikat permotoran, Muaz Mohd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan