Tarikh : 30/10/2012
Antara bekas dan plastik untuk menyimpan susu perahan ibu. - FOTO DANIAL NOORDIN/
Aini ibu berkerjaya yang bersemangat tinggi hendak menyusukan bayinya dengan susu perahan ibu (EBM) secara eksklusif. Bagaimanapun, tuntutan kerjaya memerlukan dia menghadiri lawatan kerja ke Jepun selama lapan hari.
Dilema Aini, kembara itu tanpa si kecil di sisi. Tanpa pengalaman, ibu muda itu gusar bagaimana cara untuk mengendalikan EBM bagi perjalanan membabitkan tempoh yang panjang.
Malah dilema sama turut menerjah dalam kotak minda ibu di seluruh dunia apabila mereka terpaksa berjauhan dengan bayi dalam tempoh panjang terutama jika tidak pernah memberinya susu formula.
“Bergelar ibu, bukan sekadar gelaran, tapi ibu juga perlu bijak merangka dan menjangka situasi,” ujar perunding dan Pengarah Urusan Lunatots, Siti Nur Suraya Mohamed Ali memulakan bicara.
Tambah Siti Nur Suraya, desakan kerja adalah komitmen dan menambah kesukaran, wanita sering mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri.
“Jangan jadikan kerja sebagai penghalang. Perhatikan lelaki, mereka sebenarnya lebih berdisiplin berbanding wanita. Bijak ‘mencuri masa’ misalnya untuk merokok.
“Jadi, walau apa juga situasi, ibu kena kuatkan semangat dan jadikan aktiviti mengepam setiap tiga jam sebagai tabiat bagi memastikan kelenjar susu sentiasa dirangsang terutama apabila si kecil tiada bersama,” katanya.
Apabila ditugaskan keluar kawasan, ibu perlu tahu tempoh perjalanan, lokasi penginapan dan berapa lama tugasan bagi merangka proses seterusnya dalam penyimpanan EBM.
“Jika perjalanan menggunakan kapal terbang, pastikan perjalanan ke lapangan terbang, waktu menunggu mendaftar masuk dan jarak perjalanan dari lapangan terbang ke tempat penginapan diambil kira.
“Menjadi kebiasaan bagi ibu menyusu menyimpan stok EBM di dalam peti sejuk.
Jika tempat penginapan tidak menyediakan kemudahan itu, usah malu meminta pertolongan staf hotel menyimpan stok itu di peti sejuk di dapur hotel.
“Bagaimanapun, jangan lupa masukkan botol atau plastik penyimpanan susu pakai buang (liner) dalam plastik besar dan dilabelkan nama anda, nombor bilik serta telefon bersama label ‘susu ibu’,” katanya.
Jelas Siti Nur Suraya, penyimpanan EBM di peti sejuk beku penting bagi ibu yang perlu berada di luar kawasan melebihi empat hari.
Susu yang diperah tahan lima hari di dalam peti sejuk dan selepas lima hari, ia perlu dibawa ke peti sejuk beku (freezer).
Sementara itu, bawa bekas menyimpan susu sama ada botol atau plastik secukupnya.
Kata Siti Nur Suraya, kaedah penyimpanan menggunakan plastik menjimatkan ruang tapi botol susu pula lebih tahan lasak dan tidak mudah pecah.
Membawa pulang EBM dikatakan rumit, namun kata Siti Nur Suraya, ibu hanya perlukan kotak pendingin (cooler box) atau beg pendingin (cooler bag), pek ais secukupnya dan pembungkus plastik.
“Secara peribadinya, saya sarankan ibu yang mengembara sendirian menyimpan EBM di dalam beg (simpan dalam kargo) kerana ada sesetengah negara tidak mesra EBM.
“Namun, kelebihan kotak pendingin, ia lebih kedap dan EBM juga tidak mudah cair atau tumpah. Bagi yang memilih menggunakan kotak pendingin, pastikan ia dibungkus, ditampal pelekat fragile, keep up right atau handle with care,” katanya.
Bagi memastikan EBM kekal dalam suhu sepatutnya, letakkan pek ais di bahagian bawah dan atas. Boleh juga taburkan garam di dalam bekas bagi mengelakkan ais cepat cair.
Bagaimanapun, jika menggunakan kaedah yang betul, EBM yang disimpan di dalam kotak pendingin atau beg pendingin (0-4 darjah celsius) boleh bertahan antara 12 hingga 24 jam.
“Apabila selamat tiba di destinasi, ibu harus segera pulang ke rumah. EBM yang sudah dibekukan dan masih mempunyai ais kristal, boleh dibekukan kembali, manakala yang beku tapi sudah cair kena habiskan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan