#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, 18 Mac 2011

Awasi pengaruh filem asing

SEBANYAK 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia bagi tempoh lima tahun sejak 2005. Statistik yang direkodkan itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak lebih-lebih lagi anak perempuan, statistik di atas pastinya membangkitkan kekhuatiran dan kebimbangan.

Bimbang jika perkara yang tidak diingini itu berlaku kepada anak-anak gadis yang disayangi dan ditatang ibarat minyak yang penuh.

Apa yang pasti, Islam mempunyai cara tersendiri dalam mendidik atau mentarbiah anak-anak supaya nafsu yang dikurniakan Allah itu tidak disalah-guna atau disalurkan ke perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam.

Timbalan Pengarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, kebanyakan gejala sosial dalam masyarakat mula berlaku di peringkat usia remaja dan juga semasa di bangku sekolah.

Seringkali, kata beliau, perlakuan orang dewasa atau ibu bapa mudah dicontohi oleh anak-anak.

"Tiada pengawasan oleh orang dewasa menjadikan anak-anak terjebak ke kancah maksiat," katanya.

Menurut Dr. Zulkifli, sebab itu, pendidikan awal anak-anak amat penting kerana anak-anak yang membesar dalam kelompok yang sihat, maka baiklah anak itu dan begitulah sebaliknya.'

Sebab itu, kata beliau, Islam menitikberatkan penyelesaian di peringkat akar umbi iaitu manusia sendiri.

"Al-Quran melihat manusia sebagai agen pembangunan yang utama di muka bumi. Berjaya atau tidak pembangunan di dunia bergantung kepada manusia," jelasnya.

Justeru, al-Quran menggariskan dua gagasan dalam menangani isu ini iaitu membangunkan diri remaja dan membanteras cabang masalah.

Kata Dr. Zulkifli, isu melibatkan remaja tidak mudah diselesaikan jika masalah yang melibatkan manusia tidak ditangani dengan baik.

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membangunkan diri remaja kerana remaja yang tidak membangun jiwanya akan menyalahgunakan pembangunan fizikal.

"Mereka akan menjadi makhluk perosak merosakkan kemudahan fizikal sama ada di rumah flat, jalan raya dan tempat-tempat awam," katanya.

Pada masa yang sama, ibu bapa mesti serius membimbing anak-anak ke arah masa depan yang gemilang.

Biasanya, kata Dr. Zulkifli, mereka yang tidak mendapat perhatian di rumah akan mencari rakan sebaya yang boleh memenuhi ego dan keperluan tersebut.

Menurut beliau, faham keagamaan yang cetek turut menyumbang kepada pertumbuhan gejala sosial di kalangan remaja termasuk berzina.

Ada di kalangan umat Islam yang jika tahu tentang agama pun hanya serpihan sahaja seperti hal berkaitan ibadah solat, puasa, tahlil, akikah dan beberapa juzuk kecil.

"Mereka tidak mendalami agama sebagai sesuatu yang bertitik tolak daripada akidah.

"Mereka juga tidak faham hukum hakam agama yang akan mempengaruhi sikap mereka dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan," katanya.

Bagi membanteras cabang masalah, Dr. Zulkifli mencadangkan supaya media massa dan hiburan diberi suntikan pendidikan bersepadu dunia dan akhirat.

Katanya, kesan penayangan adegan bercumbu, pendedahan aurat dan berpelukan cukup mempengaruhi minda remaja.

"Malah, kebanyakan filem import juga membawa budaya dan norma yang bertentangan dengan budaya tempatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan