Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar HAFIZ JOHARI
SETUJU atau tidak jika dikatakan ibu bapa zaman ini bersikap terlalu melindungi (over protective)?
Jangan haraplah anak boleh melepasi pagar rumah dengan keadaan tidak berselipar. Apatah lagi untuk bermain dalam hujan, lumpur atau tempat berpasir kerana dikhuatiri kuman yang ada di luar menjangkiti mereka sekali gus menjadi punca kepada pelbagai penyakit.
Keadaan ini sudah tentunya amat berbeza jika dibandingkan dengan zaman ibu bapa ketika di alam kanak-kanak dulu.
Namun adakah bermakna kita yang dahulunya terdedah kepada kotoran tidak mempunyai sistem imuniti tubuh yang baik?
"Ibu bapa kini memang cepat cemas akan kebersihan anak-anak, terutama anak yang berusia di bawah lima tahun.
"Mereka tidak boleh bermain di luar rumah dan jika kotor sedikit pasti tangan dilumur dengan cecair pembasmi kuman.
"Memang tidak ada salahnya bertindak sebegitu namun tidak ramai yang tahu bahawa sistem pembentukan imuniti anak sebenarnya lebih banyak dihasilkan menerusi cara tubuh anak bertindak balas dengan keadaan 'lasak' di luar," jelas Dr. Chai Pei Fan, perunding pediatrik dari Hospital Pantai Kuala Lumpur.
Tambah Dr. Pei Fan, ibu bapa zaman moden ini sepatutnya jangan terlalu risau kerana pendedahan anak kepada 'sedikit kotoran' sebenarnya baik untuk pembentukan sistem imuniti mereka secara semula jadi.
Beliau mendefinisikan sistem imuniti sebagai satu mekanisme yang memberi perlindungan kepada tubuh seseorang daripada ancaman sesuatu benda hidup seperti mikro organisma, bakteria dan sebagainya.
"Ia juga untuk mengenalpasti mana satu ancaman dan mana yang bukan bersifat ancaman. Dan tubuh kita ini secara automatik akan menerima apa yang baik untuk sistem tubuh badan.
"Sebagai contoh, makanan yang mengandungi protein adalah baik untuk tubuh seseorang," ujarnya.
Mengulas tentang sistem imuniti tubuh badan manusia, Dr. Pei Fan berkata, ia sememangnya ada dalam diri setiap manusia yang lahir di muka bumi ini.
"Sistem imuniti terbahagi kepada dua kategori iaitu imuniti dalaman (semula jadi) dan imuniti yang dihasilkan.
"Apabila seseorang manusia lahir sememangnya dia sudah mempunyai sistem pertahanan sendiri.
"Sebagai contoh kulit yang bertindak sebagai pertahanan untuk menjauhkan kuman dari dalam badan.
"Untuk sistem imuniti yang dihasilkan pula ia menjurus kepada jenis spesifik, sebagai contoh, kalau kita terdedah kepada sesuatu virus, sel-sel imun akan mencari jalan untuk melawan kembali virus tersebut.
" Apabila virus menyerang kembali ia umpama jam penggera yang boleh mengingat dan tubuh tidak akan dijangkiti virus yang sama, sebagai contoh penyakit demam campak.
"Sistem imuniti jenis ini, selain ia timbul sendiri selepas jangkitan pertama, ia juga boleh dihasilkan dengan pengambilan suntikan imunisasi," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, imuniti bagi seorang dewasa dan kanak-kanak juga berbeza.
Tambahnya, setiap bayi yang lahir mempunyai kuman baik dalam usus yang telah dipindahkan dari ibu semasa atau selepas lahir.
"Kuman baik adalah penting untuk perkembangan sistem imuniti. Kuman-kuman baik dalam usus boleh mempengaruhi sel-sel imun di usus dan menggalakkan perkembangan dan pematangan sel-sel imun," katanya.
Dr. Pei Fan berkata, terdapat juga kes di mana kuman baik tidak seimbang dan cara terbaik menyeimbangkannya ialah dengan memberikan susu badan dan mengelakkan penggunaan antibiotik jika tidak perlu.
Pengambilan suplemen kuman baik (probiotik) juga dicadangkan mengikut kes.
"Sebab itulah maka anak-anak kita ini sesekali perlu juga didedahkan kepada kotoran supaya kuman-kuman tersebut dilawan secara semula jadi oleh sistem pertahanan tubuh mereka.
"Dari situlah sistem imuniti anak 'belajar' macam mana untuk melawan jangkitan tersebut," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan